Bab 57

Short Story Series 55082

Labbaik Allahumma labbaik
Labbaika la syarika laka labbaik
Innal hamda wan ni’mata
Laka wal mulka la syarika lak.

Rina merenung keindahan kaabah di hadapannya dengan mata yang seakan tidak berkedip. Tiada siapa yang menyangka dan menduga dia akan berada di tanah suci Makkah. Impiannya selama ini sejak dia berada di bangku sekolah lagi. Impiannya untuk membawa ibu dan neneknya menunaikan umrah bersama-sama tetapi takdir Allah berkehendak lain apabila kedua insan yang dicintai itu meninggal dunia terlebih dahulu. Takdir Allah juga yang membawa dia ke situ bersama suami dan sahabatnya.

Tiada siapa yang dapat menduga inilah jalan kehidupannya. Bibir Rina bergetar mengucap zikir-zikir sambil mengingati jalan kehidupannya sejak dirinya kecil sehinggalah ke hari ini. Segala yang dialami di dalam hidupnya jujur membuatkan dia lelah tetapi dalam masa yang sama dia bersyukur kerana di dalam kesengsaraannya masih ada kebahagiaan yang Allah sisakan. Kehadiran Qalifh membuatkan dia bersemangat kembali untuk hidup. Qalifh seperti pelita yang menerangi jalan hidupnya yang gelap dan Aqil seperti pemandu yang membawanya ke destinasi bahagia.

Sejak daripada tadi mereka masih berdiri di hadapan Kaabah selepas menyempurnakan rukun umrah. Matanya sudah kering daripada linangan air mata.

Rina melihat jemaah-jemaah yang sedang bertawaf. Mereka semua daripada bangsa dan negara yang berbeza tetapi mereka memegang tali yang sama iaitu mengagungkan Allah swt. Warna kulit dan bahasa yang berbeza bukanlah satu penghalang untuk mereka bersatu. Sungguh besar pengorbanan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat untuk mengembangkan agama Islam di seluruh dunia. Semoga Allah merahmati baginda nabi Muhammad s.a.w. dan para pejuang Islam yang lain.

Ternyata ketika itu bukan saja Rina yang sedang mengamati jalan kehidupannya tetapi Aqil disebelah juga. Aqil memejam mata apabila angin lembut lalu menyapu wajahnya. Ketika dia membuka mata dia melihat ke arah Rina yang seakan patung tidak terusik langsung dengan angin yang bertiup. Aqil mengerutkan kening kerana seperti teringat akan sesuatu. Sesuatu yang selama ini tidak pernah diceritakan kepada sesiapa. Ingatannya kembali disaat mana dia berada di tanah suci itu buat kali pertama. Dia berdiri di tempat yang sama dan menikmati pandangan dihadapannya.

Disaat itu hatinya sangat terpukul dengan kehilangan Rina dan juga Shofwah. Rina yang masih koma yang tiada siapa dapat memberikan kepastian bilakah wanita itu akan bangun dan juga Shofwah yang meninggal dunia akibat kemalangan kereta sehari sebelum mereka menikah.

Disaat itu dia menoleh ke sisinya apabila dia berasa ada seseorang berdiri di sebelahnya. Betul saja, seorang wanita berdiri disisinya tetapi apa yang membuatkan Aqil terkejut wanita itu adalah Rina Altafunisa. Rina yang sedang asyik tersenyum dengan linangan air mata. Wajah itu tampak bahagia dan seakan tidak melihat dirinya yang sedang asyik memandang.

Aqil meraup wajahnya sambil beristighfar. Begitu besarkah cintanya kepada Rina sehingga sekarang wajah itu sukar untuk dia lupakan. Aqil menoleh sekali lagi dan ternyata benar saja dugaannya. Dia sedang berkhayal Rina tiada disampingnya. Alangkah bahagia dirinya jika khayalan itu nyata.

“Mari, sudah terlalu lama kita berdiri. Kasihan pada Rina. Dia harus berehat.” Tiba-tiba suara Aqilah menyedarkan Aqil daripada bayangan silam.

“Subhanallah, Maha Suci Engkau ya Allah.” Aqil mengucapkan syukur sambil wajahnya menatap Kaabah dengan air mata yang bergenang lagi.

“Kenapa?” Rina yang menyedari keadaan Aqil itu menyentuh lembut bahu Aqil.

Aqil menggelengkan kepalanya. Biarlah kejadian itu menjadi sebuah rahsia yang hanya diketahui oleh dirinya dan Allah sahaja.

Rina dan Aqilah memandang satu sama lain tetapi tiada diantara mereka yang bersuara. Aqil memimpin tangan Rina di sebelah kanan manakala Aqilah memimpin tangan Rina disebelah kiri sebelum mereka berlalu pergi daripada situ, Rina sempat menoleh ke belakang sekali lagi melihat Kaabah.

“Terima kasih Ya Allah atas segala nikmat-Mu.” Rina berbisik tidak didengari oleh mereka disisinya.

Ya Tuhanku, hamba tidak pantas menjadi penghuni syurga.
Namun hamba tidak kuat jika dimasukkan ke dalam neraka.
Semoga Tuhan menerima taubat hamba.
Kerana Engkaulah Dzat yang mengampuni dosa-dosa besar.
Dosa hamba laksana pasir di lautan.
Maka terimalah taubatku Wahai Dzat Yang Maha Agung.
Setiap hari dosaku bertambah sedangkan umur hamba berkurang.
Bagaimana hamba akan kuat memikulnya?
Ya Tuhan, hamba-Mu yang penuh dengan kemaksiatan datang pada-Mu.
Dengan mengakui dosa-dosa hamba melalui doa kepada-Mu.
Hanya Engkaulah Dzat yang mampu memberikan keampunan.
Jika Bukan Engkau,
Lalu kepada siapa lagi hamba berharap?

Sauqbilu ya kholiqi min jadid, kama anta minni ilaihi turid.
Wa arju idza anta taqbaluni, jinanal khuludi wa minkal mazid.
‘Ashoituka robbi waamhalatuni, watasturuni roghmi anni ‘anid.
Liannad ka robbi ghofuru wadud, rohimun bikullal waro wal ‘abid.
Sauqbilu ya kholiqi min jadid, kama anta minni ilaihi turid.
Wa arju idza anta taqbaluni, jinanal khuludi wa minkal mazid.
Ataituka ya kholiqi bakiya, wadam’ul asa kulli hiinin yazid.
Faqod qulta fiil ayi lataqnathu, wainta’fu ‘anni fadza yaumu ‘id.
Sauqbilu ya kholiqi min jadid, kama anta minni ilaihi turid.
Wa arju idza anta taqbaluni, jinanal khuludi wa minkal mazid.

(Aku datang (dengan dosa) sekali lagi duhai Penciptaku.
Sebagaimana yang Engkau inginkan duhai Sesembahanku.
Aku berharap Engkau mahu menerima (permintaan maaf) ku.
Balasan syurga yang kekal dan tambahan nikmat dari-Mu.
Aku telah bermaksiat kepada-Mu wahai Robbku.
Namun Engkau berlaku lembut kepadaku, dan Engkau tutup aibku.
Padahal aku hamba-Mu yang durhaka.
Sungguh Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mencintai.
Duhai Robbku, Maha Penyayang kepada seluruh mahluk dan hamba-Nya.
Aku datang (dengan dosa) sekali lagi duhai Penciptaku.
Sebagaimana yang Engkau inginkan duhai Sesembahanku.
Aku berharap Engkau mahu menerima (permintaan maaf) ku.
Balasan syurga yang kekal dan tambahan nikmat dari-Mu.
Aku datang menemui-Mu wahai Robbku dengan air mata ini.
Air mata penyesalan ini setiap saat sentiasa bertambah.
Sungguh Engkau berfirman seraya menyeru “Janganlah kalian berputus asa.”
Jika Engkau memaafkan diriku maka itulah hari kemenangan bagiku.
Aku datang (dengan dosa) sekali lagi duhai Penciptaku.
Sebagaimana yang Engkau inginkan duhai Sesembahanku.
Aku berharap Engkau mahu menerima (permintaan maaf) ku.
Balasan syurga yang kekal dan tambahan nikmat dari-Mu.)

Rina mengulang-ulang syair yang dibacanya dengan linangan air mata bersungguh-sungguh memohon keampunan Allah swt untuk dirinya. Air mata yang sejak daripada tadi mengalir tidak sedikitpun membuatkan Rina lelah malah semakin lama semakin deras daripada sebelumnya. Aqilah yang berada disisinya menjadi risau melihat keadaan Rina itu tetapi dia tidak berani mengganggu munajat sahabatnya itu.

Ya Allah aku bukan kekasih-Mu, Nabi Muhammad.
Aku bukan kekasih kekasih-Mu, Siti Khadijah.
Aku bukan puteri kekasih-Mu, Siti Fatimah.
Aku bukan para sahabat kekasih-Mu.
Aku bukan para wali waliyah-Mu.
Aku bukan Uwais al-Qorni yang mustajab doanya,
Aku bukan Rabia si pecinta-Mu,
Aku hanya seorang hamba yang hina.
Aku tiada apa-apa berbanding mereka.
Layakkah aku untuk dekat kepada-Mu?
Layakkah aku untuk menatap wajah-Mu?
Layakkah aku untuk berada dibawah naungan-Mu?
Oh Tuhan, celakanya aku kelak di akhirat.
Tiada yang aku minta didunia ini melainkan rahmat-Mu.
Berkat doa nabiku aku berlindung diri dari kemurkaan-Mu.
Tuntun aku menuju-Mu.
Tuntun aku menuju kekasih-Mu, Muhammad ibni Abdillah.

Rina menyembamkan wajahnya di atas sejadah dengan esakan tangisan yang lemah. Dia tidak peduli dengan orang disekeliling yang melihat kerana pada saat itu hati dan fikirannya hanya dipenuhi dengan Allah swt.

Melihat Rina yang berkeadaan seperti itu membuatkan Aqilah juga turut menangis. JIka Rina yang dia kenali orang yang banyak melakukan ibadah bagaiamana pula dengan dirinya yang biasa-biasa saja. Adakah Allah akan mengampuni dosa-dosanya?

“Kau rasa kenapa dengan dia?” Kedengaran suara jemaah wanita daripada Malaysia sedang berbibisik di sebelah Aqilah yang sedang bertafakur.

Aqilah yang mengetahui bahawa kedua jemaah wanita itu sedang berbicara tentang Rina hanya mendiamkan diri dan mendengarkan perbualan mereka.

“Mungkin dahulu dia banyak melakukan dosa sebab itulah dia berdoa sampai nangis-nangis seperti itu.” Seorang lagi wanita berkata memberikan pendapatnya.

“Mungkin juga. Kelihatannya seperti masih muda. Biasalah anak muda sekarang banyak sangat bermaksiat sampai lupa dosa pahala tak macam kita dulu waktu muda.” Wanita yang pertama kali bertanya tadi mengiakan jawapan sahabatnya.

“Jika tujuan makcik datang ke tanah haram untuk mengumpat lebih baik tidak perlu ke sini.” Aqilah yang panas telinga mendengar menegur perlahan kedua wanita disebelahnya itu agar tidak didengari oleh Rina.

“Saya sahabatnya, saya tidak mengetahui apa yang difikirkan mereka terhadap dirinya tetapi sepanjang saya mengenalinya tidak pernah sekalipun dia melakukan apa yang terlintas di dalam fikiran makcik berdua. Hidupnya hanya dipenuhi cinta kepada Allah dan Rasulullah s.a.w.. Jika dirinya yang banyak melakukan ibadah kepada Allah menangis sedemikian rupa bukankah sepatutnya kita yang banyak dosa harus lebih menangis meminta keampunan-Nya?” Aqilah mengalirkan air matanya apabila menasihati kedua wanita yang sudah berusia itu. Hatinya sakit apabila mendengar perbualan mereka tentang Rina sehingga air matanya mengalir.

Melihat Aqilah yang menangis itu membuatkan kedua wanita itu rasa bersalah dan menundukkan wajah mereka. Aqilah yang tidak kuasa menahan suara tangisannya lagi mendekati Rina yang masih menyembamkan wajahnya di atas sejadah lalu merangkul sahabatnya itu ke dalam pelukan. Dipeluknya Rina dengan erat.

Mengapa mereka selalu berkata buruk tentang sahabatnya itu padahal mereka tidak mengetahui siapa diri Rina yang sebenar. Apakah perlu dia berteriak kuat memberitahu satu dunia bahawa Rina adalah orang yang baik dan tidak seperti apa yang mereka perkatakan.

“Walau satu dunia membenci kau, aku akan tetap berada di sisi kau. Tidak akan pernah aku meninggalkan kau sehinggalah nyawa aku diambil Allah. Kau sahabat dunia akhirat aku. Aku sayang kau kerana Allah, sahabat.” Aqilah berbisik pada Rina yang membalas pelukannya.

“Terima kasih Aqilah. Demi Allah, kau adalah sahabat yang baik buat aku. Setelah ibu dan nenek aku, kaulah orang yang sentiasa berada disisi aku. Kau sudah aku anggap seperti adik dan kakak aku. Aku sayangkan kau lebih aku menyayangi diri aku sendiri.” Rina mengusap tubuh Aqilah yang menggigil.

“Andai kelak di akhirat sana, kau tidak melihat aku di syurga Allah kerana aku berada di dalam neraka atas dosa-dosa aku mintalah belas kasih kepada Allah agar memasukkan aku ke dalam syurga-Nya.” Aqilah berbisik lagi kepada Rina.

“Demi Allah, kau orang yang baik. Malah kau lebih baik daripada aku. Semoga Allah memasukkan kau dan keluarga kau ke dalam syurga tanpa hisab. Semoga kerana persahabatan kita menjadi asbab Allah memasukkan aku ke dalam syurga.” Rina berdoa untuk Aqilah dan keluarga sahabatnya itu yang banyak membantunya daripada dulu.

‘Ya Allah, aku memohon kepada-Mu. Rahmati dirinya dan keluarganya. Cintanya kepada-Mu hanya Engkau saja yang tahu. Dia antara manusia yang baik yang aku kenali. Aku menyanyanginya kerana-Mu. Ampuni dosa-dosanya dan naikkan derajatnya.’ Aqilah berdoa di dalam hati buat Rina Altafunisa. Tangisannya semakin pecah dan dia ditenangkan oleh Rina yang bibirnya basah dengan zikrullah.

Share this novel

darina lee
2023-03-21 18:17:49 

sedihnya meleleh ayaq mata huwaa


NovelPlus Premium

The best ads free experience