KISAH 4 - LEMAS

Horror & Thriller Series 23829

Apabila tiba sahaja cuti semester, semestinya aku, Borhan dan Hadi mempunyai perancangan untuk menjelajah ke tempat-tempat menarik. Kami bertiga merupakan antara pelajar yang sedang menjalani kursus sains sukan di sebuah universiti yang terkemuka di Kelantan.

Terdapat banyak kawasan air terjun di sekitar negeri jirannya, iaitu Terengganu. Kawasan air terjun ini digelar sebagai lata. 2 lata popular yang terletak di sempadan kelantan dan Terengganu, iaitu di Besut dan Jerteh adalah Lata Belatan dan Lata Tembakah.

Hadi merupakan orang Terengganu, dan dia banyak tahu selok-belok serta perjalanan ke lata Tembakah, yang menjadi lokasi pilihan kami bertiga.

Borhan, orang Perak merupakan kawan aku semenjak di matrikulasi, ingin ikut bersama aku dan Hadi, serta 2 orang lagi pelajar kursus yang sama. Borhan agak terkenal dengan kehandalannya bermain pelbagai jenis sukan. Senang cerita, dia yang paling athletic diantara kami.

Kereta dah pun disewa, segala-galanya mengikut perancangan sehinggalah aku dapati Borhan dan Hadi, kedua-duanya membawa teman wanita mereka bersama. Aku tidak gemar ke tempat-tempat sebegini dengan kaum wanita.

Pada aku, aktiviti mandi-manda di lata ini jadi tak sesuai apabila ada jantina berlawanan kami yang turut serta mengikuti. Aku cuba membangkang keputusan mereka, namun aku diejek kerana aku masih tiada teman wanita, dan mereka menuduh aku cemburu kepada mereka pula.

Mahu tak mahu, aku terpaksa akur dengan keputusan mereka. Dua buah kereta kancil kami sewa, dengan bayaran sehari sebanyak RM70 untuk sebuah kereta. Hadi memandu kereta pertama bersama aku, teman wanitanya dan seorang lagi perempuan. Secara jumlahnya, terdapat 5 orang lelaki dan 5 orang perempuan semuanya.

Perjalanan mengambil masa kira-kira sejam setengah melalui jalan persekutuan yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kubang Kerian. Memang sepanjang perjalanan kami agak heboh. Gurauan-gurauan liar bersama lawak-lawak hambar memenuhi masa perjalanan yang agak jauh itu.

Berdekah-dekah Hadi ketawa sepanjang perjalanan. Mungkin dia terlebih seronok kerana teman wanitanya, Sheila berada bersama. Aku juga agak seronok, tetapi aku merupakan seorang yang ada prinsip. Aku takut sangat untuk berseronok berlebih-lebihan, kerana aku takut apabila kita terlalu gembira, akan ada perkara malang berlaku.

Setibanya di kawasan air terjun empat tingkat itu, aku menyalakan arang untuk masak barbeku. Dengan duit poket kami sendiri, ayam, sosej dan sate telah kami tempah. Tujuannya adalah untuk mandi terlebih dahulu, dan kemudiannya makan.

Memang begitulah selalunya, selepas mandi dan berenang, pasti akan kelaparan. Sewaktu kami tiba, jam menunjukkan pukul 2.00 petang. Agak riuh rendah kawasan itu dengan gelak tawa serta gurauan yang tak henti-henti. Memang bergelak sakan aku lihat Hadi dan Borhan, seolah-olah tidak dapat dikawal perasaan keseronokkan mereka itu.

Aku turut membuka baju dan memakai seluar trek untuk mandi dan berenang. Air di situ cerah dan sedikit manghijau, dan langit yang cerah menampakkan lagi keindahan alam ciptaan tuhan ini. Terdapat banyak ikan-ikan kecil yang seringkali berebut-rebut apabila roti atau cebisan makanan dilemparkan ke dalam lata tersebut.

Mandi punya mandi, kami tak sedar jam sudahpun menunjukkan pukul 5.30 petang. Ini bermakna kami harus singgah ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat asar sebelum pulang ke universiti kami.

Aku segera mengarahkan Hadi dan Borhan untuk mengemas serta menukar pakaian. Hari yang tadinya cerah kian mendung, dan tanpa kami sempat habis berkemas, hujan renyai-renyai mulai turun.

Aku tidak kalut kerana kawasan tersebut tertutup dengan pohon kayu yang rendang. Lagipun, hujan tidaklah lebat mana. Hanya rintik-rintik halus sahaja kelihatan.

Aku menyegerakan mengemas dan menukar pakaian. Aku lihar, Borhan sudahpun siap memakai baju kemeja-T beserta seluar jeans bewarna biru gelap. Dia memerhatikan sahaja aku sambil dia menyarung stoking dan kasut sukannya. Dia juga sudahpun siap memakai minyak rambut, menyisir kemas rambutnya, beserta memakai deodorant yang disembur.

Aku tahu dan faham sangat keadaan Borhan yang sentiasa menjaga keterampilannya. Teman wanitanya bercakap-cakap dengannya. Beg-beg berisi pakaian telah kami kumpulkan, dan bersedia untuk pulang. Masing-masing membawa satu beg, beserta peralatan memasak.

Kami hendak memulakan perjalanan ke kereta yang diletakkan berdekatan. Dengan tak semena-mena dan secara tiba-tiba, aku lihat Borhan yang berada di depanku meletakkan beg di atas tanah seraya berjalan semula ke air terjun.

"Weh, kau nak ke mana lagi, jom balik!", aku menjerit memanggilnya.

Dia mendiamkan diri berdiri di gigi air. Aku berjalan merapati dia, dan dengan tiba-tiba, di melompat ke dalam air semula. Lompatan dia itu adalah di kawasan air yang deras. Aku segera berlari mendapatkan dia.

Tiba-tiba sahaja dia mulai tenggelam timbul sambil melambai-lambaikan tangannya meminta pertolongan. Aku dan Hadi cuba membantu. Aku menyuruh Sheila mencari kayu atau apa-apa sahaja yang boleh dipaut, kerana saat itu aku nampak dia mulai kelemasan dan kehabisan tenaga.

Aku sedikit hairan apabila kayu dihulur ke arahnya, dia seperti sengaja tidak mahu mencapainya. Dia biarkan sahaja walhal kayu panjang yang dipegang Sheila itu hanyalah beberapa sentimeter sahaja dari kepalanya. Aku mula berfikir, dan mengatakan bahawa perkara ini tidak boleh terjadi.

Aku menghulurkan tangan, dan sempat mencapai tangan kirinya. Aku cuba menggenggam seerat mungkin. Tetapi, tanpa ada sebab yang munasabah, tiba-tiba dia membuka cengkaman tanganku menggunakan tangan kanannya, ibarat nak melepaskan diri daripada genggaman aku. Beberapa saat kemudian dia dihanyutkan dan mula tenggelam dan tak timbul-timbul.

Aku tergamam. Kami berteriak meminta tolong. Orang ramai mulai berpusu-pusu ke kawasan itu, semuanya bertanya akan hal yang berlaku. Aku tunjukkan tempat di mana kali terkahir Borhan kelihatan.

Kawasan itu padat dengan batu sungai dan aliran air tersangat kuat menyebabkan tiada siapa yang berani untuk terjun di situ. Aku segera mendail 999, melaporkan kejadian tersebut. Tak sampai 15 minit kemudian, anggota bomba dan penyelamat mula memenuhi kawasan tersebut.

Beberapa orang memakai baju selam, dan membawa tangki di belakang mereka terus menyelam ke bawah tanpa membuang masa. Aliran air terlalu deras, dan mereka menghulur tali ke arah anggota penyelam itu.

Tanpa aku sedari, aku terdengar laungan azan, menandakan masuknya waktu maghrib. Keadaan menjadi sedikit suram dan gelap. Hadi menepuk belakangku.

"Hei, takpe, takpe, aku rasa Borhan kuat, dia kan pandai main sukan semua", kata Hadi dengan niat nak menyedapkan hatiku dan hatinya sendiri.

Aku mengangguk sahaja. Bukan aku nak berdoa yang bukan-bukan, namun dah 2 jam lebih Borhan tenggelam, dan pasukan penyelamat masih meneruskan usaha mencari terus-menerus. Aku rasa harapan untuk menemui Borhan yang masih hidup kian tipis, saat masa berlalu pantas.

Sheila dan beberapa rakan perempuan menangis, mereka merasakan tiada harapan lagi untuk menemui Borhan dalam keadaan dia masih bernafas dan bernyawa. Salah seorang anggota bomba menghampiri aku dan rakan-rakanku.

"Ni, baik korang pergi solat dulu kat surau tu, solat hajat sekali untuk mudahkan kerja-kerja menyelamat kawan awak ni", katanya.

Aku mengangguk. Masakan tidak, dalam kesibukan usaha mencari daripada petang tadi sehingga maghrib, kami semua tak sempat solat Asar. Betapa berdosanya aku rasa diriku dan rakan-rakanku ketika itu.

Aku mengimamkan solat maghrib, seraya berdoa. Berdoa agar ada keajaiban berlaku. Doa agar Borhan masih hidup, dan mungkin terdampar di belah bawah air terjun. Walau ada 1 peratus kebarangkalian dia untuk hidup, aku meletakkan harapan dan tidak sama sekali putus asa.

Namun harapan tinggal harapan. Tepat jam 8.15 malam, mayat Borhan ditemui di bawah sebuji batu sungai yang besar. Kakinya terpaut pada akar-akar pokok yang menjalar di sekitar kawasan tersebut.

Aku tergamam saat melihat wajahnya yang biru dan membengkak saat mayatnya diangkat oleh pasukan bomba. Aku menyuruh Hadi dan rakanku yang lain untuk pulang dahulu. Biarlah aku seorang sahaja tinggal, lagipun pihak bomba cuma mengizinkan seorang sahaja mengiringi jenazah.

Seluruh universiti jadi gempar apabila berita mulai tersebar di kampus. Masing-masing bersedih, dan ada yang masih tergamam saat mendapat berita tersebut. Tidak disangka-sangka, perkelahan di Hutan Lipur Lata Tembakah yang bermula dengan keseronokkan berakhir dengan kedukaan.

Peristiwa ini, walaupun sudah berlaku lebih 10 tahun yang lalu, mengubah diriku. Aku masih lagi bingung, persoalan aku mengenai mengapa Borhan tiba-tiba sahaja terjun di dalam air serta mengapa dia tidak mahu diselamatkan masih menghantui fikiranku setiap malam.

Selepas kejadian tersebut berlaku, aku sendiri masih tergamam apabila seorang demi seorang pelajar universiti, kolej mahupun politeknik menjadi mangsa lemas di tempat yang sama. Terbaru, 3 orang pelajar Universiti Malaysia Kelantan ditemui lemas apabila mereka berkelah di situ, di tempat yang sama yang meragut nyawa Borhan.

Aku sedar juga, supaya tidak terlampau berseronok, serta mengelakkan diri daripada membawa kaum bukan mahram di kawasan tersebut. Apabila bercampur lelaki dan perempuan dalam sesuatu aktiviti dengan bebas tanpa memikirkan soal agama, solat dan lain-lain, akan hadir sesuatu untuk memilih dan menjemput salah seorang ke alam barzakh.

Memang tak dinafikan, setelah kejadian tersebut berlaku, aku terlalu terkesan sehingga memerlukan rawatan daripada psikiatri. Aku perlukan ubat-ubatan agar aku dapat tidur di waktu malam. Di kala sedang menerima rawatan inilah aku berjumpa dengan penulis, yang merupakan doktor pelatih sewaktu aku mendapatkan rawatan.

Aku bercerita kepada penulis, dengan harapan para pembaca dapat menjadikan iktibar pengalaman sebegini. Jangan terlalu seronok, jangan bercampur lelaki dan wanita yang bukan mahram dan jangan lupa solat dan doa sebaik sahaja waktu sembahyang masuk.

Wallahualam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience