“Saya terima nikahnya Putri Hanis Binti Malik dengan emas kahwin satu ribu ringgit dibayar tunai!” Dengan tenang, Haiqal Jason melafazkan akad tersebut.
Saksi yang berada di bahagian kiri dan kanan mengangguk hampir serentak sambil berkata 'sah'. Maka dari itu, sempurna sudah akad nikah tersebut. Kini, Haiqal Jason dan Putri Hanis telah bertukar status sebagai suami isteri yang sah. Betapa bahagianya diri mereka. Namun, diri sedaya-upaya dikawal beriak biasa.
Usai bacaan doa dan lafaz taklik dibaca oleh pengantin lelaki, beralih pula dengan upacara pembatalan air sembahyang. Haiqal Jason mula bergerak menghampiri isterinya. Cincin disarungkan pada jari manis wanita pujaannya. Kemudian, mereka mula bersalaman.
“Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar. Terima kasih, Hanis kerana sudi mahu menjadi menantu mama. Semoga berkekalan sehingga ke Jannah,” ucap Datin Jumira dengan wajah yang begitu gembira. Kedua-dua anak lelakinya sudah pun mempunyai tanggungjawab yang besar.
“Aamiin. Terima kasih, mama...”
Siang telah berganti malam. Majlis persandingan Haiqal Jason dan Putri Hanis akan berlangsung sekejap sahaja lagi. Masing-masing telah bersiap dengan pakaian pengantin yang telah ditempah oleh mereka. Rasa gemuruh terpahat di hati.
Kini, mereka berdua sedang berjalan menuju ke atas pelamin yang dihias dengan cantik. Tema Fairytale menjadi pilihan kedua pasangan itu. Cantik!
Ramai tetamu yang hadir memeriahkan majlis mereka pada malam itu. Hampir semua keluarga Jason berada di situ. Aidil dan kedua isterinya, Neldia dan Faresha turut hadir sama disitu. Sangat akur kedua wanita itu. Syukurlah...
Namun, ada sesuatu yang menarik perhatian Hanis saat ini. Di mana seorang wanita yang cukup dikenali, sedang menghampiri mereka berdua. Susuk tubuh wanita bernama Haifah itu sudah berada dihadapan Hanis saat ini. Senyuman manis terukir. Hanis terkebil-kebil melihatnya. Tapi, senyuman itu tetap dibalas.
“Tahniah, Hanis. Jason tak salah pilih. Awak memang layak untuk dia. Saya tumpang gembira,” bisik wanita itu sebaik sahaja tubuh Hanis dipeluk dengan erat. Dia telah ikhlas melepaskan lelaki tersebut. Dia sudah tidak kecewa. Tidak marah dan juga tidak berdendam. Dia percaya, ada lelaki yang lebih baik untuk dirinya.
“Terima kasih, Haifah. Saya nak minta maaf sebab...”
“Shhh, tak perlu minta maaf pun. Saya yang sepatutnya kata macam tu. Semua tu salah saya,” Hanis tersenyum lega. Nampak ikhlas dari wajah wanita itu.
“Tahniah, Jason. Jaga Hanis elok-elok. Semoga berkekalan hingga ke akhir hayat. Saya turun dulu,” ujar wanita itu lagi sebelum berjalan kembali ke tempat duduknya. Hanis hanya menghantar dengan pandangan langkah Haifah tadi.
Sekali lagi, dia memanjatkan kesyukuran dan berdoa agar selepas ini tiada sudah masalah lain akan timbul. Terutama, hadirnya orang ketiga. Semoga rumah tangganya terhindar daripada itu. Dia memandang sekilas suaminya, satu senyuman terbit dibibir. Lelaki itu telah menunaikan janjinya untuk menghalalkan dirinya.
“Terima kasih sebab sudi jadi suami saya...”
“Sama-sama. Dan, terima kasih kembali sebab mahu menjadi teman hidup saya,” Ucap lelaki itu sambil mencuit hidung isterinya.
“Ehem! Kitaorang nak ambil gambar ni...” ujar Rendi yang sudah tercegat berdiri dihadapan kedua pasangan itu. Jason dan Hanis hanya tersengih.
SETAHUN KEMUDIAN....
Pagi telah melabuhkan tirainya. Saatnya bagi setiap manusia di muka bumi ini, bangun untuk menjalankan tugas harian mereka. Sama seperti Hanis yang terpaksa melawan rasa kantuknya pada pagi itu. Maklumlah, kehidupan berumah tangga, makan dan minum suami harus dijaga dengan teliti. Bukan itu sahaja, penampilan dan imej suami juga kena diperhatikan agar si suami sentiasa kemas dan bersih. Tapi, ia bukan menarik perhatian wanita lain pula!
Pelukan Haiqal Jason memecahkan lamunan pagi seorang Putri Hanis. Laju wanita itu menoleh, memandang wajah suaminya yang masih menutup mata. Lama wajah itu dipandang. Tidak disangka, lelaki itu telah bergelar menjadi suaminya yang sah saat ini. Sempat melalui fasa di mana dirinya berputus asa dengan lelaki itu. Namun, takdir telah menyatukan mereka semula. Sedar tidak sedar, perkahwinan mereka sudah terjalin genap setahun.
CHUP!
“Ish, apa abang ni! Dahlah tak basuh muka lagi...” rengeknya. Jason hanya tersengih tidak bersalah.
“Hmmm... macam tak biasa,” balas lelaki itu dengan suara serak basahnya. Tergelak Hanis mendengarnya.
“Yelah, saya bangun dulu, nak mandi. Rasa tak sedap badan pula...macam nak...uek...” Kelam kabut Hanis turun dari katil dan berlari menuju ke dalam bilik air.
“Uek,”
Jason mengangkat kepala melihat ke arah bilik air itu. “Are you okay, princess?” tanya Jason sebelum berjalan mendapatkan isterinya itu. Dari semalam wanita itu asyik muntah sahaja. Risau pula hatinya.
“Apa yang Hanis dah makan sampai jadi macam ni sekali?” soal lelaki itu lagi. Belakang isterinya diusap lembut. Matanya melihat wanita itu hanya menggelengkan kepala.
“Kalau macam tu, mandi cepat. Lepas ni, kita pergi klinik. Mana tahu Hanis keracunan makanan ke apa. Dah, cepat mandi...” Hanis hanya akur tanpa membantah. Jika dibantah, maka keluar seribu satu ceramah daripada mulut lelaki itu.
Setelah doktor memeriksa keadaan Hanis, ia bukanlah disebabkan keracunan makanan. Namun, Hanis telah mengandung empat minggu. Bertapa senang hatinya apabila mendapat tahu hal itu. Begitu juga, dengan si suami. Dari hospital lagi lelaki itu tersenyum sampailah di rumah, pun masih tersenyum seorang diri. Geleng kepala Hanis dibuatnya.
“Tak lama jadi papa....tak lama jadi papa...yeay...yeay...” Soraknya dengan alunan yang tersendiri sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Hanis hanya memerhati dari dalam kereta dengan rasa tidak puas hati.
“Bertuah punya suami! Boleh pula terlupa isteri dia dekat sini!” Pintu kereta dibuka lalu ditutup semula dengan kasar setelah dia turun daripada kereta itu. Lantaklah, tercabut pintu ke apa. Itu tandanya seorang isteri tengah panas hati.
“Ya Allah, sorry sayang. Abang terlupa. Terlalu excited tadi...” Ujar Jason yang baru sahaja muncul semula di situ. Jelingan tajam dihadiahkan kepada lelaki itu sebelum masuk ke dalam rumah. Menusuk sampai ke pangkal hati yang paling dalam.
Jason mengekori langkah isterinya. Kelihatan wanita itu sedang mengambil tempat di atas sofa ruang tamu. Wajahnya masam mencuka. Bibir pun sudah muncung sedepa. Sejak kebelakangan ini, emosi Hanis tidak menentu. Mungkin disebabkan alahan mengandung agaknya? Jason hanya menggeleng kepala sebelum menghampiri isterinya.
“Hanis marahkan abang ke?” tanya lelaki itu dengan lembut. Dia betul-betul terlupa tentang isterinya tadi dek kerana terlalu gembira apabila mendapat tahu dirinya bakal menjadi seorang ayah.
“Hanis naik kejap, nak tukar baju...” ujar wanita itu tanpa menjawab soalan suaminya. Baru sahaja ingin mengangkat punggung, dirinya ditarik semula.
“Janganlah macam ni. Abang kan dah minta maaf tadi. Excited tau bila abang tahu Hanis mengandung. Jangan muncung macam ni, tak senang hati abang nanti,” pujuk lelaki itu. Kepala isterinya dilentokkan di atas dadanya sebelum di kucup lembut ubun-ubun kepala Hanis.
“Tipu. Ingat Hanis tak nampak ke abang senyum dengan jururawat tu tadi. Mesti sebab tu abang lupa Hanis, kan?” tuduhnya.
“Abang senyum pun sebab dia yang senyum dulu. Sumpah, bukan sebab tu abang terlupa,” balas Jason sungguh-sungguh.
“Jangan main-main dengan sumpah, abang.”
“Sebab abang tak main-main lah abang bersumpah, tuan puteri.”
“Betul ni? Lain kali janganlah senyum dengan mana-mana perempuan. Hanis sakit hati, tahu tak?”
Dia tergelak kecil. “Okay, abang janji tak senyum dengan perempuan lain dah lepas ni. Abang minta maaf sebab terbalas senyuman jururawat tadi, ya?” Dia merenung ke arah wanita pujaannya itu. Mata mereka bertembung seketika sebelum Hanis kembali membenamkan wajah di dada bidang milik suaminya.
“Janganlah pandang Hanis macam tu,” ujarnya menahan malu. Tak kuat dirinya mahu bertentang mata dengan lelaki itu. Mahu marah dan merajuk pun tak boleh dibuatnya.
“Salah ke pandang isteri sendiri? Nak tanya ni, Hanis dah maafkan abang ke belum?”
“Mestilah sudah. Hanis kan sayang abang sampai hujung nyawa,” kata Hanis dengan sedikit manja. Giliran Jason pula yang menahan malu mendengar sang isteri berkata demikian. Merah-merah dipipi!
Hari telah berganti hari. Usia kandungan Putri Hanis sudah mencecah sembilan bulan. Pejam celik sahaja masa telah berjalan begitu pantas. Hanis termenung seorang diri sambil mengusap-usap lembut perutnya yang bulat kedepan itu. Terselit kerisauan pada dirinya. Bukan apa, ini kali pertama dirinya akan bergelar seorang ibu. Risau jika tidak dapat menjadi seorang ibu yang baik.
Dia mengeluh halus. Pada masa yang sama, Haiqal Jason baru sahaja keluar daripada bilik air sambil menggosok-gosok tuala di atas kepalanya.
“Kenapa termenung ni, Tuan Putri? Apa yang Tuan Putri fikirkan? Ada masalah ke, hurm? Cerita pada saya, jangan pendam...” Jason mula menghampiri isterinya yang bersandar pada bahu katil itu. Dia turut mengambil posisi yang sama sambil menunggu jawapan isterinya.
“Hanis tengah risau sekarang ni. Hanis takut,” luahnya. Kepala disandarkan pada bahu suaminya. Cuba mencari ketenangan untuk hati yang tengah resah.
“Takut? Takut dengan siapa? Ada sesiapa kacau Hanis ke? Ada benda yang abang tak tahu ke pasal Hanis?” Bertindih-tindih soalan dikemukakan kepada isterinya. Risau pula jika dirinya terlepas pandang. Rasa tidak berguna pula menjadi seorang suami jika tidak tahu masalah yang dihadapi oleh isterinya.
“Tak, mana ada sesiapa kacau Hanis. Cuma, Hanis takut pada diri sendiri. Risau kalau Hanis tak dapat jadi ibu yang baik pada anak kita nanti...” Suaranya mula kendur.
“Tak boleh cakap macam tu. Abang yakin, Hanis boleh jadi ibu yang terbaik untuk anak kita. Percaya, cakap abang,” Bersungguh-sungguh Jason menyakinkan isterinya itu.
“Bukti?”
“Buktinya abang sendiri lah. Hanis layan abang dengan baik, jaga dengan baik, beri perhatian lebih dari cukup. Semuanya terbaik. Tak ada yang kurang. Dan, abang yakin sangat-sangat, Hanis boleh beri lebih daripada itu untuk anak kita. You're the best, Princess,” kata Jason panjang lebar.
Tidak dinafikan lagi, Hanis memang wanita yang hebat. Semua ciri-ciri yang Haiqal Jason mahukan, ada pada Putri Hanis. Lelaki itu boleh nampak semua ciri-ciri itu sejak Hanis bekerja dengannya. Tidak sia-sia dia memantau dan menjaga wanita itu secara diam-diam dulu.
“Tapi...”
“Shh, shhh. Abang tak mahu dengar semua tu. Kita sama-sama belajar jaga anak kita nanti. Jangan risau, mama kan ada. Kita boleh minta tolong mama nanti,” ujar Jason lagi.
Hanis tersenyum lalu mengangguk akur. Bersyukur dapat suami yang memahami dan dapat memberi sokongan untuk dirinya. Sepanjang dia mengenali dan bersama lelaki itu, sedikit pun tidak pernah terdengar keluhan daripada mulut suaminya.
Lebih-lebih lagi, sepanjang melalui fasa kehamilan itu. Terlalu banyak cabaran dan ujian yang mereka lalui bersama. Namun, sedikit pun lelaki itu tidak pernah merungut. Segala kemahuan isterinya di turutkan saja. Apa pun keluhan isterinya di dengar dengan sabar. Jujur Hanis katakan, lelaki itu tidak pernah memarahi ataupun meninggikan suara kepadanya. Semua masalah, lelaki itu sedaya-upaya selesaikan dengan cara yang baik.
“Terima kasih sebab jadi suami yang terbaik untuk saya,” ujar Hanis setelah lama berdiam diri.
“Sama-sama. Itu sudah menjadi satu tanggungjawab abang. Sekarang, kita tidur ya? Tak baik Hanis tidur lambat macam ni. Abang pergi mati kan lampu dulu, good night Tuan Putri,” Satu kucupan mesra dilabuhkan pada puncak ubun isterinya sebelum dia melangkah ingin mematikan lampu biliknya. Kini, hanya lampu tidur saja yang menerangi bilik tersebut. Selamat malam!
Tepat pukul dua pagi, Hanis terbangun dari lenanya akibat kesakitan yang menyerang saat itu. Peluhnya sudah mengalir diwajahnya. Rasa sakit dibahagian perut seolah-olah ingin mematahkan pinggangnya saat ini.
“Abang, bangun. Ya Allah...sakitnya...” Mujurlah suaminya itu bukan jenis yang tidur mati.
“Kenapa ni? Dekat mana yang sakit? Mari, abang urut...”
“Hanis rasa nak melahirkan, abang. Cepat... cepat bawa Hanis ke... hospital, sekarang...” tercungap-cungap dia menuturkan kata-kata. Terbeliak mata si suami mendengar.
“Bukan kandungan Hanis baru masuk sembilan bulan ke?” sempat lagi lelaki itu berfikir sejenak.
“Cepatlah, abang. Hanis sudah tak tahan ni,” Kelam kabut lelaki itu bergerak.
“Melangkah perlahan-lahan,” katanya sambil memapah isterinya menuruni anak tangga sehingga masuk ke dalam perut kereta. Beberapa saat, kereta itu mula bergerak meninggalkan kawasan perumahan itu.
HOSPITAL KUALA LUMPUR.
“Doktor, tolong bagi suami saya masuk sekali. Saya perlukan dia. Saya tak mahu beranak kalau dia tak ada di sini, please...” Rayu wanita itu. Doktor yang bertugas itu mula menyuruh salah seorang jururawat untuk memanggil Haiqal Jason.
“Tuan, mari masuk sekali. Puan Hanis tak mahu melahirkan kalau tuan tak ada disampingnya,”
“Tapi... saya tak kuat tengok darah, nurse.”
“Tuan, tolong jangan buang masa. Kasihan Puan Hanis menahan kesakitan di dalam. Jom,”
“Abang... cepatlah!” Suara Hanis membuka langkah Haiqal Jason untuk ikut serta sekali.
Hanya dalam masa lebih kurang lima belas minit, Putri Hanis dan Haiqal Jason sudah pun bergelar seorang ibu dan ayah kepada bayi lelaki yang baru saja lahir. Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar. Lega hati Haiqal Jason saat ini.
Isterinya yang terbaring di atas katil itu dipandang dengan senyuman lebar. Satu kucupan diberikan kepada Putri Hanis. Jelas terpampang keletihan pada wajah wanita itu meskipun dia sedang tidur. Berkerut dahinya.
“Terima kasih sebab sudi melahirkan zuriat abang. Jasa Hanis abang tak boleh balas. Tapi, abang bersumpah dan berjanji, akan jadi suami dan ayah yang baik.” kata Jason.
Kehadiran Haiqal Jason dalam kehidupan Putri Hanis mampu mengubah segalanya. Berawal dari kisah plaster ubat, kini telah bersatu menjadi pembalut kebahagiaan bagi menutup kesedihan dan kedukaan wanita itu.
Lelaki itu telah berjanji, tidak sedikit pun dibiarkan wanita pujaannya dihambat penderitaan lagi. Cukuplah selama ini, wanita itu telah menanggungnya seorang diri. Anggap saja kehadiran Haiqal Jason itu sudah menutup penderitaan dan kesengsaraan seorang Putri Hanis. Semoga Allah sentiasa melindungi mereka sampai ke akhir hayat.
**TAMAT**
Happy Reading <33
Share this novel
Tak sia2 habis baca. Best sangat. Part sedih pun sampai ke hati.