BAB 8

Mystery & Detective Completed 973

Khamis. 8:30 malam

Deposit berserta wang sewa bulan ini disisip kemas di dalam
sampul surat bersaiz A4. Tidak padan dengan nilai wang yang agak kecil.
Hanya sampul bersaiz besar itu yang dijumpanya. Disamping itu,
dikepilkan sekali satu nota ringkas:

“Izzah, ni bayaran deposit dan sewa rumah untuk bulan ni. Wati
minta maaf sebab terlambat. Wati betul-betul terlupa. Maaf terlambat.”

Tatkala Wati berdiri di hadapan bilik teman serumahnya,
keadaan masih sunyi sepi. Tetapi di sebalik celahan pintu, cahaya lampu
masih terang melimpahi segenap ruang.

Tukk! Tukk! Tukk!

3 kali ketukan ganjil pintu bilik. Sengaja Wati ingin mencuba
nasib. Mana tahu, jika nasibnya baik, mungkin Izzah tengah moodceria,
dibukanya pintu. Tapi cubaannya membawa kepada kehampaan. Sunyi sepi.
Lantas Wati hanya menolak sampul berisi wang itu melalui bawah pintu.
Ditolaknya dengan sedikit tenaga agar ianya menerjah ke ruang tengah
bilik. Ketika ingin beredar, ragu-ragu mula timbul. Apa lah gerangan
yang sering dilakukan oleh Izzah di sebalik pintu ini. Tidak berpuas
hati, Wati terfikirkan sesuatu.

“Apa kata kalau aku menghendap?” kata-kata hati Wati sambil
merenung lubang kunci pintu bilik tersebut.

Tidak berlengah, terus Wati membongkokkan badan, menutup
sebelah matanya, dan menghendap melalui celahan lubang kunci itu.
Diperhatikan dengan teliti. Di penjuru kanan, terdapat sebuah katil yang
dikenakan cadar berwarna putih, berserta set bantal bercorak bunga.
Biliknya kosong dan tampak kemas. Alat solek kelihatan penuh disusun
kemas di hadapan meja sisi. Barangkali itu lah meja soleknya dek satu
cermin kecil diletakkan di atas meja itu. Wati meluaskan pandangannya,
agak sukar penglihatannya dengan celahan yang agak terhad itu.

Kelibat Izzah langsung tidak kelihatan, hanya bunyi mandian di
bilik air dalam biliknya.

“Ohhh..tengah mandi kot.”

Selang beberapa saat, tiada lagi bunyi pancuran air
kedengaran. Mungkin sudah selesai. Bunyi pintu bilik air kedengaran
dibuka. Wati masih setia menghendap. Tidak tahu malu agaknya.
Tertonggek-tonggek diluar. Tatkala pintu bilik air dibuka, hidung Wati
menangkap satu haruman yang sangat wangi. Terlalu harum baunya. Tetapi
harum yang pelik dan jelik.

“Sabun apa Izzah ni pakai. Pelik baunya.”

Wati terfikir sejenak. Bauan itu pernah dibaunya. Oh! Bau
bunga kemboja, mungkin bau air mawar yang bercampur dengan bau kemenyan
yang telah dibakar. Bauan yang Wati terhidu semasa kematian bapa
saudaranya. Menusuk hidung tengik wanginya. Anak matanya cuba
diperbesarkan. Hasratnya cuma satu, ingin melihat Izzah, walaupun
sekali, walaupun dengan cara jelik yang dia tengah lakukan sekarang.
Tiada bunyi tapak kaki kedengaran, yang ada hanyalah haruman yang
menaikkan bulu roma Wati itu, haruman yang mengingatkan dia kepada kematian.

Sedang Wati memberikan sepenuh perhatian. Tiba-tiba jerkahan
kedengaran.

“APA KAU TENGOK HAHH???!!!!!!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience