BAB 1

Drama Series 7731

BERKUMAT-KAMIT mulut.  Segala mantera Siam kuno kedengaran sayup-sayup. Kiri dan kanan hulubalang berseragam besi dengan pakaian sebelah dalamnya warna merah tegak berdiri.  Mendongak memandang depan dengan lembing ditangan.

Cermin berkerawang dalam pegangan sepasang tangan burung phoenix mulai bercahaya dan memaparkan gambaran keadaan di pelbagai lokasi. Namun tatkala gambaran itu memaparkan wajah seseorang, wanita jelita bermahkota itu membaca mantera untuk menghentikan putaran gambaran.  

"Masih dia lagi? Argh!!!" Pekiknya keberangan apatah lagi bisikan di telinganya juga mengatakan perkara yang sama.  Memusingkan tubuh dengan hujung pakaian rajanya yang menyapu lantai juga turut sama terpusing kembali.  Menghenyakkan punggung atas kerusi singgahsana dan tongkat berhujungkan kepala cenderawasih dipegang erat.

"Pengawal!"  Pekik Ratu Ratana berwajah tegang. 

"Ya, Tuanku…"  Laju pengawal berpakaian Siam kuno di baris hadapan datang menghadap. Duduk bertakuk lutut atas lantai dengan kaki sebelah kanan menegak.  Dia menunduk selagi tidak diarah untuk mendongak.

"Panggilkan nenek kebayan!" Arahnya dengan suara amat tegas. Ternaik-naik keningnya kala wajah yang amat dia benci itu masih terpapar di ruangan mata. 

"Baik Tuanku, menjunjung perintah…" Sahutnya bangun dalam keadaan menunduk.  Mengundur dalam menuruni altar. Ratu  Ratana menegakkan  tapak tangannya lalu muncul satu cahaya ungu. Dalam cahaya itu, ada wajah seseorang yang seringkali dia intai dari jauh. 

"Argh! Tak guna.  Aku takkan menang selagi kau aku tak hapuskan, Saryleyla!!!" Dia memekik dan menghentak tongkat ke lantai istana. Ada suara bergemaan dari bawah lantai istana seakan menyahut hentakan tersebut.

"Ratu…" Nenek kebayan muncul dari sudut kegelapan.  Jalannya terbongkok di temani tongkat hikmatnya. 

"Bertenang Ratu… nenek boleh bantumu…" Ujar si nenek bersuara bergetaran.  Ratu Ratana tersenyum penuh makna.  Mendongak pada cermin saktinya membuatkan hatinya menjadi semakin sakit.

"Hah!"  Tangan diangkat dan gambaran pada cermin menghilang.  

"Kau juga diam.  Berapa kali kau mahu bersuara pada aku. Aku akan pastikan dia akan musnah!" Bentak Ratu Ratana pada bisikan tersebut.  Langsung dia pejamkan matanya dan kembali berkumat-kamit. 

Si nenek kebayan turut ghaib. Hulubalang pula saling berpandangan pada perkara-perkara di hadapan.   

"HAMBA sudah berkali-kali pesan pada kau bang Tuah.  Jangan sesekali percaya pada ular. Tapi kau tetap berdegil! Sekarang apa sudah jadi?" Bentak Jebat. 

"Sudahlah tu.  Kita bertekak pun tiada gunanya bang Tuah, bang Jebat. Hamba rasa kita harus cari jalan bagaimana nak menyembunyikan…" Sahut Qasturi. Tuah mendongak dan merenungnya tajam. Qasturi terdiam. Jebat sudah tahu akan jawapannya. 

"Apa? Lari? Kau suruh hamba lari?" Tuah mengangkat tapak tangan.  "Tidak sesekali hamba berbuat demikian.  Setiap perintah sultan merupakan undang-undang yang perlu kita patuhi…" 

"Sudahlah tu Qasturi.  Hamba kan sudah berkata. Tiada gunanya kita berbahasa pada bang Tuah. Tapi bang Tuah, walau apa pun hamba berempat tetap tidak berpuas hati pada arahan baginda sultan!" 

"Jadi benarlah apa yang pengawal aku beritahu pada aku? Kau akan?"  Celah satu suara namun dia tidak sampai hati mahu menyambung ayat di belakang pernyataan dia itu. 

"Kau rupanya Panglima," sahut Jebat pada Panglima angkatan tentera kapal di raja dari tanah sutera itu. Panglima Zheng He berjalan mendekati mereka berlima dan bersalaman. 

"Benar, Zheng. Aku tidak menjadi masalah kerana ia memang atas kesalahan aku… " Tuah berkata dengan nada akur.

"Bukan Wijaya? Tuah, Tuah kau ingat hamba tidak tahu kisah di istana? Lupakah pada Li po?" Soal laksamana berjubah sutera lambang naga emas itu seraya menepuk bahu Tuah.

"Sebab itulah hamba berkata jangan bermain dengan ular. Tapi…" Sahut Jebat. Qasturi, Lekir dan Lekiu diam membisu. Tidak mahu menambah beban di pundak si abang sulung mereka. Sudahlah permintaan baginda sultan pun berat tanpa sedikit pun mahu menyedari betapa banyaknya jasa-jasa Tuah pada kerajaan. 

"Jebat, jaga perkataan mu itu!" Tuah melarang. Tajam pandangan matanya pada anak murid seperguruannya itu.

"Salah ke kata-kata hamba? Bang Tuah yang..." Jebat memberontak. Panas hatinya. Nasiblah Qasturi mencelah untuk menyejukkan hatinya. Sungguh dia tidak mengerti kenapa Tuah terlalu taat setia pada baginda sultan sedangkan dirinya diperkotak-katikkan!

"Kau ikut saja aku, Tuah… kau pun tahukan aku juga terbuang setelah Maharaja mengetahui kisah aku dengan Li po. Aku akan bawa kau ke satu tempat ini…" 

"Ke mana abang Zheng?" Lekir bertanya.  Panglima Zheng He tersenyum. Jebat sedang menimbang kata-kata itu. Dari Tuah dihukum pancung kerana hasutan si ular Wijaya lebih baik lari saja dari kota ini. 

"Tapi hamba…" Sahut Tuah dihurungi rasa serba-salah. 

"Apa lagi bang Tuah? Kami semua setuju bang Tuah keluar dari kota ini. Tiada guna ikut kata sultan lagi. Sultan berkuku besi!" Bentak Jebat mengenggam buku limanya. 

"Ya, bang Tuah.  Lari dari sini bang Tuah…" Sahut tiga lagi pendekar terbilang kota berdaulat mendepani Selat Melaka itu. 

Istana Durga,

"HAHAHA! Sudah aku katakan.  Ilmu aku pasti menjadi…" Ujar si nenek kebayan sebelum menjelma menjadi ratu tanah Qalha. Ratu Ratana memanjat tangga altar langsung duduk di kerusi singgah sana. 

Kemudian mata galaknya menancap tajam cermin sakti berkerawang indah tanpa sebarang cahaya itu. Berkumat-kamit mulutnya menyeru siapakah yang terindah di dalam tanah itu.  

Seperti biasa wajah itu yang terpapar diiringi suara ghaib berbisik di telinga.  Ratu Ratana memekik berang sambil tongkat diangkat separas dada diacukan di hadapannya. Keluar sebaris cahaya merah biru lalu menghancurkan patung-patung dewa yang tersusun di tepi dinding.

"Tak guna! Aku dapat mempergunakan, memperbodohkan orang… tapi pada diri aku sendiri? Aku gagal!" Memekik dia seorang diri dengan permukaan jernih cermin sakti memaparkan wajah ayu serta jelita seorang gadis berdarah putih. 

"Argh!!!"  Ratu Ratana menjerit benci pada cermin sakti  dalam pegangan tangan kaku burung phoenix.  Tapak tangan berisi api, dia lemparkan pada cermin tersebut. Api menjulang tinggi namun Ratu Ratana tiada rasa takut. 

"Mana kau pergi, hah? Selagi kau tak mampus, kau tetap yang terindah dalam kota ini bukannya aku.  Kau fikir kau lari begitu, kau akan selamat dari buruan aku?" 

"Tidak Saryleyla.  Tidak! Kalau apa yang aku hajati tidak tercapai usah panggil namaku Ratana!" 

Dalam hutan,

"Maafkan aku, Somchai…" Dia sudah nampak akan laluan lawang berbentuk bulatan bercahaya itu tanpa mahu berpaling pada lasykar bergajah dia langsung berlari dan melompat ke dalamnya. Sekejap itu jugalah laluan bercahaya itu,  mengecil lalu sirna di tiup bayu tanah Qalha. 

"Mana dia?" Soal sang ketua bertopeng besi pada rakan bergajah di sebelah.  Kesemua mereka meliarkan pandangan ke setiap semak serta pokok-pokok. Suara mergasatwa bagaikan memberi semboyan pada kumpulan.

"Aku nampak tadi dia di sini. Betul!"  Sahut si rakan juga meliarkan matanya. Pandangan dia tidak silap tetapi ke mana pulanya pergi gadis itu?

"Kalau benar ada. Jadi di manakah dia? Kau fikir Ratu akan lepaskan kita kali ini kalau gagal?" Desak si ketua melompat turun dari belakang badan gajah. Di turuti yang lain mereka bersama-sama melakukan pemeriksaan.

"Takkan dia sebegitu pantas sekali berlari?" Soal Pom membebel seorang diri dengan tertunduk-tunduk bawah untuk melihat jejak Saryleyla.

"Mati aku, kalau gagal lagi!" Omel si ketua kumpulan pula dengan mencantas-cantas semak.

"Poon, aku jumpa selendang dia! Bermakna dia memang ada dekat-dekat sini!" Pekik Pom berlari ke arah si ketua dengan selendang yang seringkali membaluti leher Saryleyla berada dalam genggaman. Poon mengambil kain jarang tersebut lalu dihidu.

"Memang harum tubuh gadis itu..." Puji Poon juga ada hati pada Saryleyla.

"Kan? Sebab itulah ratu kita yang dah tua tu bencikan dia. Rasa terancam pada kejelitaan Saryleyla sehingga nak meracuni gadis itu. Nasiblah mangga itu dimakan oleh beruk pencuri... jika tidak... mati gadis pujaan hati aku itu..." Sahut Pom tanpa menyedari perubahan pada wajah Poon.

"Sudah tu! Jangan nak berangan. Mana dia Saryleyla kita itu?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience