Jantung Rina berdebar-debar menanti keputusan ujian yang dijalankan di klinik kesihatan ketika itu. Doktor lelaki di hadapannya masih melihat dengan teliti keputusan rekod ujian miliknya sebelum berdehem kecil dan memandangnya dengan wajah yang serius. Rina semakin gugup apabila melihat mata doktor itu tajam menikam pandangan matanya. Adakah doktor itu memang sengaja ingin menakutkan dirinya dengan memperlihatkan wajah seperti itu ataupun itu memang sudah semulajadi wajah doktor muda itu yang kelihatan sombong dan menakutkan? Rina menelan liurnya yang terasa sudah kering.
"Tahniah, puan! Puan mengandung sudah masuk dua minggu." Doktor muda itu akhirnya terseyum kecil mengucapkan selamat kepada Rina setelah lama membisu. Mudanya sudah menikah. Aku ni yang sudah mahu masuk dua puluh lima tahun masih bujang. Hati doktor itu berkata-kata sendiri berasa sedikit cemburu dengan pesakitnya itu.
"Mengandung?" Rina terkejut tetapi dia sedaya upaya mengawal riak wajahnya agar doktor yang bernama Fazlan itu tidak curiga. Perlahan tangan kanannya menyentuh perut yang sudah ada ‘benih’ di dalamnya.
"Puan kena banyak berehat disebabkan antibodi dalam diri puan lemah dan elakkan diri daripada tekanan fikiran dan emosi. Kalau saya tidak salah meneka, ini anak yang pertama?" Doktor Fazlan membuat andaian kerana melihat daripada rekod kad pengenalan Rina gadis itu baru berumur sembilan belas tahun.
Rina mengangguk tanda mengiakan semua kata-kata doktor itu kerana dia tidak tahu mahu menjawab apa lagi. Fikirannya ketika itu diterpa segala permasalahan yang akan timbul jika orang disekelilingnya mengetahui bahawa dia telah mengandung.
"Saya minta diri dulu. Terima kasih doktor." Rina keluar daripada bilik doktor itu dan terus masuk ke dalam tandas yang berhampiran.
Wajahnya diraup dengan air beberapa kali sebelum melihat wajahnya daripada pantulan cermin di hadapannya. Lama Rina memerhatikan wajahnya itu. Gembirakah dia dengan berita yang baru didengarnya itu atau seharusnya dia berasa itu satu musibah?
Perlahan-lahan air matanya menitis. Kedua-dua tangannya memegang perut yang masih tidak membuncit kehadapan. Bagaimana dia harus berhadapan dengan situasi itu. Apa kata orang sekelilingnya nanti? Apakah semua ini disebabkan kesalahannya atau nasib tidak menyebelahinya? Apa yang pasti orang hanya akan melihat kesalahannya tanpa mahu mengambil tahu keadaan dirinya yang sebenar.
Adakah lelaki itu akan bertanggungjawab nanti? Tapi sudah lupakah dirinya bahawa dia sudah ditinggalkan. Tidak mungkin dia mahu mengemis kepada lelaki itu agar menerima dirinya setelah dia sudah dibuang dan dihina seperti sampah. Dia masih punya harga diri. Dia tidak akan sesekali tunduk dihadapan lelaki bengis yang mengakibatkan lebam di bahagian badannya yang masih biru sehingga kini.
Gugurkan?
Bisikan syaitan mula masuk ke dalam halwa teliganya untuk digugurkan saja anak yang baru dikandungnya itu. Sakitnya mungkin lebih daripada melahirkan secara normal tetapi maruah dirinya masih dapat dijaga daripada umpatan orang sekeliling. Dia juga boleh memulakan hidup baru setelah kandungannya digugurkan. Tiada siapa yang akan tahu rahsianya itu.
Rina menggelengkan kepala menangkis bisikan syaitan durjana. Memang benar tiada siapa yang akan tahu tentang kemaksiatan yang dilakukan tetapi Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Untuk membuat dosar besar, dia masih belum sekejam itu membunuh janin yang masih berupa seketul daging di dalam perutnya. Ilmu agama yang dipelajarinya daripada nenek dan Puan Mawar masih tersimpan kemas di dalam ingatannya. Dia tidak mahu menerima gelaran 'Si Pembunuh' yang akan menghantuinya sehingga ke liang lahad.
Pasrah!
Ya, serahkan semua kepada Allah SWT. Apa yang terjadi sudah pun terjadi dan tidak akan dapat diundurkan waktu kembali. Nasi sudah menjadi bubur. Perkara yang harus difikirkan ketika ini adalah hari esok dan hari yang mendatang bagaimana dia mahu menjalani hidupnya yang dia yakin tidak seindah bayangannya.
Dia sudah meminta belas tetapi tiada seorang pun yang mahu kasihan akan nasibnya. Kini dia sebatang kara di dunia hanya Allah sahaja peneman hidupnya. Dunia kejam ini adalah ujian untuknya, dia harus belajar bersabar dan ikhlas untuk memperoleh redha Allah.
Biarlah apa kata mereka. Mulut tempayan saja susah ditutup apatah lagi mulut manusia. Dia tahu dia tidak bersalah dan Allah adalah saksinya. Kesaksian Allah di akhirat adalah segalanya ketika itu.
Rina memotivasikan dirinya sendiri dengan mengingati kisah para rasul dan para sahabat, alim ulama dan orang-orang alim. Ujian mereka lebih besar daripadanya dan tidak sedikitpun mereka berganjak berpaling pada Allah malah lebih bertambah keimanan mereka.
"Alhamdulillah." Rina mengucap syukur perlahan. Allah memilih dirinya dengan memberikan hadiah berupa ujian untuk menghapus dosa-dosanya dan mendekatkan dirinya kepada Allah Maha Esa.
Share this novel
The worst people in the Sight of Allah on the Day of Resurrection will be the double faced people who appear to some people with one face and to other people with another face