"Haah... diorang ni lagi. Tak habis-habis nak menyakat orang." Amiza mengeluh perlahan, mengatur barisan cupcake di atas meja jualannya yang hampir kosong.
Dia sudah menjangkakan ini. Bukan sekali, bukan dua kali. Setiap kali ada peluang, pasti Rosa dan rakan-rakannya akan muncul untuk menyindir. Dan hari ini, nampaknya mereka lebih bersemangat daripada biasa.
“Miza! Laa... sini rupanya kau!” suara Rosa bergema, diiringi gelak tawa dua orang rakannya. Mereka melangkah mendekat dengan penuh keyakinan, seolah-olah sedang mendekati mangsa yang sudah lama mereka buru. “Ingatkan hujung minggu ni kau keluar dating dengan teman lelaki kau. Kan hari ni Hari Valentine?”
Satu ketawa sinis pecah.
Amiza menarik nafas panjang, cuba mengumpul kesabaran. Dia tahu Rosa hanya mahu mencungkil reaksi daripadanya. Tetapi dia bukan orang yang mudah melatah.
“Kita ni orang Islam. Mana boleh sambut Valentine,” jawabnya malas, jari-jarinya masih tekun menyusun cupcake tanpa sedikit pun memandang ke arah Rosa.
Seperti yang dijangka, jawapan itu tidak mematikan provokasi mereka. Sebaliknya, Rosa dan rakan-rakannya ketawa semakin kuat.
“Ye ke? Ke kau sebenarnya tak ada teman lelaki langsung? Orang dengan perangai dingin macam kau ni... siapa yang nak?” Rosa menyindir dengan nada geli hati.
Kata-katanya jelas ditujukan untuk menghiris. Beberapa orang yang lalu lalang di kawasan jualan mula berpaling, tertarik dengan kekecohan yang tercetus.
Namun sebelum Amiza sempat membalas, suara lain mencelah.
“Heh. Korang ni takde kerja lain ke, hah?” Kesha, sahabat baiknya, berdiri tegak di sisi dengan wajah penuh kebencian. “Pergilah jaga kedai kek keju hangus kau tu. Menyibuk kat sini buat apa?”
Rosa tersenyum sinis. “Kedai aku dah habis jualan, sayang.” Dia menjeling tajam, bangga dengan kejayaannya. “Biasalah, burnt cheesecake aku yang paling sedap kat sini. Sekejap je habis.”
Kesha menjeling tajam, jelas sekali muak dengan lagak sombong Rosa.
Tapi Rosa belum habis lagi. Dia menyapu pandangan ke arah meja Amiza yang masih dipenuhi cupcake sebelum tersenyum mengejek. “Kesian betul tengok korang ni. Cupcake tak laku, meja jualan pulak betul-betul depan tandas lelaki. Eeeh, kalau aku la, geli aku nak beli kat kedai ni.” Dia membuat riak wajah menjijikkan sebelum tergelak kecil, rakan-rakannya turut menyambut dengan tawa sinis.
Amiza diam.
Bukan kerana dia takut.
Bukan kerana dia tidak tahu bagaimana untuk membalas.
Tetapi kerana ini sudah terlalu biasa. Sejak zaman sekolah masakan, sejak mereka mula bersaing dalam dunia kulinari, Rosa seperti sudah menetapkan dirinya sebagai musuh. Seolah-olah kejayaan dan keyakinannya tidak akan lengkap tanpa menjatuhkan Amiza.
Namun, selama lima tahun ini, Amiza memilih untuk diam.
Bukan kerana dia lemah.
Tetapi kerana dia tahu, kesabaran adalah senjata yang paling tajam.
Dan ada satu perkara yang Rosa masih belum tahu.
Orang yang diam bukan bererti orang yang kalah.
Kadangkala, mereka hanya menunggu masa yang tepat untuk membalas dengan cara yang lebih manis.
“Kau ni, Amiza. Kau tak ada bakat dalam memasak, apatah lagi buat cupcake,” Rosa berkata dengan nada sinis, matanya penuh dengan kepuasan setiap kali melihat Amiza berdiam diri.
“Baik kau berhenti jelah buat ‘hobi’ kau ni. Pergi jual benda lain pulak. Tak pun, kau kerja je dengan ‘teman lelaki’ kau tu.” Dia tersenyum sinis sebelum menambah, “Kesha kata dia kerja ofis, kan? Mesti boleh minta kerja dengan dia. Ke… sebenarnya dia kerja ofis jadi tukang sapu je?”
Dan seperti biasa, Rosa tertawa kuat bersama rakan-rakannya, gelak mereka bergema sehingga hampir memenuhi seluruh dewan majlis.
Amiza menghela nafas dalam. Sabar. Itu sahaja yang dia mampu lakukan.
Tetapi itu bukan sifat Kesha.
Dengan pantas, sahabatnya itu melangkah ke hadapan, berdiri tegak di antara Amiza dan Rosa seolah-olah menjadi benteng. “Tukang sapu kepala hotak kau!” suara Kesha lantang, memanaskan suasana. “Teman lelaki dia boss tau! Kerja ofis besar, pakai kot smart!”
Rosa tersentak seketika sebelum menjeling tajam. “Heh, Kesha! Kau sibuk sangat ni apehal? Aku tanya Amiza, bukan kau! Lagipun… yang kau ni tau semua pasal ‘teman lelaki’ dia apesal, hah?”
Dan di situlah masalahnya.
Kesha tahu banyak tentang lelaki itu—sebab ‘lelaki’ itu cuma rekaan semata-mata.
Amiza memang tidak ada teman lelaki. Tapi setelah bertahun-tahun bersabar dengan perangai Rosa, Kesha telah mereka satu pembohongan bahawa Amiza sudah berpunya. Kononnya, untuk membuat Rosa diam.
Tapi yang berlaku adalah sebaliknya.
Rosa bukannya berhenti, malah semakin galak mengejek. Seolah-olah dia dapat menghidu sesuatu yang tidak kena. Selagi Amiza tidak menunjukkan siapa lelaki itu, selagi itu Rosa akan terus menekan.
“Oi, Kesha. Kau tak payah nak tipu la.” Rosa menyilangkan tangan di dada, wajahnya penuh keyakinan. “Aku tau semua tu helah kau! Dah enam bulan sejak kau kata Amiza ada teman lelaki, tapi sampai sekarang aku tak pernah nampak dia pun. Memang patut pun anak yatim piatu macam dia ni, siapa je yang nak?”
Darah Kesha sudah sampai ke kepala. Wajahnya memerah, bibirnya mengetap menahan kemarahan yang membuak-buak.
Amiza menghela nafas. Dia tahu ini akan berlaku. Dia juga tahu betapa Kesha mudah terbakar bila Rosa mula menyentuh perkara yang sensitif.
“Dahlah, Kesh—”
Belum sempat Amiza cuba menenangkan keadaan, Kesha tiba-tiba bersuara.
“Aku tak tipu la!” katanya dengan lantang. “Amiza memang ada teman lelaki. Bukan setakat teman lelaki je…”
Amiza memandang sahabatnya dengan penuh amaran. ‘Jangan buat benda bodoh, Kesha.’
Tapi Kesha sudah tidak peduli.
“Diorang… dah tunang!”
‘Apa?!’
Mulut Rosa ternganga. Rakan-rakannya juga kelihatan terkejut.
Tetapi tidak ada yang lebih terkejut berbanding Amiza sendiri.
Dia hampir tersedak dengan udara. Matanya membulat memandang Kesha, otaknya cuba memahami apa yang baru sahaja terjadi.
‘Kesha! Apa kau buat ni?!’
Namun, Rosa cepat-cepat mengubah ekspresinya. Daripada terkejut, matanya mula mengecil penuh kecurigaan.
“Ah! Aku tak percaya!” katanya, suaranya dipenuhi dengan cabaran. “Kalau betul… mana dia?”
“Dia… Dia… Dia ada kat sini!”
Kesha semakin gelabah, tetapi semangatnya masih membara. Nafasnya masih berat dengan amarah terhadap Rosa.
‘Kesha! Dah lah!’ Amiza menjerit dalam hati, tetapi lidahnya kelu. Dia kenal perangai sahabatnya itu—sekali sudah naik angin, tak ada siapa boleh menahannya.
“Hah? Mana?” Rosa mendabik dada, mencabar. “Yang mana? Kau tunjuk kat aku! Kalau betul dia ada, aku sanggup buka baju aku kat sini, sekarang juga!”
Amiza menekan pelipisnya, mengeluh panjang. Kenapalah Kesha ni mudah sangat melatah? Ini semua bukan masalah dia pun!
Kesha terdiam seketika. “Err… Dia… Dia…” Matanya melilau ke sekeliling dewan, mencari sesiapa sahaja yang boleh dijadikan ‘teman lelaki’ Amiza.
Dan ketika itu…
Seorang lelaki baru keluar dari tandas lelaki yang betul-betul berada di belakang mereka.
Tinggi, bersut kelabu kemas, langkahnya penuh yakin.
Mata Kesha terus menangkap kelibat itu. ‘YES!’
Tanpa berfikir panjang, dia berlari ke arah lelaki itu dan dengan serta-merta menarik lengan lelaki tersebut ke sebelah Amiza.
“Hah! Ni lah dia, teman lelaki, merangkap tunang Amiza!”
Dunia terasa terhenti.
Mata Amiza membulat. Mulutnya ternganga. Nafasnya tersekat di kerongkong.
‘Kesha… KAU GILA KE?!’
Share this novel