…
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, jam 8.00 pagi.
Orang ramai berpusu-pusu, berjalan ke destinasi masing-masing. Mata mereka meliar. Ada yang mencari seseorang, ada mencari penginapan dan ada yang sedang membaca petunjuk laluan. Beraneka ragam dan perbualan yang riuh rendah, bagaikan tiada hari esok.
Dalam keriuhan itu, ramai yang tak lepas mencuri pandang pada sosok seorang lelaki tampan yang berdiri di tengah-tengah. Keriuhan dan pandangan orang padanya tak sedikit pun mengganggu. Lelaki ini dikawal ketat oleh lima orang pengawal peribadi yang bertubuh sasa.
Pesona dan auranya yang menarik, ketinggian tubuhnya yang membuat dia menonjol dalam keramaian itu. Dia memakai sut kelabu Versace yang ditempah khas, dengan kemeja putih dan tali leher hitam.
Rambutnya yang hitam pekat disisir pendek ke tepi, cermin mata hitam jenis aviator berwarna coklat terletak di hidungnya yang tinggi, dan bibirnya yang nipis berwarna pic lembut.
Ditambah dengan wajah yang cukup tampan serta penampilan yang formal dan maskulin, membuat sesiapa sahaja yang melintasinya akan menoleh untuk melihatnya secara depan.
“Tengku Alfian. Mesyuarat dengan TJ Corps akan bermula jam 3 petang. Untuk sebelah malam, jam 8 akan berlangsung majlis makan malam di Hotel Eon Vista.” Panjang lebar penjelasan seorang pembantu kepada lelaki yang bergelar Tengku itu. Memandangkan Tengku Alfian agak tinggi, pembantunya terpaksa menjengket kaki sedikit untuk bercakap dengannya.
Tengku Alfian hanya mengangguk tanpa memberi sebarang jawapan. Setelah mendengar kata-kata pembantunya, dia mula berjalan dengan perlahan. Matanya pula fokus kepada telefon pintar, membaca mesej perbualan dengan kenalannya.
Buk!
“Aduh, sakit!”
Langkah Tengku Alfian terhenti ketika terdengar rintihan halus seseorang yang melanggarnya. Atau lebih tepat, dilanggar olehnya. Tengku Alfian memandang sekeliling. Kerana ketinggiannya, dia hampir tak melihat empunya suara itu.
“Maaf sangat,” ucap suara halus itu lagi. Barulah Tengku Alfian melihat wajahnya. Dia terpukau sebentar dengan sepasang mata di hadapannya. Mata itu seperti menakung sekolam madu yang jernih. Cukup mempesona.
“Saya tak sengaja.” Ucap Hanna Adellia buat kali kedua. Suaranya yang lembut, menari-nari di telinga Tengku Alfian. Lelaki tampan itu hanya membisu dan merenung Hanna dengan pandangan dingin. Hanna pula masih menunduk dan mengemas pakaiannya.
“Saya berjalan tak tengok depan, jadi saya tak sengaja terlanggar encik.”
Encik? Mata pembantu Tengku Alfian membulat. Wanita itu dah puas hidup ke? Berani betul dia memanggil Tengku dengan panggilan encik…
“Encik tak apa-apa?” Hanna akhirnya berdiri tegak dan memandang tepat ke wajah Tengku Alfian. Dia, terpana seketika.
Kacaknya lelaki ni…
Eh, jangan macam tu Hanna! Buangkan wajah lelaki tu jauh-jauh. Dia ni stranger! Usai membuang rasa kagum pada lelaki itu, Hanna kembali memandang Tengku Alfian. Wajahnya langsung berkerut. Lelaki itu, masih merenungnya?
“Saya minta maaf ni. Awak dengar tak?” Hanna melambai tangannya ke wajah Tengku Alfian. Tiada jawapan, hanya renungan yang semakin tajam diberi.
“Wow biadap!” Hanna mencebik.
Tengku Alfian pula tersentak. Dia panggil aku biadap?
“Saya minta maaf elok-elok, bukannya nak jawab. Lagipun, bukannya saya sengaja. Encik pun jalan bukannya tengok depan. Mata dekat telefon. Ingat saya tak nampak?” tambah Hanna lagi.
Tengku Alfian mendengus. “Hei, Amri. Bawakan saya tuxedo baru.” arah Tengku Alfian kepada pembantunya.
“Baik Tengku.”
Mata Hanna terbeliak. “Hei. Saya terlanggar awak sikit je, awak terus nak tukar baju? Memang lelaki zaman sekarang biadap macam ni ke?”
“Apa kau cakap?” Giliran Tengku Alfian menyoal, bengang. Amri di tengah-tengah semakin buntu tak tahu macam mana nak meleraikan mereka. Dia memandang Hanna dengan kagum namun penuh kejutan. Tak pernah seumur hidupnya melihat sesiapa pun berani meninggikan suara kepada Tengku Alfian selain ibu bapa Tengku Alfian sendiri.
Lebih-lebih lagi, seorang perempuan. Pasti dia dah hilang akal!
“Awak patut bersyukur saya minta maaf. Bukannya saya bunuh semua ahli keluarga awak pun.” marah Hanna lagi, namun nadanya masih terkawal. “Awak pula anggap saya macam lipas, menjijikkan sampai nak tukar baju. Kenapa orang biadap macam awak wujud kat dunia ni?” Tindakbalas Tengku Alfian benar-benar tak boleh diterima Hanna.
Tengku Alfian secara ajaibnya bagai hilang kata-kata. Dia antara terpesona, terkejut dan bingung. Dan juga marah!
“Bos! Bos!” Satu suara yang cukup dikenali Hanna kedengaran dari jauh. Itu pembantunya yang akan menyambut dan membantu urusannya di Malaysia. Hael!
“Bos, saya kat sini bos!” Hael melompat-lompat dari celahan orang ramai. Dengan tangan terkapai, seolah-olah dia lemas dalam lautan manusia.
“Hael!” Tanpa mempedulikan lelaki di depannya, Hanna berpaling dan mula mahu berlari ke arah Hael. Namun, belum sempat dia membuka langkah, satu tangan yang tegap menggenggam lengannya.
“Kita belum selesai, ‘Cik Lipas’…” ujar Tengku Alfian seraya menarik lengan Hanna merapat dengan tubuhnya. Dia masih tak puas hati.
“Apa lagi yang awak nak, ‘Tengku Biadap’? Saya dah minta maafkan tadi?” Hanna membalas dengan amarah tertahan-tahan.
Tatkala itu, Amri dan lima orang pengawal peribadi seakan tak percaya dengan apa yang mereka lihat.
Tengku Alfian, lelaki itu sangat sombong dan 'super' pembersih. Dia tak pernah sembarangan menyentuh orang lain, lebih-lebih lagi wanita. Sampai ada yang menuduhnya gay atau anti perempuan kerana sikapnya yang satu itu. Hakikatnya, Tengku Alfian mudah jijik dengan segala benda.
Tapi, dia sedang memegang lengan wanita garang itu? Malah menarik Hanna merapat dengannya? Mungkin kerana kecantikan luar biasanya, itu tanggapan Amri. Tapi, dalam ribuan jelitawan yang pernah bertentang mata dengan Tengku, kenapa dia?
“Tengku Biadap. Tolonglah lepaskan tangan saya. Sakit tau. Patah tangan saya nanti.” rayu Hanna dengan suara agak lembut kerana cengkaman Tengku Alfian mula menyakitkan. Bagai direnjat elektrik dengan suara Hanna, Tengku Alfian melepaskan cengkamannya.
Hanna tak membuang masa, terus berlari ke arah Hael dan menarik pembantunya itu pergi jauh. “Cepat Hael! Kita kena lari daripada Tengku Biadap tu. Nanti dia tangkap kita!”
Anak mata Hael terpaku melihat Tengku Alfian dari jauh. Oh tidak… Apa yang Hanna dah lakukan? Dia sedar tak siapa lelaki tu? Habislah…
TENGKU Alfian masih pegun di tempatnya berdiri. Tangannya yang tadi memegang Hanna, direnung penuh kebingungan. Tengku Alfian spontan mengeluarkan spray pembasmi kuman, disembur ke tangan sampai kuyup. Amri yang sudah biasa dengan perkara itu menghulurkan tisu bersih.
“Tengku. Tengku nak saya siasat siapa perempuan tadi?” soal Amri sejurus melihat Tengku Alfian masih tidak bergerak.
“Tak perlu. Dia dah minta maaf.”
Wah, ajaib! Kebiasaannya, tengku takkan lepaskan sesiapa yang mencari pasal dengannya. Kenapa perempuan tadi terlepas ya?
“Tengku…” Amri memanggil lagi. “Beg ni, macam mana?”
Tengku Alfian menoleh. Ada sebuah luggage biru langit bersama dan sebuah beg tote yang tak dikenali. Ah, Cik Lipas tertinggal barangnya di sini.
“Bawa balik beg tu.” arah Tengku Alfian lalu mengorak langkah meninggalkan semua orang. Amri yang seakan tak percaya, hanya menurut. Bawa balik beg perempuan tu? Nak buat apa? Bukan mencuri ke namanya?
DI dalam BMW milik Hanna, Hael masih belum pulih dari ketakutan. Walaupun pendingin hawa kereta itu sejuk, Hael berpeluh bagai nak gila. Dia mengintai Hanna melalui cermin belakang.
“Kenapa dengan awak ni Hael? Baru lepas lumba lari ke?” soal Hanna.
“Bos… Bos sedar tak, bos bergaduh dengan siapa tadi?” soal Hael pula. Nadanya cukup bimbang.
“Awak tak payah risaulah Hael. Malaysia ni luas. Macamlah kita akan bertembung dengan dia lagi…” balas Hanna bersahaja.
Mendengar kata-kata selamba daripada bosnya, Hael seakan mahu menangis tak berlagu. Ah, Hanna tak kenal Tengku Alfian. Kalau lelaki tu nak orang mati, orang tu akan mati!
Hael mengintai Hanna sekali lagi melalui cermin belakang. Ah, bos aku tu bukan peduli pun dengan siapa dia bertikam lidah. Silap-silap, dengan anak raja pun dia boleh ajak bergaduh.
Dalam berjuta lelaki kat Malaysia ni, kenapalah mesti Tengku Alfian yang dilanggarnya? Siap gelarkan dia ‘Tengku Biadap’ lagi. Habislah…
Share this novel