Bab 13

Romance Series 72307

“RHEA, saya nak cakap dengan awak sekejap,” panggil Hayyan.

Rhea yang sedang mencuci pinggan itu menoleh. “Abang nak cakap apa?” soalnya gugup. Janganlah Hayyan minta mereka berpisah lagi. Dia tak sanggup.

“Siapkanlah kerja awak dulu. Saya tunggu dekat ruang tamu.” Usai itu Hayyan terus berlalu meninggalkan dapur.

Rhea menghela nafas perlahan. Debar jantung memukul dada. Wajah Hayyan nampak serius. Pasti hal yang ingin dikatakan itu juga serius.

Tidak mahu terus berteka-teki, Rhea cepat-cepat menyiapkan kerjanya lalu melangkah ke ruang tamu. Hayyan sudah menunggunya di sana.

RHEA mengambil tempat di sofa berhadapan dengan Hayyan. Wajah Hayyan masih serius seperti tadi. Buatkan Rhea makin tak senang duduk.

“Abang nak cakap apa?” soal Rhea.

Hayyan membetulkan duduknya. Laman wajah Rhea dipandang seketika.

“Kenapa lelaki tu asyik datang kedai awak?”

Rhea terdiam seketika. Lelaki? Lelaki mana pula? Ada ramai pelanggan lelaki yang datang di kedainya. Yang mana satu Hayyan maksudkan?

“Maksud abang, Hairi?” tanya Rhea. Tadi Hayyan cakap lelaki itu datang setiap hari. Antara ramai-ramai pelanggan lelakinya, Hairi lah yang datang ke kedainya hampir setiap hari.

“Ya. Siapa lagi kalau bukan dia.” Wajah Hayyan jelas menunjukkan dia tidak senang.

“Hairi memang selalu datang kedai Rhea.  Dah jadi pelanggan tetap Rhea. Kalau Rhea tak meniaga pun, dia akan datang juga sebab nak jumpa Armel,” jelas Rhea.

“Saya tak suka awak bagi Armel tu rapat dengan lelaki asing tu.”

Raut wajah Rhea terus berubah. “Abang... Hairi tu...”

“Jangan bagi Armel dekat dengan dia lagi,” pintas Hayyan.

“Abang dengar dulu, Hairi tu tak ada niat lain pun. Dia memang rapat dengan Armel. Waktu abang koma dulu, dia yang banyak tolong Rhea dan Armel. Dia pun dah anggap Armel tu macam anak dia sendiri.”

“Jadi awak nak salahkan saya sebab saya koma bertahun-tahun?”

Rhea menggeleng perlahan. “Bukan macam tu. Rhea...”

“Armel tu anak saya. Saya tak nak lelaki tu dekat dengan anak saya lagi. Faham?”

Rhea kehilangan kata-kata. Bukan mudah untuk dia pisahkan hubungan Armel dan Hairi. Lagipun dia tak sampai hati nak kecewakan Hairi. Lelaki itu baik sangat dengannya selama ini.

“Abang cemburu?” soal Rhea berani.

“Cemburu? Kenapa saya nak cemburu? Saya cuma tak suka lelaki tu asyik datang sini jumpa awak dan Armel.”

“Kalau macam tu, boleh abang buat benda yang sama juga?” pinta Rhea.

Dahi Hayyan berkerut halus memandang isterinya itu. Dia tak mengeri apa maksud Rhea.

“Berhenti jumpa Trisha. Boleh?”

Terkatup bibir Hayyan mendengar permintaan Rhea.

“Tak boleh? Abang tak boleh berhenti jumpa dia?” soal Rhea lagi.

“Kami bekerja di bawah bumbung yang sama.”

“Itu cuma alasan yang abang gunakan untuk terus berjumpa dengan dia.”

“Saya tengah cakap tentang awak dan lelaki tu. Bukan tentang saya dan Trisha.”

“Rhea tak pernah curang dengan abang. Rhea tak pernah ada apa-apa hubungan dengan Hairi. Jadi abang tak perlu risau. Tapi abang dengan Trisha...”

“Stop it, Rhea. Jangan kaitkan Trisha dalam hal ni.”

Rhea mengeluh berat. Wajahnya diraup perlahan. “Abang, Rhea bukan nak gaduh dengan abang. Tapi...”

“Saya pun bukannya nak ajak awak bergaduh. Saya cuma minta awak jauhkan diri awak dan Armel daripada lelaki tu.”

“Abang...”

“Saya penat.” Hayyan bangun dan terus berlalu masuk ke biliknya.

Rhea hanya mampu menghantar langkah Hayyan dengan pandangan sayu. Dia boleh turutkan permintaan Hayyan asalkan Hayyan juga lakukan hal yang sama. Tapi sudah tentu lelaki itu tidak mahu. Ada saja alasan yang diberi.

RHEA termenung jauh. Dia teringat kembali tentang perbualannya dengan Hairi tempoh hari.

“Hairi, boleh saya cakap sikit?”

“Apa dia, Rhea? Cakaplah.”

“Err... Saya minta maaf. Saya tahu niat awak baik. Awak pun dah banyak tolong saya dan Armel. Tapi... Tapi boleh tak lepas ni awak jangan datang sini kerap sangat?”

Raut wajah Hairi terus berubah. Liur ditelan kesat.

“Saya ada buat salah dengan awak ke Rhea? Kalau saya ada buat salah, saya minta maaf.”

“Bukan macam tu...” Rhea menggeleng laju menafikannya. Bila Hairi tiba-tiba minta maaf padanya buatkan dia semakin dihimpit rasa bersalah.

“Saya tak nak Armel terlalu rapat dengan awak. Awak pun tahu kan Armel baru je nak bina hubungan dengan Hayyan. Saya nak dia lebih rapat dengan ayah kandung dia sendiri. Saya minta maaf Hairi.”

Hairi tersenyum kelat. Dia mengangguk perlahan. “Oh... Faham. Tak apa, Rhea. Awak tak perlu minta maaf. Bukan salah awak. Mungkin salah saya juga sebab terlalu rapat dengan Armel sedangkan Armel masih ada ayah kandung. Kalau saya yang berada di tempat suami awak, mungkin rasa juga kecil hati bila tengok anak saya lebih rapat dengan orang lain.”

“Hairi, saya betul-betul minta maaf. Terima kasih sebab jadi kawan saya selama ni. Saya tak akan lupakan kebaikan awak pada saya dan Armel.” Sejujurnya Rhea tak sampai hati nak beritahu Hairi tentang hal ini tapi demi kebaikan hubungannya dengan Hayyan, dia perlu juga berterus-terang dengan Hairi. Dia tidak mahu bergaduh lagi dengan Hayyan.

“Rhea.”

Rhea tersentak daripada lamunan panjangnya. Tahu-tahu Hayyan sudah tercegat berdiri di hadapannya.

“Err... Ya, abang?”

“Awak okey ke?” soal Hayyan. Daripada tadi dia perhatikan jauh isterinya itu mengelamun. Nampak macam ada masalah negara je.

“Rhea okey.” Rhea tersenyum nipis.

“Saya nak balik rumah mak. Mak rindu dekat Armel. Jomlah ikut sekali.”

“Rhea nak kena siapkan tempahan kek dulu.”

“Takpalah saya tunggu.”

Serba salah pula Rhea dibuatnya. Nanti apa pula kata Jauriah. Macamlah dia tak kenal ibu mentuanya itu. Nanti macam-macam makian Rhea terima.

“Tapi nanti kesian dekat mak. Lama pula dia nak tunggu Rhea.”

“Kalau macam tu, saya pergi dan Armel pergi ambil mak dulu.”

Rhea mengangguk setuju dengan cadangan Hayyan. Sekurang-kurangnya mereka tidak membuat Jauriah tertunggu-tunggu.

“SELESA betul naik kereta baru Hayyan ni. Macam ni lah baru kereta. Tak macam kereta lama Hayyan tu... Dah buruk. Takut mak nak naik.”

“Mak, kereta tu masih elok lagi. Masih boleh bawa jalan jauh.”

Jauriah mencebik. “Tak beranilah mak nak naik.”

“Mana bini Hayyan ni? Lambat betul!” Jauriah mula merungut.

“Ada dekat dalam tu. Jom masuk dulu, mak,” ajak Hayyan.

“Takpalah. Mak tunggu dalam kereta je.”

Hayyan mengangguk akur. “Armel temankan nenek ya. Ayah nak panggil ibu sekejap.”

Armel hanya mengangguk. Kalau Rhea tak pujuk dia tadi, dia pun sebenarnya tidak mahu mengikut Hayyan menjemput Jauriah tadi.

Lebih kurang sepuluh minit kemudian, Hayyan dan Rhea keluar daripada rumah.

“Mak.” Rhea mendapatkan Jauriah yang duduk di bahagian sebelah pemandu itu. Tangan dihulur mahu bersalaman dengan ibu mentuanya itu.

Jauriah hanya memandang sepi huluran tangan Rhea. “Kau buat apa lama sangat dekat dalam tu? Lama aku tunggu!” marahnya.

“Rhea minta maaf mak. Tadi Rhea siapkan tempahan kek.”

“Ambil tempahan kek banyak tapi kayanya tak juga,” ujar Jauriah mengejek.

“Cuba kau tengok Trisha tu. Baik betul hati dia hadiahkan kereta mahal ni dekat Hayyan. Kau? Apa yang kau dapat bagi? Habuk pun tak ada!”

Rhea tergamam. Bukan tergamam mendengar hinaan ibu mentuanya itu tapi dia tergamam bila Jauriah cakap kereta ini Trisha yang hadiahkan untuk Hayyan.

Hayyan cakap kereta mewah ini adalah kereta milik syarikat. Tapi rupa-rupanya Hayyan tipu dia!

Sampai hati abang tipu Rhea...

Share this novel

Masnah
2024-04-06 18:42:10 

update plzz

norsila
2024-03-20 06:18:08 

elok tgglkn joo laki tu..sakit hati joo..cmpak joo mano2 gaung ..skali dgn maknya tu..huu haha

Siti Rohani Idris
2024-03-18 15:54:07 

mak si hayyan ni tak berpijak di bunyi yg nyata


NovelPlus Premium

The best ads free experience