DIA terjaga 20 minit sebelum penggera subuhnya berbunyi dan ketika dia terjaga, suasana di dalam bilik berlampu malap sebelum dia tidur semalam itu kini sudah terang benderang. Laju dia memanjangkan lehernya memandang sofa panjang yang terletak tidak jauh dari katil.
"Awalnya dia bangun." Matanya lantas menghala pada pintu bilik air kaca yang berwap dari dalam. "Aduh! aku dahlah nak terkencing ni." Cepat-cepat dia turun dari katil menuju ke pintu bilik air, lalu pintu diketuk. "Boleh tolong cepat tak? Saya nak terkencing ni!" Meliuk-liuk tubuhnya sambil mengepit dan menyilangkan kakinya. "Hisy! Aku kencing juga depan ni karang! Weh, cepatlah!" laung Eyra Zafira disertai dengan ketukan buat ke sekian kalinya.
Tidak sampai seminit, pintu pun terkuak. Spontan dia menarik lelaki itu keluar, lalu dia segera masuk tanpa mengunci pintu. Terkedip-kedip mata lelaki bertubuh kekar itu memerhati wanita itu dengan perasaan tidak puas hati.
"Perempuan ni kan!" gumam Zul Aryan yang masih terpacak di depan muka pintu yang tidak tertutup rapat. Giginya diketap kuat menahan perasaan geram.
Selepas melaksanakan hajatnya, Eyra Zafira keluar semula untuk mengambil kain tualanya yang sengaja dibawa dari rumah. Dia berniat hendak mandi sebelum menunaikan solat subuh. "Eh! kenapa abang terpacak kat sini?" soalnya dengan muka tidak bersalah. Baru dia hendak melepasi suaminya, tangannya tiba-tiba ditarik kasar.
"Apologize!"
Eh! kau apa hal ni, subuh-subuh dah cari pasal! Namun, bentakan itu tidak dilisankan, sekadar di dalam hati sahaja. Muka tegang dan dingin lelaki itu direnung dengan berani. "Kenapa saya tiba-tiba nak minta maaf pula? Buang air tu jenayah ke?" soalnya sambil berpeluk tubuh dengan lagak bersahaja.
"Kau dah batalkan wuduk aku!"
Membulat sepasang mata berbulu panjang dan lentik itu selepas mendengar alasan lelaki itu. Biar betul mamat ni! "Wuduk je pun! Bukannya tak boleh repeat. Deras je air paip kat dalam tu." Langkah kakinya lantas diorak selamba melepasi lelaki itu. "Batal wuduk pun nak kecoh! Bukannya dah masuk waktu pun!" gumamnya dengan suara yang cukup untuk didengarinya sendiri sahaja.
Sehelai kain tuala berwarna ungu yang dikeluarkan dari beg pakaian sederhana besar miliknya, disangkutkan dibahunya, lalu dia terus berjalan melenggang menuju ke bilik air.
"Hisy, dia ni apa hal masih terpacak kat situ!" Eyra Zafira menggumam bersama dengan kerutan di dahinya, namun dia tetap meneruskan langkah kakinya dengan lagak tenang.
"Apologize!" kata Zul Aryan sambil berpeluk tubuh. Sengaja dia berdiri di tengah-tengah muka pintu bilik air untuk menghalang laluan.
Eyra Zafira mendengus geram. Ni kalau aku tomoi dia punya celah kangkang ni, agak-agak mati tak? getusnya dalam hati. "Lah! Masih tak puas hati lagi rupanya. Abang boleh je ambil wuduk balik kan, apa susah?"
"I told you to apologize, right? Why is it so hard for you to do it?"
Ah, sudah! Dia speaking London pulak dah! "No!" Dengan selamba Eyra Zafira menolak tubuh lelaki itu ke tepi untuk memberikannya laluan, namun Zul Aryan dengan pantas menangkap dan mencengkam pergelangan tangannya.
"Apologize!" Kali ini nada suara garau itu kedengaran lebih keras berbanding tadi.
"No!"
"Kalau dah buat salah tu, minta maaf ajelah!"
"No!"
Sedikit ternganga mulut Zul Aryan melihat kedegilan dan keegoan wanita itu. "Kau..."
"Memanglah kalau dah buat salah tu kena minta maaf, tapi saya tak buat salah pun! Hisy, lepaslah!" pintas Eyra Zafira sambil berusaha untuk melepaskan tangannya daripada cengkaman kuat tangan berurat itu, tetapi gagal.
"Minta maaf dulu, baru aku lepaskan!"
"Saya tak nak!"
"Kenapa?" soal Zul Aryan dengan muka merah padam menahan perasaan marah.
"Sebab perempuan tak pernah salah!" balas Eyra Zafira, lalu dia menarik kuat tangannya sehingga terlepas daripada cengkaman suaminya, kemudian dengan pantas dia berlari masuk ke dalam bilik air dan mengunci pintu.
Zul Aryan terbungkam dengan mata yang terbuka luas dan mulut yang sedikit ternganga, rasa tidak percaya dengan sikap manusia kepala batu yang baru dihadapinya tadi.
- - - - - -
"KEMAS barang kau, aku tunggu dalam kereta. 10 minit!"
"Kita nak balik ke rumah mak ke?" soal Eyra Zafira yang baru sahaja selesai bersarapan di dalam bilik itu kerana malas hendak turun.
Tiada balasan. Zul Aryan terus keluar dari bilik itu dengan kedua-dua tangan di dalam poket seluarnya.
"Ah! poyo, berlagak, kerek, kerak nasi! Semualah kau! Hisy! Dia ingat cukup ke masa 10 minit?" Sakan mulutnya membebel sambil mula menyusun pakaian dan barang-barangnya ke dalam beg bagasinya dengan riak muka tidak puas hati. "Mak, mak... ini ke satu-satunya calon suami terbaik di muka bumi untuk Eyra yang mak jumpa dulu? Mak dah salah pilih ni, mak. Ni bukan suami, tapi tsunami!" gumamnya seolah-olah ibunya ada di situ.
- - - - - -
"LAMBAT!"
Eyra Zafira yang baru masuk ke dalam kereta segera menoleh. "Nama saya bukan lambat, tapi Eyra. Eyra Zafira," ujarnya dengan muka selamba sambil menarik tali keledar. Walaupun lontaran nada suaranya lembut, namun kedengaran sangat sinis sekali di telinga lelaki berwajah dingin itu.
Kedengaran dengusan terpacul dari mulut Zul Aryan. "Lepas ni, kalau lambat lagi, aku takkan tunggu lagi macam orang bodoh!"
Sekali lagi Eyra Zafira menoleh, namun dengan riak muka yang sudah berubah tegang. "Kalau tunggu orang terus jadi bodoh ke?"
"Menjawab kau kan!" Zul Aryan membalas renungan tajam isterinya dengan muka serius.
Eyra Zafira menarik nafas dalam-dalam sambil menutup matanya buat beberapa saat sebelum dia merenung semula wajah suaminya. "Kalau abang layan saya baik-baik, saya pun baik dengan abang. Ni pun dah cukup baik dah saya panggil macam ni sebab abang tu lebih tua daripada saya tau, kalau..."
"Aku tak suruh pun kau panggil aku macam tu kan? Kau je yang gedik panggil aku macam tu," pintas Zul Aryan dengan muka serius.
Kata-kata lelaki itu membuatkan Eyra Zafira membulatkan matanya kerana rasa tidak percaya perkataan itu ditujukan kepadanya. Bukankah normal seorang isteri memanggil suaminya dengan panggilan seperti itu? Tidak perlu menjadi suami isteri pun, panggilan itu tetap normal buat lelaki yang lebih tua.
"Apa tadi? Gedik?"
"Ya, gedik. Kau nak aku ulang ke?"
Bergerak-gerak rahangnya mencerlung mata lelaki itu. Agak lama juga mereka bertentang mata sehingga akhirnya Eyra Zafira yang melarikan anak matanya ke arah lain.
"Okay, fine! Kau baliklah seorang-seorang! Setakat kereta macam ni, aku tak hairanlah! Aku bukannya tak boleh naik Grab pun!" Eyra Zafira segera keluar dari kereta dan mengambil begnya di atas kerusi penumpang belakang.
Dummm! Bergegar kereta itu akibat pintu yang dihempas kuat. Zul Aryan memerhati isterinya melangkah laju menuju ke lobi hotel buat seketika sebelum dia keluar mengejar wanita itu. Kalau diikutkan hati, mahu dibiarkan sahaja wanita itu dengan kedegilan dan keegoannya, tetapi memikirkan apa kata ibu dan ibu mentuanya nanti, dia terus mengubah fikiran.
"Entah apa yang special sangat dengan perempuan kepala batu ni sampai mama pilih dia ni jadi isteri aku! Macam dah tak ada perempuan lain je!" gumamnya sambil mempercepatkan ayunan langkah kakinya mengejar isterinya yang semakin menghampiri kawasan lobi hotel.
Baru semalaman mereka menjadi suami isteri dan belum sempat berkenalan dengan lebih terperinci pun lagi, tetapi cara mereka bergaduh seperti sudah lama kenal. Entah bertahan lama atau tidak perkahwinan mereka itu.
- - - - - -
SELEPAS menunaikan solat asar, Eyra Zafira terus menuju ke tepi rumah. Niatnya hendak duduk bersantai di atas pangkin menikmati angin petang yang selalunya terasa sangat mendamaikan jiwa.
"Eyra nak pergi mana tu?" soal Puan Akma yang sedang membancuh teh setelah selesai menggoreng cucur udang.
"Nak duduk kat bawah pokok rambutan, mak. Ambil angin."
"Mana suami Eyra?" soal Puan Akma lagi.
Eyra Zafira mendengus. Sakit gegendang telinganya mendengar perkataan gelaran yang terpacul dari mulut ibunya. "Kat depan kut."
"Kat depan apanya, tu haa suami Eyra tu," kata Puan Akma sambil tersenyum memandang menantunya yang sedang berdiri tidak jauh dari kedudukan mereka. "Duduklah, Zul. Mak dah siapkan cucur dengan teh ni. Ayah tu nak dekat maghrib baru balik dari ladang. Fuad pula tak balik hari ni, oustation," lanjutnya.
Eyra Zafira menoleh ke belakang. Spontan bola matanya dipusingkan, lalu dia segera mengayun langkah menuju ke pintu belakang.
"Eh, Eyra! Suami Eyra kat sini ni. Tolong tuangkan air dalam cawan, lepas tu temankan Zul duduk minum." Pandangannya kemudian beralih semula kepada menantunya. "Zul, duduklah."
Jelingan tajam dilemparkan kepada suaminya dengan perasaan tidak puas hati. Lambat-lambat dia berjalan menghampiri meja.
"Haa, Eyra temankan suami Eyra dulu ya? Sekejap lagi mak turun balik. Mak nak asar sekejap." Tanpa menunggu balasan, Puan Akma terus beredar dari situ meninggalkan pasangan pengantin baru itu di dapur.
Zul Aryan kelihatan tenang memerhati cawan yang sedang dituangkan air tanpa memandang langsung wajah isterinya. Eyra Zafira pula, setelah menuangkan air, dia segera keluar menuju ke tujuan asalnya tadi.
Selang 15 minit kemudian, Puan Akma masuk semula ke dapur. "Eh! Eyra mana, Zul?"
"Dia keluar," jawab Zul Aryan sambil memandang pintu belakang yang terbuka luas.
"Bertuah punya budak." Puan Akma mendesis geram sambil melangkah menuju ke pintu.
"Hisy! Takkanlah sebiji yang masak pun tak ada yang tinggal?" gerutu Eyra Zafira sambil mencari-cari buah rambutan yang masak di atas pokok.
"Eyra!"
Laju Eyra Zafira menoleh. "Hmm, mak."
"Kenapa tinggalkan suami Eyra minum seorang-seorang kat dalam tu?"
"Biar ajelah dia tu, mak. Eyra nak cari buah rambutan ni. Sampai licin mak pajakkan kat Pak Cik Darus."
Puan Akma melepaskan keluhan sambil menggeleng-geleng sebelum dia duduk di atas pangkin. "Zul tu dah jadi suami Eyra. Eyra kenalah biasakan diri. Bila lagi nak mulakan sesi suai kenal? Buka hati masing-masing, saling menerima, saling sayang-menyayangi di antara satu sama lain."
"Ya, mak, Eyra tahu. In shaa Allah, Eyra cuba," balas Eyra Zafira, malas hendak memanjangkan cerita. Padahal dalam fikirannya, perkara itu dia rasakan tidak mungkin atau mustahil untuk dia lakukan.
- - - - - -
MALAM itu, Eyra Zafira sedang berbaring meniarap di atas katil sambil membaca novel ketika Zul Aryan masuk di dalam bilik.
"Mari kau ikut aku!" kata Zul Aryan dengan muka serius.
Cepat-cepat Eyra Zafira duduk. "Pergi mana?" Berkerut dahinya memandang wajah lelaki itu. Sakit hatinya mendengar nada suara garau itu bercakap.
"Ikut ajelah!" Pergelangan tangan isterinya dipegang, lalu ditarik. Sempat dia meraih kain tualanya yang bersangkut sebelum mereka keluar dari bilik.
"Kau nak bawa aku pergi mana ni?!" bentak Eyra Zafira, namun dia tetap mengikut ke mana lelaki itu menariknya. Sebenarnya dia sudah mengagak ke mana lelaki itu hendak membawanya. Bukan dia dah mandi ke sebelum maghrib tadi? getus hatinya.
Zul Aryan terus menarik tangan isterinya tanpa terus menjawab pertanyaan yang diajukan.
"Aku berpeluh sebab tukar tayar kereta aku tadi, kau tunggu kat luar ni! Jangan pergi ke mana-mana!" kata Zul Aryan. Tanpa menunggu balasan daripada Eyra Zafira, Zul Aryan terus masuk ke dalam bilik air yang terletak di luar rumah itu.
"Penakut rupanya! Cakap ajelah elok-elok nak minta teman!" gumam Eyra Zafira sambil merenung pintu bilik air yang sudah tertutup rapat. "Hisy! dahlah banyak nyamuk kat luar ni!"
"Kau masih kat luar ke tu?" laung Zul Aryan dari dalam selepas beberapa minit.
Eyra Zafira mendecit. Sengaja dia tidak menyahut.
"Weh! kau masih kat luar ke tu?!" laung Zul Aryan sekali lagi.
"Weh, weh, aku ada namalah!"
"Dah kau tu pekak!"
Spontan Eyra Zafira mengetap giginya. "Dahlah dia minta orang temankan, tak cakap perkataan tolong tu satu hal, cakap kasar pun satu hal. Cari pasal kau eh! Kejap kau!" gumamnya sambil berjalan masuk ke dalam rumah, lantas suis lampu bilik air yang terletak di dinding tepi pintu terus dimatikan.
"Eyra Zafira!!!" jerit suara garau di dalam bilik air.
"Padan muka kau!" gumamnya lagi, lalu dia segera berlari naik ke bilik.
Share this novel