BAB 4

Romance Completed 9366

“Farah sayang abang tak?”

“Sayang….”

Comelnya dia bila dia buat pengakuan tu. Tapi, tak boleh! Tak boleh biarkan hati aku tergoda.

Aku dekati dirinya. Tapi, dia ni pelik. Bila aku dekat, dia enjak diri dia menjauh. Kadang aku rasa nak pegang aje dia, nak halang dia daripada lari.

“Sayang? Kalau sayang, Farah kenalah buktikan.” Bisikku lembut. Kalau hati dia tak cair lagi, entahlah…

Farah Harissa ketawa lalu bangun menjauhi aku. Hisy dia ni, susah betul nak masuk ke dalam perangkap cinta ini.

“Saya sayang abang. Memang betul tu. Tapi abang bukan yang terutama dalam hati saya.”

Mak… nak bersandiwara pulak ke dia ni?

“Kata ayah saya…..”

“Abang tak nak dengar.”

Aku lihat matanya yang redup seakan kecewa. Tapi dia diam aje… tak pula dia tanya kenapa. Dan, tidak juga kelihatan hendak meneruskan kata. Ah, bisu sekejap di antara kami. Tapi, aku perlu terus menggodanya. Aku kena ingat yang dia anak si Haris.

“Farah, boleh abang…”

“Tak boleh!”

Aku ketawa. Aku belum habis cakap, dia dah potong line. Haihh..

“Farah ni! Otak tu dah kuning ek?”

Farah Harissa mengerut dahi. Aku ketawa semakin kuat.

“Abang nak cakap sama ada abang boleh tahu kenapa abang bukan yang terpenting dalam hidup Farah kalau benarlah Farah menyayangi abang.”

Farah Harissa tergelak kecil. Mungkin dia malu kerana tadi entah apa yang berlegar dalam kepala otaknya tu. Dia kemudian menyahut, “Sebab, abang bukan suami Farah. Kalau kita ada jodoh, insyaallah, Farah tarik balik ayat tu!”

“Tapi, abang tak nak kahwin dengan Farah.”

Aku terpaksa memberitahunya. Hati aku ni tak ada sekelumit rasapun untuk dia. Sejak kenal dirinya, aku kunci rapat pintu hati ini. Aku tak benarkan lirikan mata, kelunakan suara, kelembutan tingkahnya, menyusup masuk sehingga mengganggu tidur aku. Sehingga mandi pun jadi tak basah. Tidak! Aku tak sanggup mencintai anak cikgu Haris!

Farah Harissa kulihat sedikit muram. Namun, dia tidak pula menangis. Dia hanya diam, mungkin sedang cuba memujuk hati bila cintanya tidakku balas.

“Saya tahu!”

“Apa yang Farah tahu?”

Aduhai, sungguh mengelirukan sikap gadis ini.

“Farah tahu, abang tak mungkin terima Farah. Itu yang Farah dah cakap pada ayah. Tapi, ayah suruh Farah cuba jugak. Kata ayah, belum cuba, belum tahu.”

Aku bingung. Mataku bulat merenungnya. Tertanya-tanya dalam hati kecilku ini apakah maksudnya. Apakah dia ke mari atas arahan bapanya?

“Farah tak harap abang cintakan diri Farah ni. Cukuplah sekadar dapat mengenali diri abang yang selalu ayah sebut-sebut dan ingat. Cukuplah sekadar 3 bulan ini Farah dapat mendekati abang yang baru, yang tidak nakal macam dulu. Yang selalu kacau Farah, tarik tocang Farah… Farah senang tengok abang yang dah berjaya dalam hidup. Bolehlah nanti bila balik ke kampung Farah beritahu mereka tentang abang. Tentu mak akan tarik nafas lega lepas dengar cerita Farah tentang abang nanti.”

Aku renung wajahnya. Dari cakap-cakapnya, aku dapat rasa yang dia hendak berhenti. Dia hendak meninggalkan aku. Tak mahu lagi bekerja di syarikatku ini.

“Farah nak ke mana?”

Dia ketawa. “Dah 3 bulan Farah di sini, bang. Lusa, kak Siti masuk kerja semula, kan? Jadi, tentulah Farah kena berhenti, kan?”

“Tapi…”

Farah ketawa lagi. Ni yang buat aku fed up ni!

“Kenapa gelak, Farah? Suka sangat nak tinggalkan abang?” aku bertanya. Suara dah tentu melengking kuat. Geramlah, katakan.

“Abang ni kan, cuba belajar-belajar kawal marah tu! Nasib baik, Farah. Kalau perempuan yang abang cinta ditengking-tengking, merajuk dia, tau!”

Aku jeling dia… geram! Pandai sangat mengenakan aku. Tiap apa yang dia ucap, mesti ada yang buat hati aku ni terluka sikit. Sikit ajelah, tak banyak!

“Farah seronok bekerja di sini. Tapi, Farah tak seronok duduk di KL ni. Farah lebih suka kerja di tempat Farah. Lagipun, Farah dah dapat kerja kat sana. Apapun, pengalaman kerja dengan abang memang best. Terima kasih sebab abang dah jadi guru Farah yang terbaik. Cuma Farah harap lepas ni, abang jaga diri, ya. Dan, jaga hati tu jugak!”

Aku tatap wajahnya dalam-dalam. Apakah mesej yang dia ingin sampaikan? Aku tak perlu menunggu lama. Suaranya lembut mengalun bait-bait kata menusuk tangkai hatiku.

“Dendam ni, bang…., memang manis kalau dapat dibalas. Tapi, Nabi pernah cakap, memaafkan setiap kesalahan….itu jauh lebih baik lagi! Belajarlah memafkan diri sendiri dulu, sebab setiap kali kita buat salah, kita akan kutuk diri kita padahal kadang-kadang, kita tak sengaja melakukan kesalahan tu pun! Hanya lepas tu baru kita jadi seorang yang reda. Reda dengan takdir yang datang menguji kita. Dan, bila kita reda, baru kita mampu memaafkan kesalahan yang dibuat orang lain pada diri kita. Percayalah, lepas kita memaafkan, hati kita akan tenang. Kebencian akan hilang.”

Aku hilang kata. Hanya merenunginya, itu yang termampu aku buat. Dia cuba menyampaikan sesuatu padaku!

“Ayah Farah mungkin salah menilai abang. Tapi, berbaloikah abang pendam rasa marah pada dia selama bertahun-tahun? Dah 15 tahun, bang. Tak cukup lamakah abang semai benih benci tu? Sampai bila baru abang sudi memaafkan kesalahannya? Jangan lupa, ayah Farah hanya seorang manusia. Dia jugak buat silap. Dan, dia memang silap! Seluar dalam dan surat cinta tu diletak dalam loker abang oleh budak yang diupah oleh budak perempuan yang minat giler pada abang masa di sekolah dulu. Ayah hanya tahu seminggu lepas abang dibuang sekolah sebab bukti tu hilang. Mulanya, ayah ingat abang curi bukti tu dari simpanan dia tapi Allah nak tunjuk, budak lelaki tu yang curi dan simpan. Dia dendamkan abang. Cemburu sebab abang anak orang kaya yang boleh dapat segala-gala dengan mudah..”

Aku terpaku. Rasa macam tak percaya mendengar cerita gadis ini.

“Ayah cari keluarga abang. Dia jumpa emak dan ayah abang, dia ceritakan hal yang sebenar. Dia merayu untuk jumpa abang dan mohon abang dimasukkan semula ke sekolah tapi mereka menolak. Mereka cakap, yang lepas tu sudahlah. Biar abang bina semula hidup dengan sempurna. Biar abang belajar bahawa hidup ni tak mudah.”

“Tapi, abang tak tahupun…”

“Mungkin, sikap abang yang menjadi lebih baik menyebabkan ia tetap jadi rahsia. Mungkin emak bapak abang rasa, dengan merahsiakan hal sebenar, abang akan jadi manusia yang lebih bertanggungjawab. Dan yang penting, boleh berjaya dalam hidup. Kan, abang dah buktikannya?”

Kulepaskan keluhan berat. 15 tahun, aku berdepan dengan rasa marah yang bukan sedikit. 15 tahun aku bawa perasaan ini ke merata-rata. 15 tahun lamanya, dendam aku kepada dia, Haris, tidak pernah luntur.

Sepanjang masa itu aku rasa bagaikan ingin mencarinya, menumbuk, dan mencederakannya. Semua kesalahan kutuntaskan kepadanya. Mungkin kecil di mata orang lain namun bagi aku… ia cukup memalukan!

Kini, Farah dah balik ke sana. Ke pulau indah penuh lagenda. Aku? Tentulah masih di sini. Menghitung hari-hari sepi…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience