Chapter 56

Mystery Completed 14816

?Bab 56

“Alin! Dengar dulu, Alin. Aku ada alasan mengapa aku buat macam ni!”

“Alasan apa? Sengaja nak malukan mak dengan abah? Patutlah kau terima saja apa kata abah. Kau tak kisah, tak terasa hati langsung!”

“Bukan Alin! Aku tak berniat pun. Dalam sehari dua ni memang aku nak pergi rumah kau dengan Fendi dan Makcik Idah. Nak terangkan segalanya. Sampai bila aku nak sembunyikan satu kenyataan? Lebih-lebih lagi dengan kau Alin! Kau bakal isteri aku!”

Amalina menggigit bibir.

“Belum tentu lagi!” jawab Amalina masih marah, tapi tidak sepenuh hati.

Memang sedari awal Affendi dengan Leo sudah sepakat… gerutu hati Amalina.

“Sayang, duduk sini dulu. Biar aku terangkan semuanya sekali. Tenangkan diri kau dulu, Alin. Demi Allah aku tak berniat langsung nak sembunyikan identiti diri aku. Setiap saat aku ingin beritahu kau bahawa akulah Zakuan. Zakuan yang pernah hilang di hutan suatu masa dulu. Aku hilang ingatan selama sepuluh tahun, Alin. Aku hidup dalam dunia yang sungguh mengelirukan. Masyarakat sangka aku orang lain sedangkan aku tidak kenal siapa diriku. Aku hanya mengikut apa yang dikatakan orang.” kata Leo dengan suara tenang, sebak.

“Bila ingatan aku pulih, aku sedar ada bahaya menunggu. Aku perlu pastikan orang-orang yang menganiayai aku ditangkap polis. Sehingga itu aku tak boleh mengaku apa-apa.”

“Apa maksud kau?”

Leo lalu menceritakan semuanya. Tentang dirinya dianiaya sejak dari mula, Affendi diculik, tentang pembunuhan papanya juga. Semuanya melibatkan Puan Suriati, Hamzah dan Airiel. Kini Airiel menjadi saksi utama dalam kes perbicaraan ke atas Puan Suriati dan Hamzah. Kes mereka masih belum selesai.

“Oh Tuhan… Leo maafkan aku kerana meragui kau!” kata Amalina.

“Tak apa sayang. Aku juga bersalah pada kau. Maafkan aku ya?”

Amalina tersenyum. Mereka saling berbalas senyum.

“Ya, sudah tentu Leo. Aku sentiasa memaafkan orang yang aku cintai, selama-lamanya.”

*****

Leo berdiri di tepi tebing sungai. Bunyi air mengalir dicelah-celah batu, ditingkah suara ungka yang jauh di atas pokok menyentuh telinga. Lembut, syahdu dan mendamaikan jiwa. Rindunya pada gunung dan hutan tidak pernah surut. Setiap kesempatan dia mahu datang ke situ. Di sini ada damai yang tersimpan.

Gunung Ais yang membiru puncaknya direnung dalam-dalam. Pagi yang dingin itu tidak menghalang dia keluar seawal yang mungkin. Matahari masih belum menjengukkan wajah. Langit masih kelam. Indahnya hari yang baru bermula… Demikianlah indahnya hidup yang masih muda. Penuh impian, cinta dan keinginan.

Leo terasa tubuhnya dipeluk dari belakang. Dia menoleh, memandang wanita muda itu yang baru datang kepadanya. Dia merangkul bahu Amalina, mencium ubun-ubun isterinya dengan penuh kasih sayang.

“Apa yang abang renung arah gunung tu?” tanya Amalina.

“Tak sabar nak daki gunung. Nak tawan semula puncaknya.”

“Setiap tahun kita pergi bang. Dah empat tahun berturut-turut!”

“Biar jadikan lima tahun berturut-turut!” balas Leo.

“Sayang ikut abang ya?”

Amalina menggeleng.

“Taklah kali ni.” Amalina menolak lembut.

“Kenapa?”

“Penat, tak larat dah!”

“Hai, selama ni tak tahu penat pun ke sana ke mari, lincah semacam. Kenapa hari ni tiba-tiba penat?”

“Sebenarnya, Alin kena jaga diri baik-baik. Kata doktor…”

“Alin kenapa?” tanya Leo mulai gusar.

“Relakslah bang! Alin tak apa-apa. Alin cuma akan jadi ibu dan abang akan jadi ayah. Jadi Alin kena jaga baik-baik kandungan ni, tak boleh lasak.”

“Ya Allah! Alin… Kenapa tak cakap dengan abang awal-awal?”

“Sengaja nak surprise kan abang!” jawab Amalina sambil tertawa kecil.

“Nakalnya isteri abang!”

Leo merasa sungguh bahagia, sehingga terpancar kegembiraan itu di wajahnya. Memang agak lama mereka menunggu kehadiran cahaya mata. Empat tahun… Namun pada tahun ke lima perkahwinannya, Tuhan menganugerahkan dia satu hadiah tidak ternilai.

Syukur al-hamdulillah, bisik Leo sambil memandang langit dan gunung yang jauh berbalam. Betapa suci dan besarnya Engkau menjadikan alam dan makhluk seluruhnya. Terima kasih kerana menjadikan diriku, seadanya.

***Tamat***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience