DAMIA berhenti berdekatan sebuah gerai di tepi jalan. Kalau ikut lokasi yang dihantar Syafiq sebentar tadi, kat gerai itulah yang sepatutnya mereka bertemu.
Dia lihat sekilas gerai itu. Banner bertulisan 'Sate Syafiq' berserta paparan pelbagai jenis menu sate digantung pada satu sudut gerai itu.
Memang pasti ni gerainya.
Pelanggan-pelanggan masih lagi bertandang di gerai itu. Ada yang menunggu giliran untuk menapau, dan ada juga yang duduk di meja, makan di situ.
Lantas mata Damia terpasang kepada Syafiq. Dia yang mengenakan topi berwarna hitam sedang sibuk membakar beberapa cucuk sate untuk pelanggannya. Di sebelahnya juga ada seorang lelaki sedang membantu. Kawannya? Pekerjanya?
Tanpa berlengah masa, Damia terus berjalan ke arah Syafiq tatkala keadaan gerai reda dengan pelanggan yang beratur.
"Assalamualaikum."
Syafiq segera berpaling ke arah Damia.
"Waalaikumussalam, awak." Bersinar-sinar mata Syafiq melihat Damia yang kelihatan berbeza.
Cantik!
Mana taknya, wanita itu bersolek hampir setengah jam. Mujurlah solekannya tak terlaku berlebihan. Kalau tidak tak pasal-pasal jadi bahan 'membawang' orang sekeliling.
"Awak lama dah ke sampai?" tanya Syafiq sedikit ternganga.
"Eh, taklah. Baru je."
Syafiq mengangguk perlahan. Tanpa membuang masa, dia terus mengarahkan Damia duduk di sebuah kerusi kosong di situ.
Damia turuti sahaja arahan Syafiq. Lalu punggung dihenyakkan di atas kerusi. Sling bag dia letakkan di atas meja berbentuk segi empat sama itu. Dia hanya melihat dan menunggu sahaja Syafiq yang kelihatan sibuk menyediakan hidangan. Mungkin hidangan untuk dirinya?
"Amboi, Syafiq. Kau tak bagitau aku pun yang harini kau ada jemput customer 'special' kat sini." Lelaki yang membantu Syafiq itu bergurau.
"Mana ada, Paan. Dia tu kawan aku je. Aku pun baru je kenal dia. Lagipun buat apa aku nak bagitau kau."
"Kawan konon." Lalu lelaki itu mengerling ke arah Damia yang sedang meliar-liar matanya. "Aku tengok dia cantik. Dan kau pulak handsome. Jadi padanlah kalau ..."
Belum sempat lelaki itu menghabiskan kata, Syafiq cepat-cepat memotong, "Kau jangan nak merepeklah. Nanti ada jugak yang kena sumbat dengan sate daging ni karang." Sengaja Syafiq memberi amaran dalam gurauan.
"Dah, aku nak pergi hidang sate ni kat dia." Syafiq seterusnya menapak pergi sambil menatang dua biji pinggan di kedua tapak tangannya.
Farhan atau lebih mesra dipanggil Paan itu menggeleng dan tertawa riang. Suka lihat reaksi kekok kawannya itu kalau berbual melibatkan wanita ini.
Damia hanya melihat sahaja Syafiq dan lelaki itu berbual biarpun perbualan mereka tidak didengari. Bergelak sakan tu, mesti tengah mengata pasal aku!
Meja Damia menjadi tujuan Syafiq.
"Nah, awak. Sate special untuk awak. Makanlah puas-puas." Seraya Syafiq meletakkan dua biji pinggan ke atas meja.
Membulat mata Damia melihat hidangan itu. Ingatkan sikit je sate yang bakal dihidang tetapi sebaliknya.
Malah dalam 30 cucuk jugaklah kalau dikira sepintas lalu. Separuh sate daging dan separuh lagi ayam. Disertakan juga nasi impit dan semangkuk kuah kacang. Boleh pecah perut kalau dimakan semua seorang-seorang!
"Awak! Banyak sangat ni. Lagipun saya sorang ja yang makan. Tak terhabis nanti." Terkebil-kebil mata Damia.
"Tak habis awak bungkus balik rumahlah."
"Tak apalah. Family saya bukannya suka sate pun." Lalu Damia memuncungkan bibir.
"Ouh ye ke? Takpelah awak makanlah dulu. Sate yang tak terhabis tu nanti pandai-pandailah saya uruskan nanti."
Damia terus cuba berfikir. Pandai-pandai uruskan? Takkan mahu buang sate yang lebih itu pula. Lalu ketika itu juga, idea datang umpama mentol yang menyala di fikiran Damia.
"Okey, saya akan makan sate ni. Tapi, awak kena makan sekali dengan saya. Boleh?"
Begitu pula syarat yang dikenakan Damia. Nak makan dengan Syafiq punya pasal. Sambil menyelam minum airlah, kan?
Bagus idea kau, Damia!
Syafiq menyengetkan kepalanya. Lalu kepalanya ditoleh ke arah Paan yang sedang mengipas sate. Pelanggan tak ramai, mungkin Paan boleh uruskan gerai seorang sendiri.
"Okeylah. Saya makan dengan awak. Tapi tunggu saya bagitahu kawan saya dulu."
Damia mengangguk kepalanya.
"Paan! Kau jaga tau sate tu. Aku nak makan dengan kawan aku kejap!" Syafiq separa menjerit memberi arahan kepada kawannya itu.
"Okey!" Paan membalas sambil mengangkat ibu jarinya.
Syafiq menghela nafas lega. Syukurlah dapat kawan seperti Paan yang memahami itu. Tak pernah mencuri tulang atau mengeluh sepanjang bekerja bersamanya.
Paanlah kawan yang paling memahami akan keadaan dirinya. Memang dari zaman sekolah lagi Syafiq sudah rapat dengan lelaki berkulit hitam manis itu.
Syafiq terus tanggalkan apron dan duduk berhadapan Damia. Mata mereka bertembung. Bibir masing-masing melakar senyuman biarpun sedikit terasa kejanggalan.
Ah! Tak kisahlah rasa kekok pun. Yang penting, makan dulu.
"Maaflah, saya bau asap sikit." Syafiq memulakan perbualan sambil mencium-cium bajunya.
"Ish, awak ni. Setakat asap saya tak ada hal la. Saya dah terbiasa dengan bau segala jenis asap."
Terus Syafiq tertawa kecil.
"Makanlah, jangan segan-segan." Syafiq mempelawa Damia merasa satenya.
Damia mengambil satu cucuk sate ayam. Warnanya kuning sempurna. Tidak hangit. Isinya pun tebal dan penuh. Di hujung lidi terselit juga lemak ayam yang pasti pecah di mulut apabila dikunyah.
Amat mengiurkan.
Damia menjamah sate itu melalui kunyahan pertamanya. Syafiq telan liurnya. Takut jugak kalau satenya tu liat atau tak kena pada selera tekak Damia. Memang jenuhlah dia.
Kunyahan demi kunyahan, dan ketika itu juga, mata Damia sudah membulat luas memandang Syafiq.
"Sedapnya!"
Itu sahaja yang keluar dari mulut Damia yang penuh itu dengan ekspresifnya. Terus dia melahap sate di tangan itu dengan gelojoh. Macam baru dapat makanan setelah berpuasa setahun pula.
Syafiq senyum lebar lalu terus bersuara, "Makan slow-slow. Nanti ada jugak yang tercekik."
Damia menundukkan sekali kepalanya. Tahu pun malu. Tapi sate masih tak lepas dari tangan. Kunyahan dalam mulut makin laju.
Secucuk.
Dua cucuk.
Tiga cucuk.
"Awak, sate awak ni serius sedap. Sate ayam dengan daging ni lembut je. Tak cecah dengan kuah kacang pun dah sedap." Damia tak henti memuji.
"Alhamdulillah kalau sedap. Suka tengok awak makan berselera macam ni."
"Awak makanlah sekali, takkan nak tengok saya makan sorang-sorang je."
Syafiq yang dipelawa Damia turut menyantap sate itu. Tak dipungkiri sate itu memang sedap dan lembut seperti yang Damia gambarkan tadi,
Tetapi Syafiq merasa ia hanya sate yang biasa-biasa sahaja. Mungkin kerana dialah penjual sate tersebut, dan mungkin dia sudah banyak kali memakan sate dari air tangan sendiri yang membuatkannya sudah jemu.
"Kalau saya tahu ada sate sesedap ni jual kat kampung ni, boleh hari-hari saya datang ke sini. Tak payah nak pergi kat pekan."
"Awak ni, puji melambung sangatlah. Malu saya." Syafiq meneguk air kosong.
"Betullah apa yang saya cakap." Damia menjeling ke arah Syafiq. Syafiq hanya senyum.
"Awak jual sate ni mesti laku, kan?"
"Alhamdulillah, bolehlah. Kadang ikut hari jugak. Kadang ramai, kadang biasa-biasa je. Kadang sikit terus," ucap Syafiq.
"Biar betul? Sate yang sedap ni pun tak boleh laku setiap hari?" Berkerut dahi Damia tanyakan itu.
Syafiq tersenyum. "Awak, dah nama pun meniaga. Mestilah ada turun naiknya."
Damia mengangguk perlahan. Ya tak ya juga. Tapi mulutnya masih lagi tak boleh berdiam.
"Mesti customer awak ramai perempuan, kan? Yalah, jarang ada penjual sate handsome macam awak. Kalau share kat Fac atau Instagram, mesti cepat je viral."
Amboi, Damia. Baru kenal sehari dah puji melambung, ye? Memang muka tembok betul kau.
Tapi pelik jugaklah kau ni, Damia. Bukan ke selera kau tu orang Korea? Sejak bila kau mula tertarik dengan lelaki Melayu berwajah macam Syafiq tu?
Kulit sawo matang, lepas tu ada jambang nipis terhias kat wajah. Terhias la sebab nampak kena dan elok aje dengan muka Syafiq tu. Damia pun akui.
Selera orang kan boleh berubah-ubah. Lawan Damia dalam hati.
Syafiq tersengih. Memang bersemangat sungguh gadis di hadapannya ini. Sudah dipuji sate, kali ini dipuji rupa parasnya pula.
Senyum dan tawa gadis itu pula umpama virus yang membuatkannya turut berjangkit. Amat manis!
"Jadi awak nak kata yang muka saya ni pelaris sate sayalah?"
Damia mengiyakan sahaja.
"Kenapa? Awak jealous ke kalau saya ada ramai customer perempuan?" Syafiq mulai berseloroh. Ha, bukan selalu nak menyakat orang lagi-lagi orang yang baru kenal macam Damia tu.
Pantas sahaja Damia membuat muka. Muka yang mengekspresikan tahap jengkelnya. Ceh! Perasan.
Tertawa besar Syafiq.
"Awak, saya nak tanya lagi."
Syafiq lalu mengangkat sedikit keningnya tanda memberi kebenaran.
"Adik awak yang kelmarin tu okey ke? Kenapa dia sorang-sorang kat sungai kelmarin?"
"Oh, Syafiqah? Ya, dia okey ja. Kelmarin tu biasalah, masalah budak-budak." Syafiq menggeleng sahaja kepalanya mengingatkan kelakuan Syafiqah itu.
Damia tergelak kecil. Budak-budak zaman sekarang pun dah ada masalah? Macam mengalahkan orang dewasa pula.
"Oh, Syafiqah nama dia ... sekarang dia ada kat mana? Dia dengan mak ayah awak ke?"
Pertanyaan Damia membuatkan reaksi Syafiq sedikit tersentak. Mukanya tiba-tiba berubah. Dia ambil sedikit masa juga untuk menjawab soalan Damia tadi.
Perkataan mak dan ayah itu membuatkan Syafiq teringat akan peristiwa hitam yang menimpa dirinya. Peristiwa yang membuatkan dia bergelar yatim piatu serta-merta.
Kehilangan kedua insan tersayang sebaik sahaja dia tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tipulah kalau dia lupa akan 'mimpi ngeri' itu.
"Mak dan ayah saya dah meninggal lapan tahun lepas. Sebab accident. Saya dan Syafiqah yatim piatu."
Itu jawapan yang dilontarkan Syafiq. Kepalanya ditundukkan.
Damia terus menekup mulutnya dengan tangan kecilnya itu. Tersedar dirinya sudah bertanya soalan yang agak sensitif itu. Kacau mood la, Damia!
"Awak! Saya minta maaf. Sa ... saya tak tahu pasal tu. Serius awak. Sorry ..." Damia terus menggelabah meminta maaf.
Kedua belah tangannya dirapatkan sedaya upaya agar mood Syafiq tidak berubah. Nanti hilang selera pula lelaki tu.
Syafiq meraup wajah.
"Tak apa, awak. Saya tak kisah pun. Lagipun benda dah lama." Dia cuba pancarkan senyuman tetapi memang jelas senyuman itu terlalu kelat.
"Syafiqah sekarang saya tinggalkan kat rumah Pak Ya," tambah Syafiq lagi. Dirinya ingat soalan Damia tadi masih tergantung tanpa jawapan.
Pak Ya? Siapa pula tu? Damia ingin bertanyakan hal itu tapi dia lucutkan saja niatnya. Nanti tersalah mengajukan soalan pula macam tadi. Kan dah cuak.
"Okey, kita ubah topik. Sekarang saya nak tanya pasal umur awak pulak. Boleh?" Damia mahu mengubah suasana yang muram itu.
Kali ini Syafiq mampu tersenyum ikhlas semula. "Awak ni, random sangat tanya soalan. Sekejap pasal Syafiqah, sekejap pasal umur. Lepas tu apa? Girlfriend saya pulak?"
Damia tersengih dengan jenaka Syafiq. Nasib baik Syafiq yang muram tadi sudah berubah reaksi yang ingin dia lihat. Kalau tidak, memang tak selesa nak bersembang lagi.
Fuh! Lega rasanya.
"Saya 25. Awak?" Syafiq tanpa basa-basi menjawab.
"25?" Damia sedikit terkejut dan teruja. "Saya pulak 23. Muda dua tahun dari awak."
Syafiq jongketkan kening. Wanita yang lebih muda darinya? Itu jelas sekali ciri idaman wanita pilihannya. Mungkin Syafiq lebih suka wanita yang lebih muda ini kerana mereka yang manja dan kebudak-budakan. Sama macam gadis kat depan matanya itu.
"Serius? Kalau macam tu, lepas ni awak kena hormat saya sebagai kawan, dan sebagai abang," gurau Syafiq dengan bangga. Boleh pula bangga sebab lebih tua.
Damia terus menunjukkan buku limanya. Mengada betul Si Syafiq ni nak kena hormat-hormat bagai.
Terus suasana malam itu bersabung dengan tawa mereka.
Bual demi bual. Soalan berbalas soalan. Tawa berselang tawa. Makan punya makan. Sedar tak sedar, jarum jam sudah hampir bergerak ke pukul 10 tepat. Bermakna sudah sejam lebih mereka berdua-duaan seperti pasangan kekasih di gerai itu. Bak kata Paan, "Kawan konon."
Baru kenal, tapi mesra semacam aje. Paan pun tersenyum je tengok kawannya tu. Dah advance ye kau, Syafiq.
Gerai pun sudah kosong dengan kepulangan pelanggan lainnya. Tersedar yang sudah hampir tempoh tutup kedai itu pun kerana Paan yang menegur. Kalau tidak, boleh sampai ke esok pagilah Damia dan Syafiq tu mahu bersembang. Punyalah rancak berborak sampaikan sate yang dihidang banyak tadi habis licin.
"Saya balik dulu, awak. Terima kasih sebab belanja sate tu. Sedap sangat sate awak." Damia menggantungkan sling bag pada bahunya. Bersiap mahu pulang ke rumah.
"Sama-sama, awak. Hati-hati bawak motor tu." Syafiq mengiringi Damia yang memarkir motosikal tak jauh dari gerai.
Tapi Damia berasa berat hati pula. Takkan malam ini tanda pertemuan pertama dan terakhir mereka. Takkan malam ini sahaja dia mahu berjumpa lelaki itu dengan alasan yang masuk akal.
Kalau jumpa setiap hari tanpa sebab, nanti dicop terhegeh-hegeh pulak. Ah! Biarlah Syafiq nak fikir apa pun. Bentak hati Damia.
Nafasnya turun naik. "Awak ...."
Syafiq menjongketkan kening.
"Kalau, saya nak datang kat gerai awak ni lagi boleh tak?"
Damia berani bertanyakan itu. Dia mahu berkenalan lebih dengan Syafiq. Lagipula, perbualan tadi terasa singkat sangat. Sejam terasa macam sepuluh minit sahaja.
Syafiq senyum lebar. "Boleh. Boleh je awak. Datanglah bila-bila awak nak."
Rasa macam nak bersorak pulak bila Damia cakap macam tu. Yes!
"Umm ... awak?" Kini giliran Syafiq pula bersuara.
"Ya?" Damia melambatkan pergerakannya.
"Kalau saya nak mesej atau call awak bila-bila boleh tak? Itu pun kalau awak tak rasa terganggu." Tangan Syafiq meliar menyapu bahagian tengkuk. Seganlah tu.
Damia hadiahkan senyum. "Kenapa pulak tak boleh? Mestilah boleh."
Senyum lebar ditayang. Perasaan gembira tak mampu lagi mereka sembunyikan.
Misi berjaya. Mahu saling berhubung lagi? Tak payah nak dirisaukan sudah.
Bersambung...
Jumpa lagi kita utk chapter kali ni. Thank you kpd yg follow up saya dn karya yg saya publish kt sini ^^ Nantikan jugak, chapter yg akan diupdate esok.
Share this novel