Bab 4

Romance Series 19217

HAKIM mendengus kecewa.
"Kenapa jangan pula?" soalnya seraya menepuk dahi sendiri.

"Segan." Zakwan jawab sepatah sebelum melepaskan tawa kecil. Jujur, memang itulah jawapan yang sesungguhnya, dek berasa segan dengan isteri sendiri. "I ni dah tua. Dia tu pula cantik, muda."

"Segan tak segan, dia tu tetap wife you yang sah. Ingat tu, Zak." Hakim menjeling sebelum kembali menatap wajah Izreen. Asyik sangat memandang sampaikan terlupa yang wanita cantik itu adalah isteri kepada sahabatnya sendiri. "Orang sana tahu tak yang you akan balik lusa?"

"Tak, seorang pun tak tahu. Konon-konon nak buat surprise."Zakwan tertawa kecil.

"Sampai sana nanti, you pikatlah Izreen ni betul-betul. Rugi you Zak, ada wife muda, cantik tapi tidak dipedulikan. Kalau dapat kat I, memang... "

"You jangan berani, Hakim. I bukan tak peduli, I cuma jauh." Terbit riak cemburu pada wajah Zakwan sebelum menjegilkan mata kerana terlalu geram. Telefon bimbitnya laju dirampas daripada tangan Hakim, bimbang jika wajah isteri mudanya itu akan ditatap lama-lama pula oleh mata lelaki lain. Dia bangkit lalu terus berjalan pergi meninggalkan Hakim sendiri di situ.

Tidak mengambil hati langsung, Hakim sekadar tetawa lucu. Tahu benar, hati seorang sahabat baik itu sedang tergugat. "Tu lah, untung-untung ada bini muda, ditinggal-tinggalkan pula. Rugi!"

* * *

"Nak jalan dah?" tanya Puan Ameena seraya memanjangkan leher dek mahu menghendap pandang menantu dengan cucunya di rumah sebelah. Awal-awal pagi lagi dia sudah menunggu di situ. Rindu rasanya setelah hampir 24 jam tidak bertentang muka.

"Ye, mummy. Nak jalan awal sikit takut jalan jem. Awalnya mummy bangun?" Izreen tersenyum sambil bergerak mendekati sisi pagar batas rumah mereka untuk menyalami ibu mentuanya.

"Mummy bosan. Daddy kamu pun awal-awal lagi dah berangkat. Haaa, bunga-bunga ni je lah yang jadi kawan mummy." Puan Ameena mengadu manja sambil melirik ke arah Nurin yang sedang sibuk menyimpul tali kasutnya.
Terbit mekar senyumannya saat memerhatikan cucunya itu. Nurin kini semakin membesar menjadi anak yang sangat berdikari, semuanya hasil didikan Izreen. Hebat sungguh menantu kesayangannya itu!

Terabai sejak bayi, kurang kasih sayang daripada seorang ibu dan ayah yang selalu sibuk bekerja membentuk diri Nurin yang pendiam, pemberontak namun hanya dulu. Setelah dijaga oleh Izreen sendiri, semuanya berubah. Kini, wajah Nurin sentiasa manis dengan senyuman, hanya sikap manjanya sahaja yang tidak dapat dibuang.

"Mummy, semalam Reen ada order lepat ubi dari kawan Reen. Esok petang Reen hantarkan."

Lamunan Puan Ameena terhenti, segera wajah Izreen dipandang. "Order berapa biji? Sedapnya, tak sabar mummy nak merasa!"

"Reen order 50 biji. Kita bahagi setengah-setengah. Nurin pun suka sangat lepat ubi kawan Reen tu."

Bukan main laju Puan Ameena mengangguk, sakan meneguk air liur sendiri. "Esok kamu kerja juga kan? Balik awal sikit tau? Mummy dari hari tu lagi teringin nak makan tapi nak buat, mummy tak reti."

"Insya-Allah, habis je latihan puisi dengan budak-budak tu nanti, Reen terus berdesup balik!" kata Izreen.

"Nurin ikut ke esok? Kalau tak... "

"Nurin ikut ibu! Nurin nak ikut ibu esok! Nurin tak nak kat rumah nenek! Boring!" Dari jauh Nurin mencelah kata-kata Puan Ameena bersama segaris senyuman nakal. Mana mahu dia berjauhan daripada Izreen selagi ada kesempatan.

"Ye lah, ye lah. Asyik-asyik nak dengan ibu je." Puan Ameena mencebik reda sedang Izreen pula hanya mampu tersenyum.

"Kami minta diri dululah, mummy. Mummy elok-elok kat rumah tau? Kalau ada masa nanti, Reen bawa mummy pergi spa. Biar Reen yang belanja!"

Terkoyak kembali senyuman Puan Ameena saat mendengar tawaran dan pujukan menantunya itu. Bab-bab ambil hati memang kepakaran Izreen, sebab itu dia sayang. "Boleh juga, mummy pun lama tak manjakan muka mummy ni! Janji tau!"

"Reen janji, lagipun... bulan ni suami Reen ada bagi duit lebih sikit." Tersengih-sengih Izreen. Duit kan, siapa tak suka?

"Alhamdulillah, rezeki kamu. Hati-hati bawa kereta tu nanti," pesan Puan Ameena.

"Baik, mummy. Nurin, salam nenek dulu, sayang!" Izreen melaung ke arah anak tirinya yang sedang asyik bermain dengan kucing kesayangannya. Kucing comel itu diberi nama Didi. Comel, mulus sangat!

"Minta diri dulu, nek." Saat Nurin sudah mendekat, tangan Puan Ameena segera dicium hormat.

"Cucu nenek belajar elok-elok tau? Biar besar nanti jadi doktor macam daddy."

"Tak nak, tak nak! Tak suka daddy! Nurin nak jadi cikgu macam ibu! Jadi cikgu lagi best!"

"Hahaha!" Pecah tawa Puan Ameena. Suka benar dia mengusik cucunya itu. Tahu cita-cita Nurin apa, tetapi memang dia sengaja mahu menyakat.

Namun senyuman tua itu mendadak sirna sebaik sahaja kereta yang dipandu Izreen itu berlalu pergi.

"Tak suka daddy!"

Sayup-sayup suara manja Nurin tadi bergema pada halwa telinganya. Sedih? Ya, sudah pasti. Entah bagaimanalah penerimaan Nurin terhadap Zakwan jika lelaki itu kembali suatu hari nanti?

* * *

"PETANG nanti ada kelas tambahan apa?" tanya Izreen lembut sambil memaut bahu anak tiri kesayangannya masuk ke dalam kawasan sekolah. Sudah menjadi kebiasaannya menghantar Nurin sampai ke depan pintu kelas. Menjadi guru dan dikenali oleh kakitangan di sekolah itu merupakan satu kelebihan untuk Izreen kerana tak semua ibu bapa dibenarkan masuk ke dalam kawasan sekolah dengan sesuka hati.

"Matematik, ibu. Tapi tak lama pun. Cikgu Su Ling kata pukul 3 dah habis dah. Ibu jangan lambat jemput Nurin tau?"

"Insya-Allah, sayang. Minggu ni ibu pun tak sibuk sangat. Petang nanti tunggu ibu dalam kawasan sekolah tau? Jangan sesekali tunggu kat luar, bahaya."

"Nurin tahu. Ibu kan selalu pesan?"
"Pandai anak ibu. Belajar rajin-rajin ye? Jangan malu bertanya kalau tak faham. Malu bertanya?"

"Sesat jalan!" Serentak dua bibir itu menyebut sebelum masing-masing mengekek lucu. Asyik berbual sehingga tak sedar yang kini mereka sudahpun berada tepat di depan pintu kelas.

"Nurin masuk kelas. Ingat pesan ibu." Izreen menunduk tubuh, memegang kedua-dua belah bahu Nurin sebelum tubuh anak tirinya itu dirangkul erat.

"Baik, ibu. Nurin masuk dulu." Nurin angguk, melangkah masuk ke dalam kelas saat pelukan mereka terlerai namun langkahannya itu terhenti sesaat ketika dia terpandang ke arah seseorang yang sedang berjalan ke arah mereka.

"Eh, ibu!"

"Hahhh?"

"Tu, boyfriend ibu datang!"

Izreen toleh ke arah yang Nurin tunjukkan bersama wajah yang berkerut sementara Nurin pula terus berebutan masuk ke dalam kelas bersama tawa nakalnya.
"Ish, budak bertuah ni!" Izreen menggeleng. Nasib baiklah tiada telinga lain yang mendengar.

"Good morning, Cikgu Zaidan!" sapa Izreen sebaik sahaja boyfriend yang dikatakan Nurin tadi sudah mendekat. Menyapa sambil tersenyum. Izreen kalau sudah tersenyum semanis itu, memang boleh buat hati para lelaki mencair parah.

Share this novel

siti
2025-05-08 15:57:49 

mana bab 12???????tak best la baca tergantung ni


NovelPlus Premium

The best ads free experience