TELEFON tak lepas dari tangan Najihah. Dari tadi dia mengharapkan satu panggilan masuk dari seseorang tetapi panggilan itu tak kunjung-kunjung tiba sehinggalah ke malam hari.
Tak tahulah kenapa. Dari tadi hatinya asyik gusar semacam aje. Nak call atau tak? Ke tunggu je?
Akhirnya dia beranikan diri jugak untuk memulakan langkah. Log panggilan di telefon dia buka, kenalan yang disimpan sebagai 'Syafiq' itu dia segera tekan dan dail.
Dalam beberapa saat sahaja, panggilan Najihah diangkat.
"Assalamualaikum, Najihah?" Kedengaran suara Syafiq di hujung talian.
"Waalaikumussalam, Syafiq. Maaf ganggu. Sebenarnya ni saya nak tanya pasal Syafiqah. Kenapa dia tak datang kelas mengaji tadi? Ada apa-apa jadi ke?"
Nafas Syafiq kedengaran tercungap-cungap. "Syafiqah ... dia demam."
"Demam? Ya Allah!" Terbeliak mata Najihah mendengar berita itu. "Awak tak bawak dia pergi klinik?" sambung Najihah yang sudah tak tentu arah. Mendengar pelajar kesayangannya ditimpa musibah, mana boleh bertenang.
"Klinik dah tutup malam-malam macam ni. Nak bawak pergi hospital, memang taklah Syafiqah tu nak pergi. Ni saya tengah beli ubat kat kedai," jawab Syafiq.
Najihah picit dahinya. Tak boleh jadi ni. Dia kena lakukan sesuatu!
"Habis tu? Awak tinggal Syafiqah sorang-sorang kat rumah?"
Syafiq terkedu. Syafiqah sekarang ditemani Damia kat rumah, tetapi takkanlah dia nak beritahu perkara sebenar. Tak naklah Najihah tahu yang dia benarkan Damia tinggal untuk satu malam kat rumahnya itu.
"Syafiq? Kenapa senyap ni?" Berkali-kali Najihah memanggil Syafiq tetapi tiada jawapan yang keluar dari mulut lelaki itu.
"Najihah. Se ... sebenarnya ..." Maju mundur perasaan Syafiq untuk bersuara.
Terdengar Syafiq seperti acuh tak acuh mahu menjawab, Najihah memotong, "Tak apalah, awak. Saya tolong tengok-tengokkan Syafiqah tu. Bye, Assalamualaikum."
Najihah putuskan panggilan. Seraya tudung sarung labuh berwarna kelabu yang digantung diambil dan dipakainya.
"Najihah? Najihah? Tunggu!" Syafiq terus menggelabah tetapi dah terlambat.
Panggilan tiba-tiba diputuskan? Najihah nak tengok-tengokkan Syafiqah? Itu bermakna wanita tu akan bertemu Damia kat rumah nanti. Tu tak boleh jadi!
Najihah keluar dari biliknya. Kunci kereta di dalam laci dia ambil sebelum dia meminta izin dari ayahnya yang sedang berada di ruang tamu.
"Abi, Jihah nak keluar kejap." Tangan Pak Ya Najihah kucup.
"Eh? Nak pergi mana malam-malam ni?" Terkebil-kebil mata Pak Ya.
"Syafiqah demam. Tu yang Jihah nak pergi tengok dia kejap. Syafiq tu pun satu. Dah tahu adik dia demam, tinggal adik dia sorang-sorang kat rumah," terang Najihah dengan perasaan geram. Padahal dirinya itu yang salah faham terhadap Syafiq. Dia tak tahu lagi akan perkara yang sebenar.
"Syafiqah demam?"
"Itulah. Ni yang Jihah nak pergi tengok-tengokkan Syafiqah tu. Risau betullah hati Jihah ni abi."
"Ha, yalah. Malam-malam bawak kereta tu hati-hati tau. Kalau ada apa-apa, call je abi." Pesanan daripada Pak Ya sempat dia titipkan.
Najihah mengangguk laju. Kakinya melangkah keluar dari rumah dan segera masuk ke dalam perut kereta Avanza miliknya.
*****
"Syafiqah, tunggu kejap tau. Kejap lagi Along kamu sampai bawak ubat." Damia mengusap-usap kepala Syafiqah.
Keadaan diri Syafiqah masih terketar-ketar. Selimut sudah membaluti tubuh. Kain basah diletakkan di dahi agar suhu badannya cepat mereda.
"Kak Damia ... lama lagi ke along nak sampai?" Lemah sahaja Syafiqah bersuara.
Damia mulai menggelabah. Dari tadi Syafiqah sering bertanyakan tentang abangnya itu sejak lelaki itu keluar. Damia pun dah tak tahu macam mana nak menenangkan Syafiqah tu.
"Along kamu pergi tak lama. Kejap lagi dia baliklah. Lepas dia balik nanti, kita pergi hospital, ya?"
Hospital? Laju sahaja Syafiqah menggeleng mendengar perkataan itu.
Aduh! Syafiq ... mana kau ni? Lamanya! Bisik hati Damia yang sudah tidak keruan.
"Assalamualaikum! Syafiqah?"
Tiba-tiba suara seseorang memanggil salam dari luar. Pada mulanya difikirkan Syafiq tetapi sah-sahlah bukan. Damia bukannya pekak lagi. Sudah jelas suara pemberi salam di luar tadi itu milik seorang wanita.
Perempuan mana yang bagi salam tu? Gumam Damia sendiri.
"Kejap ye, Syafiqah." Damia lalu bingkas bangun dari sisi Syafiqah.
"Waalaikumussalam." Apabila dia buka sahaja pintu, matanya sudah membuntang luas.
Bukan sahaja Damia, wanita yang di luar itu turut memasang reaksi yang sama. Masing-masing seperti tidak percaya apa yang dilihat padahal mereka saling berpandangan. Tak diduga apa yang mereka saksikan sekarang ini.
"Us ... ustazah Najihah?"
Najihah telan liur. Macam mana perempuan ni boleh ada dalam rumah ni. Syafiq dah berani bawa balik seorang perempuan yang jelas bukan mahramnya? Tak mungkin!
"Syafiqah ada tak dalam rumah?" tanya Najihah.
Buat masa sekarang, Syafiqah menjadi keutamaan Najihah. Tentang hal Syafiq dan wanita di hadapannya ini, nantilah dia persoalkan.
"Ya, dia ada kat dalam. Masuklah."
Najihah terus menanggalkan kasut. Apabila dia masuk sahaja ke dalam rumah, dia terus menempatkan duduk di sisi Syafiqah.
"Ustazah ..." Syafiqah berusaha bangun dari pembaringannya untuk memeluk tetapi segera dihalang Najihah.
"Syafiqah, kamu tu sakit. Kamu berehat dulu, jangan guna tenaga banyak sangat."
Syafiqah akur. Dia baringkan semula tubuhnya. Tangannya digenggam kuat Najihah. Memang risau betul Najihah kat Syafiqah itu.
Damia di satu sudut hanya melihat sahaja mereka berdua itu. Syafiqah tadi yang muram mukanya kini sudah memancarkan senyuman apabila Najihah sudah berada kat sini.
Ketika itu juga, hon motosikal di luar medengaran. Motosikal yang sudah tidak asing bunyinya itu membuatkan semua orang bagaikan tertunggu-tunggu kehadirannya. Kali ini, sudah semestinya Syafiq.
Gerangan Syafiq itu lalu menapak ke dalam rumah dengan gegasnya. Apabila dia terlihat sahaja Najihah sudah berada di sisi Syafiqah, Syafiq kaku. Tersedar yang dirinya sudah terlambat.
Najihah tidak memandang sedikit pun wajah Syafiq walau sesaat. Sengaja pandangannya ditumpukan kepada Syafiqah itu. Entahlah, rasanya macam dirinya sedang kecewa?
"Najihah ... bila sampai?" Syafiq yang tak senang hati terus bertanya.
"Baru je," jawab Najihah acuh tak acuh sambil memerah kain basah lalu dia letakkan di dahi Syafiqah.
Syafiq mengangguk. Lihat tingkah Najihah sahaja dah tahu yang wanita itu sedang marah.
"Nah Damia, bagilah ubat ni kat adik saya." Lalu Syafiq serahkan satu plastik berwarna hijau yang di dalamnya berisi ubat-ubatan yang dia beli tadi.
Damia tanpa bersuara terus ambil plastik itu. Terus dia duduk bersimpuh di samping Syafiqah.
"Syafiqah, jom kita makan ubat." Damia ambil satu papan ubat Panadol.
Syafiqah terus menggeleng. "Nak Ustazah Najihah buatkan."
Permintaan Syafiqah itu membekukan Damia. Syafiqah secara lembut menolak untuk Damia lakukannya.
Niat Damia yang baru sahaja mahu menyuapkan ubat itu ke mulut Syafiqah terpaksa dia lunturkan. Sepapan ubat Panadol itu dengan berat hati dia serahkan ke tangan Najihah. Najihah pun ambil dan dia keluarkan sebiji Panadol.
"Syafiqah, makan ubat ni, ye?" Najihah membantu Syafiqah bangun dari baringnya, dan sebiji tablet diberi kepada Syafiqah untuk ditelan. Air kosong sudah dia sediakan di dalam cawan.
Ubat itu ditelan Syafiqah dan air kosong diteguk sehingga separuh. Diharapkan sangat agar ubat itu mampu mengurangkan rasa demam yang menyerang.
"Terima kasih, ustazah," ucap Syafiqah.
Najihah hanya membalas dengan senyum.
"Ustazah, malam ni temanlah ... Syafiqah. Syafiqah nak tidur dengan ustazah." Permintaan yang tak dijangka itu keluar dari mulut Syafiqah.
"Tak boleh, Syafiqah. Ustazah ada kerja nak buat kat rumah tu. Lagipun, Syafiqah kan ada along Syafiq kamu. Dan ... Kak Damia pun ada." Terasa berat pulak Najihah menjawab lebih-lebih lagi apabila dia menyebut perkataan 'Kak Damia' tu. Sungguh, hatinya masih sakit.
"Ala ..." Syafiqah mencebik.
Tak mahu Syafiqah berasa sedih, Najihah genggam tangan Syafiqah seerat-eratnya.
"Esok ustazah janji ustazah datang balik. Ustazah masak sedap-sedap untuk Syafiqah, ye?"
"Betuk ke ni, ustazah? Ustazah janji tau." Syafiqah berubah memasang reaksi teruja.
"Ya. Ustazah janji," ucap Najihah ringkas. Matanya lalu sempat dilirik kepada Damia. Serius, dia masih tak faham kenapa Damia ada kat rumah ni.
Syafiq dan Damia lalu membalas pandangan. Sama-sama jelas memberi pandangan yang penuh kerisauan. Tetapi mengenangkan keadaan Syafiqah yang lebih baik dari tadi, bolehlah mereka berasa tenang sikit.
*****
Najihah bilas cawan di singki. Dia termangu seketika sampaikan air paip separa deras tu terbiar mengalir.
"Najihah." Suara Damia dari belakang menyentaknya. Segera Najihah tutup rapat paip itu.
"Damia, ya ada apa?"
Damia melangkah mendekati Najihah.
"Tak nak makan ke? Dari tadi awak tak makan, padahal Syafiq dah ajak awak makan sekali tadi."
"Tak apalah. Saya dah makan kat rumah tadi," dalih Najihah. Walhal dia tu segan. Ditambah dirinya yang sudah tiada selera mengingatkan kelakuan Syafiq yang sudah menipunya hidup-hidup.
"Oh, okey."
Najihah mengelap tangannya sehingga dipastikan kering. Bersedia untuk beredar pulang dari situ.
"Kalau tak ada apa-apa sa..." Belum sempat Najihah menghabiskan kata, Damia memotong.
"Kejap, Najihah!" Panggilan dari Damia menghentikan langkah Najihah. "Boleh saya mintak satu permintaan?" pintanya.
"Permintaan? Permintaan apa eh?"
Najihah mengerutkan dahi. Perkara apa pulalah yang Damia mahu katakan.
"Kalau mak saya ada tanya kat awak tentang saya, tolong jangan bagitahu yang saya ada kat sini. Saya merayu sangat Najihah." Permintaan itu diutarakan Damia dengan bersungguh-sungguhnya.
Makin membesar mata Najihah. Dirinya ini nampak macam 'kaki penyampai berita' ke? Najihah nak jadi mak cik bawang? Memang taklah.
"Awak jangan risaulah Damia. Saya tak macam tu. Lagipun, mak awak dengan saya taklah rapat mana pun. Mak awak tu, saya anggap tak lebih dari pelanggan tetap," balas Najihah.
Damia kini mampu menghela nafas lega. Mendengar jawapan dari mulut Najihah tadi, nampak gayanya wanita itu memang serius dan boleh diharap.
"Terima kasih," ucap Damia. "Lagi satu," sambung Damia lagi.
Benda apa lagilah yang mahu diminta Damia ni. Macam-macam hal.
"Saya harap awak tak salah faham antara saya dengan Syafiq tau. Saya dan dia hanya kawan. Tak lebih. Saya pun tahu batas saya dengan Syafiq tu."
Batas apanya kalau sudah minta tinggal semalaman kat rumah bagai. Nasiblah ada Syafiqah, kuranglah sikit fitnah yang bakal timbul nanti.
Najihah menarik nafas dalam. Cuba mencerna apa yang dikatakan Damia tadi.
"Tak apalah, Damia. Saya faham. Kalau macam tu, saya balik dulu. Assalamualaikum." Tak mahu mengulas panjang tentang tu, Najihah terus meminta izin beredar. Jam sudah hampir berdetik ke pukul 11:00 malam, nanti makin lama pulak kalau menyoal pasal itu.
Najihah kerling ke arah Syafiqah yang sedang nyenyak tidur. Lalu kakinya melangkah keluar dari pintu rumah. Ketika itu juga, Syafiq sudah berdiri di luar sambil bersilang tangan. Tingkah lelaki tu macam menunggu dirinya pulak.
"Syafiq, saya balik dulu." Najihah sedaya upaya cuba menerobos Syafiq tanpa memandangnya. Lagaknya jelas seperti mahu mengelak dari lelaki itu.
"Tunggu Najihah!" Suara Syafiq dari belakang memanggil. Dah dapat diagak.
Najihah menghentikan langkahnya. Dirinya berusaha menguatkan diri untuk tenang. Bersedia mendengar penjelasan dari mulut lelaki itu pula.
"Saya minta maaf."
"Untuk apa?"
"Sebab saya tipu awak."
Najihah pejamkan mata. Memang permintaan maaf itu yang ingin didengarnya tetapi kenapa rasanya tidak cukup? Dirinya sudah ditipu hidup-hidup oleh lelaki itu. Diri siapa sahaja yang suka ditipu.
Najihah lalu menoleh ke belakang dan menatap Syafiq yang masih teguh berdiri di belakangnya.
"Kenapa eh? Syafiqah demam awak tak bagitahu saya? Yang tu pun saya yang call awak. Kalau tak, sampai ke esoklah saya tak tahu apa yang berlaku kat Syafiqah tu." Sekali nafas Najihah menghamburkan kata-katanya.
"Saya minta maaf. Pasal tu memang saya terlupa sangat. Salah saya."
"Terlupa? Terlupa atau sebab ada kekasih hati dalam rumah ni? Sebab tu awak tak nak bagitahu saya? Macam tu?"
"Tak! Jangan salah faham, Najihah." Syafiq menafikan keras.
"Habis tu? Kalau bukan kekasih hati, isteri? Tunang? Kawan?" Mulut Najihah masih tak kalah dengan bertubi-tubi soalan.
"Ya. Dia kawan saya. Tu je."
"Kawan apa sampai biar dia tinggal dan tidur kat rumah awak ni?"
Sepanjang berkenalan dengan Syafiq, Najihah tahu sangat dengan keperibadian lelaki itu. Nak berkawan dengan wanita lain pun susah, apatah lagi nak bawa masuk wanita ke dalam rumahnya.
Tapi pasal Damia lain pula jadinya. Sebab tu la Najihah mati akal memikirkan hal tu.
"Saya benarkan dia tinggal kat sini satu malam je. Tu pun sebab saya nak bantu dia sebab dia ada masalah keluarga. Lagipun ada Syafiqah kan? Kenapa awak nak risau?" Suara Syafiq sedikit tinggi. "Dan saya tak buat benda yang bukan-bukan pun dengan dia. Sumpah!" Tangan kanan Syafiq diangkat ke udara.
"Saya tak marah. Tapi saya terkilan. Jadi awak dan Damia tu berkawan dari insiden baju kurung tu la, kan?" Bibir Najihah bergerak-gerak.
Syafiq hanya membalas anggukan perlahan. Lidahnya sudah kelu.
Najihah tarik nafas sedalamnya. Sudah diagak jawapan daripada Syafiq itu. Patutlah hatinya berasa tak sedap sejak dari Syafiq bertanya lebih tentang Damia. Rupa-rupanya, dirinya hanyalah digunakan sebagai orang tengah.
"Tak apalah. Maaf kalau saya tertinggikan suara dengan awak tadi. Saya balik dulu. Assalamualaikum." Najihah melangkah pergi meninggalkan Syafiq. Cepat-cepat dia masuk ke dalam keretanya itu.
"Waalaikumussalam ..." Syafiq memberi pandangan redup melihat Najihah yang sudah berjalan pergi.
Dalam mereka tak sedar, Damia sudah memasang telinga dan mendengar segala perbualan di sebalik pintu di dalam rumah.
Aku ni punca dia orang bergaduh ke?' Getus hati Damia. Hatinya dihurung rasa bersalah.
Bersambung...
Update utk hari ni. Maaf x dpt update utk kelmarin sbb ada hal. Anyway enjoy reading ^^
Share this novel