12 Balik, Rhett!

Family Series 57531

“Hoi!!!”

Jeritan Amirul sontak mematikan aktiviti kejar mengejar di antara Deila dan Rhett. Tercungap-cungap kedua-dua mereka kerana kepenatan.

“Apa korang buat ni hah?!” Amirul bercekak pinggang sambil memandang Deila dan Rhett silih berganti.

“Dia makan Pepero saya, Mirul!” Deila merenggek sambil tunjuk Rhett yang masih terbongkok-bongkok, cuba mengatur pernafasan.

“Sikit je pun!” Balas Rhett tak mahu kalah. Bagi dia tak salah, bukan tak boleh buat balik.

“Pasal Pepero korang berkejar-kejar macam orang gila? Tak malu ke?” Amirul dah berlagak macam Ketua Kampung. Eyalah, ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Dah bapak dia Ketua Kampung!

“Itu jualan saya, Mirul!” Bentak Deila tidak puas hati.

“Dahlah, Del. Kau masuk kedai! Kira je kerugian kau dan suruh lelaki tu bayar. Saya yakin takde masalah pun untuk dia bayar semua tu. Pergi cepat! Takyah gaduh di luar, nanti jadi buah mulut orang kampung!”

Benci! Sungguh Deila tak puas hati namun bila fikirkan ada benarnya kata-kata Amirul, dia pusing badan lalu jalan hentak-hentak kaki masuk kedai. Rhett mengerling sebal. Mahu pula Deila menurut arahan Amirul? Siapa lelaki itu di hati Deila? Dia mulai terbakar dengan rasa cemburu. Jika dilihat, Amirul bukan lelaki kebiasaan. Kacak budaknya! Pandai bergaya, cara berpakaian up to date! Hish, tak boleh jadi ni.

“Kau!” Amirul mendekati Rhett sebaik sahaja kelibat Deila hilang dari pandangan. “Jangan sesekali kacau walau sebiji pun gula-gula jualan kedai. Kalau Del kata jual, ertinya juallah tu. Kau nak, kena beli.”

Rhett terangguk-angguk, masih tercungap sedikit. Lokeknya! Sebiji gula-gula pun nak berkira ke? Rungut batin Rhett.

“Sampai bila kau nak tinggal di kampung ini?”

Rhett menegakkan badan. Nafas sudah kembali seperti sediakala. Dia tidak terus menjawab pertanyaan Amirul. Urusan dia sudah selesai sebenarnya. Dia sudah mendapatkan gambar Maryam, anak Pak Semat yang sudah lama berhijrah ke Singapura. Dia juga sudah mendapatkan alamat terkini berserta nombor telefon wanita itu dari Pak Semat.

Sejak beberapa hari lalu, dia sebenarnya sudah boleh balik. Tapi, dia tidak rela. Berat hatinya mahu meninggalkan kampung tersebut. Dia sudah jatuh cinta dengan suasana aman damai di kampung itu. Dia sudah bisa menyesuaikan diri dengan penduduk kampung. Dia sudah mulai sayangkan opah dan paling penting, dia sudah tergilakan cucu opah. Bagaimana dia mahu balik? Dia pasti jadi gila menanggung rindu nanti.

“Sampai urusan saya selesai, Mirul!”

“Dah hampir sebulan, takkan tak selesai lagi?” Tercengang Rhett dengar. S… sebulan? Mengapa dia rasa dia baru beberapa hari berada di situ?

“Atas urusan apa kau ke sini? Biar saya bantu supaya cepat selesai.” Cadang Amirul. Rhett geleng laju.

“Tak payahlah Mirul, dah hampir selesai pun. Saya masuk kedai dulu.” Amirul kacip gigi. Buku lima digenggam erat ketika anak mata mengiringi pemergian Rhett. Ya, dia cemburu. Dia tidak mahu lelaki itu rapat dengan Deila!

Rhett masuk lalu mencari kelibat Deila. Pusing-pusing, akhirnya Rhett jumpa Deila duduk mencangkung, sedang menyusun sesuatu di rak jualan paling bawah. Rhett menarik nafas dalam-dalam. Dia mula diserang rasa gemuruh. Beberapa kali dia mengibas dua-dua tangan untuk mengurangkan rasa gemuruhnya.

Pujuk orang tua memang kemahiran Rhett, tapi bukan gadis! Tu pasal dia tiba-tiba rasa gemuruh. Lebih-lebih lagi yang mahu dipujuk itu ialah Deila Araferro, yang kalau dijentik marahnya, terus naik angin satu badan.

Rhett melangkah satu-satu menghampiri Deila. Semakin dekat, semakin mahu terbongkar dada menahan debar.

“Del…” Rhett memanggil lembut. Deila langsung tak menoleh.

“Saya nak minta maaf…”

“Maaf kau tak diterima!”

Belum sempat menoktah kata, Deila dah cantas laju tanpa memandang ke arahnya. Rhett teguk air ludah dan terus terjeda. Merenung Deila tak berkelip sambil otak ligat berfikir. Tiba-tiba Rhett duduk bertenggek di samping Deila lalu mengangkat tangan kanan separas bahu.

“Saya janji saya akan buat refleksi kendiri, perbaiki diri dan tidak akan ulang kesalahan saya lagi.” Deila tercengang dengan perlakuan Rhett. Pantas dia kerling Rhett sambil cuba tahan senyum. Berbunga hati Rhett melihat senyum tak jadi Deila.

“Saya juga janji akan bersengkang mata malam ni dan bantu kau siapkan berbalang-balang biskut jejari Pepero tu.” Semakin senang hati bila lihat Deila tersipu-sipu lalu buang wajah.

“Dan saya juga janji… saya akan bayar dua kali ganda kerugian kau hari ini.”

“Baik, kau dimaafkan!” Tercengang Rhett bila Deila jawab laju. Ah, dah nampak dah. Girlfriend dia ni memang mata duitan. Tapi takpe, dah terlanjur suka dia akan tutup mata tentang itu.

Belum sempat meleretkan senyum bahagia, Deila hempuk beberapa plastik serbuk kopi di dada Rhett.

“Tolong saya susun dalam rak ni. Pastikan kemas tau.”

Rhett tersenyum sumbing. Selain mata duitan, kasar dan tak romantik langsung! Tapi takpelah, suka punya pasal dia juga akan tutup mata tentang itu.

“Yela, asal kau senyum dan tak marah-marah lagi. Boleh tahan juga laju kau. Saya hampir semput tadi. Rasanya kau dah boleh challenge Elaine Thompson, ratu pecut dari Jamaica tu.”

“Kau ni kan!” Deila menyiku kasar tulang rusuk Rhett. Hampir je dia jatuh tergolek. Baiklah, selain mata duitan, kasar dan tak romantik, girlfriend dia juga kuat orangnya!

“Saya gurau jela, janganlah marah.” Usik Rhett lalu tergelak. Deila meneruskan kerja yang dia lakukan sambil tersenyum simpul. Rhett ikut melakukan perkara yang sama. Sekejap-sekejap dia curi memandang Deila.

“Del, apa tu?” Rhett tiba-tiba menaikkan jari telunjuk ke arah sisi Deila. Laju Deila berpaling untuk melihat.

Chup!

Bulat mata Deila bila Rhett mencium pipinya dengan laju.

“Rhett!” Marah Deila dengan suara tertahan. Rhett sengih lebar.

“Sikit je, janganlah marah.”

“Kau ni kan, kalau ada yang nampak macam mana?”

“Macam biasa, buat bodoh.”

“Hesy!” Deila mencubit geram lengan Rhett.

“Awww, sakit Del!”

“Kau jangan buat macam tu lagi, mengerti?!”

Rhett tergelak lalu cuba menangkap jemari Deila. Laju Deila melarikan tangan lalu menampar manja bahu Rhett.

“Del!!!” Spontan Deila berdiri setegak tiang lampu jalan. Perlahan, kepala diteleng. Tak perlu teka pun, dia kenal sangat empunya suara lantang bergetar di hujung itu.

“Korang buat apa?!” Ada bau-bau cemburu pada nada suara. Deila cuba tersengih.

“Tak buat apa-apa Mirul, kami sedang susun barang.”

Amirul ketap rahang. Bengkak bernanah hati saat itu. Macamlah dia buta! Terang-terang dia lihat Deila bertepuk tampar dengan lelaki itu. Mereka terlihat begitu mesra. Dan gaya Deila… tersangatlah manja. Hancur hati Amirul ketika itu. Tubir mata terasa panas digenangi air mata.

“Mirul, tunggu!!!” Deila menjerit apabila dia lihat Amirul memusing badan lalu berlari meninggalkan tempat itu. Deila memandang Rhett dengan rasa gusar.

“Rhett, tolong jaga kedai sekejap. Saya nak kejar Mirul. Saya risau dia bertindak bodoh.” Usai berkata, Deila berlari keluar.

“Del, tunggu!” Rhett jerit. Kelam kabut dia bangun lalu mengejar Deila. Malangnya, Deila langsung tak menoleh.

“Del! Deila Araferro! Arghhh!!!” Rhett mundar mandir di depan kedai runcit sambil mengusutkan rambut. Habis dia tendang segala batu-batuan pelbagai saiz yang terdampar di luar kedai kerana rasa marah.

Ya, dia cemburu. Dia benar-benar cemburu! Siapa Amirul di hati Deila? Mengapa Deila kelihatan panik dan risau melampau bila Amirul lari tadi? Dua manusia itu… sangat mencurigakan!

PON!

Terenjut bahu Rhett bila bunyi hon dari sebuah kereta bergema, nyaring memekakkan telinga! Rhett pandang kereta jenis Land Cruiser bercermin gelap itu dengan berang.

“Eh?” Terkejut Rhett sebaik sahaja pemandu kereta itu turun dari kereta tersebut.

“Tuan Rhett, maaf saya datang mengejut.” Rhett undur setapak lantas mencekup mulut.

“Macam mana kau boleh jumpa tempat ni?” Tanya Rhett yang masih dalam keadaan terkejut.

“Tok Teh yang beri alamat kampung ini. Tuan, saya diarahkan oleh Tok Teh untuk menjemput tuan balik sekarang juga.”

Rhett terkesima. Balik? Sekarang? Eh, dia tak nak! Urusannya masih belum selesai.

“Kau baliklah dulu. Nanti-nanti saya menyusullah. Pergi cepat!”

“Tak boleh tuan. Arahan Tok Teh, sekarang jugak tuan. Tolong jangan rumitkan keadaan. Tuan tahu apa yang mampu Tok Teh lakukan, bukan? Kalau tuan berkeras tak nak ikut, saya risau dia hantar satu bala tentera menjemput tuan nanti.”

Rhett terkedu. Ada betulnya juga cakap pembantu peribadi dia itu. Dia faham benar dengan perangai Tok Teh dia tu. Rhett berfikir sejenak.

“Baiklah, saya akan balik bersama kau. Tapi, kau kena tunggu saya di hujung simpang tu. Tunggu je sampai saya datang. Selesai urusan saya, kita balik.”

“Tak, tuan. Saya akan ikut ke mana saja tuan pergi sehingga kita sampai di rumah tuan. Itu arahan Tok Teh.”

Cis! Rhett kacip gigi.

“Sekarang ni siapa bos kau hah? Saya yang ada di depan kau kan? Jadi, kau kena dengar arahan saya.”

“Maaf, tuan. Saya terpaksa bertegas dalam hal ini.”

“Kau ingat saya nak lari ke? Dekat mana je saya boleh lari di kampung kecil ni?”

“Maaf, tuan!”

Rhett kekeringan idea. Buang masa je kalau dia teruskan bertekak. Dia berfikir sejenak.

“Baiklah, tapi awas. Apa pun yang kau nampak di sini, biar jadi rahsia hanya kita berdua. Mengerti?” Lelaki di hadapan Rhett mengangguk faham.

RHETT mundar mandir di hadapan pintu rumah yang diperbuat dari papan kayu yang kelihatan sudah terlalu usang. Sesekali kepala menjengah ke luar rumah, mengharap muncul kelibat yang ditunggu sedari tadi. Ke mana saja minah kepoh itu menghilang? Ni nak kejar Amirul ke nak pergi dating dengan Amirul?

“Del belum sampai lagi ke?” Tanya opah yang sedang duduk di salah satu sofa rotan. Pembantu yang dihantar oleh Tok Teh duduk bertentangan dengan opah. Sejak muncul bersama Rhett tadi belum terdengar suaranya. Hanya diam membisu.

“Belum lagi, opah.” Jawab Rhett, agak kecewa nadanya. Opah menggeleng.

“Hesy, ke mana aja anak dara tu pergi? Dia tak tau ke yang kau kena balik ke bandar hari ni juga?” Omel opah sambil tarik wajah kelat. Rhett mengerling pembantu Tok Teh. Lelaki itu hanya membisu.

“Macam nila, tak payah kau balik hari ni. Esok-esok aja. Rumah opah ni luas, lelaki tu boleh tidur dekat mana-mana ruang kosong.” Putus opah sambil tersengih-sengih.

“Rhett kena balik hari ini. Itu arahan dari nenda Rhett.” Terkejut opah bila lelaki di hadapannya tiba-tiba menyampuk. Ingatkan bisu!

“Ala, apa saja tu setakat dua tiga hari lagi menginap di sini temankan opah? Apa kau ingat opah ni nak culik cucu orang tua tu ke? Opah pun ada cuculah!” Terkebil-kebil pembantu Tok Teh bila ditempelak oleh opah.

“Takpelah opah…” Rhett menghampiri lalu duduk di sebelah opah. “saya memang kena balik pun. Nenda dah lama tunggu. Pasti dia pun dah tak sabar nak tahu tentang bekas pembantu rumah dia tu.” Opah menjuih sebelum tarik wajah macam mahu merajuk.

“Yela, siapalah opah ni kan. Cuma orang kampung je. Bukan orang penting pun. Pergilah Rhett, tak payah kau tunggu budak Del tu. Opah akan terangkan kepada dia nanti. Opah tak nak kau bagi cucu opah harapan palsu!” Terkejut Rhett dengar. Opah bingkas bangun dan bersedia mahu pergi dari situ.

“Opah!” Rhett menyambar lengan opah. Terpempan Rhett bila opah buang wajah sembilan puluh darjah siap dengan muncung panjang boleh sangkut beg tangan.

“Opah, dengar dulu.” Rhett bersuara lembut. “Saya tak beri harapan palsu kepada Del. Saya ikhlas. Opah tahu kan saya datang kerana ada tujuan. Saya kena selesaikan itu dulu. Saya pergi bukan bererti saya pergi untuk selamanya, opah. Saya akan kembali menjenguk opah dan Del bila urusan saya dengan nenda selesai. Ini janji saya.”

Rhett menghela nafas lega bila lihat kepala opah dipusing perlahan-lahan untuk memandang dia.

“Betul? Kau tak tipu opah?”

“Betul, opah! Opah dan Del dah jadi buah hati saya. Mana mungkin saya boleh lupakan buah-buah hati saya ni kan?” Tersengih sampai ke telinga opah bila Rhett siram dia dengan kata-kata bergula, siap cuit hujung hidung opah. Berbunga-bunga hati opah dengar.

“Baiklah, opah tunggu.”

Rhett tersenyum senang hati. Tapi cuma sekejap.

“Rhett, sudah beberapa jam kita di sini. Barang-barang pun semua dah dimasukkan ke dalam kereta. Bila kita mahu bertolak?” Rhett mendengus perlahan bila pembantu Tok Teh bersuara lagi.

“Sekejap lagilah. Saya nak jumpa seseorang.” Bantah Rhett dengan wajah kurang senang. Lelaki itu bingkas berdiri lalu memanjangkan leher untuk mengintai ke luar pintu yang terbuka luas.

“Dah beberapa jam kita menunggu, Rhett.”

“Saya kata sekejap lagi!”

“Tak boleh Rhett. Perjalanan kita terlalu jauh. Kita kena balik. Sekarang, Tuan Rhett Raffendy!”

Argh! Rhett meraup wajah dengan kasar. Saat itu juga dia mahu berlari keliling kampung untuk mencari Deila Araferro!

Share this novel

norsila
2024-02-19 14:24:07 

hiss bpisah juga bdk brdua ni..huuu ada jodoh ke tu..cmno dgn janji dio samo kekasihnya nun jauh di sano? huuu dah ilang ingatan ko si laki ni..huuu

Mermaid_
2024-02-19 13:28:02 

huwargghhh jangan pisahkan drang pleaseee dah rasa rasa nak nangis macam kes ponti dulu ????


NovelPlus Premium

The best ads free experience