JIKA malam pertama selalu digambarkan sebagai momen penuh debar dan desir rahsia antara dua hati yang saling mencintai, malam ini terasa seperti dinding batu di antara dua manusia yang dipaksa menjadi satu.
Yasmeen duduk diam di hujung katil, jari-jarinya menggenggam kain baju yang telah berkedut sejak petang, tapi bukan itu yang dia fikirkan. Tengku Rayyan masih belum berkata apa-apa sejak mereka melangkah masuk ke kamar. Nafasnya ada, tapi jauh. Jiwanya entah di mana. Pandangannya dingin. Tegak seperti patung batu.
Dia tidak menyentuhnya. Tidak menoleh pun.
Dan Yasmeen tahu. Dia bukan yang dinanti. Bukan yang dicinta. Dia cuma pengganti. Spare part.
Tengku Rayyan memalingkan wajah hanya untuk berkata, tanpa nada dan tanpa jiwa, “Kau tak perlu buat apa-apa malam ni.”
Kata-kata itu tidak membawa kelegaan. Ia bunyi seperti pengusiran yang sopan, tidak dibuang, tapi tidak dialu-alukan. Yasmeen tidak menjawab. Dia tahu suaranya takkan mengubah apa-apa.
DALAM diam, Tengku Rayyan sedang menahan sesuatu yang lebih kuat dari marah, penghinaan. Hatinya masih belum pulih dari luka yang datang dengan nama Rachel. Wanita yang sepatutnya duduk di pelamin tadi. Wanita yang sepatutnya berada di katil ini malam ini.
Wanita yang dicintainya, yang telah memilih untuk menghilang tanpa kata, tanpa salam, hanya tinggal baju pengantin yang tergantung tanpa isi. Keluarganya, keluarga bangsawan yang menjunjung tinggi kehormatan tapi tidak sempat menutup malu.
Maka Yasmeen, janda sunyi yang kebetulan ada dalam radar mereka telah dipilih. Dijadikan penawar segera untuk luka yang terbuka di hadapan umum.
Ironinya, pengganti itu bukan anak dara. Tetapi seorang janda.
Dan kata itu bergema dalam kepala Tengku Rayyan seperti sesuatu yang menjijikkan. Janda. Seolah-olah itu satu cela. Seolah-olah tubuh yang pernah dimiliki lelaki lain kini sisa tinggalan. Dia tidak mahu dengar puisi-puisi tentang pengalaman, tidak peduli kata orang yang kononnya janda lebih mengerti, lebih memikat. Semua itu bagi Tengku Rayyan hanya alasan murah untuk melupakan prinsip.
Dan prinsipnya mudah, isterinya mesti suci. Kerana hanya dengan itu, dia tahu dia yang pertama. Dan yang terakhir.
Tapi kini, prinsip itu telah patah. Dipijak oleh realiti yang tidak pernah dia undang. Malam ini, hak eksklusifnya telah pun dimiliki orang lain sebelum dia sempat menghulur tangan. Dan biarpun Yasmeen kini isterinya yang sah, Tengku Rayyan tetap terasa terhina…
Yasmeen angkat wajah. Tidak berani, tapi juga tidak rela tunduk selamanya. “Aku tahu aku tak sempurna. Tapi aku juga tak pernah paksa diri aku jadi isteri kau.”
Tengku Rayyan ketawa kecil. Sakit. “Tapi kau tak tolak, kan?”
Perlahan, Yasmeen tarik nafas yang tidak mahu reda. Suaranya hampir tenggelam. “Kau rasa aku gembira diarak masuk ke dalam hidup orang yang benci aku?”
Tengku Rayyan berpaling kali pertama. Wajahnya tidak lunak. “Aku nak isteri yang belum disentuh sesiapa. Yang suci. Bukan janda.”
Dan malam pun terasa semakin sejuk. Yasmeen hanya tunduk sejenak, sebelum dia bangun dan melangkah ke arah pintu. Tapi sebelum tangannya sempat menyentuh tombol, dia berpaling. Suaranya tenang. Tidak berdendam, cuma jelas.
“Aku bukan Rachel. Dan aku takkan cuba jadi dia.”
“Kau takkan dapat jadi dia, Yasmeen.”
“Aku tahu, dan aku tak nak pun.”
TENGKU Rayyan tidak berkata apa-apa. Lelaki itu hanya menoleh sekilas, seakan sekadar memastikan makhluk asing itu masih wujud di bilik ini. Tatapannya tajam, beku, kosong dari sebarang emosi yang wajar diberikan kepada seorang isteri, atau sekurang-kurangnya, seorang manusia.
Tanpa sepatah kata, dia bangkit dari sisi katil, langkahnya lurus menuju ke kamar mandi. Tiada sapaan. Tiada usaha untuk berlakon mesra. Seolah-olah Yasmeen tak lebih daripada asap yang terapung di udara, wujud, tapi tak penting.
Menjadi pengantin pengganti bukan perkara kecil. Dan lebih parah, dia tak dianggap pengganti yang ‘suci’.
Dia hanya seorang janda. Satu label yang terikat di tengkuknya seperti duri yang tak boleh dicabut.
YASMEEN melabuhkan tubuh ke sofa. Satu-satunya tempat dalam bilik ini yang tidak membuatkan dia terasa terlalu mendedahkan diri. Dia capai telefon untuk menyibukkan fikiran daripada terus menerawang ke tempat yang dia tidak mahu pergi. Hakikatnya, dia tak peduli pun tentang apa-apa dalam skrin itu.
Jiwanya jauh, terumbang-ambing antara kenyataan dan kehinaan yang terpaksa dia telan demi keluarga.
Setengah jam berlalu sebelum bunyi pintu bilik air dibuka. Yasmeen sempat mendongak, dan menyesal.
Tengku Rayyan keluar hanya bertuala, rambutnya masih menitis, kulitnya basah dan dingin seperti wataknya. Lelaki itu langsung tidak memandang, apatah lagi merasa segan. Dia bergerak dalam bilik seperti Yasmeen tidak wujud. Seolah-olah tubuhnya suci dari rasa malu, kerana hatinya sudah penuh dengan rasa benci.
Yasmeen pantas alih pandangan. Mukanya berpaling ke dinding.
Kurang ajar. Tak tahu malu.
Dalam hati dia menyumpah. Tapi wajahnya tetap tenang. Tangan masih di skrin telefon walaupun jari tidak bergerak. Dia tidak mahu beri lelaki itu kemenangan dengan melihat dia terganggu.
Tanpa sepatah perkataan, Tengku Rayyan mengganti pakaian. Tidak tergesa. Tidak berselindung. Lalu dia hempaskan tubuhnya ke atas katil dengan gerakan yang kasar, seolah-olah katil itu juga musuhnya. Dan akhirnya, suara dingin itu keluar dari mulutnya yang tajam.
“Aku tak ingin nak kongsi kamar dengan kau. Bernafas seruang pun aku tak sudi.”
Ayat itu dilempar seperti najis, tidak perlu dibungkus dengan sopan.
Yasmeen ketap bibir. Dia bingkas bangun dari sofa.
“Kau ingat aku hamak nak meniduri lelaki macam kau?”
Matanya menikam. Nadanya cukup untuk menikam balik maruah yang cuba merendahkan dirinya sebentar tadi.
Dia sudah berniat untuk cuba baik. Cuba sabar. Cuba jadi isteri yang sekurang-kurangnya beradab. Tapi semua itu musnah, dibunuh oleh nada suara lelaki itu yang lebih tajam daripada pisau.
Tengku Rayyan duduk bersandar, separuh malas, separuh muak. Tapi mulutnya tidak henti.
“Pernikahan kita hanya di atas kertas. Sedar diri.”
Yasmeen tertawa sinis, terpaksa. Dia menoleh semula ke arah Tengku Rayyan. “Dengar sini baik-baik, Rayyan. Aku bersetuju dengan perkahwinan ni pun, bukannya sebab aku nak menuntut cinta. Tapi, aku hanya terhutang budi.”
Entah kenapa, kata-kata jujur Yasmeen seakan menyiat ego dan hati Tengku Rayyan.
Yasmeen hanya mengangkat bahu tanpa menunjukkan rasa. Tanpa menoleh, tanpa sepatah balasan, dia melangkah ke kamar mandi. Pintu ditutup kemas, meninggalkan lelaki itu terbaring sendirian, menatap siling yang kini terasa seperti menindihnya.
TENGKU Rayyan mendecih, sinis, tapi sebenarnya pahit. Sepanjang hidupnya, wanita tidak pernah berani berpaling darinya. Mereka mendamba, memuja, malah sanggup merendah demi secebis perhatiannya. Rachel juga begitu. Rachel yang dulu, setiap kali dia melangkah, matanya tidak pernah lepas daripada bayangnya.
Tapi Yasmeen?
Perempuan itu berjalan pergi tanpa peduli, seolah kehadirannya hanya sebatang kayu hanyut yang tidak layak dipandang dua kali. Tidak ada rengek. Tidak ada rayuan.
Tengku Rayyan mengetap rahang. Apa Yasmeen benar-benar tidak peduli… atau sengaja memilih untuk pura-pura tidak peduli?
“Ah, kenapa aku nak kisah pulak? Sepatutnya aku bersyukur perangai dia macam tu. Aku patut buat dia macam tak wujud…”
Share this novel