BAB 24

Romance Completed 16440

Amira mengurung diri di dalam bilik. Sekejap lagi kenalan arwah ayah akan datang. Dia semakin gelisah. Sesekali dia jeling jam di atas meja belajar. Hatinya berdebar-debar. Deruman kereta di luar mula kedengaran. Dia jenguk keluar tingkap. Dua buah kereta sudah siap diparkir di laman rumahnya.

“Aduh! Macam mana ni?” Amira mula rapikan tudungnya yang kusut.

Dia segera melangkah ke pintu bila mendengar ada ketukan. Perlahan pintu dibuka. Abangnya sudah tercegat di muka pintu.

“Tamu dah sampai tu. Nanti tolong mak sediakan juadah okey?” Abang Ery senyum sambil mengenyit mata.

Amira muncung lagi. Jantungnya semakin berdebar. Ikutkan hati mahu saja dia keluar dari rumah hari itu dan lepak di rumah ibu saudaranya di kampung sebelah. Perlahan dia melangkah turun ke ruang dapur. Nasib baik ruang dapur tidak perlu melalui ruang tamu.

Dari dapur, dia dapat mendengar dengan jelas perbualan ibu dan rombongan merisik itu. Sesekali kedengaran mereka ketawa. Mungkin ada cerita lucu agaknya. Malas dia ambil pusing. Jus lemon dibancuh perlahan. Kuih raya dan juadah sudah siap dihidang atas meja makan.

“Assalamualaikum..tumpang tanya..bilik air kat mana?” Amira berpaling. Matanya kaku memandang seorang lelaki yang sangat dikenalinya berdiri di depan muka pintu dapur.

“Shafiq??”

“Amira??”

Masing-masing terdiam. Lama mereka berpandangan. Sudu di tangan Amira jatuh ke lantai. Cepat-cepat dia ambil dan membasuhnya di singki. Amira pandang Shafiq lagi. Shafiq segak dengan baju Melayu warna biji kundang dan bersamping hitam

“Jadi…” Amira tergagap-gagap. Tiada suara lagi keluar dari kerongkongnya.

“Maafkan aku..terima kasih hadiah tu. Tapi aku tak makan budu!” Shafiq cuba memecah keheningan suasana.

“Mana tahu kau nak buat cek mek molek pakai resipi aku! Kau tu..bagi aku kicap!” Amira mencebik. Dia sudah terlupa tentang kedatangan Shafiq di rumahnya ketika itu.

Shafiq ketawa. Dia pun tidak sangka Amira juga menghadiahkannya sebotol budu. Teringat nota ringkas yang ditulis di kad raya. ‘ Inti budu untuk cek mek molek kau nanti!’

Amira mula sakit hati melihat Shafiq ketawa begitu.

“Kau..kau buat apa kat sini?” Amira pandang Shafiq dengan riak geram. Tak habis-habis nak kenakannya.

“Tak boleh ke aku datang rumah kau?” Shafiq sengih. Ketawanya mula reda. Kini dia faham maksud ibunya yang beria ingin berbesan dengan kenalan ayahnya. Hatinya mula berbunga. Terasa dunia begitu kecil.

Amira jeling Shafiq yang masih tersengih-sengih begitu. Jus dikacau kuat. Bunyi sudu berlaga dengan jag kaca jelas kedengaran.

“Cik Amira oi..pecah karang jag tu! Tak nak aku kahwin dengan perempuan macam kau ni! Kasar!” Shafiq mula ketawa semula.

Amira lempar sebiji kuih semperit ke arah Shafiq. Shafiq cepat-cepat mengelak.

“Tak kelakarlah! Siapa yang nak kahwin dengan kau?” Amira letak jag atas dulang.

Amira perhati Shafiq yang masih bersikap seperti dulu. Suka menyakatnya tak kira di mana. Namun jauh di sudut hati dia menyukai Shafiq walaupun dia dan Shafiq suka bergaduh begitu.

Kini dia bingung. Siapa pula Hazrul?? Dia terus menunjukkan arah bilik air bila Shafiq bertanya sekali lagi. Kali ini dia pasti, Shafiq dan Hazrul mungkin ada pertalian saudara. Amira mula tidak sedap hati. Bermakna jika dia terima lelaki itu, dia juga akan menjadi sebahagian keluarga Shafiq nanti. Parah!

Perlahan Amira menapak ke arah ruang tamu. Semua mata tertumpu padanya. Terasa kakinya tidak menjejak lantai. Terawang-awang. Dia dapat mengagak, kedua orang tua Hazrul hadir bersama. Ada dua orang lagi yang pada hemahnya mungkin saudara mara keluarga Hazrul turut berada di situ. Sambil menatang dulang berisi sejag jus lemon, Amira jeling tetamu yang hadir. Matanya mencari kelibat Hazrul. Pencariannya terhenti pada sesusuk tubuh yang duduk di sebelah seorang perempuan yang agak berumur, mungkin ibu kepada Hazrul. Dia jeling sekilas lelaki itu. Mungkin lelaki itulah Hazrul. Segak berbaju Melayu hijau dan bersongkok hitam bersulam emas. Ada misai nipis. Agak tampan. Lelaki itu turut senyum bila menyedari Amira merenungnya begitu.

Dulang diletak atas meja sofa. Perlahan dia menuang jus lemon ke dalam gelas. Terketar-ketar tangannya memegang jag. Terasa semua mata sedang memerhati tingkah lakunya ketika ini.

“Nilah anak gadis saya kak… Amira Cempaka!”

Amira pandang ibunya yang tersenyum memperkenalkan dirinya kepada ibu dan bapa Hazrul. Dia pandang pula lelaki yang dirasakannya Hazrul. Lelaki itu senyum lagi. Ery, abangnya yang duduk sebelah ibu turut senyum melihat tangannya terketar-ketar begitu.

“Ohh..manis orangnya. ..”

Amira ingin ke dapur semula tetapi dihalang oleh ibunya. Dia terpaksa duduk sama di situ. Dulang diletak bawah meja sofa. Tidak sanggup dia membatu di situ dan diperhati macam patung cendana. Dia cuba melempar senyuman kepada Hazrul yang tersenyum dari tadi. Ingin saja dia bertanya hubungan Shafiq dengan Hazrul.

“Amira apa khabar?” Lelaki itu mula bertanya khabar Amira.

“Ba..baik.” Amira senyum sambil tunduk. Sah, lelaki itu adalah Hazrul. Dari riak wajahnya jelas lelaki itulah yang ingin dijodohkan dengannya. Namun dia masih ragu-ragu dengan telahannya tadi. Lelaki itu nampak lebih berusia.

Teringat Shafiq di dapur tadi. Amira mula sebak. Di saat dia mula sukakan Shafiq, ibunya pula ingin menjodohkannya dengan Hazrul.

“Jemputlah! Amira yang masak rendang dan kuih tu semua.”

Amira hanya senyum hambar. Dalam hati membuak-buak ingin tahu benarkah yang sedang tersenyum kepadanya ketika ini adalah Hazrul. Belum sempat dia membuka mulut ingin mendapat kepastian, ibu Hazrul sudah tersenyum sambil memandang ke arah dapur.

“Hah..tu pun Hazrul datang! Hazrul, mari sini! Kenalkan, ni Amira yang ayah selalu cerita tu” Ayah Hazrul senyum melihat anak bujangnya.

Amira pandang ayah dan ibu Hazrul dengan wajah bingung. Dia menoleh pula ke arah seseorang yang dimaksudkan oleh ibu Hazrul tadi. Shafiq?? Jadi siapa lelaki di depannya yang sedang merenungnya ketika ini?

Shafiq melangkah berhati-hati dan hanya tersenyum sambil melabuhkan punggung di sebelah lelaki tadi. Dia jeling Amira yang masih terpinga-pinga kebingungan.

“Hazrul??” Terpacul nama Hazrul dari mulut Amira. Matanya merenung tajam wajah Shafiq yang masih tersenyum. Ada sedikit rasa geram bila melihat Shafiq hanya selamba tersenyum kepadanya.

“ Ya, saya Hazrul Shafiq!” Shafiq mula perkenalkan diri.

Amira terdiam. Terasa kerongkongnya sudah tersumbat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience