“CIK INTAN Ruhaini Samad!” namanya dipanggil sebaik saja melangkah ke dalam ruang itu. Kelihatan seorang wanita yang anggun sekali gayanya sudah mula mendekati. Ruhaini gugup sendiri. Sudahlah datang sini pun tak rela. Jangan ada yang nak buat kacau tak kena gaya pula.
“Ikut saya… Datuk nak jumpa.” Sambil tersenyum manis wanita itu menyampaikan hasratnya. Ruhaini tergamam. Da…da… datuk nak jumpa? Gila! Rasa macam nak pecut balik sekarang juga.
“Kenapa nak jumpa sekarang? Taklimat belum mula lagi. Saringan kedua masih ada kan?” soal Ruhaini gopoh. Kerana seingatnya, dia ada diberitahu hari itu, setelah keputusan muktamad dibuat, barulah individu berkenaan akan dipertemukan secara face-to-face dengan Datuk itu.
Seram sejuk badannya. Adakah ini memberi jawapan bahawa… dia dapat jawatan bini Datuk? Gila!!!
Dalam pada berperang dengan hati sendiri, Ruhaini menurut saja langkah wanita anggun tadi. Matanya meliar di sekeliling bangunan itu. Semuanya mewah belaka. Tapi dia bukanlah fikirkan kebendaan sangat. Dia cuma mahu cukup makan, pakai dan tidur saja. Mak, tolong Haini !
“Cik Intan Ruhaini, duduk di sini dulu… sekejap lagi akan ada orang yang datang jemput awak.” Wanita anggun itu sudah menghilangkan diri di balik pintu. Ruhaini melihat sekelilingnya dengan perasaan yang dia sendiri tidak mengerti. Semuanya gah! Semuanya mewah! Mahu kabur saja matanya dipanah sinaran dari segala benda yang terletak dalam bilik itu.
Tudung yang tersarung di kepala dibetulkan. Sebenarnya tidak terfikir untuk berbuat begitu pun. Namun kerana hatinya terlalu gundah tak kena gaya, dia ikutkan saja tindakan dirinya yang tengah gabra gila.
Sekejap lagi, datuk bakal jelma ke? Apa agaknya rupa dia? Tua kerepot? Atau tua sedang-sedang. Kalau tua sedang-sedang, aku nak terima ke? Jangan nak merapu! Aku tetap tak nak! Datuk… oh Datuk…
“Here you are.” Gulp! Ruhaini dah seram sejuk. Dia belum mengangkat pandangan matanya lagi. Suara itu hanya membuatkan dia rasa nak cabut lari saja. Itukah… Datuk?
Share this novel