LANGIT masih menangis. Hujan renyai tak henti sejak subuh tadi.
Jalan basah dan pohon-pohon bergoyang malas ditiup angin. Cuaca yang sendu, seolah-olah tahu hati Isabella pun sedang berperang dengan rasa yang sama.
Di pekarangan rumah agam yang sunyi itu, Isabella berdiri kaku. Payung biru kelam di tangan, dipeluk rapat ke tubuh. Di sisinya, Khai berdiri sopan dan membuka pintu kereta untuknya.
"Puan Isabella... kita dah sampai," suaranya perlahan, hormat.
Isabella tak terus melangkah. Dia pandang rumah itu. Rumah yang menyimpan satu-satunya kenangan paling hangat dalam hidupnya. Rumah yang pernah ada tawa, pelukan, dan suara lembut seorang wanita yang dia panggil ibu, walaupun tiada pertalian darah.
Hari ini adalah hari mengenang pemergian Puan Zulaikha. Wanita yang menyelamatkan Isabella dari terus membesar tanpa arah, yang menarik dia keluar dari rumah anak yatim waktu dia baru masuk sekolah menengah.
Puan Zulaikha bukan sekadar ibu angkat. Dia adalah satu-satunya manusia yang pernah benar-benar menyayangi Isabella tanpa syarat. Tanpa tuntutan. Tanpa dendam.
…
“Puan, tak apa-apa?”
"Saya okay, Khai," Isabella bersuara akhirnya, walaupun nada itu hampir tenggelam dengan bunyi rintik hujan.
Dia melangkah keluar perlahan, memijak tanah yang basah. Setiap langkah rasa berat. Seolah-olah dunia menahan dia daripada terus ke hadapan.
Tapi dia terus berjalan. Kerana hari ini.. bukan untuk dirinya. Hari ini untuk Puan Zulaikha.
TIBA di pintu utama, tubuh Isabella kaku. Seorang lelaki berusia separuh abad berdiri dengan tangan bercekak pinggang. Wajahnya serius, tegang, seperti menunggu sesuatu yang penting.
"Kau datang sorang? Mana suami kau?" soal lelaki itu tajam.
Isabella terkedu. Sepi seketika.
"Saya... Tengku Adrian ada urusan, Pak Ngah," jawabnya perlahan.
Pak Ngah mencebik. "Kau kata tahun ni kau akan bawak Adrian datang. Mana dia?!"
Sebelum Isabella sempat menjawab, satu suara lain menyampuk dari sisi.
"Aku dengar rumah tangga kau bermasalah. Sebab tu Adrian tak pernah datang rumah ni pun kan?"
Leya. Sepupu angkatnya yang dari dulu penuh sinis.
"Leya... tolonglah. Kami okay, Adrian cuma agak sibuk…" Isabella bersuara, cuba berlembut.
Tapi Leya hanya ketawa kecil. "Kau ni Isabella... orang lain kalau kahwin dengan lelaki macam Adrian, bukan main bangga tayang sana sini. Tapi kau? Sorok. Kenapa? Malu sebab tak bahagia?"
Isabella menunduk. Hatinya berombak. Tapi dia diam. Dia dah terlalu biasa dengan sunyi.
"Kalau Adrian tak nak datang, jangan paksa diri datang sini sorang-sorang. Buat malu je," tambah Pak Ngah sebelum berpaling masuk ke dalam.
Hujan semakin deras. Tapi Isabella masih berdiri di depan pintu. Payung di tangan tak lagi mampu melindungi perasaannya yang telah basah kuyup dengan rasa yang lebih sejuk dari air hujan.
Di sinilah dia. Di tempat yang sepatutnya memberi rasa hangat. Tapi yang dia dapat cuma sejuk dan beku.
Isabella tarik nafas perlahan. Langkah kaki tetap diteruskan masuk ke rumah. Kerana walaupun tak disambut, dia tetap datang. Demi Puan Zulaikha.
…
Isabella berdiri kaku di hadapan potret tergantung di dinding ruang tamu. Wajah dalam bingkai itu tenang. Senyum yang lembut. Mata yang penuh kasih.
Puan Zulaikha. Ibu angkatnya.
Ibunya…
Satu-satunya wanita dalam hidup yang pernah menyentuh hatinya dengan kehangatan yang tidak berpura-pura. Wanita yang memanggilnya “anak” walaupun tiada darah mengikat mereka. Dan kini, hanya tinggal potret dan kenangan yang sudah hampir pudar.
‘Maafkan saya, ibu… Bella tak cukup kuat untuk jadi seperti yang ibu selalu harap.’
Isabella senyum kecil, walaupun matanya berkaca. Tangannya menyentuh bingkai gambar seolah-olah boleh rasa tangan Puan Zulaikha yang dulu selalu mengusap kepalanya.
DI belakangnya, suara dan tawa mula memenuhi ruang. Ahli keluarga Puan Zulaikha yang lain sudah berkumpul. Tapi Isabella tahu, walaupun tak berpaling, mata-mata itu sedang menikam belakangnya.
“Ada ke datang tak bawak suami?”
“Lepas tu menipu, kata kononnya bahagia…”
Dia telan air liur perlahan. Tekaknya terasa perit. Satu rasa pedih mula menyusup dari dada ke perut.
‘Aku datang bukan nak tunjuk bahagia… Aku datang sebab rindukan ibu…’
Tapi mulutnya tak bergerak. Dia cuma pegun di hadapan potret itu.
Dan ketika suara sinis itu menyusup lagi, lebih tajam kali ini…
“Bella, aku dengar kau gugur. Sebab tu kau dengan Adrian bergaduhkan?”
Suasana yang tadinya riuh jadi senyap tiba-tiba. Semua mata kini betul-betul memandangnya. Dan perlahan-lahan, Pak Ngah Hussein bangkit dari sofa, berdiri dengan wajah gelap dan rahang mengeras.
“Kau gugur, Isabella? Betul ke apa yang budak ni cakap?”
…
Isabella akhirnya bersuara, halus, retak. “Itu kemalangan, Pak Ngah… Saya, tak mampu halang…”
Tapi dia tak sempat habiskan. Bentakan Pak Ngah bergema lebih kuat dari dentuman guruh di luar. “Tak mampu halang kau cakap?!”
Lelaki itu meluru ke arahnya. “Kau dah kahwin tiga tahun. Tiga tahun tak beranak. Dah ada satu-satunya waris untuk Adrian, kau gugurkan?! Sebab kau cuai?!”
..
“Apa kau ni? Memang tak layak jadi mak lah! Mencelakakan keluarga!”
Isabella tunduk. Tak melawan. Matanya jatuh ke lantai, tapi dalam dadanya bergelora.
“Kau ni bodohlah. Tak boleh harap. Lebih baik aku kahwinkan Leya je dengan si Adrian tu!”
Leya tersenyum puas. Dia memang dah lama ada hati dengan Tengku Adrian.
“Hei Isabella. Kau pekak ke? Tak hormat orang tua bercakap?”
Isabella masih kaku. Tak memandang. Tak menjawab. Bahu dan punggungnya masih menghadap potret ibu angkatnya, seolah-olah itu satu-satunya tempat dia masih boleh bernafas.
Pak Ngah Hussein mula melangkah ke arahnya. Langkah itu berat. Penuh ego.
“Isabella! Jawab! Jangan buat aku hilang sabar!”
Tapi dia tetap diam.
“Isabella!!”
Tangannya mencengkam lengan Isabella dengan kasar. Direntap tubuh itu supaya berpaling menghadap semua.
“Isabella, aku cakap jawab!”
Dan apabila dia masih tak berkutik… satu lempangan keras menghempas pipinya.
PAP!!!
Bunyi itu bergema. Lebih kuat dari suara sesiapa dalam rumah itu.
Tubuh Isabella terdorong, jatuh terjelepuk ke lantai. Rambutnya berterabur menutupi wajah. Pipinya membengkak merah. Darah mula menitik dari sudut bibir.
Tapi dia tetap tak menangis. Tak menjerit. Tak merayu. Dia cuma angkat wajah perlahan-lahan…
Dan dari lantai yang dingin, dia pandang potret Puan Zulaikha sekali lagi.
‘Ibu… Saya okay. Walaupun semua orang tengok saya macam sampah… Saya tetap datang sebab saya rindu ibu…’
Dia senyum kecil. Bibirnya bergetar. Tapi matanya tetap kering.
Isabella perlahan-lahan bangkit dari lantai. Lututnya menggigil, pipinya perit, dan bibirnya masih berdarah. Tapi langkahnya tetap bergerak. Bukan kerana dia kuat. Tapi kerana dia perlu pergi sebelum hatinya pecah berderai di hadapan mereka semua.
Dia berjalan pantas ke arah tangga. Hujan di luar makin lebat, tapi dalam rumah itu... yang lebih mencurah adalah kata-kata yang memedihkan.
"Mencelakakan keluarga!"
Suara Pak Ngah Hussein mengekori dari belakang. "Entah kenapa kakak aku ambil dia buat anak angkat!"
Isabella tak berpaling. Dia pekakkan telinga walaupun hatinya hancur berderai. Dia mendaki tangga tanpa berhenti, dan sebaik sampai di tingkat atas, dia terus menuju ke bilik yang dulu pernah menjadi miliknya. Bilik yang penuh dengan kenangan... dan sekarang, satu-satunya tempat dia boleh berlindung.
Pintu ditutup rapat, dikunci dari dalam.
Isabella bersandar pada pintu. Nafasnya turun naik. Bahunya terhinjut-hinjut menahan tangis. Tapi air mata itu tak sempat mengalir banyak. Dia bangkit, lalu berjalan ke sudut bilik—di mana sebuah violin lama tersimpan dalam kotak baldu biru.
Tangannya menggigil saat menyentuh instrumen itu. Perlahan, dia duduk di kerusi tepi tingkap dan mula menggesek tali pertama.
Bunyi violin—perlahan, merangkak. Tapi lama-kelamaan, ia mula mengalun seperti luka yang dibuka semula.
Irama itu sayu. Irama itu... adalah nyawa yang pernah memeluk dia waktu kecil. Lagu yang dia mainkan untuk Puan Zulaikha setiap malam sebelum tidur.
Dan hari ini, dia mainkan semula. Bukan untuk sesiapa. Tapi untuk dirinya sendiri.
...
TAK sampai sepuluh minit, satu kenderaan mewah berhenti di pekarangan rumah.
SUV hitam bergemerlapan ditimpa hujan, dengan logo eksklusif yang buat semua mata terpaku.
Pak Ngah Hussein berdiri di beranda, wajahnya berubah. "Siapa tu? Tak mungkinlah..."
Tengku Adrian keluar dari kereta dengan langkah tenang, wajahnya dingin dan tak berperasaan. Tapi sebaik lelaki itu melangkah, seluruh suasana rumah berubah.
Senyap. Semua yang tadi angkuh, tiba-tiba menjadi sopan. Tersenyum manis. Termasuk Leya dan Pak Ngah Hussein sendiri.
"Tengku... Kami ingat Tengku takkan datang," Pak Ngah Hussein menyambut sambil cuba menyembunyikan keresahan.
Tengku Adrian tak memandang mereka.
"Mana isteri saya?"
Sunyi seketika. Leya melangkah ke hadapan.
"Masuk dulu, Tengku. Saya buatkan teh ya," katanya lembut, manja.
Tapi Tengku Adrian masih berdiri tegak. Tatapannya tajam.
"Mana Isabella?"
Pak Ngah terdiam. Peluh dingin mula mengalir di belakang leher.
"Dia... dia ada dalam rumah, Tengku…."
Leya menoleh ke arah ayahnya, panik mula terpancar di wajah. Mereka tak sangka Tengku Adrian akan datang dan lebih pelik, mereka tak sangka dia datang mencari Isabella.
Sedangkan tadi... dia baru menampar wanita itu.
Tanpa kata, Tengku Adrian melangkah masuk. Rumah yang tak pernah dia jejaki selama tiga tahun kini menelan langkah kakinya dengan senyap.
Dia pandang sekeliling—wajah-wajah pucat yang menyorokkan ketakutan. Tengku Adrian terus tahu. Dia tahu sesuatu berlaku.
Dan dia terus menaiki tangga.
Kakinya tak ragu. Walaupun dah bertahun, dia masih ingat lokasi bilik itu. Bilik kecil, tingkat atas, hujung sekali. Tempat yang Isabella simpan semua kenangan yang tak dijemput.
Sebaik tiba di depan pintu bilik itu, Tengku Adrian terhenti.
Langkahnya membeku.
"Bunyi... violin?"
Gesekan lunak, perlahan. Tapi tiap notnya menghentam jantung. Irama itu… Irama itu terlalu dikenali.
Irama itu pernah dimainkan oleh seorang gadis kecil, bertahun-tahun dulu. Irama yang dia dengar dari balik tingkap rumah asuhan anak yatim. Yang menenangkannya, yang menyelamatkan hatinya dari dunia yang terlalu bising.
Tanpa sedar, matanya terpejam. Kepalanya bersandar pada pintu kayu itu.
…
Share this novel