Bab 2 – Restu

Romance Series 3703

KEESOKAN paginya, Maya bangun dari tidur dengan kepala berat dan badan yang masih lemah. Suhu badannya masih belum turun sepenuhnya walaupun dia dah telan ubat dari klinik semalam. Di atas meja, terletaklah sekeping kertas dari doktor.

Dia terus teringat pesanan doktor itu semalam. “Saya bagi awak cuti dua hari. Rehat secukupnya.”

Dia menghela nafas perlahan. Dua hari. Sekurang-kurangnya adalah alasan untuk dia mengelak dari berjumpa dengan sesiapa, terutamanya Ray. Dia tak nak cakap apa-apa atau jelaskan apa-apa.

Tapi malangnya, telefon di sebelahnya bergegar. Nama Ray muncul pada skrin. Maya menatap skrin telefonnya untuk beberapa saat sebelum menjawab dengan suara serak.

“Macam mana demam awak semalam? Dah okay?” soal Ray. Nada suaranya macam biasa, macam tak ada apa-apa yang terjadi. Langsung tak ada rasa bersalah.

“Sikit.” Balas Maya perlahan.

“Baguslah kalau macam tu,” Ray cepat-cepat membalas. “Maya, ada benda yang saya nak bagitahu awak ni. Kita kena tangguhkan tarikh nikah.”

Maya terdiam. “Tangguh?”

“Ya. Boss saya nak meeting dengan client besar tarikh kita nak nikah tu. Saya tak boleh tolak. Projek ni penting untuk masa depan kita juga, kan?”

Maya menggenggam hujung selimut. ‘Masa depan kita?’ Dia masih teringat wajah Ray semalam di depan Hotel Scarlett dengan Sophie.

“Ray, baru semalam awak cakap yang awak outstation, kan? Takkanlah back to back kena kerja, kerja, kerja?” suaranya serak sedikit, tapi seakan gagal menahan kekecewaannya.

“Memanglah saya cakap yang saya outstation, sayang. Kenapa? Jangan fikir bukan-bukan, Maya. Saya buat semua ni untuk kerja. Untuk kita,” Ray cepat-cepat membalas. Namun, jelas dari nadanya yang dia bosan untuk bercakap dengan Maya.

Belum sempat Maya nak tanya lagi, Ray dah matikan panggilan terlebih dahulu.

Maya menatap skrin yang dah gelap. Jantungnya berdegup dengan lebih kencang. Macam tu sahaja Ray menipu dia. Langsung tak ada gagap-gagap atau teragak-agak.

Dia memeluk lututnya, cuba untuk menenangkan diri, tapi rasa marah dan khianat yang dirasainya menolak semua rasional. Telefonnya sekali lagi berdering, tapi kali ini daripada satu nombor yang tak dikenalinya.

Dengan teragak-agak, dia mengangkat panggilan itu dan menjawab dengan penuh berhati-hati. “Hello?”

Suara lelaki di hujung talian kedengaran dalam dan stabil. “Maya Arina?”

“Ya…? Ya, saya?”

“Saya Kai Allen. Lelaki yang semalam tu.”

Maya kaku seketika. Suara itu... Ya, itulah lelaki yang dia langgar semalam. Selepas dia cuba meminta diri, Kai telah menawarkan untuk hantar Maya pulang ke rumah. ‘Dia nak mintak duit minyak ke?’

“Saya harap saya tak mengganggu.”

“Tak, cuma… macam mana awak dapat nombor saya?” soalnya perlahan.

“Saya ada cara saya sendiri untuk cari maklumat orang. Saya tak nak buang banyak masa awak,” ujar Kai tanpa teragak-agak sebelum dia menjatuhkan bom. “Saya nak awak jadi isteri saya.”

Maya terdiam. Tiba-tiba bumi macam berhenti berputar. “Awak… Apa…?”

“Saya akan uruskan semua permohonan dan dokumentasi esok,” ujarnya dengan nada datar tapi tegas. “Saya tak main-main. Saya perlukan isteri, dan saya rasa awak orangnya.”

“Awak kenal saya pun tak,” balas Maya, suaranya serak, tak pasti dia keliru atau marah. Yang penting, dia terkejut.

“Cukup dengan apa yang saya tahu pasal awak sekarang,” jawab Kai dengan ringkas. “Awak jujur, tak menipu dalam etika bekerja, dan… itu adalah apa yang saya cari sekarang. Ini bukan soal cinta. Ini soal keputusan.”

“Keputusan?” Maya tergelak kecil. “Awak tahu tak betapa gilanya permintaan awak sekarang?”

“Saya tahu. Tapi saya serius,” jawabnya tanpa mengubah nada bercakapnya. “Saya akan bagi awak masa untuk fikir, tapi cuma sampai esok sahaja.”

Dan begitu sahaja, panggilan ditamatkan. Maya duduk lama di atas katil. Dia termenung dengan telefon yang diletak ke dada. Dunianya terasa asing. Lelaki yang baru pertama kali dia bercakap semalam nak ajak dia kahwin.

Dan dalam pada masa yang sama, lelaki yang sepatutnya jadi suaminya telah menangguhkan perkahwinan mereka sebab ada meeting penting dengan bos.

Dia tersenyum kecil, senyum yang tak gembira. “Kalau itu pilihan dia…”

Hatinya yang terluka menolak logik. Mungkin disebabkan marah, mungkin disebabkan kecewa, tapi dia cuma tahu satu benda sahaja; lebih baik dia pentingkan ketenangan dirinya sebelum dikecewakan pada hari yang akan datang.

TIGA hari kemudian…

Hari ini adalah hari di mana Maya sepatutnya berkahwin dengan Ray. Masjid As-Sakinah di kawasan perumahan itu dah lama ditempah untuk majlis akad. Tapi pagi itu, bukan Ray yang muncul sebagai bakal suaminya.

Yang tiba di perkarangan masjid ialah Kai Allen, berpakaian baju Melayu hitam dengan sampin tenun perak, diiringi dengan dua orang lelaki dengannya.

Keluarga kecil Maya terdiam. Ibunya menekup mulut, manakala ayahnya, Encik Haris, berdiri perlahan dari kerusi. “Maya… ni siapa ni?”

Maya menunduk sedikit. “Ayah, Ray dah tipu saya.”

Jadi, Maya ceritakan kepada mak dan ayahnya tentang apa yang terjadi dan kenapa Maya memutuskan untuk kahwin dengan Kai dan bukan dengan Ray. Dia perlukan restu bapanya untuk berkahwin dengan Kai.

Encik Haris menatap Maya lama sebelum berjalan ke arah Kai. “Pak cik kena tahu dari mulut kamu sendiri. Kenapa kamu nak kahwin dengan anak pak cik…?”

“Nama saya Kai Allen,” jawabnya dengan sopan tapi yakin. “Saya tahu cara saya datang berjumpa dengan pak cik agak pelik, tapi niat saya ikhlas. Saya nak kahwin dengan anak pak cik. Saya tak janji yang saya akan bagi dia kesempurnaan, tapi saya janji yang saya tak akan biarkan dia menangis sendiri atau jadi puncanya.”

Encik Haris akhirnya menghela nafas panjang, pandangannya melembut memandang wajah anaknya. “Kalau ini apa yang Maya nak, ayah restukan perkahwinan ni.”

Maya mengangguk perlahan. Dadanya yang tadi terasa sesak sebab gusar akhirnya terasa ringan. “Terima kasih, ayah…”

CAHAYA matahari menyimbah lembut melalui tingkap kaca masjid, menyinari sejadah masjid berwarna biru tua. Suara imam membaca lafaz nikah bergema tenang.

Dengan sekali lafaz sahaja, Kai secara sahnya kini bergelar suami kepada Maya. Belum seminggu dia berkenalan dengan Kai, dan sekarang dia dah boleh nak bersentuhan dengan lelaki itu secara sah.

Tapi yang peliknya, dia langsung tak rasa gugup sebab kahwin sorok-sorok dengan Kai tanpa pengetahuan Ray. Sebaliknya, dia terasa tenang.

Lepas Kai mencium dahinya, Maya terpana seketika. “Senang macam ni je ke nak kahwin?” Matahari memang terang, tapi cahaya matahari pun tak mampu menandingi lelaki di sebelahnya.

“Tuan Kai, boleh tak kalau saya nak cakap dengan awak sekejap?” Maya menegurnya, nada suaranya ada getaran lembut. Walaupun mereka dah sah jadi suami isteri, mereka masih terasa seperti orang asing. Baguslah kalau macam tu. Tak adalah mereka langgar adab bahasa mereka.

Kening Kai sedikit berkerut mendengar Maya memanggilnya sebagai ‘Tuan Kai’. Sinaran dingin melintas sekilas pada matanya sebelum dia menjawab perlahan, “Jom.”

Maya cepat-cepat berlari anak untuk mengejar langkah Kai ke dalam kereta lelaki itu.

“Apa yang awak nak cakap dekat saya?” suaranya dalam, matanya tajam tapi tetap nampak tenang.

“Kita sekarang dah jadi suami isteri tapi... pasal hubungan kita ni…” Maya menunduk sedikit, menggenggam tangannya menjadi penumbuk. “Boleh tak kalau kita jangan bagitahu sesiapa dulu? Kita rahsiakan buat masa ni.”

“Kenapa?” soalnya perlahan, tak marah tapi dia nak tahu.

“Bagi saya masa untuk selesaikan semua urusan dulu. Saya mohon, rahsiakan status kita.”

Kai mendengar dengan wajah tenang, senyuman nipis yang berbahaya terukir pada bibirnya. “Baiklah. Tapi saya bagi awak masa tiga bulan je.” Dia bersandar ke tempat duduknya dan menambah, “Esok saya hantar orang ambil awak.”

Maya mengangkat kepala, keliru. “Ambil saya?”

Kai memandangnya tanpa riak. “Awak dah jadi isteri saya sekarang. Suami isteri sepatutnya kena tinggal sebumbung.”

Maya berfikir sejenak. Dia tak ada sebarang sebab untuk menolak, jadi dia mengangguk patuh. “Okay. Kalau macam tu, saya setuju.”

Maya melangkah keluar dari kereta Kai dan berdiri seketika, memerhatikan kereta hitam itu berlalu pergi hingga hilang dari pandangan. Kakinya terasa macam dia sedang melangkah di atas kapas – ringan, dan macam tidak berpijak di bumi yang nyata.

Dia masih susah nak percaya… dia baru sahaja berkahwin. Dan lelaki yang kini bergelar suaminya itu bukan orang biasa, tapi seseorang yang dikenali ramai.

Jantungnya berdegup tak mahu tenang. Ombak kecil dalam hatinya bergelora tanpa arah. Maya menghela nafas panjang, cuba menenangkan diri sebelum dia memesan Grab untuk balik ke apartmentnya. Banyak lagi benda yang dia kena selesaikan.

SEMENTARA itu, kereta Kai meluncur perlahan melalui dua blok bangunan. Di tempat duduk belakang, dia membuka surat khabar dengan jari-jarinya yang panjang dan cantik. Tanpa mengalihkan pandangan, dia berkata kepada pembantunya yang duduk di depan, “Sekarang, kau dah boleh bagitahu orang tua tu yang aku dah kahwin. Dan tolong periksa kalau Maya Arina ada apa-apa masalah sejak kebelakangan ni.”

Dia ingat lagi yang Maya adalah seorang pelakon yang terkenal dua tahun yang lalu. Wajahnya menjadi pujaan ramai disebabkan raut wajahnya yang polos. Tapi ketika namanya sedang memuncak, dia tiba-tiba menghilang dari dunia hiburan dan dikatakan ada hubungan sulit dengan Ray, seorang lelaki dari sebuah syarikat produksi terkenal.

Kai menyandarkan badannya, merenung jauh ke luar tingkap. Apa sebenarnya yang mendorong seorang wanita seperti Maya untuk tiba-tiba setuju untuk berkahwin dengan dia?

Bayangan wajah Maya terus terlintas dalam fikirannya. Matanya yang bersinar seperti mata kucing, senyum yang nampak tenang tapi menyimpan banyak kisah duka. Bibirnya terangkat perlahan, membentuk senyuman nipis yang susah nak ditafsirkan maksudnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience