BAB 2

Romance Series 8815

Bab 2

“KAU dah bulat hati ke ni? Bukan senang nak kerja kat situ. Pressure bukan main-main.” Naemah memandang wajah Misya yang masih tekun membaca emel panggilan bekerja.
Kalau Misya betul-betul nak kan kerja itu, kenapa riak wajah Misya menyatakan perkara yang sebaliknya? Dia kenal Misya sejak kecil lagi. Dia boleh membaca riak Misya tanpa perlu bertanyakan tentang isi hati temannya itu. Misya mungkin boleh menipu di depan orang lain, tetapi di depannya, Misya terlalu ‘transparent’. Gadis itu langsung tidak berusaha untuk menyembunyikan perasaannya terhadap Naemah. Begitu juga sebaliknya.
“Hmmm...” Misya mengangguk.
Kalau fikir pasal tekanan, semua tempat pun ada tekanan sendiri. Walau Naemah berkali-kali cuba memujuk Misya untuk menukar keputusan kerana kelulusannya jauh menyimpang dengan bidang kerja yang dipohon, Misya ada sebab yang tersendiri. “Aku memang nak jumpa dia.”
“Kau masih rasa bersalah pada dia ke? Benda yang jadi tu takdir. Kau tak ada kaitan pun sebenarnya.”
“Selagi aku tak jumpa dia, hati aku tak tenang. Asyik terfikir-fikir...”
Naemah menggaru-garu dahi. Dia faham apa yang Misya rasa. Kadang-kadang terlintas dalam kepalanya apa yang berlaku pada Jeeyan selepas tragedi itu. Cuma, mungkin hatinya agak sedikit keras berbanding Misya, kerana itu dia memilih untuk mengabaikan dan melupakan. Mungkin juga kerana tindakannya tidak seteruk tindakan Misya pada masa itu.
“Aku tak tahu macam mana kau nak jumpa dia, tapi aku rasa macam mustahil. Walaupun kau fikir kau boleh jumpa dia dengan cara mendekati abang dia, let me tell you about him...”
Naemah membetulkan tuala yang terletak di atas kepalanya. Rambutnya masih lagi basah.
Biarlah kali ini Misya sedar usahanya itu sia-sia saja. Jawdan, abang Jeeyan. Dia bekerja sebumbung dengan editorial team leader itu. Walaupun Naemah pernah cuba bertegur sapa dengan Jawdan, lelaki itu langsung tidak pernah menyambut sapaannya. Hanya mengangguk dengan hujung mata saja. Seolah-olah tiada ruang buat Naemah mahu berbual mesra dengan Jawdan.
Ada juga dia mendengar gosip-gosip halus tentang Jawdan, lelaki yang ada iras-iras dengan pelakon Korea, Jo Insung. Ah, nama saja hampir sama. Panggilan Jawdan di tempat kerja ialah Tuan Jo. Kata kenalan yang bekerja di bahagian jabatan editorial novel, setiap kali mesyuarat, mereka bakal menerima bermacam-macam kritikan. Malah content penerbitan buku akan melalui fasa pahit getir sebelum menerima approval daripada Tuan Jo. Kiranya pangkat Jawdan adalah pangkat tertinggi dalam syarikat. Dia yang memegang kuasa untuk meluluskan penerbitan bahagian majalah, novel dan juga komik.
Malah kadang-kadang pasukannya, bahagian majalah terpaksa merombak banyak perkara pada saat akhir kerana kritikan daripada Jawdan Raffiq. Ketua team majalah, Encik Luqman sendiri kata, sejak ada Jawdan di syarikat ini, kerja-kerjanya bertambah berat memandangkan Jawdan seorang yang tegas dan perfectionist. Segala inci, ruang dan sentimeter kesilapan bakal dinilai dan lelaki itu seperti punya mata helang yang mampu melihat sebesar hama kesalahan yang wujud walaupun sudah disemak oleh Encik Luqman berkali-kali.
“Abang Jeeyan tu lain. Dia tak sama dengan orang lain. Kalau kau jumpa dengan dia, aura dia macam boleh nak telan orang. Aku dekat setahun kerja kat sana tak pernah nampak Tuan Jo tu senyum.” Jujur Naemah bercerita. Dia mahu Misya mempersiapkan diri sebelum berhadapan dengan makhluk dingin bernama Jawdan.
“Garang sangat ke?” soal Misya.
“Sangat!” Naemah mengangguk. Dia bukan mengada-adakan cerita. Semua pekerja dari tukang sapu, sampailah bos besar tahu perangai Jawdan Raffiq.
“Aku rasa terlalu berisiko sebab kau dapat jawatan sebagai personal assistant Tuan Jo. Aku tak pernah tahu yang Tuan Jo nak ambik PA sebab sejak Kak Zahara berhenti kerja beberapa bulan yang lepas, tak ada orang pun yang ambil alih tugas dia sebagai PA Tuan Jo. Bahagian HR pun senyap aje...”
“Dia orang contact aku untuk PA, aku terus setuju sebab...”
“Dah... Dah... Tak payah cerita. Kalau kau betul-betul nak jumpa Jeeyan, banyak lagi caranya.”
Misya tersenyum segaris. “Kalau aku ada cara lain, dah lama aku jumpa Jeeyan. Dah lama aku duduk melutut merayu minta maaf pada Jeeyan. Tapi tak ada!”
“Misya...” Naemah menghela nafas dalam-dalam.
Dia rasa Misya terlalu overthinking.
“Kalau aku ada cara lain, dah lama aku buat cara tu. Tapi tak ada,” ulang Misya seraya menekan kedua-dua tapak tangannya di atas dahi.
Mata Naemah redup merenung temannya itu. Tumpah rasa simpatinya terhadap Misya. “Bukan salah kau pun Jeeyan jadi macam tu. Dah takdir dia.”
Misya tertunduk sambil menggigit bibir. “Aku pernah anggap benda yang dah jadi tu takdir Jeeyan. Tapi hati aku ni, bagi tau perkara yang sebaliknya.”
“Aku tak pasti rancangan kau berjaya atau tak, cuma jangan overwork diri kau sangat.” Naemah menghela nafas dalam.
Misya mengangguk. Dia tahu Naemah risau. Tapi biar kali ini dia mencuba. Tak berjaya pun tak apa. Janji dia berusaha. Untuk menemui Jeeyan seperti biasa memang agak sukar. Dia pernah bertanya kepada rakan baik Jeeyan mengenai Jeeyan. Mereka kata, keluarga Jeeyan tak bagi mereka berjumpa dengan Jeeyan.
“Aku masuk bilik dulu. Esok pagi kena gerak awal sebab ada miting dengan team. Good luck Misya... Walaupun Jawdan Raffiq tu aku tak tahulah macam mana kau nak dekati, tapi aku doakan kau berjaya jumpa dengan Jeeyan.” Naemah bangun dari duduk.
Misya tersenyum kecil. Oh, sebutannya Jouden Raffiq. Ingatkan Jaudan...
Hilang saja Naemah dari pandangan mata, Misya menarik buku planner yang diletakkan di atas komputer riba. Dia membelek-belek beberapa lembaran sebelum jemarinya terhenti di satu muka.
Gambar Jawdan dipandang lama. Dia mengambil pen kemudian membulatkan gambar Jawdan beberapa kali. Jika dilihat dengan mata kasar, lelaki itu tidak banyak berbeza dengan lelaki lain. Melainkan wajah Jawdan yang terlalu eye candy. Kacak dan maskulin.
Dulu masa di universiti, kebanyakan art student ramai yang kacak-kacak. Sampaikan para siswa di universiti mencanang yang orang seni ni tak lari dari dua benda. Kreatif dan good looking. Betullah tu agaknya.
Good looking tu satu bonus. Bekerja di bawah Jawdan bermakna dia bakal melihat wajah kacak itu setiap hari. Tapi tentang karakter lelaki itu, andai benar yang Naemah katakan, mungkin dia bakal berhadapan dengan tekanan yang berat di tempat kerja.
Tak apalah, cuba dulu. Tak cuba tak akan tahu...
Hati Misya berbisik memujuk diri sendiri.

follow ig @rinsyachasiani

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience