Bab 45
“Kat dalam ni ada RM9,000.00. Bakinya apabila kau dah bunuh Affendi.”
Perus mengangguk. Dia mengambil sampul surat berisi duit itu. Terjudi hanya diam, wajahnya nampak sedikit pucat.
“Bahagian saya tak ada ke?” tanya Airiel.
“Bahagian apa pula?” sergah Puan Suriati.
“Saya dah cari orang yang sanggup buat kerja tu! Takkan upah saya tak ada…”
“Kau diam!” tengking Puan Suriati membuatkan Airiel terus menikus.
“Kau juga akan dapat bahagian kalau kami berdua disumbatkan ke penjara,” sampuk Hamzah.
Puan Suriati merengus, menjeling tajam pada Hamzah.
“Hal tu jangan sesekali disebut!” katanya sambil menggoyangkan jari telunjuk ke arah Hamzah.
*****
Dua hari kemudian Airiel muncul di kampung orang asli. Dia datang bersama dengan Hamzah, mencari Perus. Perus berada di dalam hutan, memasang perangkap kancil. Kawannya menurut dia di hutan, membawa khabar tentang kedatangan Airiel dan Hamzah.
Perus menggelabah. Apa yang harus dia buat? Dia tahu tujuan kedatangan Airiel ke kampungnya. Pastinya dia mahu dibawa menemui Affendi. Entah apa pula arahan daripada Puan Suriati yang membawa anak muda kota ke pinggir kampung terpencil ini.
Patutkah aku pergi jumpa dia atau terus bersembunyi di hutan sehingga dia pulang? Tidak. Aku perlu selesaikan masalah ini! Aku mesti pergi jumpa Airiel, kemudian membawa dia ke pondok itu. Kemudian berpura-pura Affendi sudah melarikan diri.
Perus menyuruh tiga orang kawannya menunggu dia di pondok. Sementara itu dia balik ke kampung menemui Airiel.
Dua jam Airiel menunggu barulah Perus muncul. Airiel hampir-hampir sahaja mengajak Hamzah pergi. Penat dia menunggu di situ tanpa berbuat apa-apa.
“Puan Suriati suruh aku jumpa Affendi.” kata Airiel.
“Susahlah!” balas Perus.
“Tempat tu jauh, kalau jalan kaki dua jam baru sampai.”
“Kenapa kau sembunyikan dia jauh sangat? Tak boleh naik Pajero ke sana?”
“Tak ada jalan. Satu-satunya jalan hanya ikut tepi sungai.”
Airiel mengeluh. “Tak apalah! Aku harus pergi juga jumpa Affendi. Sebab Puan Suriati minta aku dapatkan maklumat dari dia.”
Perus diam sejenak, kemudian mengajak Airiel masuk ke hutan. Tiba di pondok, Airiel nampak tiga orang kawan Perus ada di situ. Mereka duduk berlonggok di hadapan pondok sambil bermain daun terup.
“Bukalah pintu!” kata Airiel.
Perus membuka pintu seolah-olah memang Affendi ada di dalam.
Airiel masuk. Matanya memandang sahaja ke dalam pondok, berlantai tanah itu. Tetapi tiada sesiapa di dalamnya. Kelihatan satu lubang besar di tepi dinding kesan ditebuk.
“Heh! Kau ni memang cuai! Kau biarkan dia lari?” jerit Airiel.
Perus pura-pura terperanjat.
“Lari? Pagi tadi dia ada…” sahut Perus sambil pura-pura ikut menjenguk ke dalam pondok.
Airiel menggelengkan kepalanya.
“Apa sudah jadi? Apa aku nak cakap dengan Puan Suriati ni?”
Perus mengarahkan kawan-kawannya mencari Affendi yang kononnya sudah lari. Kawan-kawan Perus sudah dimaklumkan akan kepura-puraan itu. Mereka bergerak mencari tetapi mereka sebenarnya pulang ke kampung.
“Apa aku nak buat ni?” keluh Airiel kebingungan.
“Kita sama-sama cari dia,” kata Perus.
“Gila kau! Aku tak mahu. Aku takut sesat dalam hutan. Tunjukkan aku jalan balik ke kampung.”
Hamzah kehairanan melihat Airiel kembali ke kampung dua jam kemudian. Wajah Airiel sugul dan letih. Dia menumpang berbaring di berenda rumah Tok Batin.
“Encik Hamzah, Affendi berjaya melarikan diri.”
“Apa? Betul ke?” tanya Hamzah tidak percaya.
Airiel sekadar mengangguk.
“Kau mesti beritahu Puan Suriati,” desak Hamzah.
“Tapi kalau betul Affendi lari seorang diri, pasti dia akan sesat dalam hutan tu. Esok lusa pasti dia mati juga dibaham harimau ataupun dipijak gajah. Dia bukannya ada bekalan makanan.”
Perus mendiamkan diri sahaja apabila Airiel berkata begitu. Dia mahu Airiel dan Puan Suriati percaya itulah yang terjadi. Walaupun hakikat sebenarnya dia tahu Affendi dibantu oleh Leo. Biarlah! Bisik hatinya. Dia sudah mendapat duit untuk merawat muka Pilar.
“Matilah aku! Pasti aku yang kena dengan Puan Suriati,” keluh Airiel sambil memejamkan matanya. Tidak lama kemudian dia terlelap kerana terlalu letih berjalan selama empat jam, masuk kemudian keluar dari hutan.
Diam-diam Hamzah meninggalkan Airiel. Dia menghidupkan enjin Pajero, kemudian memandu keluar dari perkampungan orang asli itu. Sejam kemudian dia sudah sampai di Kampung Gelugor. Kampung itu terletak di tepian Jalan Maran. Hamzah memecut laju menghala ke Kuala Lumpur. Dia harus memberitahu Puan Suriati segera berita yang baru didengarinya tadi. Tidak boleh mengharapkan Airiel. Dia yakin Airiel akan berlengah-lengah dan seboleh mungkin mengelak daripada memberitahu Puan Suriati.
Airiel tertidur agak lama. Dia terjaga ketika jam sudah menunjukkan ke pukul lima petang. Perutnya sangat lapar.
...bersambung
Bab akan datang:
Apakah nasib Airiel yang ditinggalkan oleh Hamzah di perkampungan orang asli?
Share this novel