BAB 1

Horror & Thriller Completed 19800

AKHIRNYA meja kopi itu menjadi tempat untuk dia melampiaskan amarahnya pada Rafena. Pelbagai cara dia guna namun semuanya tak jalan. Gadis itu tetap dingin dan angkuh padanya. 

Apa dia ingat pekerja kampung sepertinya tak mampu menyara anak dara orang ke?

Jangan pandang sebelah mata ya!

"Hoi kau kenapa?" teriak seseorang dan bahu itu ditepuk sedikit kuat. Rafael agak terperanjat sedikit. Gelas teh susunya yang kaku atas meja tanpa sebarang amaran, terus temannya itu teguk dengan selamba.

"Eheh!  Aku pun tak minum lagi, wei!"  Tukas Rafael semakin bengang dengan sikap temannya itu.

"Alah, kau ni… aku minum sikit je pun…" Rungut si rakan tersenyum sumbing lantas meletakkan kembali gelas yang tangannya sedang pegang ke atas meja.

"Kau ni kenapa Raf?  Aku tengok muka kau tu… dari tadi masam aje? Ada masalah ke?"

"Takkan kau tak tahu kut"

"Pasal awek lah tu." Tebak Osman kawan sekelas Rafael sambil tersenyum sinis. Bukan dia tak tahu pasal Rafael yang terlalu obses pada Rafena semenjak mereka bersekolah lagi.

Namun, mahukah Rafena memandangnya sedangkan gadis itu lulusan universiti luar negara.  Kerja pula di Kl.

"Apa lagi Man… aku dah buat macam-macam, tau tak!  Tapi dia tetap pandang hina pada aku."

"Raf, perempuan macam Rafena tu kau kena ajar sikit."

"Apa maksud kau? Apa, kau nak aku pukul dia?  Kau nak menambahkan lagi rasa bencinya pada aku lagi ke?"

"Sabar bro. Aku tak bermaksud macam itu lah!" sahut Osman lalu tersenyum dengan kening terangkat-angkat. 

"Dah tu apa? Apa lagi, yang aku kena buat bro? Aku mulalah nak rasa fed up!" Sahut Rafael lalu mencampak pandangan arah luar warung.  Hatinya sakit tatkala mengingati segala kata-kata cacian.

"Kalau kau tak dapat cara kasar. Apa kata kau guna cara lain pula…"  Osman tersenyum penuh makna selepas menoktahkan kata-kata.

"Maksud kau? Bomoh?  Huh! Berkesan ke ? Ada lagi ke zaman sekarang ni bro? Lagipun kat kampung kita ni mana ada bomoh.  Bidan pun harap Bidan Esah tu jela…" Laju Rafael menyanggah. 

Hampir nak tersedak Rafael tatkala mendengar cadangan temannya itu. Kelakar rasanya. Bomoh bagai!

Kalau orang dah tak suka!

Buatlah apa saja tetap tak suka!

Tapi itu kata Rafael. Tak cuba manalah nak tahu kan hasilnya?

Osman di sisi tersenyum seraya menggelengkan kepalanya.

"Mana kau tahu… kat kampung kita ni takde bomoh?"  Osman pula menyoal seraya menjungkitkan keningnya. Sempat lagi dia bermain dengan janggut sejemputnya.

"Aku tahulah. Dah aku orang kampung ni."  

"Haa…  tu… yang kau silap. Kalau betul kau nak … aku boleh tolong. Kalau kau nak lah… kan. Aku tak paksa… kalau kau betul serious nak dapatkan cinta Rafena ..."

Cadangan dari Osman membuatkan Rafael berfikir dua kali. Rafael sebenarnya seorang yang skeptikal dia susah mahu mempercayai tentang ilmu batin dan alam ghaib ini.

Bukannya dia tiada didikan agama langsung. Tetapi jika difikirkan semula, dah pelbagai cara dia lakukan untuk meraih cinta Rafena tapi satu pun tak berjaya.

'Perlukah aku cuba yang ini?'  Soal hati kecilnya.

Dahi berkerut agak lama. Osman di sebelah tersenyum kerana dia yakin Rafael pasti mahu mencubanya, memandangkan obsesinya pada Rafena bukanlah main- main.

"Tak payah fikir lagi, bro." 

"Kau nak bawa aku jumpa bomoh mana? Bomoh siam ke asli?  Atau wak indon?" Rafael menyoal lagi.  Kali ini dia tegakkan posisi duduknya kerana mahu tahu lagi tentang cadangan tersebut.

"So… kau bersetuju ke ni?"  Osman menyoal lagi kerana dia inginkan kepastian.  Perkara ini bukan suatu benda yang mudah dan tidak boleh dibuat main-main.  

"Tapi Raf… satu je… aku nak ingat kau ingat!  Sekali kau dah melangkah… jangan kau berpaling lagi, boleh? Tak salahkan jika kita mahu mencuba. Setahu aku lah, memang menjadi… sebab bomoh yang kita nak jumpa ni… bukanlah sebarang bomoh. "

Rafael spontan menelan air liur.  Gelisah pula bila mendengarnya.  Apatah lagi, pada perkataan sekali kau dah melangkah, tidak boleh berpaling lagi. 

"Macam seram je aku dengarnya, Man? Ilmu apa sebenarnya ni? Jangan pula kau kata minyak dagu?" Rafael menyanggah sedikit.  Bukan dia tidak bersetuju tetapi was-was menguasai.  

Namun bila dia teringatkan akan betapa sombongnya Rafena pada dirinya membuatkan naluri kejantanannya tercabar. 

"Kau nak ke tak nak ni?" Osman seakan mengugut pula.  "Aku cuma nak bantu kau saja untuk dapatkan Rafena.  Kau jugak yang tergila-gila kan dia sangatkan sedangkan…" Sengaja sebenarnya Osman menambah bara api. 

Laju Rafael memanggung kepala.  Kata-kata tiada bernoktah dari Osman amat mencabar kredibilitinya.  Dengan telinga pula bagaikan terngiang-ngiang akan kata-kata cercaan orang sekeliling.  

"Baiklah aku bersetuju. Bila kita nak perginya?" Akhirnya Rafael menyetujui langsung menyoal lagi.  

"Hai. Tak sabar nampak."  Osman sempat lagi menyindir.  Tadi Rafael was-was sangat!

"Eh, mestilah."  

"Esok malam kan malam keliwon… so, aku ambil kau jam 10. Bomoh tu, selalu lakukan rawatannya selepas jam 12 tengah malam..."

"Apa yang perlu aku bawa, bro? Pengeras?" Laju Rafael menyoal. Nak-nak lagi bab pengerasnya.  

"Takpe, kita jumpa dahulu and tengok macamana…"  Osman pula menyambung.  Memang kebiasaannya begitu. 

"Kejap Man!  Bomoh ni pakai khadam ke? Saka?"  Rafael kembali diterpa rasa khuatir mengenangkan orang yang bakal dia ketemu itu bomoh! 

"Ish, kau ni!  Banyak soal pula. Kau nak ke tak nak, ni… aku tolong ?" Osman berasa annoy pula.  

"Okay. Okay. Aku nak…" Laju Rafael mengangguk.  

Dan persetujuan dari Rafael melebarkan lagi senyuman Osman yang penuh bermakna itu.

Perbincangan mereka tamat disitu sahaja memandangkan hari kian merangkak ke waktu senja. Beduk lantang kedengaran dari masjid berdekatan.

Burung-burung yang hinggap atas atap zink warung semua pakat terbang ke udara untuk pulang ke daerah masing-masing. Selimut senja nan merah melatari langit dan mentari semakin merudum ke bawah.

"Kamu berdua ni, tak ke nak ke surau? Dah maghrib ni. Tak elok berada dekat luar," tegur salah-seorang pak cik yang sudah pun membayar duit kopi.

Rafael merenung Osman. Osman menyengih lalu mereka berdua pun angkat punggung dari atas kerusi kayu panjang. Laju kedua-duanya melangkah keluar dari bawah bumbung warung.

"Buku lima lagi ke?" Sindir Pak Samat tauke warung. Rafael kelam-kabut berpaling semula wajahnya ke belakang dan menyengih seperti kerang busuk.

"Itu pun ada hati nak anak dara orang!" Tamat saja Pak Samat mengeluarkan kata-kata sedemikian Rafael laju memaling wajah dengan hati yang menggelegak. Pantang sekali dia di hina.

"Sabar bro. Tak lama saja lagi kau pasti akan dapat tayang kat pakcik-pakcik tu semua..." Jarum Osman menyucuk. Rafael tersenyum dan dia bagaikan sudah tidak sabar lagi mahu melihat Rafena tunduk pada kakinya.

Sekali kau dah melangkah… jangan kau berpaling lagi, boleh? Tak salahkan jika kita mahu mencuba. Setahu aku lah, memang menjadi…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience