Langit gelap malam itu menyembunyikan seribu rahsia, namun tidak mampu menutup tekad hati mereka yang mengejar kebenaran.
Faiq berdiri di depan pagar sekolah bersama Uwaisy, Khairul Anam dan Fazli. Malam itu mereka tidak datang sebagai pelajar biasa, tapi sebagai pencari kebenaran. Pak Tam sudah bersedia di luar pagar dengan kereta hitamnya, enjin masih hidup — bersedia kalau sesuatu yang tidak dijangka berlaku.
"Fazli, kau pasti rakaman CCTV tu masih belum dipadamkan?" soal Khairul Anam sambil menjenguk ke kiri dan kanan.
"Aku semak tadi petang. Sistem CCTV bawah kendalian pengawas perpustakaan masih simpan rakaman hingga dua minggu lalu. Dan insiden tu baru minggu lepas. Cuma kena cepat, nanti sistem auto-padam," balas Fazli.
Dengan cekap, Fazli membuka pintu kecil belakang perpustakaan yang hanya dia dan guru penyelaras tahu kuncinya. Mereka melangkah masuk dalam diam.
Di hadapan skrin komputer pengawas, Fazli membuka semula rakaman hari Isnin minggu lalu — tarikh keramat yang menyaksikan fitnah itu tersebar. Mata mereka tertumpu pada satu waktu: 10:21 pagi.
Paparan skrin menunjukkan dengan jelas — Idzlan memakai hoodie hitam, menyelinap keluar ikut pintu pagar kecil belakang blok C. Tidak lama selepas itu, paparan skrin telefon Uwaisy pula menunjukkan waktu yang sama, fitnah ke atas Faiq disebarkan melalui satu akaun palsu yang mereka syaki milik Dragon atau orang suruhannya.
"Ini dia," ujar Fazli sambil salin rakaman ke dalam pendrive.
"Kita dah ada bukti Idzlan keluar pada waktu fitnah tu berlaku," kata Faiq, dadanya mula rasa lega sedikit, "tapi kita belum cukup lagi. Kita kena kaitkan terus dengan Dragon."
"Aku dah dapat info dari Pak Tam," Uwaisy mencelah, "Dragon sekarang sembunyi di kawasan stor belakang kedai PACITOS yang lama. Pak Tam dengar mereka nak padam semua bukti minggu ni."
"Kita kena dapatkan telefon Dragon," sambung Khairul. "Kalau dalam tu ada mesej atau gambar yang kaitkan Idzlan... habis dia."
Malam itu juga, Amir Furqan menghantar satu mesej kepada Faiq:
"Fail lama pasal ayah dan mak Idzlan aku dah jumpa. Benda ni besar, Faiq. Tapi kau kena bersedia — bila kebenaran terbongkar, bukan semua akan percaya. Ada yang akan marah. Tapi kebenaran tetap kena dinyatakan."
Faiq hanya membalas dengan satu ayat pendek:
"Aku dah bersedia."
Keesokan harinya, Khairul Anam menyerahkan pendrive rakaman CCTV itu kepada Ustaz Naufal yang dipercayai oleh mereka. Ustaz Naufal terkejut, namun tenang.
"Ini satu langkah besar, Faiq. Tapi saya akan pastikan bukti ini diserahkan kepada pengetua dan guru disiplin dengan cara paling berhikmah."
Dan pada masa yang sama, Pak Tam menghantar satu mesej penting dalam kumpulan RIM:
"Dragon dah mula panik. Esok malam dia nak pindahkan semua data dari telefon dia ke laptop dan buang semua simpanan lama. Kita kena serbu sebelum tu."
Malam itu akan jadi penentu. Satu operasi sulit oleh ahli RIM yang sudah lama tertidur, kini diaktifkan semula. Dan Faiq, yang dulunya hanya mangsa — kini sedang bangkit menjadi penyambung perjuangan.
Petang itu, Faiq berdiri di hadapan cermin. Wajahnya tampak lebih matang daripada sebulan lalu. Luka dihina, fitnah, dan penggantungan sekolah telah mengubah dirinya menjadi lebih tabah. Namun malam ini, dia akan mengorak langkah paling besar — menyerang dari sisi kebenaran.
Lokasi: Stor lama PACITOS, jam 11:57 malam
Angin malam berhembus dingin. Bunyi anjing menyalak dari kejauhan menambah suram suasana. Di dalam kereta, Pak Tam memberi arahan ringkas kepada Faiq, Amir Furqan, Khairul, Uwaisy dan Fazli.
"Dragon ada dalam stor tu. Seorang diri. Dia tengah transfer semua data ke dalam laptop dia. Telefon dia masih aktif. Kalau dapat, kita terus bawa keluar, aku akan backup semua dalam masa lima minit."
Amir Furqan mengangguk. "Aku ikut masuk. Faiq, kau ikut belakang. Uwaisy dan Khairul standby di luar pintu belakang. Fazli, kau dengan Pak Tam di kereta, ready untuk cabut kalau apa-apa jadi."
Dengan langkah penuh waspada, mereka menyelinap masuk. Bunyi kipas stor berdengung perlahan. Dari celahan dinding kayu yang reput, cahaya dari skrin laptop kelihatan. Dragon sedang leka. Sesekali dia ketawa kecil, membaca mesej di telefonnya.
"Budak tu memang bodoh... sanggup aku korbankan Idzlan pun kalau nama aku selamat."
Saat itu, Faiq menahan marah. Tapi Amir Furqan memegang bahunya.
"Tenang. Kita bukan datang nak gaduh. Kita datang nak dapatkan kebenaran."
Dalam satu detik pantas, Amir Furqan membuka pintu stor dan menyergah.
"Berhenti, Dragon!"
Dragon terkejut, cuba mencapai telefon, namun Uwaisy yang sudah bersedia dari pintu belakang meluru dan merampasnya.
Khairul dengan pantas cabut bateri laptop. "Backup data sekarang!"
Pak Tam masuk dan ambil alih. Dia membuka satu alat kecil dan sambungkan ke telefon Dragon.
"Satu minit cukup," katanya tenang. "Simpanannya... ya. Ada mesej, rakaman suara, transaksi duit. Semua link dengan Idzlan."
Dragon cuba melawan, tapi sudah terlambat. Bukti sudah di tangan mereka.
Keesokan paginya: Pejabat Pengetua
Cikgu Zakiah, Cikgu Siti Hawa dan Ustaz Naufal berada di dalam bersama pengetua. Bukti dipersembahkan satu persatu. Rakaman CCTV, rakaman mesej Dragon, data transaksi — semuanya mendedahkan nama Muhammad Idzlan bin Zaharuddin sebagai dalang utama yang memfitnah Faiq.
Pengetua menarik nafas panjang.
"Terima kasih, Ustaz. Cikgu-cikgu sekalian... kita dah buat satu kesilapan besar."
Di Rumah Faiq
Mak dan Abi Faiq menangis apabila mengetahui kebenaran. Abi hanya mampu peluk Faiq, lama.
"Maafkan Abi, Faiq. Abi silap... Abi terlampau ikut emosi."
Faiq hanya diam, lalu memeluk ibunya pula. Dalam hatinya, dia tahu luka itu masih ada, tapi kemaafan adalah kekuatan.
Sekolah: Kelas 5 Cemerlang
Faiq melangkah masuk semula ke kelasnya selepas dua bulan. Sunyi. Semua mata tertumpu padanya.
Faiqah menoleh, kali ini tanpa ragu. Aina tersenyum dan berkata perlahan, "Hero dah balik..."
Hilmi bersorak kecil, "Woi, ayam pacak dah balik!" disambut ketawa kecil kawan-kawan lain.
Fazli berdiri dan tepuk tangan perlahan. Diikuti Khairul, Uwaisy dan seluruh kelas. Tepukan itu bukan sekadar tanda kemenangan — tetapi penghormatan.
Di sebalik dinding perpustakaan
Idzlan duduk tunduk. Sudah dipanggil oleh guru disiplin. Hukuman menanti. Tapi bukan itu yang berat — wajah-wajah yang pernah menyokongnya, kini semua beralih arah.
Di satu ruang rahsia RIM
Amir Furqan membuka fail baru bertajuk:
"Reformasi Kebenaran"
Dan menoleh kepada Faiq, yang kini duduk di sisi Pak Tam, Amirah Hafizah, Uwaisy dan Khairul.
"Adik... kau bukan lagi sekadar budak biasa. Kau cahaya baru untuk yang tertindas."
Faiq hanya tersenyum. Pandangannya jauh ke luar tingkap. Matahari sedang terbit — dan itu hanyalah permulaan.
Share this novel