68

Romance Series 93217

Kemesraan yang terjalin di antara Ezmal dan Sofya bukanlah suatu rahsia lagi. Malah saban hari hubungan mereka menjadi semakin akrab. Lebih mengembirakan lagi apabila hubungan yang terjalin itu turut mendapat restu dari keluarga kedua - dua belah pihak. Sejak hari pertama Sofya dibawa bertemu dengan ahli keluarganya, Puan Sri Elise lah orang yang paling teruja. Setiap saat bibirnya tidak kering - kering dari memuji kecantikan dan kesopanan yang dimiliki oleh Sofya. Bagi Ezmal, Sofya memang seorang gadis yang pandai mengambil hati orang tua. Jadi tidak hairanlah mengapa hanya dengan sekali pertemuan sahaja, ibunya sudah mampu menyukai Sofya.

“Dari tadi mom tengok anak bujang mom ni asyik tersenyum - senyum aje. Teringatkan buah hati ke?" Tegur Puan Sri Elise bersama senyuman di bibir.

Ezmal tersentak saat ditegur secara tiba - tiba sebegitu. Lamunannya terhenti. Wajah ceria ibunya ditatap lembut sebelum bibirnya turut tersenyum setelah menyedari dirinya sudah terperangkap.

“Ada - ada je mom ni. Ez tersenyum sebab teringatkan kenangan masa Ez kecil - kecil dulu. Mana ada Ez teringatkan Sofya." Ezmal cuba menyangkal telahan ibunya.

Puan Sri Elise mencebikkan bibirnya. Tidak sedikit pun beliau mempercayai kata - kata Ezmal. Nalurinya kuat mengatakan bahawa Ezmal sedang memikirkan Sofya.

“Kalau dah suka tu, apa lagi yang nak dinantikan? Bagi tahu mom and dad bila kita orang boleh hantar rombongan meminang? Jangan tunggu lama - lama. Nanti lama - lama dia diambil orang." Usik Puan Sri Elise sambil menyanyi - nyanyi kepada anak bujangnya.

Ezmal tertawa lucu. Akhirnya dia menyerah kalah dengan usikan Puan Sri Elise yang bertalu - talu itu. Ezmal sendiri tidak tahu ilmu apa yang digunakan oleh ibunya untuk memerangkap dirinya. Namun begitulah kenyataannya. Sejak dari kecil, dia langsung tidak pernah berjaya untuk menipu isi hatinya dari Puan Sri Elise. Apa sahaja yang cuba dirahsiakannya dari pengetahuan ibunya, nanti lambat laun ianya pasti akan terbongkar jua.

“Mom ni pakai ilmu apa eh? Apa je yang Ez cuba rahsiakan dari mom, mesti mom tahu juga akhirnya. Tak fair lah macam ni." Ujar Ezmal dalam nada merajuk.

Puan Sri Elise tersenyum dengan penuh kemenangan. Dia sengaja mengangkat keningnya berkali - kali di hadapan Ezmal bagi memanaskan lagi keadaan. Melihatkan jelingan maut Ezmal, akhirnya Puan Sri Elise tertawa besar.

“Naluri hati seorang ibu tak kan pernah salah. Walau sebesar kuman pun, dia tetap akan dapat merasakannya. So, Ez jangan pernah bermimpi untuk cuba merahsiakan apa - apa dari mom. I know you." Ujar Puan Sri Elise masih dalam nada bangga.
Ezmal mencemik. Bergaduh dengan ibunya memang dia tidak akan pernah menang. Jadi pengakhirannya dia menyerah kalah.

“So back to our discussion, sampai bila mom and dad nak kena tunggu ni? Kalau sama - sama dah suka, apa lagi yang nak dinantikan? Benda yang baik kan lebih elok kita percepatkan. Lagipun mom and dad memang dah suka sangat dengan Sofya tu. Baik budaknya. Sopan - santun, lemah lembut. Cakap pun lembut aje. Sejuk hati mom ni bila tengok dia tau." Puji Puan Sri Elise melambung - lambung.

Ezmal tersenyum sinis. Begitulah sikap Puan Sri Elise jikalau hatinya sudah berkenan kepada seseorang. Bibirnya tidak akan pernah berhenti dari memuji - muji orang itu. Semuanya akan nampak baik dan sempurna sahaja di matanya.

“Amboi!! Amboi!! Bukan main melambung - lambung lagi mom puji anak orang eh? Anak sendiri tak nak pun puji sampai macam tu. Mana fair macam ni." Bebel Ezmal tidak berpuas hati.

Sekali lagi Puan Sri Elise mencemikkan wajahnya lalu sepantas kilat telinga Ezmal ditarik kuat sehingga anak bujangnya itu mengaduh kesakitan.

“Sakitlah, mom. Ishh, mom ni. Sampai hati buat Ez macam ni tau. Ez ni anak mom tau. Bukannya Sofya tu." Ujar Ezmal sambil menggosok - gosok telinganya.

“Padan muka! Mengadalah lagi. Kita serius, dia buat main - main pulak. Kalau bercakap soal kahwin ni, ada je pe'elnya kan? Kalau macam tu sampai bila - bila pun tak settle." Kali ini nada suara Puan Sri Elise sudah berbaur sedikit tegas. Malah wajahnya juga kelihatan serius.

Ezmal menelan air liur. Dia tidak menyangka emosi ibunya boleh berubah dalam sekelip mata seperti itu. Walhal sebelum ini Puan Sri Elise juga yang begitu asyik mengenakan dirinya. Kini keadaan menjadi sebaliknya pula.

“Ok! Ok! I'm sorry!! Ez takde niat pun nak bergurau dalam hal - hal macam ni. Ez saja je nak buat mom relax sikit. Ez minta maaf ok?" Pujuk Ezmal lembut seraya melutut di hadapan ibunya.

“Ok, maaf diterima. Tapi mom tetap nak dengar jawapan dari mulut Ez sendiri tentang hubungan Ez dan Sofya. Sampai bila korang berdua nak macam ni? Ez ada bincang dengan Sofya tak tentang hal ni? Apa kata keluarga Sofya? Bila mom and dad boleh hantar rombongan meminang?" Soal Puan Sri Elise bertalu - talu.

Ezmal bagaikan terkedu apabila dirinya diasak dengan soalan bertalu - talu seperti itu. Namun lama - kelamaan bibirnya mula mengukir senyuman. Wajah lembut Puan Sri Elise ditatap lembut. Lalu tangan ibunya digenggam erat.

“Ez tahu mom tak sabar nak bermenantukan Sofya tu kan? Ya, Ez tahu Sofya tu memang gadis yang baik. Ez tak nafikan hal itu. Tapi mom bagilah Ez dan Sofya sedikit masa lagi ye? Lagipun Sofya tu baru aje nak mulakan kariernya. Kita bagilah dia ruang sedikit untuk bina kehidupan dia sendiri. Ez harap mom faham apa yang Ez cuba sampaikan sekarang ni." Luah Ezmal penuh hati - hati.

“Tapi tak semestinya bila Ez dah kahwin dengan Sofya itu beerti dia tak boleh bina kehidupan dia. Dia masih boleh bekerja kan?
Lagipun kita bukannya nak sekat kehidupan dia. Betul tak?" Puan Sri Elise seperti kurang bersetuju dengan pendapat Ezmal.

Ezmal mengangguk perlahan. Dia seperti sudah dapat mengagak akan penerimaan ibunya sejak dari awal tadi. Kini dia harus cuba menerangkan dengan lebih teperinci tentang maksud sebenarnya agar Puan Sri Elise tidak tersalah anggap terhadap Sofya.

“Ya betul, mom. Kalau Ez berkahwin dengan Sofya sekali pun, Ez tak kan halang Sofya dari meneruskan kerjayanya kerana itu adalah cita - citanya. Tapi apa yang mom kena faham dekat sini ialah, Sofya tu baru aje nak mulakan kehidupan dia. Kita bagilah dia peluang untuk berbakti kepada parents dia terlebih dahulu. Mom rasa kalau Sofya kahwin dengan Ez dalam masa terdekat ni, dia masih boleh teruskan semua ni ke? Tak kan? For sure masa yang dia ada dengan keluarganya akan menjadi terhad. Sebab apa? Sebab Sofya dah ada komitmen lain sebagai seorang isteri. Jadi mom tak rasa ke semua ni macam tak adil bagi keluarga Sofya? Sudahla sebelum ni Sofya tinggalkan mereka bertahun - tahun demi menggapai impiannya. Sekarang nak kena tinggal lagi demi sebuah tanggungjawab. Betul tak apa yang Ez cakapkan ni?" Ezmal cuba meluahkan rasa hatinya dengan sebaik mungkin. Sebolehnya dia tidak mahu jika penjelasannya itu mampu membuatkan perasaan ibunya terluka.

Lama Puan Sri Elise mendiamkan diri bagi menghadam kata - kata Ezmal. Ada benarnya apa yang difikirkan anaknya itu. Mereka tidak sepatutnya terlalu mementingkan diri. Sofya juga pasti ada pendiriannya sendiri. Mereka seharusnya menghormati setiap pendirian Sofya demi kebaikan semua pihak. Akhirnya Puan Sri Elise mengangguk faham. Tubuh Ezmal ditarik ke dalam dakapannya.

“Mom bangga mempunyai anak macam Ez. Ez terlalu matang dalam membuat sebarang keputusan. Setiap keputusan yang Ez ambil, pasti akan ada kebaikannya. Mom berdoa semoga kebahagiaan yang Ez impikan itu akan menjadi milik Ez tak lama lagi. Mom akan sentiasa doakan yang terbaik untuk Ez dan Sofya." Ucap Puan Sri Elise ikhlas.

“Thank you, mom. Thank you so much. Sesungguhnya doa seorang ibu itu tiada hijabnya. Ez pun bangga ada mom yang baik macam mom. Mom tak pernah jemu dalam menyokong setiap keputusan yang Ez buat. In shaa Allah mom, selagi nyawa Ez dikandung badan Ez akan cuba buat mom dan keluarga kita bahagia. Itu janji Ez. Mom doakan Ez ye?" Ujar Ezmal dengan nada yang cukup tenang.

Sekali lagi mereka berpelukan dalam tawa. Sesungguhnya Puan Sri Elise sangat berbangga kerana memiliki anak yang baik seperti Ezmal. Sejak kecil, Ezmal tidak pernah menyusahkan dirinya. Ezmal tahu bagaimana ingin menguruskan dirinya sendiri malah sikap itu langsung dibawa sehingga ke hari ini. Jadi tidak hairanlah mengapa suaminya begitu meletakkan sepenuh harapan kepada Ezmal untuk membantunya dalam segala hal.

Sebagai seorang ibu, Puan Sri Elise sering mendoakan yang terbaik buat anak - anaknya. Apatah lagi kini dia dapat melihat akan perubahan positif yang ditonjolkan Yasir kepada mereka sekeluarga. Hal itu sudah pasti mampu membuatkan dirinya tersenyum bahagia. Doanya semoga perubahan Yasir itu biarlah kekal untuk selama - lamanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience