Mata kami hampir tertutup menahan silau yang datang dari empat penjuru. Aku tergigil gigil mengeluarkan kad pengenalan dari dalam poket. Arif memegang tanganku, "Tenang. Selawat. Aku uruskan".
"Boss...", panggilku hampir menangis.
"Dah, tak payah nak drama. Keluar sekarang", arah lelaki berjanggut dan berkopiah. Hanya Arif yang keluar, aku tidak. Cuma pintu kereta disisi, aku buka.
Di skrin kereta terpampang wajah mak dan arwah abah silih berganti. Air mata dah tak dapat ditahan lagi, mencurah tanpa suara.
Di luar kereta, Arif berbincang dengan beberapa lelaki yang datang tadi. Sesekali aku lihat Arif menggosok tengkuknya, pasti dia sedang tertekan. Seorang lelaki bersongkok merekodkan maklumat diri kami berdasarkan kad pengenalan.
Arif mendekati aku dengan riak muka serius, berdiri di luar kereta sementara lelaki bersongkok tadi memulangkan kad pengenalan kami.
"Maaf cik, kami sekadar menjalankan tugas. Kami dapat aduan dari masyarakat setempat".
Aku mengangguk perlahan. Musibat Aedy ni, dia kata masyarakat sini tak kesah hal orang. Aku dan Arif bukan buat apa apa pun.
"Encik Arif ikut kami ke pejabat agama. Pernikahan, kita akan buat di sana".
Senduku terhenti. Berkerut dahi aku. NIKAH???
Pandanganku tertumpu pada Arif meminta penjelasan.
"Macam ni, mereka nak dakwa kita atas tuduhan berkhalwat. Kita akan masuk mahkamah untuk perbicaraan dan didenda. Kau tau la, itu yang aku nak elak sangat buat masa ini". Itu ayat yang keluar dari mulut Arif. Dia mula menggosok jambangnya.
"Aku bincang dengan mereka. Aku tak nak la hal ni jadi besar. Kita pun bukannya berzina selama ni. Cuma tanggapan masyarakat bila kita berdua. Mungkin mereka tersalah kita dengan Joy dan Aedy", tambah Arif.
"Boss la..". Aku mula menuduh dia punca semua ini. Kalau dia tak tahan aku naik tadi, mesti tak jadi perkara ni.
"Ye, aku mengaku salah aku. Jadi, aku tanggung. Untuk tutup kes, kita kena nikah malam ni juga", tutur Arif satu persatu memberitahu aku.
"Tu bukan boss je yang kena tanggung. Saya pun jadi mangsa. Aduh boss!! Takde ke solution lain?", jerit aku menarik lagi tisu dari kotak. Dah banyak aku gunakan bagi mengesat air mata dan hingus.
"Malangnya hanya tu je Cik Nura. Ini pun sebab Encik Arif berbincang dan minta tolong dipermudahkan. Jadi ini pilihan yang kami bagi - nikah atau didakwa. Kami tak dapat lepaskan kerana dari pemerhatian, agak kerap cik berdua dalam kereta lewat malam dan sering bermalam. Apapun rekod diberkas akibat berkhalwat tetap kami simpan. Perkara baik eloklah dipercepatkan. Tak la asyik berdua duaan. Orang ketiga adalah syaitan", ujar lelaki bersongkok itu tenang, tersenyum sinis melihat aku.
Hati aku yang bergelombang ombak besar. Bermalam tu Aedy dengan Joy la, samdol. Bukan aku. Berkoyan aku maki dalam hati.
"Tapi selama ni kita tak pernah buat apa pun kan boss?", kataku cuba menyampaikan pada mereka yang mengetuk tingkap tadi bahawa kami tiada hubungan. Saja aku tekankan perkataan boss.
"Sementara belum tu la kita nak selamatkan dari terlanjur dan termengandung anak luar nikah. Kalau Cik Nura tak nak nikah, takde masalah. Encik Arif yang merayu kes ni ditutup dengan cara begitu walaupun sepatutnya pihak kami mendakwa Cik Nura dan Encik Arif Isnin ni dan mungkin akan menjatuhkan hukuman denda tiga ribu ringgit seorang atau penjara", jelas lelaki bersongkok tepat memandang aku yang dah terhenyak mendengar jumlah yang perlu aku bayar. Atau penjara??? Lagi la meremang segala bulu yang ada.
"So, kau nak masuk court Isnin ni?", tanya Arif.
Aku geleng. Dengar perkataan mahkamah tu pun aku dah seram sejuk. Apalagi nak jejak kaki di situ. Mau pengsan mak aku kalau tahu. Silap silap masuk wad terus. Macam mana kenduri Nuha nanti. Duit tu, lagi la masalah besar. Yang tinggal dalam akaun pun perlukan CPR.
Tapi kawin?? Dengan Arif Fahmi pula tu. Bukannya aku tak suka dia cuma tidak dengan cara begini. Lagipun, aku nak perkahwinan berlandaskan sayang dan cinta. Bukan kawin sebab terpaksa macam ni.
"Cik Nura ada wali tinggal berdekatan sini?", soal lelaki itu.
Aku pandang Arif. Wali pula dah!
Takkan aku nak menelefon along, memberitahu yang aku ditangkap kerana berkhalwat dan minta dia datang dari kampung dengan memandu ke sini. Paling cepat dia boleh sampai 2 jam.
"Jika tak nikah pun, kami tetap akan panggil ahli keluarga untuk ambil Cik Nura di pejabat agama. Tak kesah la makcik ke sepupu ke".
Aku menelan air liur. Sakit dada ni. Pegawai ni ugut aku ke apa? Sengaja nak menghebahkan perkara yang memalukan keluarga aku.
"Saya cuba call abang saya".
******
Aku dan Arif duduk di kerusi sambil mendengar ceramah dari lelaki berjubah putih. Tadi dia turut ada. Sakit pula telinga aku bila dia menyebut tentang aurat dan adab pergaulan. Macam la aku tak tau semua tu.
"Assalamualaikum". Semua mata tertumpu ke arah itu. Aku kenal suara tu. Aku bangun berjalan ke arah pintu kaca yang dibuka oleh lelaki tersebut.
Tangannya kusalam dan kucium. Tak semena mena air mataku berderai lagi. Bahuku ditolak kasar. Aku tau dia marah. Malu tu pasti. Maruah keluarga kami dah tercalar dek perkara ini. Aku yang mencalarkannya.
Arif mengekoriku dari tadi, menghulurkan tangan.
"Kau la jantan tu?"
Buk!! Belum sempat Arif menjawab, satu penumbuk singgah di pipi kiri Arif. Arif terundur beberapa tapak.
Buk!! Lagi sekali.
Kali ini Arif terjatuh. Arif tak melawan langsung. Dia membiarkan saja. Pegawai pejabat agama yang ada bersegera menarik dan menyuraikan keduanya.
"Encik, sabar. Perkara ni takkan selesai cara begini", kata salah seorang pegawai agama.
"Angah! Kami tak buat apa pun. Duduk saja dalam kereta", kataku memeluk angah dari terus menerkam Arif.
"Tu kata kau. Aku tak tahu. Siapa nama kau?", jerit angah menuding jari ke arah Arif dan menolak aku seolah mau menerkam Arif lagi.
"Ayeh... Arif Fahmi", jawab Arif mengesat darah di hujung bibir. Angah terus terdiam, tidak lagi seperti tadi umpama harimau terlihat mangsa. Nafasnya tak lagi seperti tadi. Namun dadanya bergetar kuat. Bibirnya diketap. Aku masih memeluk angah.
"Bapak kau?"
"Shamsudin". Air muka angah terus berubah. Angah memandang aku dengan satu pandangan yang aku tak dapat tafsirkan. Matanya terpejam, kepalanya digelengkan dan aku nampak ada air jernih menitis dari hujung mata.
"Kenapa dia Nura?", ucap angah tanpa mengerakkan bibirnya. Aku tak mengerti.
Arif mendekati kami, menghulurkan tangan sekali lagi untuk berjabat. Aku lepaskan angah dari pelukan. Kali ini, angah menyambut tangan itu. Mereka berpelukan. Ehhh.. tadi bertumbuk bagai, ni boleh pula korang berpeluk macam long lost friend.
"Maafkan aku", ujar angah perlahan.
"Bukan salah kau", balas Arif.
Aku dah macam tunggul kat tepi. Pegawai pegawai tadi pun meninggalkan kami bila lihat Arif dan angah berdamai. Lalu aku berdiri tak jauh dari situ, pura pura membaca papan kenyataan. Padahal memasang telinga. Aku cuba fokus kerana mereka seolah berbisik.
"Macam mana boleh jumpa ni? Kau kan pergi oversea, Yeh ...", kata angah dan melepaskan nafas berat seperti ada masalah. Yeh?? Mesranya. Mentang mentang awal tadi Arif sebut namanya Ayeh.
"Panjang ceritanya. Cuma aku dapat simpulkan, ini takdir Allah. Macam mana dipisahkan dan terpisah, kami bertemu jua. Kau tau aku sayang dia dari dulu", balas Arif.
"Tu cerita lama. Zaman hingusan. Kecil lagi masa tu", bantah angah. Sedikit keras suaranya.
"Itu pada kau. Bukan pada aku", balas Arif lembut.
"Kau dah lupa pasal..."
"Tahyul semua tu. Syirik. Aku tak percaya". Arif memotong ayat angah. Aisehman... aku nak tau pasal apa.
"Dia tahu?". Soalan angah terbiar tanpa jawapan dari Arif. Namun dari pantulan cermin, aku nampak Arif menggeleng.
Angah dan Arif sama terdiam. Dari situ juga, aku perasan mereka berdua menoleh padaku.
"Kau janji akan jaga adik aku?"
"Aku akan jaga dia dengan nyawa aku. Kau tau kan macam mana aku sayang dia. Dari dulu, sama".
"Tapi..."
"Tolonglah untuk kali ini".
Perbualan antara angah dan Arif sepertinya mereka sudah kenal lama. Tapi mungkinkah lelaki lebih cepat mesra berbanding perempuan?
"Kakak, betul kau nak bernikah dengan dia?".
Aku berpaling ke belakang. Mula mula memandang Arif kemudian pada angah. Tak mungkin aku nak meminjam duit dari angah untuk bayar denda. Tiga ribu ringgit bukannya jumlah yang kecil. Aku tahu angah dah banyak beri sumbangan untuk kenduri Nuha tak lama lagi. Seandainya kakngah tau, pasti akan huru hara bukan saja hidup angah, malah kenduri Nuha.
Dan aku tak sanggup membayangkan diri duduk meringkuk dalam penjara dan menyebabkan kenduri Nuha suram. Pasti banyak kata nista dan kejian dalam kenduri itu kelak.
Lagipun aku faham mengapa Arif buat begini, untuk menjaga nama baik dia dan syarikat yang baru ditubuhkan. Kes ini sedikit sebanyak akan menjejaskan reputasinya sebagai seorang pengarah yang baru nak membina nama di Malaysia.
"Encik....". Pegawai Pejabat Agama yang bersongkok datang mendekati angah. Mungkin masa perdamaian, sesi perkenalan sudah tamat.
"Noes . Abang Nura", jawab angah.
Lelaki itu mengangguk tersenyum, berjabat tangan dengan angah.
"Boleh la kita teruskan ye? Malam semakin tua ni. Encik pun pasti sedang tidur tadi"
Angah mengangguk, menjeling padaku yang tunduk dari tadi. Aku tau dia marah dan kecewa tapi siapa lagi harus aku hubungi di saat genting begini jika bukan dia? Angah yang paling dekat. Hanya setengah jam jarak rumah kami.
Usai majlis, kami bergambar di satu sudut yang telah dilatari dengan kain kilat warna hijau lumut. Terdapat dua buah kerusi putih didepannya sementara di kiri kanan kerusi ada pasu dihiasi bunga warna putih dan merah jambu. Aku memakai baju kurung moden warna babyblue yang dibeli tadi, berserta selendang yang telah dijahit bersama. Selendang itu boleh dijadikan sebagai shawl. Manakala Arif hanya menyarungkan blazer yang sentiasa tergantung di dalam kereta.
Betullah.
Allah makbulkan apa yang aku pinta secara tunai. Jimat betul pernikahan aku. Cincin nikah pun Arif gunakan cincin perak berbatukan nilam yang memang dia pakai selama ini di jari kelingkingnya. Kini tersarung di jari manisku. Cek bernilai seribu lima ratus dijadikan sebagai mas kahwin. Itu saja. Aku redha dengan ketentuannya.
"Kakak, lepas ni buat perangai elok elok. Kau dah jadi bini orang. Buang kelaku yang tak semenggah tu. Pening aku tau bila mak call minta nasihatkan kau", kata angah sebaik kami keluar dari pejabat agama berjalan menuju ke kereta.
Aku tersengih. Malu pula dengan Arif bila angah cakap begitu. Yang pasti biarpun sebakul mak membebel pasal aku, satu pun angah tak sampaikan. Kami tak pernah berhubung untuk bertemu. Bagus kan kami? Kau dengan hal kau, jangan ganggu hidup aku. Kecuali terdesak. Macam sekarang.
"Angah.... macam mana dengan mak?". Ini persoalan yang bermain di fikiran sejak dari tadi.
"Buat masa ni, jangan beritahu lagi. Aku minta sangat sangat. Tunggu masa yang sesuai"
Tunggu??? Ok.
Mungkin cara pernikahan aku akan menjadi buah mulut orang kampung dan akan memalukan keluarga kami. Aku baru berangan nak tayang Mr.Husband.
"Kau macam mana Arif?"
"Aku nak keep this as low as possible. I think you know why".
Angah memandang aku bila Arif jawab begitu. Pandangan penuh simpati. Jika dulu dalam situasi begini, angah akan peluk dan cium ubun ubun aku. Jujurnya, aku terasa hati dengan jawapan Arif. Apapun, kami telah bersetuju untuk merahsiakan pernikahan ini tanpa disedari.
"Aku harap dan aku percaya kau boleh jaga adik aku sebaik mungkin"
"I love her with all my heart. Mati pun aku tetap sayangkan dia".
Betul ke apa yang aku dengar ni? Love her? Bukan patutnya will love her?
Jap, aku nak berdiri sebelah encik suami. Sempat la dia tangkap sebelum aku pengsan.
Angah menghulurkan tangan untuk bersalaman.
"Aku nak balik ni. Kakak, cukup cukup la berangan tu dan layan anime. Lepas ni layan suami".
Ha??? Layan suami?
Errr.. kiranya malam ni malam pertama la kan?
Berderau darah aku. Peluh dingin merecik tiba tiba.
Arif menarik tangan aku tapi aku tarik kembali. Tapak tangan aku basah dengan peluh!
Share this novel
mak Arif dia pakai saka ke
fuhhh itu anak paklong sudin kan
x bole berhenti dr senyum...walaupun nura da rampas fahmi hana...i love it kak...lepas ni lagi dasat la kan