“ Saya nak tanya awak sesuatu.” Reza yang sedang mengadap laptopnya mengangkat kepala.
“ Sarah nak tanya apa?” Sarah Inani menghulur MP3 hitam itu kepada Reza.
“ Saya tak faham motif awak bagi saya MP3 ni.” Gumam Sarah Inani perlahan.
“ Tapi lagu-lagu dalam MP3 ni seronok kan?” Tiada jawapan dari Sarah Inani.
“ Terutama lagu yang ini.” Reza menunjukkan klip lagu dari dalam laptopnya. Mata Sarah Inani tidak berkelip memandang skrin laptop.
“ Abang suka lagu ni. Walau abang tak faham lagu dia, tapi makna boleh dicari. Dan lagu ni abang rasa sesuai kut dengan Sarah. Tambah-tambah penyanyi dia kacak-kacak belaka.” Tutur Reza sambil ketawa kecil.
“ Saya tahu awak suka sangat dengan lagu ni. Kalau tak, tak kan awak boleh main lagu ni sendiri dengan biola tu.”
“ Biola tu hadiah pertama dan terakhir dari ibu abang. Dan abang cuma main lagu-lagu yang abang suka saja dengan biola tu.” Sarah Inani terbungkam. Biarpun Reza kelihatan seperti orang yang tidak sembereno, tapi ternyata dia tersilap dalam menilai. Sebab itu orang tua-tua selalu cakap, jangan menilai buku melalui kulitnya saja.
Melihat cara Reza berpakaian, dengan seluar jeans lusuh yang koyak di hujung bagai tidak berbasuh sebulan, t-shirt yang terlukis tulisan-tulisan yang merepek, menaiki motorsikal RXZ bagai mat rempit yang tidak punya pegangan hidup, merapu dengan kata-kata seperti orang tidak cukup akal, sesiapa pun tidak menyangka peribadi Reza yang sebenarnya berbeda dari yang terpamer.
Siapa sangka manusia yang kelihatan seperti budak sememeh rupa-rupanya bakal bergelar doktor 2 tahun akan datang. Siapa sangka manusia yang suka merepek dengan gurauan yang merapu-rapu sebenarnya bukan sekadar tin kosong. Kata-katanya sentiasa bersulam dengan nasihat sering kali membuatkan orang sekelilingnya berfikir panjang. Siapa sangka manusia yang kelihatan seperti rockers jalanan rupa-rupanya mempunyai peribadi yang lembut, menyukai hasil-hasil seni origami. Tambah mengejutkan lagi, dia langsung tidak menyangka orang seperti Reza menyukai dancing boygroup dari Korea, Dong Bang Shin Ki yang selama ini hanya digilai orang golongan perempuan sepengetahuannya. Memang menggelikan hatinya apabila melihat Reza bersungguh-sungguh menceritakan kumpulan kegemarannya.
* * *
Dia memandang laut dengan tangan yang masih ligat melipat kertas memo itu. Sesekali matanya memandang balang kaca yang sudah separuh penuh dengan burung jenjang berwarna biru dan ungu hasil tangannya sendiri.
“ Jauh adik abang termenung. Ingat pakwe ke?” Sarah Inani menjeling tajam. Reza ketawa besar.
“ Kan abang dah kata, jangan jeling orang, nanti orang yang dijeling tu la yang dirindu.” Reza tersengih apabila Sarah Inani memandangnya tanpa berkelip.
“ Bukan rindu, tapi dah jatuh sayang.” Terus sengihan Reza termati. Dia memandang Sarah Inani tanpa berkelip bagai meminta penjelasan. Sarah Inani tersenyum. Masing-masing berbalas senyuman.
“ Terima kasih.” Reza tersenyum sambil mengerut dahi.
“ Terima kasih abang.” Kali ini kepala Reza bagai dilipat 180 darjah. Sarah Inani ketawa kecil.
“ Terima kasih sebab balik Penang tiap-tiap minggu untuk ajar Iqqy main lagu tu untuk Sarah.” Reza masih terpinga-pinga terkebil-kebil memandang Sarah Inani.
“ Dan terima kasih sebab membuka mata Sarah yang selama ni sengaja di tutupkan.” Sarah Inani memandang Reza yang turut memandangnya sebelum kedua-duanya tersengih.
“ Sarah nak buat apa lipat burung ni banyak-banyak?” Sarah Inani hanya menjongket bahu. Seronok benar dia mengusik Reza.
“ Sarah...”
“ Hm...” Sarah Inani tidak mengalihkan pandangannya pada lipatan kertas ditangannya.
“ Bahagiakah?” Sarah Inani tersenyum. Tiada jawapan, biarpun hatinya berbunga. Siapa sangka hati yang tertutup kini terbuka. Rasa benci yang sengaja disemai nampak gayanya gagal. Siapa sangka orang yang kelihatannya seperti endah tak endah penuh dengan kejutan. Dengan sikap yang prihatin dan lembut. Belum lagi dikira dengan minat yang tidak disangka-sangka. Ingat ini cerita drama Korea ke bila mat rempit boleh ajar aku cara lipat origami dengan main biola lagu meleleh dari kumpulan dance boygroup DBSK yang selama ini hanya diminati oleh gadis-gadis sahaja. Atau mungkin majoritinya lah kan?
Sarah Inani mengeluh perlahan. Peliknya rasa bila kasih terbagi pada orang yang macam ni. Ya, kini dia akui, membuka hatinya menerima kehadiran seorang abang yang prihatin dan bertanggungjawap walaupun kadang-kadang bersikap sengal seperti kanak-kanak riang. Kasih yang terbagi ini pasti memberi kebahagiaan yang diimpikan olehnya selama ini.
Share this novel