Reunion selepas lapan tahun terpisah dan mereka sudah membina kerjaya sebagai orang yang dikenali seluruh rakyat Malaysia. Masing-masing sudah menjadi selebriti terkenal. Lyana Nasuha, siapa yang tak kenal dia. Seorang penyanyi yang sedang meningkat naik ketika ini. Wajahnya ada di setiap majalah. Page Lyana Nasuha di dalam Fac pun sudah ada berjuta pengelike.
Aiman Azahari, seorang doktor yang sering muncul di skrin tv. Dia juga sudah menjadi seorang doktor selebriti yang berjaya. Namanya juga sudah menjadi sebutan ramai. Dia pula anak seorang Tan Sri. Keluarga ternama dan sudah lama dikenali ramai.
Azrul pula seorang pelakon sejak kecil lagi. Kini kerjayanya sebagai seorang pelakon semakin kukuh. Dia mendapat anugerah pelakon terbaik beberapa kali. Filem terakhirnya meletup dan mendapat sambutan hangat.
Mohammad Syaukie, dia menjadi model Antarabangsa. Wajahnya yang kacak dan berkulit putih kemerah-merahan itu memang sering menjadi perhatian pelajar-pelajar perempuan sejak zaman sekolah lagi. Dia cukup mengambil berat tentang penjagaan diri melebihi kaum wanita.
Aku? Intan Nasuha Binti Ikbal, dulu hidup aku juga setaraf dengan mereka. Ayah aku seorang bisnesman yang berjaya, tapi ketika aku sedang belajar di sebuah Institut Pengajian Tinggi, syarikat ayah aku mengalami krisis dan ayah aku meninggal kerana tekanan darah tinggi sebab tak dapat menerima kenyataan syarikat yang dibinanya dengan hasil titik peluh sendiri, bankrup sekelip mata.
Setahun selepas ayah aku meninggal, ibu aku pula diserang strok dan aku terpaksa berhenti belajar dan bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang merupakan bos di tempat aku membuat kerja part time. Dia membuka sebuah restoran dan keluarganya agak berada. Kami bernikah senyap-senyap tanpa pengetahuan keluarganya dan hanya berwakil walikan hakim. Dia tua sepuluh tahun dari aku dan sudah beberapa kali putus tunang kerana ibunya seorang yang cerewet.
Bila perhubungan kami terbongkar dan ketika aku sarat mengandung anak sulung kami, ibu mertuaku datang membuat onar. Aku diceraikan sebaik melahirkan dan sebulan selepas itu, bekas suamiku kahwin lagi dengan wanita pilihan ibunya. Yang paling perit, anak kecilku yang baru berusia sebulan ketika itu dirampas dariku. Ibu aku yang melihat setiap penderitaan aku pula menghembuskan nafas terakhirnya selepas seminggu anakku dibawa pergi.
Ya Allah, hati aku seolah dilapah lumat dengan setiap dugaan yang bertali arus itu dan selepas tiga tahun bergelar janda, kini sahabat lamaku pula menghantar mesej untuk bertemu muka. Sudah lama aku mengelak untuk bertemu semula dengan mereka, memandangkan darjat aku yang semakin ketara jauhnya berbanding mereka.
Siapa aku kini? Kerja aku hanya menjadi pencuci di hospital. Itu pun hanya sebagai pekerja separuh masa. Kadang-kadang aku menjadi cashier di pasaraya yang berhampiran rumahku. Adakalanya, aku mengambil upah membasuh pinggan mangkuk dan menjadi pelayan di sebuah restoran makanan segera. Rumitnya hidupku ini, bekerja hanya untuk mencari sesuap nasi untuk diriku sendiri. Ada hikmahnya juga, anakku dirampas, sekurang-kurangnya, dia tak hidup menderita bersamaku.
~Dah banyak kali kau mengelak untuk berjumpa kami, pastikan kali ini kau ada Intan! Kalau kau tak muncul, kami akan cari kau sampai lubang cacing!~
Aku baca sekali lagi mesej dari Lyana dalam group WhatsApp. Aiman, Syaukie dan Azrul juga turut memberikan balasan mereka.
Aiman~aku ambil kau Intan payung.
Syaukie~Intan, kau tak datang, itu tandanya kau sayang sangat-sangat kat aku. Jadi, kau malu nak datang.
Azrul~kau takut aku melamar kau ke Intan? Oh, sebab tu la setiap kali kita berpakat untuk berjumpa, kau tak datang ya? Aku janji, aku takkan lamar kau lagi. Aku nak Yana ja. Boleh Yana? Kau buang sajalah crush kau tu jauh-jauh.
Lyana~ Woi..kayu rule! Bukan kau ke crush aku tu. Haa..red delete face(merah padam muka) New delete face(baru padam muka)
Bibir aku sudah melebar dengan senyuman membaca perbualan mereka. Aku hanya membaca tanpa membalas. Sengaja aku mendiamkan diri dan terus menjadi beku. Bukan aku tak mahu membalasnya. Kalau diikutkan, gatal saja jari jemari aku ini untuk menaip, tapi hati aku melarang keras. Siapa aku ini untuk berbual mesra dengan mereka seperti dulu. Aku dengan mereka ibarat gagak dengan merak di kayangan.
Lyana~ Intan ooiiiiiiiiiiiiii..nape tak reply ni?? Hidup lagi ke?
Aiman~ Dia baca tu..intan malu dengan kita agaknya. Intan payung, kau tinggal di rumah lama lagikan?
Bertalu-talu masuk mesej dalam group WhatsApp. Aku terus membisu, namun dalam aku diam, hati aku turut diburu cemas. Aku memang masih tinggal di rumah lama, tapi semua perabut rumah sudah aku lelong ketika aku kesempitan duit. Yang tinggal cuma perabut-perabut lama yang masih aku gunakan. Rumah ini pun semakin usang kerana aku tak pernah mengecatnya lagi sejak ayah aku meninggal. Tiada pembaik pulih yang aku lakukan.
Pada asalnya, aku bercadang untuk menjual saja rumah ini, tapi aku tak tahu ke mana harus aku tuju. Nak menyewa rumah yang lebih kecil, aku takut aku tak mampu untuk membayar sewa bulanannya. Rumah ini sudah dinamakan dengan namaku, jadi aku cuba pertahankannya.
Share this novel