BAB 9

Humor Completed 12881

AKU duduk berteleku di atas lantai bersandarkan almari radas di bilik persediaan. Entah bagaimana air jernih mula mengalir dari kedua-dua bola mataku. Aku sedih…. sedih sangat! Belum pernah aku dimalukan sebegini oleh sesiapa.

Aku boleh terima jika Puan Khadijah memarahi dan menegurku secara personal, bukannya di hadapan ramai orang. Tambah-tambah di hadapan pelajar-pelajar kolej yang semuanya masih muda remaja. Mungkinkah dia lupa bahawa aku juga seorang insan yang punya hati dan perasaan?

Tok! Tok! Tok!

Sejurus kedengaran pintu diketuk, pintu bilik persediaan terus dibuka dari luar tanpa sempat aku mengesat air mata dan mahu bangun membuka pintu.

Encik Zack? Macam mana dia boleh ada di sini? Aku terkedu.

“Assalamualaikum. Fiona, apa sudah jadi ni?” Pantas Encik Zack bertanya setelah melihat keadaan aku yang sudah berubah seratus peratus. Dia berlutut di hadapanku.

Keceriaan aku pada pagi tadi sudah hilang direnggut Puan Khadijah. Aku cepat-cepat mengesat air mata dan mendongak memandang Encik Zack.

“Tak ada apa-apa, Encik Zack,” dalihku.

“Awak jangan cuba tipu saya. Mata saya belum buta lagi. Saya nampak awak menangis. Kenapa?” Sekali lagi Encik Zack bertanya.

Encik Zack…. tolonglah jangan bertanya apa-apa lagi. Tolonglah jangan tunjukkan yang Encik Zack mengambil berat tentang keadaan aku. Perasaan terharu mudah sahaja bertandang ke dalam hatiku. Aku ini nampak sahaja kuat dari luar. Tetapi hati aku sebenarnya rapuh. Rapuh sangat. Dan… tanpa disangka air mataku jatuh lagi di hadapan Encik Zack. Pada saat itu aku sudah tidak mampu menafikan apa yang Encik Zack katakan tadi.

“Anak Kak Maya kemalangan kat rumah pengasuh. Kak Maya kata keadaan anakya teruk. Saya memang rapat dengan anak Kak Maya. Jadi… saya sedih sangat!” Aku mencipta alasan lain.

Hanya alasan itu yang dapat otakku fikirkan. Semoga Encik Zack percaya dan tidak akan bertanya lagi.

“Lepas habis eksperimen ni kita pergi tengok anak Kak Maya,” kata Encik Zack.

Sekali lagi aku terkejut. Tidak sangka alasan yang aku berikan tadi semakin menjerat diri. Tidak mungkin aku akan keluar berdua bersama Encik Zack. Kalau si jantung hati aku nampak nanti, kan susah.

“Tak apa…. tak apa, Encik Zack. Nanti saya boleh pergi sendiri. Sekarang saya cuma mahu bersendirian,” ujarku, cuba mengelak ajakan Encik Zack.

“Betul ni?” Encik Zack masih lagi mahu bertanya. Masih lagi tidak puas hati.

“Betul! Err… macam mana Encik Zack boleh ada di sini? Bukankah Puan Karina yang sedang mengajar di Makmal Sains 8 ni?” Aku cuba mengubah topik perbualan. Lagipun memang dari tadi persoalan itu sudah terbit di dalam fikiran aku.

“Oh, Puan Karina ada hal. Dia call dan minta saya gantikan tadi,” jelas Encik Zack.

“Ooo….” Panjang bunyi O dari mulutku. Sudah tentu mulutku juga kini sedang membentuk huruf O.

Aku lihat Encik Zack tergelak. Apa yang lucu?

“Hmm… tadi saya ajak awak sarapan awak tak mahu. Ni, saya bawakan nasi lemak untuk awak,” kata Encik Zack sambil menghulurkan bungkusan plastik di tangannya kepadaku.

Bagaimana aku boleh tidak perasan akan kehadiran bungkusan plastik itu? Perlahan-lahan aku menyambutnya.

“Terima kasih,” ucapku perlahan.

“Sama-sama. Jangan lupa makan. Jangan biar perut tu kosong. Nanti sakit perut pulak,” nasihat Encik Zack.

Alahai…. kenapalah Encik Zack ini terlalu baik? Segan pula aku jadinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience