Chapter 3

Romance Series 1900

"Tekun betul kamu ya Mega. Mak cik tengok, kamu tak cuti-cuti sejak bulan lepas. Kamu tak penat ke?"

Megawati tersenyum sebelum menjawab.

"Penat mak cik. Kerja mana yang tak penat. Tapi semangat tu ada, saya tak terfikir pula nak cuti."

"Kerja ni jangan terlalu ikutkan sangat. Badan kamu tu nak kena jaga juga. Esok-esok kalau sakit, anak kamu juga yang susah. Dia tu bersekolah lagi. Nanti siapa nak jagakan kamu?"

Meskipun tersenyum dihadapan Kak Nah, tetapi hatinya saja yang tahu mengapa. Dia sedar, bekerja di ladang itu memang menguras tenaga, tetapi dia tiada pilihan selain bekerja keras untuk memastikan hidupnya dan Ardilla terjamin.

"InshaAllah mak cik, saya baik-baik je sekarang ni. Terima kasih sebab selalu ingatkan saya."

"Eloklah dia berkerja Kak Nah, hutang dia si Hamid tu dah berhelai-helai dalam buku lima. Esok-esok kalau tak bayar, tak dapat makan pula." sampuk Miah.
Jiran sekampung merangkap pekerja yang sama bekerja diladang itu.

Kata-kata Miah membuatkan Megawati terdiam sendiri. Sikap Miah yang suka merendah-rendahkan orang lain sudah menjadi faham pada pekerja-pekerja disitu. Dia tidak mahu berbalas sembang dengan wanita tu kerana tahu perangai wanita itu selalu mengeluarkan kata-kata yang tidak senang kepadanya.

"Kau ni Miah, tak baik mengungkit perkara yang lepas. Aku bersembang pasal kerja bukan hutang. Dia rajin bekerja cari rezeki halal. Patutnya kita ambil contoh orang macam dia ni. Bukan persoalkan hal-hal lain."

Megawati terdiam, merasa terharu mendengar pembelaan daripada Kak Nah. Dia tahu, tidak semua orang bersikap seperti Miah.

"Eleh, tak payahlah Kak Nah nak bela dia. Aku cakap benda yang betulkan. Dia pun bukannya baik pun. Tinggal hutang tak bayar-bayar. Macam mana nak percaya orang macam tu?"

"Ish, kau ni tak habis-habislah, Miah. Setiap orang tu ada masalah dia sendiri. Kita mana tahu apa si Mega ni kena hadap. Sebagai kawan, kita kenalah bagi dia semangat, sokong dia. Bukan rendah-rendahkan dia atau ejek-ejek dia."

"Iyelah tu. Saya ni ingatkan aje. Maklumlah, Hamid tu abang sepupu saya. Kalau hari-hari dengar dia merungut aje kat kedai tu, peninglah. Sebab tu kalau rasa tak mampu, buat aje cara tak mampu. Dahlah Kak Nah, saya nak pergi sebelah sana pula. Duduk sini lama-lama pun bukannya kerja tu boleh siap."

Memerah wajah Megawati menerima sindiran daripada Miah. Tetapi sehabis daya dia mengawal riak wajahnya.

Biarpun hatinya rasa terpukul dengan sindiran Miah, Megawati tetap cuba mengawal riak wajahnya. Dia perlu mengawal dirinya daripada terbawa-bawa dengan kata-kata kasar dan tidak menyenangkan itu.

Nafasnya dikawal sehabis mungkin memilih untuk berfikir yang baik-baik.

Walaupun sakit mendengarnya, Megawati tetap cuba kuatkan hatinya dan membuang rasa benci yang ada walaupun sedikit.

Tanggungjawabnya lebih besar iaitu menjaga maruah dan kehidupan yang lebih baik untuk dirinya dan Ardilla.

Dengan penuh kesabaran, Megawati memilih untuk mengalihkan perhatiannya kepada kerjanya. Dia tahu bahawa hanya dengan bekerja keras dan mengekalkan sikap yang baik dia akan dapat mengatasi setiap halangan dan ujian yang datang.

"Jangan dilayan sangat si Miah tu. Dia pun bukannya baik sangat. Esok lusa kalau ladang ni tutup, semua orang tak ada kerja."

Menoleh Megawati sekali gus.

"Apa kak? Tutup?"

"A ah. Orang kaya Hady tu dah tak sihat dengarnya. Ladang ni pun dia tak mampu lagi nak uruskan. Jadi kontrak kerja di ladang ini mungkin hanya akan sampai hujung tahun ini saja."

Terhenti tangan Megawati membuat kerja. Dia mendongak ke langit biru seketika.

"Benar ke kak?"

"Ya Mega. Sebab tulah bila akak tengok kau rajin bekerja akak jadi risau. Takut kau terkejut bila ladang ni ditutup nanti. Macam akak ni masih ada suami nak sara. Kau tu diri sendiri yang kena tanggung."

"Apa nak buat kak, kalau itu keputusan orang kaya. Saya tak ada kuasa nak menahannya. Mungkin rezeki saya ditempat lain agaknya."

"Kau jangan risau. Nanti akak bantu kau cari kerja lain ya. Mana tahu kilang dekat tempat kerja suami akak tu ada kerja kosong. Bolehlah kau tanyakan."

"Terima kasih kak. Akak selalu bantu saya. Segan saya bila akak selalu sangat menolong. Biarlah saya usaha cari dimana-mana dulu. Mungkin itu lebih baik."

"Yelah. Tapi kalau ada apa-apa yang kau perlukan bagitahu aje. InshaAllah, mana-mana yang akak boleh tolong akak tolong."

Biarpun dihantui rasa bimbang, Megawati tidak akan berputus asa. Dia perlu kekal kuat untuk Ardilla. Jika benar ladang itu akan ditutup, dia perlu keluar untuk mencari kerja.

Dia tidak akan berharap pada orang dan membiarkan hidupnya dua beranak susah. Dia yakin Allah ada selalu untuknya. Berjuang tidak kira betapa sukarnya cabaran yang perlu dihadapi demi kebaikan masa depan Ardilla.

#authorciciaida #lovers #penulisnovel #pelajaran #ilmu #sederhana #bahagia #ternoktahsatuimpian #novelist #ciciaida #Bestseller #novelmelayu #masadepan #pengajaran #kasihsayang #tandasayang

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience