BB - BAB 16

Drama Completed 309207

LEBIH kurang pukul 11 pagi, Mak Leha pulang semula ke rumah.  Tinggallah Qaireena yang menemani Qaisara.  Sebentar tadi dia mendapat panggilan daripada Taufiq bahawa lelaki itu tidak dapat datang pada waktu tengah hari disebabkan dia perlu menghadiri perjumpaan dengan rakan perniagaannya.  Telefon bimbit diambil dan Qaireena terus membuat pesanan makanan.

Hampir tiga puluh minit menunggu, Qaireena kemudian turun ke lobi hospital untuk mengambil pesanan makanan yang dibuatnya.

"Reen, kau ke yang buat pesanan ni?".  Soal Aqilah pada Qaireena apabila ternampak sahabatnya itu.

"Ya, aku yang buat.  Tak sangka pula kau rider yang dapat pesanan aku ni".  Jawab Qaireena dengan senyuman.

"Kau buat apa dekat sini?". Tanya Aqilah lagi sambil menghulurkan bungkusan makanan kepada Qaireena.

"Aku jaga adik aku yang tengah sakit Qila".  Ujar Qaireena jujur.

"Patutlah dah lama tak nampak kau.  Setiap kali aku pergi gerai tempat budak rider kita selalu lepak tu aku mesti melilau cari kau, tapi langsung tak pernah nampak kau".  Kata Aqilah.  Qaireena senyum memandang rakannya itu.

"Aku dah berhenti kerja sebagai penghantar makanan tu.  Aku kena fokus jaga adik aku".  Tutur Qaireena.

"Adik kau sakit apa Reen?".  Soal Aqilah lagi.

"Leukemia Qila, sekarang dia sedang jalani rawatan kemoterapi, memandangkan badan dia yang selalu lemah, jadi aku perlu temankan dia dekat sini".  Jawab Qaireena. 

"Aku doakan semoga adik kau cepat sembuh Reen.  In Shaa Allah bila aku free nanti aku datang melawat ya.  Sekarang ni waktu tengah hari, kau pun tahu kan waktu macam nilah kita akan dapat banyak pesanan".  Tangannya naik menyentuh bahu Qaireena.

"Aku faham Qila, terima kasih atas doa kau untuk adik aku.  Kau pergilah buat kerja kau dulu, hati-hati ride tu".  Ucap Qaireena dengan senyuman.

"Baiklah, aku pergi dulu ya.  Assalammualaikum". 

"Waalaikumsalam".  Balas Qaireena sambil melambaikan tangan kepada Aqilah.  Dia kemudian menapak ke lift untuk naik semula ke bilik Qaisara.

Sampai sahaja di atas, dilihatnya Qaisara sudah pun terjaga dari tidur.

"Kak Reen dari mana?".  Soal Qaisara.

"Dari lobi bawah untuk ambil pesanan makanan.  Hari ni Abang Taufiq tak dapat datang hantarkan makanan tengah hari, so Kak Reen buat pesanan je lah".  Jawab Qaireena dengan senyuman.

"Sara nak makan?".  Tanya Qaireena.

"Sara tak ada seleralah Kak Reen.  Sekejap lagilah baru Sara makan".  Jawab Qaisara.

"Kak Reen, Abang Taufiq tu baik kan?".  Qaireena yang sedang duduk di tepi katil dipandanganya.

"Entahlah Sara, Kak Reen pun tak tahu nak kata apa.  Sampai sekarang Kak reen masih tak tahu apa niat sebenar dia nak berkahwin dengan Kak Reen.  Nak Kata dia nak jadikan Kak Reen ni sebagai pemuas nafsu dia, tak juga.  Malah dia sendiri menolak bila Kak Reen dah menyerah diri.  Tapi bila tengok betapa dia mengambil berat tentang kita berdua, Kak Reen rasa dia cuma bersimpati pada nasib kita dan niatnya hanya untuk membantu kita". Kata Qaireena.

"Sara tahu yang Abang Taufiq tu suka dan sayangkan Kak Reen cuma dia takut nak mengaku".  Ujar Qaisara.

"Ish...apalah Sara mengarut ni.  Mustahillah orang macam Abang Taufiq tu akan suka pada Kak Reen yang masih mentah lagi ni.  Kalau setakat untuk dipermainkan dan dijadikan sebagai pemuas nafsu mungkin ya.  Biasalah orang-orang kaya kan kebanyakannya memang macam tu.  Bezanya Abang Taufiq memilih jalan yang halal, manakala kebanyakan orang kaya yang lain pula lebih suka mencari perempuan simpanan supaya mereka tidak terikat dan mereka boleh tinggalkan perempuan tu bila-bila masa je".  Qaireena cuba meluahkan apa yang bermain difikirannya kepada Qaisara.  Sudah menjadi kebiasaan mereka dua beradik selalu berkongsi cerita antara satu sama lain.

"Semalam Sara sendiri tanya pada Abang Taufiq, dan dia pun mengaku pada Sara".  Qaireena terdiam apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Qaisara.

"Mungkin dia cuma bergurau dengan Sara agaknya".  Kata Qaireena sambil memandang wajah Qaisara.

"Sara tak rasa Abang Taufiq bergurau.  Sebab Sara dapat tengok keikhlasan dia.  Kak Reen cuba perhatikan jelah apa yang dia dah buat pada kita selama dia menjadi suami Kak Reen, langsung tak nampak seperti seorang lelaki yang hanya mahu mengambil kesempatan.  Kalau betul pun dia hanya bersimpati pada nasib kita, dia boleh je membantu kita tanpa perlu berkahwin dengan Kak Reen".  Qaireena diam tanpa bicara.  Otaknya cuba menghadam setiap bait kata-kata Qaisara dan menghubungkan semua perkara yang telah dilakukan oleh Taufiq kepada mereka dua beradik.

"Sekurang-kurangnya hati Sara lega bila tengok ada orang yang sayang dan boleh menjaga Kak Reen.  Dapatlah Sara pergi dengan hati yang tenang seandainya Allah takdirkan ajal Sara sampai disini".  Sambung Qaisara lagi.

"Sara, Kak Reen tak sukalah dengar Sara kata macam tu.  Sara akan sembuh lah, tak lama lagi kita akan buat pemindahan tulang sum sum".  Qaisara tersenyum memandang wajah masam Qaireena apabila mendengar kata-katanya.

~~~

Malam itu Taufiq datang untuk melawat Qaisara sambil membawakan hidangan makan malam untuk dua beradik itu.  Petang tadi semasa dia mengubungi Qaireena, wanita itu memberitahunya bahawa Qaisara tiba-tiba pengsan dan doktor telahpun memasang alat bantuan pernafasan pada adik iparnya itu.

Ketika dia melangkah masuk ke dalam bilik Qaisara, dilihatnya Qaireena sedang tertunduk di tepi katil adiknya itu sambil tangannya menggenggam erat tangan Qaisara yang sedang tidur.  Perlahan dia menghampiri wanita itu dan menyentuh bahu Qaireena.

"Reen".  Tegur Taufiq lembut.  Qaireena mengangkat wajahnya dan menoleh ke arah Taufiq.  Airmata yang membasahi pipinya cepat-cepat di kesat dengan tapak tangan dan perlahan genggaman tangannya pada tangan Qaisara di lepaskan.

"Macam mana dengan keadaan Sara?". Soal Taufiq.

"Buat masa ni, doktor kata Sara kena bergantung dengan alat bantuan pernafasan, esok pagi doktor akan buat pemeriksaan menyeluruh sekali lagi".  Jawab Qaireena bersama airmata yang mengalir di pipinya.  Tangan Taufiq naik memegang bahu Qaireena dan dirapatkan ke tubuhnya sambil mengusap lembut bahu wanita itu.

"Awak jangan susah hati sangat, in shaa Allah semuanya akan okay.  Awak kena kuatkan semangat demi Sara".  Pujuk Taufiq lembut.  Hatinya sebak melihat Qaireena menangis.

"Reen takut kalau Sara pergi tinggalkan Reen".  Semakin deras airmata mengalir ke pipi bersama esakan tangisnya.

Bungkusan makanan yang dipegang, diletakkan di atas meja.  Taufiq kemudian kembali menghampiri Qaireena dan terus menarik wanita itu rapat ke tubuhnya. Wajah Qaireena kini berada di dadanya.  Perlahan belakang wanita itu diusap.

"Sebab tu awak kena banyakkan berdoa, meminta daripada Allah.  Hanya Allah yang berkuasa untuk menentukan segalanya.  Berdoalah semoga ada keajaiban dan Sara diberikan kesembuhan sepenuhnya oleh Allah.  Kita cumalah hamba-Nya, siapa kita untuk menolak segala ketentuan-Nya.  Tapi jangan pernah berputus asa dan menyerah kalah sebelum sampai ke garisan penamat".  Kata Taufiq pada Qaireena.  Lama Qaireena berada dalam dakapan Taufiq sehinggalah tangisannya reda.

"Saya ada bawakan makanan yang Mak Leha masak, awak makan ya?".  Tangan Taufiq naik ke pipi Qaireena untuk mengesat sisa airmata wanita itu apabila Qaireena mengangkat wajahnya dari dada Taufiq.  Perlahan Qaireena menganggukkan kepalanya.

"Sorry, sebab dah basahkan baju Abang dengan airmata".  Kata Qaireena apabila matanya melihat baju Taufiq yang basah.  Taufiq hanya mengukir senyuman sambil memandang wajah Qaireena.

••••••••••

Seperti hari-hari lain, awal pagi itu Taufiq turut menghantar sarapan pagi buat Qaireena dan Qaisara.  Ketika dia sampai, dilihatnya Qaisara dibawa oleh dua orang jururawat untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh.  Qaireena pula hanya diminta untuk menunggu di dalam bilik itu sehinggalah Qaisara dihantar semula.

"Abang tak masuk pejabat?". Soal Qaireena apabila dilihatnya Taufiq masih lagi berada di situ setelah menghantar bungkusan makanan padanya.

"Saya nak tunggu sehingga pemeriksaan Sara selesai.  Lagipun saya dah maklumkan pada PA saya yang saya lambat masuk ke pejabat hari ni". Jawab Taufiq sambil memandang Qaireena.

"Maaf sebab kami dah banyak menyusahkan Abang".  Ucap Qaireena.

"Saya tak pernah rasa awak dan Sara menyusahkan saya.  Malah kehadiran awak dan Sara dalam hidup saya telah menghalau kesunyian yang telah lama menjadi teman hidup saya".  Kata Taufiq sambil mengalihkan pandangannya dari wajah Qaireena.  Terkedu Qaireena apabila mendengar kata-kata yang baru sahaja keluar dari mulut lelaki itu.

"Awak sarapanlah sementara menunggu Sara dihantar masuk semula, tak baik biarkan perut kosong".  Ujar Taufiq.  Dia sengaja mahu memutuskan perbualan antara mereka, bimbang nanti dia berlebihan meluah rasa. 

Qaireena hanya diam dan menurut sahaja sambil membuka bekas makanan yang dibawa oleh Taufiq.  Di dalam otaknya kini hanya sarat memikirkan tentang keadaan Qaisara.  Mungkin belum masanya lagi dia berbincang soal hati dengan lelaki itu.

Hampir empat puluh minit mereka menunggu barulah Qaisara di hantar semula oleh dua orang jururawat yang membawanya tadi.  Qaisara mengukir senyuman apabila dia terpandang Taufiq dan Qaireena.

"Cik Qaireena, doktor Luqman nak berjumpa dengan cik".  Kata salah seorang daripada jururawat itu sebelum mereka berlalu keluar. Qaireena senyum dan menganggukkan kepalanya.

Dia kemudian menoleh semula ke arah Qaisara dan membalas senyuman adiknya itu.  Sedaya upaya dia menahan airmatanya daripada mengalir ke pipi.  Sungguh hatinya sedih melihat keadaan Qaisara yang masih lagi bergantung dengan mesin bantuan pernafasan semenjak dari semalam.

"Sara, Kak Reen nak jumpa doktor Luqman sekejap, nanti Kak Reen datang semula dan temankan Sara ya". Ujar Qaireena sambil mengusap lembut tangan adiknya itu.  Qaisara hanya menganggukkan kepalanya. 

Qaireena kemudian melangkah keluar dari bilik itu, Taufiq yang melihat terus mengekori langkah wanita itu dari belakang. 

Sampai sahaja di depan bilik doktor Luqman, langkah Qaireena mati.  Airmatanya mula mengalir ke pipi.  Sungguh dia sangat takut untuk mendengar hasil pemeriksaan menyeluruh Qaisara setelah dia melihat keadaan adiknya itu semenjak dari semalam.

"Reen".  Panggil Taufiq sambil melangkah menghampiri wanita itu. Qaireena yang mendengar namanya dipanggil terus menoleh ke arah Taufiq.

"Saya temankan awak masuk".  Ujar Taufiq. Dia tidak mahu membiarkan Qaireena mendengar penjelasan yang bakal diberikan oleh doktor Luqman tentang Qaisara itu seorang diri.  Perlahan Qaireena menganggukkan kepala sebelum tangannya naik mengetuk pintu bilik tersebut.

"Silakan duduk Cik Qaireena dan....". Pandangan doktor Luqman beralih ke arah Taufiq.

"Saya Taufiq, ahli keluarga Cik Qaireena dan Qaisara".  Jawab Taufiq sambil mengukir senyuman kepada doktor Luqman.

"Cik Qaireena, pertama sekali saya ingin meminta maaf kerana apa yang bakal saya sampaikan ini adalah sesuatu yang akan mengecewakan cik.  Saya harap cik Qaireena tabah untuk menghadapinya".  Kata doktor Luqman.  Mendengar sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut doktor itu, airmata Qaireena semakin deras mengalir ke pipinya.

"Seperti yang telah saya terangkan kepada cik Qaireena sebelum ini, salah satu kesan sampingan yang mungkin akan dihadapi oleh Qaisara semasa menjalankan rawatan kemoterapi  adalah risiko jangkitan kuman.  Hal ini adalah disebabkan oleh penurunan daya tahan badan pesakit untuk melawan penyakit dan juga kekurangan sum sum tulang.  Dan untuk pengetahuan cik Qaireena, itulah sebenarnya yang telah berlaku kepada Qaisara ketika ini.  Selain itu, Qaisara juga turut mengalami masalah kepada jantung serta gangguan fungsi kepada buah pinggang dan hati beliau".  Terang doktor Luqman. 

Taufiq menoleh ke sisi, dilihatnya bahu Qaireena sudah pun terhinjut-hinjut menahan tangisannya saat mendengar penerangan daripada doktor Luqman itu.  Perlahan tangannya mencapai tangan Qaireena dan digenggam erat bagi menyalurkan sedikit kekuatan kepada wanita itu.

"Apa yang boleh saya katakan di sini adalah, keadaan Qaisara pada waktu ini adalah tidak stabil memandangkan organ-organ utama dalam tubuh badan beliau juga telah mengalami gangguan fungsi.  Disebabkan itu, saya telah memutuskan untuk menghentikan rawatan kemoterapi terhadap Qaisara pada waktu ini dan saya akan memantau keadaan beliau dari masa ke semasa".  Tambah doktor Luqman lagi. 

"Berapa lama lagi Sara boleh bertahan doktor?".  Soal Qaireena bersama esakan tangisnya.

"Saya sendiri tidak pasti cik Qaireena.  Semuanya bergantung kepada daya tahan badan Qaisara sendiri dan juga semangat beliau ketika ini.  Apa yang boleh saya nasihatkan banyakkan lah berdoa dan memohon bantuan daripada yang maha esa, semoga ada keajaiban yang berlaku".  Jawab doktor Luqman.  Perlahan Qaireena menganggukkan kepala diiringi dengan airmata yang tidak henti-henti membasahi pipinya.

Lemah kaki Qaireena melangkah keluar dari bilik doktor Luqman. Perlahan dia menapak menuju ke bilik Qaisara, namun sampai sahaja di depan pintu bilik adiknya itu, Qaireena tidak mampu untuk melangkah masuk.  Dia terus terduduk di depan pintu bilik Qaisara bersama tangisannya yang semakin berlagu.  Taufiq yang melihat terus memegang kedua-dua bahu Qaireena dan membantu wanita itu berdiri.  Dia memeluk tubuh kecil Qaireena dan dibawa jauh sedikit dari pintu bilik Qaisara.  Taufiq tidak mahu, tangisan Qaireena itu didengari oleh Qaisara.

"Reen, awak kena kuat, awak tak boleh tunjukkan kesedihan awak di depan Qaisara kerana itu akan membuatkan semangatnya menjadi lemah".  Kata Taufiq.  Perlahan belakang Qaisara diusap untuk menenangkan wanita itu.

"Reen tak sanggup nak hadapi yang Reen bakal kehilangan Sara.  Kenapa satu persatu orang yang Reen sayang pergi meninggalkan Reen?".  Dia mula meraung di dalam pelukan Taufiq. 

"Bawa mengucap Reen, jangan mempersoalkan takdir Allah.  Semua yang berlaku adalah atas kehendak-Nya".  Ujar Taufiq.  Airmatanya cuba di tahan agar tidak tumpah membasahi pipi apabila melihat Qaireena berada dalam keadaan begitu.

"Reen dah tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni melainkan Sara.  Macam mana Reen nak lalui hari-hari mendatang tanpa ada Sara menemani Reen.  Selama ni, Sara lah yang menjadi penguat semangat Reen untuk terus hidup setelah ayah dan ibu satu persatu pergi meninggalkan kami".  Kata Qaireena lagi bersama esakan tangis.

Sungguh, Taufiq sudah tidak tahu bagaimana mahu memujuk Qaireena lagi.  Dia tahu kesedihan yang sedang di alami oleh wanita itu, namun dia tidak mempunyai kuasa untuk mengubah takdir Allah itu. Akhirnya dia hanya membiarkan sahaja Qaireena terus melepaskan tangisan di dadanya.

sorry korang sebab lambat update.. thank you pada yg masih setia menanti update BB.. sorry kalau Jue lmbt reply comment2 korang tapi in shaa Allah Jue akan cuba reply satu persatu .. Jumpa di bulan February pula ye :-) info tentang kesihatan smua Jue buat carian daripada Google maaf kalau ada kesilapan ye...hehe

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience