Prolog

Romance Series 49213

"RAFEEF!"

Terkial-kial lelaki itu bangkit daripada perbaringannya sebaik sahaja mendengar ada suara keras yang memanggil. Tali leher yang sudah sedikit terlondeh ke bawah segera diatur, gaya rambut yang dia yakin sudah sedikit kacau juga segera dikemaskan kembali. Sebagai seorang lelaki yang menjaga penampilan sendiri, mana mahu dia terlihat tidak tampan dan tidak segak di mata-mata insan lain walaupun insan itu adalah sejantina dengannya.

"Eh, Uncle Jeff. Sorry, tadi... tadi i... "

"Tadi you apa?! You tahu tak, you ni dah banyak kali buat uncle malu?! Bukan sekali dua, Rafeef, tapi hampir setiap hari. Tidur, tidur, tidur sahaja yang you tahu. Alang-alang dah macam tu, kenapa tak mati terus waktu tidur je?!" Tan Sri Jeffri terus memuntahkan bebelannya. Sumpah, jika sekali lagi keadaan yang sama terjadi, alamatnya sakit jantunglah dia selepas ini. Kemalasan anak kepada sahabat baiknya itu memang tidak tara. Dalam bahasa kasar; malas nak mampus!

Rafeef pula sekadar tersengih. Memang dia malu, bahkan rasa serba salah juga ada tetapi untuk menjadi rajin seperti yang orang-orang di sekelilingnya mahu, dia tidak reti. Sikap malas memang sudah sebati dengan dirinya. Prinsipnya begini; biar malas janji selalu nampak segak dan hensem.

"Ishhh, tak baik uncle cakap i macam tu. I bukan sengaja, dan i tak tidur pun. Tadi tu i cuma santai-santai sekejap je. Ambil ilham kata orang, cari idea, gali idea sebelum kita... meeting."

"Cari idea kepala hotak you, Rafeef! Client-client kita semua dah menunggu, you boleh-boleh pula membuta kat sini? You nak ke uncle adukan tentang perangai malas you ni pada papa you, Rafeef? Nak???"

Ah, mendengar perihal ayahnya yang disebut, serta merta membuatkan Rafeef menjadi kalut. Membayangkan bebelan berjela-jela Tan Sri Helmi nanti benar-benar membuatkan dia terketar lutut. "Eh, jangan uncle. I janji, i tak akan ulang kesilapan ni lagi. I akan... "

"Dah berkali-kali dah you janji benda yang sama, Rafeef.  Uncle dah betul-betul fed up dah! You datang lambat tapi balik awal, keluar waktu kerja, uncle masih boleh bersabar sebab uncle ingat jasa baik papa you pada uncle. Tapi kalau dah macam perangai you, Rafeef, jangan unclekan, Tuhan pun dah tak boleh bersabar dah. Malas! Dah, uncle tak nak dengar apa-apa lagi dah. You... uncle pecat! Esok tak perlu datang!"

Kata-kata Tan Sri Jeffri langsung membuatkan Rafeef ternganga dan kecut perut. Ah, janganlah! Bukan senang hendak mencari kerja, nak-nak pula orang yang tidak memiliki banyak pengalaman seperti dia. Mendapat kerja pun hanyalah disebabkan budi bicara majikan atau kata orang sekarang, sebab 'kabel'. "I dipecat, uncle? Eh, janganlah macam ni uncle. I janji, ni last. I takkan ulang lagi kesalahan ni. I janji yang i akan jadi seorang pekerja yang paling baik dan cemerlang. Please," gigih Rafeef merayu walaupun perasaan sebenarnya, tidaklah segigih itu. Merayu sekadar mahu diberikan peluang sekali lagi sahaja. Meminta peluang pula kerana enggan ayahnya akan mengamuk  jika orang tua itu mendapat tahu tentang semua ini.

"Who care??? Rafeef, you're fired!" Usai tengkingan itu terluah, Tan Sri Jeffri terus melangkah pergi meninggalkan ruangan kerja anak sahabat baiknya itu. Jangankan hendak memberi peluang, mahu menatap muka Rafeef pun dia sudah tidak sanggup lagi.

Rafeef yang masih sahaja berdiri kekal ternganga buat seketika. Hanya seketika kerana beberapa saat setelah itu, dia langsung mengukir senyuman tampan yang tidak kisah. "Dipecat? Again??? Huhhh! Who care???" kata-kata dan gaya percakapan Tan Sri Jeffri tadi diajuk selamba. "I terima pecatnya, uncle.
Kat luar tu banyak lagi company-company besar yang perlukan orang yang hensem macam i. Tak kerja pun i kayalah! Tak kerja tak apa, janji i selalu nampak segak dan hensem malah lebih hensem daripada anak uncle tu." Riang lelaki itu berbicara sendiri sebelum arah meja kerja segera didekati. Niat mahu mengemas barang-barangan untuk dibawa pergi tetapi sebelum itu, Rafeef sempat juga menilik wajahnya melalui pantulan skrin telefon kerana ingin memastikan gayanya akan selalu terlihat tampan dan sempurna. "Hmmm, handsome macam selalu. O Rafeef, kenapalah you ni hensem sangat??? Macam putera raja."

Coretan hati seorang hero:

AKU ini adalah seorang lelaki ciptaan Tuhan yang paling sempurna. Namaku Rafeef, Rafeef bin Helmi. Helmi bukan sebarang Helmi, tetapi papa aku juga seorang Tan Sri. Beliau kaya, berjaya, terkenal dan akulah satu-satunya insan yang beruntung menjadi anak tunggal kepada papaku. Papa baik, cuma garang. Mama pula seorang yang lemah lembut, penyayang. Mama selalu memanjakan aku, apa sahaja yang aku nak, mama akan tunaikan. Papa pun sama sayangkan aku, tapi... akhir-akhir ni papa banyak berubah. Selalu membebel, mendesak aku untuk membantu dia menguruskan perniagaannya. Kerja dengan papa sendiri? Ishhh, aku tak nak dan aku berkeras untuk menolak permintaan papa itu. Tapi papa tetap mendesak dan terus mendesak. Dia telah meletak syarat, jika aku tidak mahu membantu menguruskan syarikatnya itu, aku akan dihalau pergi dari teratak indahnya. Ah, tanpa papa dan mama mana mungkin aku dapat bertahan hidup. Walaupun untuk meniti usia 35 tahun, tetapi sehingga ke saat ini kehidupanku memang ditanggung penuh oleh papa dan mama. Akhirnya aku setuju, setuju untuk mencari kerja tetapi yang pasti bukan bekerja dengan papa. Uncle Jeffri adalah majikanku yang kedua. Dia menerima aku bekerja dengannya setelah aku dipecat oleh Uncle Farid sebulan yang lalu. Jika hendak dibandingkan Uncle Farid dengan Uncle Jeffri, Uncle Jeffrilah yang lebih baik dan sabar. Tapi tak mengapa, aku percaya rezeki itu ada di mana-mana. Yang penting sekali adalah gaya dan penampilanku. Hensem itu harus, segak itu perlu kerana semua itu adalah prinsip utamaku.

... dan beginilah kisah hidup aku dalam mencari cinta dan erti sebuah kehidupan yang sebenar.

Yang benar,

Rafeef, jejaka paling kacak di alam semesta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience