"Fahmi tu asyik sibuk aje dengan kerja. Telefon mak pun dah jarang-jarang sangat. Entah-entah dah ada buah hati, tu yang tak ingat kat mak dah. Tapi bagus jugaklah, umur dia pun dah elok sangat kahwin. Harapnya dapat yang eloklah, cepat mak dapat cucu!" Sorak Mak Cah seronok tanpa sebab. Suria tersentak tetapi menahan hati.
"Allah, biarlah dia. Kalau ada calon atau jodoh, dia bawaklah datang jumpa kita. Haa, boleh merisik terus siasat keluarga dia berapa orang. Tak habis-habis," tepis Pak Dali. Seakan tahu arah tuju bicara isterinya.
" Eh, mestilah. Takkan nak terima buta tuli aje? Kenalah kenal asal usul keluarga dia, biar setaraf sekufu. Layak antara satu sama lain.." jawab Mak Cah lantang. Sesekali dia melirik mata pada Suria.
"Mak, ayah.. Su masuk bilik dulu, nak mandi. Busuk ni tadi tolong Ustazah Salina kemas sebelum balik tadi." Enggan berlama lagi, Suria segera pamit mengundurkan diri. Tahu hatinya tidak kuat mendengar celoteh mertuanya yang senakin meleret. Pak Dali sekadar mengiyakan, Mak Cah diam tanpa reaksi. Fahrin? Ah, biarlah dia.
Airmata Suria bergenang di kelopak mata namun sedaya upaya ditahan dari mengalir membasahi pipi. Enggan memperlihatkan dirinya yang sedang lemah dihina dalam diam.
Dia harus kuat. Perjalanan hidupnya masih jauh dan panjang. Rezekinya masih belum ada. Allah Maha Adil, insyaallah ada sinar untuknya kelak. Dia cuma harus tabah menghadapi ujian ini. Suria memujuk hatinya sendiri.
Dan malam itu juga seperti malam-malam sebelumnya. Fahrin tidur di sisinya tanpa banyak bicara. Lelaki itu mudah dibuai mimpi sedangkan dia masih lagi terkebil-kebil mengenangkan nasib dan perjalanan hidup kesehariannya.
Apakah esok ada perubahan dalam kisahnya yang datar setiap hari?
Fahrin mencapai raket yang di hulurkan padanya. Peluh merenik lalu membasahi dahi serta pelipisnya laju mencurah turun. Bajunya juga sudah lencun basah dengan peluh.
Sebiji botol air turut dihulurkan padanya selepas itu. Fahrin mengambil tanpa banyak bicara lalu terus meneguk isinya rakus hingga separuh. Puas. Lega.
"Aku ingatkan Suria ikut tadi, tu yang kau ajak bini aku sekali. Kenapa kau tak ajak Suria sekali? Boleh sparring dengan bini aku. Lama jugak aku tak jumpa bini kau?" Ulas Rashid. Rakan sekerja Fahrin, juga rakan sejak dibangku sekolah.
Fahrin cuma diam namun kedengaran sedikit mendengus. Air di mulutnya belum ditelan habis. Mendengar kata-kata Rashid itu membuatkan tekaknya agak perit untuk menelan. Peluh didahi dilap kasar dengan tuala kecil.
"Buat apa nak bawak dia. Kat rumah tu ada Farina dengan mak aku, biarlah dorang menyembang. Kau pun satu, bawak bini kau kenapa? Tengok dah bosan dah dia tu." Juih Fahrin ke arah isteri Rashid yang sedang leka membelek telefon pintar. Rashid ketawa.
"Hei, bini pun kena ada time-out la! Bukan kita je! Lagipun Suria tak kerja, kan? Mesti dia bosan duduk rumah je tak pergi mana. Bukan dulu kau suka jugak bawak dia jalan-jalan, kan? Sekarang ni asyik kurung bini kat rumah aje. Takut bini kau kena ngorat lagi macam dulu ke apa?" tempelak Rashid sekaligus mengusik Fahrin. Kata-katanya itu diselangi ketawa kecil sambil mengibas bajunya yang basah.
"Sibuk kerjalah, mana ada masa." Tepis Fahrin dingin.
"Kau tu yang tak luangkan masa. Ni boleh pulak minta cuti? Sebab mak kau suruh?" Perli Rashid lagi. Dia seperti tidak mahu berhenti menempelak Fahrin. Seperti sengaja mahu menyimbah minyak ke api yang sedang marak membara.
"Alaa, dah mak aku nak buat family gathering. Kenalah minta cuti. Kau pun tau kalau mak aku membebel macam mana? Apalah.." jawapan acuh tak acuh Fahrin itu membuatkan Rashid tergelak besar. Isterinya yang duduk tidak jauh dari meraka turut berpaling mengalih perhatian pada mereka berdua.
"Oo, sebab Suria tak kuat bebel macam mak kau jadi kau pun buat 'dunno' jelah kat bini sendiri? Macam tu? Kelakar la kau ni, Rin!" Sekali lagi Rashid menempelak Fahrin. Kepalanya digeleng tanda tidak puas hati dengan alasan yang diberikan Fahrin. Alasan yang dia rasakan amat remeh.
Dia telah lama mengenali rakannya itu serta Suria. Dia pada awalnya juga ada menaruh hati pada isteri sahabatnya itu ketika bujang dahulu namun dia tidak seberani Fahrin yang terang-terangan merai perhatian gadis itu pada ketika itu.
Dan dia sebenarnya tidak menyangka juga yang Suria sudi menyahut seruan hati Fahrin. Tidak lama setelah mereka mengikat tali pekenalan, Fahrin membuka langkah lebih jauh dan berani dengan meminang Suria menjadi isteri.
Rashid masih ingat lagi betapa angaunya Fahrin pada Suria kerana pada ketika itu Suria boleh dikatakan 'hot stuff' juga di pusat pengajian mereka. Apabila ditanya, takut disambar orang kata Fahrin. Dan semestinya Fahrin sangat bertuah dapat memiliki Suria yang lengkap budi pekerti seorang wanita dan juga sebagai seorang isteri kepada Fahrin Radali.
Kini setelah 5 tahun berlalu, dengan jelas tanpa selindung. Rashid dapat melihat ketaranya semangat membara cinta Fahrin yang dahulu sudah semakin malap menanti padam. Dia yang juga sudahpun mendirikan rumahtangga sejak tiga tahun lalu telahpunh dikurniakan seorang anak perempuan berusia dua tahun. Penyeri hidup dia dan isterinya.
Share this novel