Bab 2

Romance Completed 18503

[25 Disember 2022]

Krismas.

Aria merenung ke luar tingkap, memerhati jalan dan bangunan semua diselimuti lapisan salji yang putih. Lampu Krismas berkelip sana sini, menarik perhatiannya sepanjang masa. Kaca tingkap biliknya juga sejuk. Tingkap ditutup rapi, melindungi tubuhnya daripada disentuh kepingan salji yang jatuh dari langit.

Walaupun begitu, tubuh badannya dibalut dengan selimut tebal. Pihak hotel telah mengagihkan sedikit buah tangan untuk pengunjung hotel. Biskut gingerbread yang dicelup coklat putih dan dihias dengan coklat berwarna, bertemakan Krismas dibungkus dalam satu plastik jernih dan diikat dengan riben berwarna merah. Selain itu, mereka juga telah menyediakan bancuhan coklat panas berserta dengan marshmallow putih yang dimasukkan ke dalam plastik jernih.

Dia termenung, memandang orang yang berada di jalan, berlari-lari sambil memegang hadiah. Ada juga yang sedang bercumbuan di tepi jalan. Tersenyum sendiri dia melihat pasangan yang sibuk berciuman dalam cuaca yang sejuk ini. Dia hanya menumpang kegembiraan.

Pada dua hari yang lepas, Aria berjaya menghubungi sebuah tadika yang sedang mencari pekerja atau lebih spesifiknya, seorang guru Bahasa Inggeris.

Bukannya dia reti sangat bertutur dalam Bahasa Jepun, tapi untuk bekerja dengan kanak-kanak, mungkin dia dapat menambah ilmu pengetahuannya dalam bertutur bahasa itu. Lagipun, pekerja tadika yang menjawab panggilannya mengarahkan dia untuk hadir untuk temu duga pada 28 Disember 2022.

Aria hanya mempunyai tempoh tiga hari untuk berehat di hotel. Lagipun, dia perlu mula mencari rumah sewa. Kalau dia terus bermalam di hotel, alamatnya balik Malaysia semula lah dia lagi dua minggu.

Dia hanya menghela perlahan. Kepulan asap keluar dari mulutnya. Terukir senyuman kecil. Teruja dia melihat asap yang keluar dari mulutnya. Aria tertawa kecil, terhibur dan gembira. Selama ni dia pergi ke Cameron Highlands dan Genting Highlands pun, tidak pernah mulutnya mengeluarkan asap kerana tubuhnya yang kesejukkan.

Telefonnya kini sudah dibuka tetapi dengan nombor yang berdaftar di Jepun. Dia tidak lagi menggunakan nombor lamanya dari Malaysia. Nombor barunya tidak dikongsikan dengan sesiapa pun.

Bosan merenung ke luar tingkap, Aria berjalan mengelilingi biliknya. Ada sajalah dia usik. Lampu dibuka tutup, cerek dibuka, air dimasak dalam cerek, kopi dan teh disusun semula, selipar disusun, siaran televisyen ditukar-tukar.

Tak!

Air yang dimasak dalam cerek siap digunakan. Aria berlari ke arah cerek dan mula merendam teh ke dalam cawan. Satu pek gula dimasukkan ke dalam cawan. Dalam kadar perlahan, dia berjalan ke arah katilnya dan diletakkan cawan ke kabinet kecil di sebelah katilnya.

Sekali lagi dia mengalih saluran televisyen. Semuanya dalam Bahasa Jepun. Akhirnya dia membuka siaran rancangan kanak-kanak. Sekurangnya dia faham serba sedikit perkataan yang digunakan.

Sambil mendengar lagu kanak-kanak yang dalam Bahasa Jepun, Aria tersengih dan mula menggerakkan kepalanya ke kiri dan kanan, melayan irama dan rentak lagu yang bermain di kaca TV. Tangannya mula bertepuk perlahan dengan senyumannya yang semakin lebar.

Entah kenapa dia cukup terhibur dan tertawa seiring dengan watak-watak di kaca TV. Sambil tersengih, gusinya juga kelihatan.

Sebaik sahaja lagu habis dimainkan, air matanya gugur membasahi pipi. Perlahan tangan memegang pipi yang dibasahi air mata. “Eh…?”

Dilihat telapak tangannya yang basah selepas memegang pipinya sendiri. Senyumannya pudar diganti dengan kesedihan yang datang entah dari mana. Hati dan dadanya terasa ketat dan sesak. Aria terus menangis sepi. Tubuhnya disandarkan di bahagian kepala katil. Perlahan air liur ditelan.

Terasa lebih sejuk badannya. Rancangan kanak-kanak berbahasa Jepun bermain di latar belakang sambil dia meringkukkan tubuh di atas katil, melayan pilu hati.

Teh yang berada di atas kabinet tepi katil mula bertukar suhu, semakin sejuk dan sejuk, sehingga hilang kehangatan dari permukaan ke dasar.

TAP… Tap… Tap…

Rin mengetuk jari jemarinya yang panjang ke atas meja. Matanya merenung televisyen yang sedang menyiarkan rancangan nyanyian. Tajam matanya merenung gerak-geri kumpulan idola lelaki dari syarikatnya.

Dia cuba untuk menangkap apa-apa kesalahan yang mungkin mereka lakukan. Sehingga ke hujung persembahan kumpulan itu, dia berpuas hati mereka tidak melakukan sebarang kesilapan. Kemudian, matanya memandang ke arah skrin telefon pintarnya. Jam menunjukkan pukul 8.30 malam.

Makanan yang dipesannya masih belum sampai. “Isy…” Rin mengketik lidahnya dan membuka semula telefonnya. Aplikasi penghantaran makanan dibuka semula dan menurut peta yang ditunjukkan, penghantar makanan sudah berada di luar biliknya.

Kakinya diangkat ke arah pintu. Sebaik dibuka, matanya terus melihat seorang gadis berambut hitam berkilat sedang menekan tubuh ke dinding dengan kedua-dua telapak tangan berada di dada, cuba untuk mewujudkan ruang antara dirinya dengan seorang individu yang memerangkap si gadis dengan lengannya.

“Jomlah, abang tunjukkan cik adik cantik bandar Yokohama yang cantik ni. Hehehe…” ujar lelaki itu dengan nada yang menggatal. Tubuhnya juga semakin didekatkan dengan tubuh Aria. Bersungguh dia cuba untuk merapatkan tubuhnya ke tubuh Aria yang ketakutan itu.

Setakut-takut Aria untuk menyentuh lelaki itu, kini kedua-dua telapak tangannya menolak kuat dada lelaki itu. Matanya kini diselaputi air mata ketakutan. “Tak nak! Saya dah kata tak nak!” Suaranya ditinggikan sedikit.

“Oh! Garangnya! I like!” tawa si lelaki itu. Belum sempat dia bertindak semakin tidak senonoh, kepalanya ditampar kuat.

Pak!!!

Jangankan si lelaki miang itu, dengan Aria turut terkejut mendengar bunyi itu.

Perhatian mereka beralih ke Rin yang sedang panas memandang si lelaki itu. Di tangannya adalah majalah yang digulung ketat. Mungkin kepala si miang tu dipukul dengan majalah itu. “Sial… Kau nak apa?” tanya lelaki miang itu sambil menggosok-gosok kepalanya yang baru sahaja dihempuk.

“Kau kerja kan? Mana makanan aku?” soal Rin. Suaranya perlahan, tetapi cukup dingin untuk menghentikan segala bunyi yang berada di kaki lima tingkat itu. Aria membeku di bucu dinding. Si miang cepat-cepat mengeluarkan makanan yang dipesan dari dalam beg petak yang disandang.

Habis sahaja menyerahkan makanan yang dipesan kepada Rin, si miang cepat-cepat pergi dari situ, meninggalkan Rin dan Aria berdua di kaki lima itu. Aria masih kaku di tempatnya. Rin memandang Aria dengan pandangan kosong. Pandangan kasar dan dinginnya hilang.

Dipandang Aria dari atas ke bawah. “Kau bukan orang Jepun.” Tubuh Aria tersentak. Cepat-cepat dia mengangguk. Merah mukanya, masih sedikit terkejut dan takut dengan apa yang berlaku kepadanya tadi.

“Terima kasih…” Dia menundukkan tubuhnya ke 90 darjah.

Rin hanya menghela nafas lega, tenang sedikit. “Lepas ni hati-hati,” ujar Rin sebelum berpatah semula ke dalam biliknya. Sebelum pintu ditutup, sekali lagi dia memandang wajah Aria. Kepalanya ditunduk sedikit.

“Selamat malam.”

ARIA menutup pintu biliknya, yang kebetulan bersebelahan dengan Rin. Jantungnya berdegup sedikit kencang dari biasa. Tangannya diletakkan ke atas dada. Dirasakan degupan jantungnya yang jelas.

Plastik yang dipegang dalam tangannya juga terlepas daripada genggaman dua jarinya. Lututnya lemah, menyebabkan dia duduk terjelepok di pintu.

“Tak apa, tak apa. Aku okey…” ucapnya kepada diri sendiri sambil mengusap dada perlahan. Seorang diri, ketakutan, dia hanya mampu memujuk diri.

Bukannya dia sudah tidak biasa. Dari kecil lagi dia belajar untuk memujuk diri jika jiwa diaduk dengan kebangangan orang lain. Tiada siapa yang sudi memujuk kecuali diri sendiri.

Bila degupan jantungnya kembali stabil, Aria bersandar pada pintunya. Nafas lega dihembus. Nasib baik ada yang muncul untuk membantu. Kalau tidak, entah apa yang akan terjadi pada dirinya. Kalau dilawan, risau dia dihumban ke lokap atas tuduhan menyerang warga tempatan Jepun.

Aria bangun. Plastik di sisinya diambil sebelum bergerak semula ke meja yang terletak berhampiran dengan balkoni biliknya. Sepintas sahaja dia memandang bandar Yokohama yang penuh dengan cahaya di setiap bangunan yang berdiri megah sebelum matanya kembali memandang makanan yang dibeli di kedai serbaneka yang berada tidak jauh dari hotelnya.

Dia menarik keluar pizza segera dan bergerak ke microwave yang disediakan pihak hotel dalam biliknya. Wajahnya tenang seperti tidak ada perkara yang berlaku kepadanya tadi.

Pop! Pop! Pop!

Manja bunyi letusan keju ketika piza sedang berpusar dan dipanaskan di dalam microwave. Aria merenung kiraan masa yang terpapar di microwave.

3… 2… 1…

Mekar senyuman pada wajahnya sambil tangannya laju mengeluarkan pizza yang baru siap dipanaskan. Pizza panas itu diletakkan di atas meja yang berhampiran dengan balkoni tadi.

Sementara menunggu pizza sejuk sedikit, Aria mengeluarkan laptopnya dan mula mencari info tentang tadika yang ingin menemubualnya. Setidaknya, dia perlu tahu serba sedikit tentang latar belakang tadika itu.

“Comelnya tadika ni…” Aria tertawa kecil melihat gambar bangunan satu aras yang dipaparkan. Berbumbung biru terang, dindingnya pula berwarna putih dan dihiasi mural gambaran taman bunga. Di bahagian laman pula ada taman permainan untuk pelajar-pelajar bermain pada waktu rehat dan kawasan tadika itu dikelilingi dinding dan pagar. Di bahagian luar pagar pula ditanam pokok-pokok bunga kecil dan betul-betul di bahagian tepi pagar sekolah pula ada patung anjing berbaka golden retriever yang lengkap berpakaian uniform tadika itu.

Aria tersengih seorang diri sambil menongkat wajahnya. “Alahai… Comel betul… Mesti seronok bebudak ni belajar kat situ,” ujarnya sambil melihat lebih banyak lagi gambar di Google. “Tadika aku dulu hampeh, habuk sana sini… Gelap, tak mesra kanak-kanak langsung,” omelnya seorang diri.

Lagi digali segala info yang mampu dicarinya mengenai tadika ini. “Sakurama Kindergarten…” Mulutnya membaca nama tadika yang tertera di Internet dengan nada bersahaja. Wajahnya fokus membaca Wikipedia tentang penubuhan tadika itu.

Ditubuhkan pada 16 September 2014, pengarah dan guru besar itu kekal sama dari awal sehingga tarikh kini iaitu oleh Nakamura Iroha. “Hmm… Belum sepuluh tahun lagilah,” komen Aria sambil mengangguk perlahan, menghadam info yang dijumpanya.

Diskrol lagi Wikipedia itu sehinggalah dia terjumpa sejarah penubuhan tadika itu. “Ditubuhkan dengan kerjasama syarikat hiburan besar Cherry Lime Entertainment…” Mulutnya membentuk huruf ‘O’ sambil mengangguk perlahan lagi.

Jarinya meluncur atas roda tetikus. Ada satu gambar yang diletakkan di laman itu. Bila diketik, dia meneliti gambar itu. Satu per satu wajah ditenung. Dia cuba meneka yang mana satu Nakamura Iroha.

Permainan teka-menekanya terhenti apabila dia tertatap satu wajah yang amat dikenalinya dalam gambar itu. Menurut catatan, gambar itu ditangkap pada hari perasmian tadika Sakurame pada tahun 2014.

Matanya dikecilkan sambil jarinya ditunjuk ke satu wajah yang agak dikenali.

“Ini…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience