"Assalamualaikum semua," sapa seorang guru wanita sambil melangkah masuk ke dalam kelas.
"Waalaikumussalam, Cikgu Zakiah," jawab kami serentak.
"Baik, semua boleh duduk. Sila buka buku teks Sejarah, Bab 2: Nasionalisme di Malaysia Sehingga Perang Dunia Kedua," arah Cikgu Zakiah, seorang guru muda yang kelihatan baru sahaja menamatkan pengajian di universiti.
Tiba-tiba, matanya tertumpu kepadaku.
"Eh, cikgu baru perasan, kita ada murid baru hari ini. Sila perkenalkan diri awak," katanya dengan senyuman.
Aku bangun dengan malas.
"Nama saya Faiq Furqan bin Dato' Nizam. Boleh panggil saya Faiq."
Terdengar suara-suara kecil dari sudut kelas.
"Uish, anak Dato' beb! Dah lah kacak, tinggi pula tu," bisik seorang pelajar perempuan sambil tersengih-sengih.
Aku menjeling tajam. Rimas.
"Kenapa? Ada masalah ke? Jangan menggedik depan aku. Geli tahu tak muka macam tepung," balasku selamba, tanpa menapis kata-kata.
Gadis itu tertunduk malu. Suasana kelas menjadi sedikit tegang.
Cikgu Zakiah segera menenangkan keadaan. "Dah, sudah. Faiq, awak dari sekolah mana? Kenapa pindah ke sini?"
"Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Indah. Tak perlulah tahu sebabnya," jawabku sambil menguap kecil.
Bisik-bisik mula kedengaran.
"Biadab betul budak ni, cakap tak ada tapis," aku terdengar dari sebelah.
Aku menoleh, merenung tajam.
"Aku bercakap guna mulut kau ke? Suka hati akulah. Tak suka, jangan dengar," balasku garang.
"Dah, duduk, Faiq," kata Cikgu Zakiah, menahan sabar.
Aku menjatuhkan tubuh ke atas kerusi dan tanpa segan silu, meletakkan kepala di atas meja. Mata aku pejam semula.
Tidak lama kemudian, aku terasa ada bayangan menghampiri.
"Faiq, bangun! Hari pertama sudah buat hal dalam kelas saya. Awak nak saya laporkan kepada guru disiplin?" suara Cikgu Zakiah sedikit meninggi.
Aku mendengus.
"Hal apa yang saya buat? Nak lapor, laporlah. Awak fikir saya takut? Kalau tak nak hilang kerja, jangan kacau aku," balasku, malas membuka mata.
Cikgu Zakiah menahan air mata, menahan rasa malu di hadapan kelas.
Aku mengangkat kepala seketika. "Ah, peduli apa. Salah sendiri cari pasal," fikirku sebelum menyambung tidur.
Cikgu Zakiah hanya mampu menggelengkan kepala, meneruskan pengajaran dengan sabar.
---
Selepas satu jam kelas Sejarah, Cikgu Zakiah menutup buku teks.
"Baiklah, kelas. Ulangkaji Bab 2. Minggu depan kita sambung Bab 3," katanya sebelum melangkah keluar.
"Terima kasih, cikgu," jawab kelas serentak, kecuali aku yang masih lena.
Uwaisy, selaku ketua kelas, menghampiriku.
"Woi, Faiq, bangun!" sergahnya.
Aku tersentak.
"Kau apahal?!" aku menjeling tajam.
Uwaisy mengeluh.
"Kenapa kau biadab sangat dengan Cikgu Zakiah? Kau tahu tak, kalau biadab dengan guru, ilmu tak berkat," nasihatnya.
Aku ketawa sinis.
"Dah, dah. Tak payah ceramah kat sini. Lepas ni subjek apa?" tanyaku malas.
"Matematik satu jam, kemudian Sains. Lepas tu baru rehat," jawab Uwaisy.
Mendengar 'Matematik', aku tersenyum.
"Nasib baik... Subjek kesukaan aku," bisikku sendiri.
---
Tamat waktu Sains, loceng berbunyi menandakan waktu rehat.
Aku meluru ke kantin, perut sudah berkeroncong. Sampai sahaja, suasana sesak. Pelajar berpusu-pusu berebut makanan.
"Aduhai... Lapar, tapi sesak gila!" aku mengeluh.
Tiba-tiba, bahuku ditepuk. Aku hampir melompat terkejut.
"Oii mak kau hijau! Bagi salam dulu la!" marahku sambil menoleh. Rupanya Uwaisy.
"HAHAHA! Gangster pun melatah?" Uwaisy tergelak besar.
Dia menghulurkan sesuatu.
"Nah, aku ada bawa lebih. Nak tak?"
Aku mendengus. "Aku ada duitlah. Cuma... Ramai sangat ni," jawabku.
Perutku tiba-tiba berbunyi kuat.
"HAHAHA, perut kau dah bagi jawapan!" usik Uwaisy.
Aku buat muka tak puas hati, tapi tangan tetap mencapai bungkusan makanan itu.
"Wah, nasi goreng pattaya!" mataku bersinar.
Tanpa membuang masa, aku mencari tempat duduk paling belakang di kantin dan menikmati rezeki yang diberikan.
Share this novel