Laptop baru yang dibungkus cantik Basith pandang dengan penuh rasa bangga. Senyuman dibibirnya melebar, tak sabar nak balik tunjukkan kejutan buat adiknya. Bolehlah Adinda belajar dengan lebih baik lepasni. Maklumlah nak sambung belajar lagi.
Kasihan adiknya, terpaksa pakai laptop terpakai sebab dia punya dah lama rosak. Nak hantar repair, mau banyak jugak duit nak guna. Baik beli baru je, bukan untuk orang lain kan?
Basith berjalan tenang melintasi bangunan lot kedai yang besar itu. Sesekali matanya melihat baju-baju raya yang elok tergantung di dalam kedai pakaian. Ada butik jenama mahal dan ada juga yang mampu milik.
Hanya tinggal dua minggu sahaja lagi sebelum Ramadhan tiba. Tahun ni, mereka masih berdua menyambut bulan mulia itu. Dah dua-dua belum kahwin, siapa je nak tolong siapkan menu berbuka dan sahur?
Calon isteri dia? Hmm... Belum ada. Kalau ada pun, kena fikir-fikir dulu. Ada ke perempuan yang sanggup terima adik dia sekali? Susah jugak, sebab dia sayang Adinda. Adik perempuan sorang, siapa yang tak sayang kan?
Langkah Basith terhenti sebaik melihat seseorang di dalam kedai emas. Dia berpatah semula, eh? Macam kenal je?
Ya, Hanif. Kekasih hati adiknya sedang memilih cincin emas bersama ibunya. Ada beberapa dua orang perempuan asing yang bersama mereka. Jadi betullah Adinda cakap yang Hanif dah banyak berubah. Alhamdulilah.
Tak lama lagi mesti nak masuk meminang. Basith kulum senyum. Betul cakap Zulaikha, sesekali kita kena bersangka baik dengan orang lain. Tengok sekarang, Hanif dah belikan cincin emas. Pastinya Adinda gembira nanti.
Tidak mahu menunggu lama, Basith melangkah pergi. Dia harus segera pulang. Sudah jam enam petang, kasihan Adinda tinggal sendirian.
**
"BELI cincin?" Adinda sudah tersenyum malu-malu.
"Ya, abang nampak tadi masa nak balik. Kalau betul Hanif tu dah banyak berubah, abang terima. Tak lama lagi adik naik pelamin dulu lah," usik Basith.
Stokin ditanggalkan. Dia duduk disofa sebelum membuka beg kertas yang dibawa.
"Happy birthday adik abang. Ini... Untuk buah hati abang yang paling abang sayang!" Huluran kotak besar itu bertukar tangan.
"Apa ni? Laptop! Thanks abang! Sayang abang!" Adinda peluk abangnya dengan erat.
Wah, dapat hadiah mahal. Laptop jenama mahal pulak tu. Banyak betul duit abangnya sekarang?
"Mahal ni, abang cukup duit ke?"
"Alhamdulilah lebih daripada cukup. Saja tunggu birthday adik baru nak kasi. Malam ni kita keluar celebrate nak?" ajak Basith.
"Nak! Tapi...takkan kita dua je?" Adinda kembali murung.
"Taklah. Abang dah ajak umi dengan abi. Diorang free, alhamdulilah. Nanti abang ajak Hanzalah dengan isteri dia. Amacam?"
"Yeay! Sayang abang! Adik nak makan steamboat eh?"
"Apa je untuk adik kesayangan abang ni."
Basith kucup dahi adiknya. Pelukan terasa erat. Sekejap sahaja masa berlalu, adiknya sudah menjadi gadis dewasa yang tumbuh dengan sihat. Sudah dua puluh empat tahun. Gembiranya.
"Abang nangis ke?" tanya Adinda sewaktu mendengar esakan dari lelaki itu.
"Mana ada. Mata abang masuk habuk!" Basith seka airmata dipipi.
"Janganlah sedih. Abang sepatutnya bagi hadiah lagi hebat dari ni."
"Apa?"
"Adik nak...kakak ipar! Please. Please. Bolehlah? Nanti ada jugak teman nak bangun sahur, berbuka semua tu!" Adinda goncang lengan Basith dengan kasar.
"Ah, takda! Adik ni, tak ada benda lain nak mintak? Baik-baik benda sama!" rungut Basith yang sudah merajuk.
"Mestilah! Abang tu dah tiga puluh tahun tau tak? Siapa je tak risau? Nak cakap tak handsome, rupa ada. Nak cakap tak berharta cukup semua abang ada. Apa lagi? Isteri! Carilah bang! Ke...nak adik pinang ustazah Zulaikha?" usik Adinda dengan sengihan.
"Jangan nak mengada! Zulaikha tu orang punya!"
"Eleh! Mana abang tahu? Abang pun bukannya nak serius tanya dia!"
Basith tutup kedua telinga. Malas melayan adiknya yang suka sangat menyakat. Tawa Adinda kedengaran halus, sukalah tu dapat usik dia!
"Nanti kalau adik kahwin, abang tinggal sorang-sorang tau? Abang boleh ke hadap hidup sendiri?"
"Hello cik adik sayang, awak tu bangun pagi-pagi pun abang yang kejutkan. Tolong masak sarapan lagi, makan malam lagi. Hah, apa lagi? Bersyukur dapat abang terbaik macam ni, esok lusa kalau dah kahwin belum tentu suami adik macam ni tau!"
Adinda gelak comel. Dia bangun menghampiri Basith seraya dipeluk erat.
"Adik sayang abang. Nanti kalau suami adik buat perangai, adik lari balik dekat abang."
"Amboi? Belum kahwin dah ada planning macam tu? Doa yang baik-baik. Cuma itulah, adik abang ni masak apa pun tak reti. Nanti kalau mak mentua tanya macam mana?" Basith usap kepala adiknya.
"Senang, cari suami yang pandai masak! Settle masalah!" Adinda petik jari berkali-kali.
"Masalahnya calon adik tu apa pun tak reti! Yang dia reti, menyakitkan hati abang! Mengayat anak dara orang setiap hari lepastu mintak duit. Dahlah tak handsome, selekeh, tu pun tak sedar diri!"
"Mengata bakal suami adik nampak?"
Basith gelak kuat. Wajah cemberut adik dia memang comel. Haih, siapalah calon lain yang boleh gantikan kekasih hati Adinda tu? Harap-harap adalah.
Share this novel