"Kakak tak de kawan lelaki?", tanya Kak Zah duduk di sebelah aku yang baru sudah memasukkan ayam ke dalam kuali untuk digoreng. Peluh dah menjejeh ke bumi. Penat tak usah diucap, dengan tak sempat bersahur. Aku rasa nak masuk bilik air, teguk air kolah. Tapi bila fikir semula, malu la... dah tua pun nak buat perangai budak tak akil baligh.
Along menyantuni warga lelaki yang datang bersama Zaf. Angah memang takkan ada kalau hari hari penting macam ni, semuanya rumah mentua. Eh, hari tak penting pun dia takde. Nak tak nak, aku la kena buat. Dah mak sibuk melayan bakal besan. Nuha?? Tak payah, tengah sibuk menjalin cinta di bawah pokok rambutan. Biarkan, biar kena ketik dengan kerengga. Geram pula aku dengan apa yang dicakap tadi.
"Ramai. Kat uni, kat sekolah, mmmm... masa intern lagi ramai kawan lelaki. Hensem hensem". Aku cuba berloyar buruk dengan kak Zah. Bukan aku tak faham maksud dia.
"Bukan tu maksud kak Zah. Kawan macam Zaf tu", terang Kak Zah muncung bibirnya dihalakan ke arah Zaf dan Nuha. Aku tersengih, muncung Kak Zah boleh gantung baju.
"Siapa yang nak kat kakak ni?", jawabku seolah meluahkan rasa terbuku namun kumasukkan tawa kecil dihujungnya. Mustahil la aku tak terasa ingin disayangi dan menyayangi. Mustahil la aku tak rasa cemburu dan keseorangan bila tiap seorang housemate aku keluar bersama buah hati di hujung minggu. Tu belum campur balik lambat sebab makan malam dulu sebelum pulang. Hanya anime yang aku download menjadi peneman ketika aku makan berseorangan di rumah. Adakalanya aku menjamu selera di warung saja, solo.
"Adik Kak Zah ni lawa je. Manis. Kalau rambut panjang, ayu sangat. Takkan takde yang cuba dekat".
Rambut panjang?? Pedihnya bila Kak Zah berkata demikian.
Aku menggeleng sambil tersengih, "rasanya kakak ni tak cukup manis kot untuk memikat mereka".
"Ni tak pe ke adik kawin dulu?", soal Kak Zah prihatin sangat tentang diriku. Dia sayang aku seperti adik kandungnya. Yelah, dia mana ada adik beradik.
"Eh, takpe. Dah jodoh dia yang sampai dulu. Kakak ok je", jawabku spontan. Sedih tu memang la sedih, nak buat macam mana kan dah itu aturan-Nya. Mungkin jodoh aku baru nak ambil SPM atau belum lahir kan?
"Takkan langsung takde kakak? Seth tu? Mak selalu je sebut".
Aku terdiam. Hati aku masih membuku, masih berdarah biarpun sudah lama.
"Seth?? Tu kawan je masa sekolah. Lepas tu masuk foundationĀ dan uni pun yang sama", ujarku menafikan seperti biasa setiap kali timbul persoalan tentang hubungan aku dan Seth.
"Tapi kan korang rapat". Aku sekadar mengangguk bersetuju dengan pendapat Kak Zah.
"Takkan takde apa apa? Mak cerita Seth selalu datang rumah dulu. Korang keluar sama sama, belajar sekali, pergi sekolah pun berdua".
Aku pura pura ketawa sekadar mengubat hati lara, "Seth tu kawan biasa je la, Kak Zah. Dia dah bertunang pun. Cantik tunang dia tu. Macam kacukan Arab".
"Mancung hidung yer... Takpe, nanti kakak dapat yang hidung lagi mancung. Terpatuk gitu", kata Kak Zah sambil menggayakan tangan ke hidungnya.
"Aaaa... tu hidung eksklusif Zizan. Takdenya Zizan nak pandang orang gemuk macam kakak ni", balasku menampar tangan Kak Zah. Berderai tawa kami.
"Kak Zah, ayam ni cukup ke goreng gini? Ke belum lagi?", soalku membalik balikkan ayam dalam kuali. Aku memang gagal besar bab masak memasak terutamanya jika ada orang yang lebih pandai memasak ada sekali. Kalau masak untuk tekak sendiri dan berseorangan, lepas la. Terpedas ke termasin ke terhangit ke, aku telan dengan redha.
"Sikit lagi. Tak yah garing sangat. Nanti masa kita buat kuah tu, masukkan semula ayam ni. Ayam masak sepenuhnya dalam kuah masak merah", jelas Kak Zah berdiri di sebelahku.
*********
"Kakak!!Ā Kan kejap lagi orang masjid datang, kenapa la kau pakai seluar jeans koyak dengan t shirt buruk ni? Baju kurung ke jubah ke, takde??". Bebel Along berdiri di sebelah aku sambil menarik hujung lengan bajuku.
"Kakak kat dapur je la. Bukan nak ke depan pun. Rimas pakai baju kurung. Susah nak buat kerja", balasku menolong Kak Zah menyusun piring piring kecil berisi lauk dalam talam besar untuk dibawa ke depan sebentar lagi selepas usainya takbir raya atau lebih dikenali sebagai baraan.
"Kau ni kan.... menjawab je. Tak pernah nak dengar kata", luah Along meninggalkan aku dan mencuit Kak Zah sebelum keluar ke masjid. Aku tau dia minta Kak Zah nasihatkan aku la tu.
Belum sempat Kak Zah buka mulut, Nuha muncul di dapur. Cantik adik aku, dengan tudung bawal dirapikan. Dipakai bersama jubah hitam berbatu kilat kilat dari Mekah.
"Keluarga Zaf dah sampai", katanya tersengih sengih sebelum menghilangkan diri.
Keluarga Zaf rupanya menempah bilik di hotel bajet di pekan untuk penginapan. Tapi bilik aku tetap menjadi singgahan untuk mereka berbaring jika di rumah.
"Kenapa la tahun ni pulak maklang beraya kat Pahang? Kalau tak, senang kita ada pembantu. Tak la kelam kabut sangat", rungutku. Rasa penat mula menyelinap ke seluruh urat saraf. Hanya kami berdua di dapur dari tadi. Kalau aku tak menolong, pasti Kak Zah lagi penat. Ke... sama je? Atau Kak Zah lagi penat bila aku tolong?
"Dah memang giliran balik Benta kan tahun ni. Kak Zah ni sebab anak buangan. Kalau ada keluarga, kakak sorang je la masak, buat semua ni. Hihihihihi", seloroh Kak Zah melihat dulang dulang yang telah siap sebelum ditutup dengan suratkhabar.
"Kakak beli kfc je Kak Zah. Mana nak tau masak camne. Tak pun bungkus kari mamak kat pekan", jawabku selamba menyusun gelas yang telah dicuci dan dikeringkan ke dalam dulang kosong.
"Ishhh budak ni. Pengsan mak tau kalau pagi raya makan kfc, makan roti canai", balas Kak Zah menepuk pahaku sebelum bangun untuk membancuh air. Cerek yang ditenggekkan atas api tadi sudah pun menjerit jerit.
"Meriahnya dapur, ingatkan ramai tadi", tegur satu suara. Bakal mak mentua Nuha rupanya.Ā Mak ni kemana la agaknya. Sibuk menyusun atur lagi ke?
"Sesekali jumpa adik, aunty", ujar Kak Zah.
"Awak jarang balik ke?", soal aunty pada Kak Zah. Dia berdiri di muka pintu antara dapur dan ruang tengah. Matanya agak kurang senang dengan penampilan aku bersila. Seluar jeans yang terkoyak di lutut dan aku lipat setengah betis.
"Ada juga balik. Tapi kadang kadang saya yang tak sempat balik rumah mak, masa Nura ada. Banyak hal nak diuruskan", jawab Kak Zah sopan.
"Eh.. belum ada anak kan? Nak sibuk apanya? Kalau anak berderet tu, ye la sibuk".
Aku dan Kak Zah saling berpandangan. Kak Zah memberi isyarat mata padaku supaya bersabar.
"Siap dah Zah?", soal mak tiba tiba terpacul.
"Dah mak. Tunggu orang masjid datang je ni", jawab Kak Zah sopan.
Aku memang kagum dengan Kak Zah ni. Walaupun tinggal di rumah anak anak yatim, budi bahasanya tinggi. Layaknya seperti anak orang alim alim. Namun dari apa yang diberitahu oleh bonda rumah tersebut, Kak Zah ditinggalkan di perhentian bas tanpa sebarang dokumen.
Sememangnya dia seorang ustazah kini, satu tempat dengan Along. Tapi mulut takde la macam along. Lembut je. Cuma kadang kala kasar dan garang, itu pun sekadar bergurau dengan aku. Dengan yang lain, tak pernah pula aku nampak dia kasar begitu.
"Ya Allah Nura. Takde jubah ke? Tudung mana? Ni orang masjid nak datang". Tinggi suara mak. Lupa ada bakal besan di dapur. Aku tersengih umpama kerang busuk.
**********
"Cantik kan cincin ni", kata Nuha menayang cincin yang tersarung di jari manisnya. Cincin yang diberi oleh keluarga Zaf sebelum mereka pulang dua hari lalu. Katanya cincin risik. Aku pun tak faham. Dah kenal lama, siap datang makan tidur baring mandi kat rumah ni, apa nak risik lagi?
Dah tentu tentu Nuha dok berkepit je dengan Zaf selama ni. Macam aku tak tau, Nuha dah bercinta dengan Zaf masa minggu orientasi. Zaf senior yang menjadi fasilitator, Nuha freshie. Indahnya dunia jadi orang cantik ni. Macam Nazariah... keluhku dalam hati.
"Cantik tak?", soal Nuha lagi. Mulutku terisi buah rambutan, nak jawab tak dapat. Jadi aku angguk. 'Ala, takat cincin belah rotan. Eh, cincin juga. Aku ado???'.
"Kak, betul kau takde buah hati ni?"
"Betul la. Kau dah kenapa? Ada nampak aku bawak jantan balik rumah?", tanyaku sedikit sarkastik selepas meludah biji rambutan yang isinya habis semasa aku kulum tadi.
Nuha duduk disebelahku, pangkin bawah pokok rambutan.
"Kalau ada boleh buat sekali. Mak kata kau nak barang kemas. Betul ke?"
"Haah. Aku nak apa yang kau dapat masa majlis apa tu... yang lepas tok kadi kata sah".
Nuha terdiam.
"Tak dapat la aku nak rantai dengan loket. Tak cukup bajet. Kena beli dua gelang la", kata Nuha perlahan seolah berbisik. Riak sedih dan hampa terpapar di muka.
"Kenapa pula?", tanyaku pelik.
"Kau tau la kak, gaji aku jadi kerani lapan ratus je. Company kecil je. Gaji abang Zaf tak sampai dua ribu", luah Nuha.
"Eh.. takkan la. Bukan Zaf tu manager ke Nuha?", bidasku.
"Mana dapat cerita ni? Dia supervisor je la", balas Nuha seolah melatah. Nak aje aku jawab, bakal mentua kau la kata anak dia manager.
Kesian pula aku dengar keluhan Nuha. Eh, tapi kalau nak kawin mestilah dah siap sedia nak galas tanggungjawab fizikal, mental dan ekonomi. Takkan fikir pasal buat anak je.
"Ala... rantai tu bila dapat bonus kau mintak la Zaf belikan. Besar tali sauh kapal pun boleh", pujukku sambil berseloroh.
"Abang Zaf cakap duit bonus tahun ni la dia buat duit beli barang hantaran. Syarikat dia tu bukannya bagi bonus hujung tahun. Belanja kenduri pinjam bank", ujar Nuha perlahan seolah mengeluh.
'Ahhhh... sudah. Sengkek betul Zaf ni. Ada hati nak bela anak orang'.
"Mak dia tak sponsor?". Sengaja aku sebut makcik mulut tak bertapis tu.
"Bertuah la. Ada ke dia minta lima ribu dari duit yang Zaf pinjam tu", kata Nuha sedikit geram.
"Ha?? Nak buat apa?". Serius aku terkejut. Lima ribu ringgit bukan sikit beb.
"Nak beli rantai tali sauh yang kau cakap tu la", ujar Nuha memandang mataku.
"Eh... kan dah ada. Bukan dia pakai ke masa datang hari tu? Gelang saja dah sekerat lengan", kataku mengingati segala yang berlaku tempoh hari.
"Abang Zaf dah bagi la agaknya tu".
Dalam hati, aku mengucap panjang. Ehh.. pandai lak aku mengucap yer, hihihi. Bertabahlah Nuha, belum apa apa mak mentua kau dah request macam macam.
Ni salah satu sebab perkataan kawin tu ibarat igauan ngeri aku. Mak mentua. Aku akui tak semua begitu. Macam mak aku, Kak Zah tu macam anak sendiri. Bini angah je yang tak berapa. Tu pun sebab dia yang jarang balik. Ada saja alasan untuk tak balik ke rumah kami. Angah pun macam lembu cucuk hidung.
"Kat sini rupanya...".
Kami berdua menoleh. Along berbaju melayu warna perak mendekati kami.
"Nura, pi buat air kopi ke teh. Goreng mee sekali. Jap lagi kawan along nak datang".
Bulat mata aku. Nuha dah tergelak gelak. Aku mana tau menggoreng mee.
"Adik, jangan tolong kakak. Pesan kat kak Zah sekali".
Kecik besar kecik besar je aku tengok along. Mentang mentang mak dah keluar dengan Mak Besah. Boleh la dia buli aku.
"Pergi cepat. Jap lagi bakal mak mentua kau nak datang".
"Hah????". Aku terkejut. Sangat terkejut. Aku ingat hari tu Nuha buat cerita dongeng saja.
Share this novel
jeng³.. adakah bakal mak mertua itu adalah mak arif, mak seth, atau mak bakal watak baru..
mau x terkejut....time2 gini la bakal mak meetua nk datang...hahaha