BB - BAB 55

Drama Completed 309207

TAUFIQ duduk ditepi katil Qaireena sambil menggenggam erat tangan wanita itu. Dia merenung wajah Qaireena yang masih belum sedar daripada ubat bius semasa pembedahan dijalankan sebentar tadi.  Sayu hatinya melihat wajah insan tersayang berada dalam keadaan begitu.  Dia tahu, pasti Qaireena kecewa saat mengetahui tentang kandungannya yang berada diluar rahim. Dan dia juga pasti, yang wanita itu menyembunyikan perkara tersebut kerana tidak mahu melihat dirinya kecewa.

“Sayang, kenapa tanggung kesedihan tu seorang diri?” tutur Taufiq walaupun dia tahu Qaireena tidak akan mendengar kata-kata itu.  Airmatanya mula mengalir membasahi pipi.

Tidak lama kemudian kelihatan Qaireena bergerak sedikit dan perlahan mata wanita itu terbuka.

“Sayang...” panggil Taufiq lembut.  Perlahan Qaireena menoleh ke sisinya.

“Alhamdulillah, Reen dah sedar.” dahi Qaireena dikucup lembut.  Melihat sahaja wajah Taufiq, airmata Qaireena terus mengalir.

“Sayang, kenapa menangis ni? Luka jahitan Reen sakit ke?” soal Taufiq.  Qaireena menggelengkan kepala, namun airmatanya tetap mengalir bersama esak tangis.  Melihatkan itu, tahulah Taufiq pasti Qaireena bersedih disebabkan pembedahan pembuangan sebelah tiub fallapio bersama kandungannya.

Perlahan Taufiq mengucup tangan Qaireena, kepala wanita itu juga diusap lembut.  Airmata yang ingin mengalir cuba ditahan, dia harus kelihatan kuat di hadapan Qaireena.

“Abang tahu tak mudah untuk Reen terima semua ni, tapi kita kena redha sayang.  Yang pasti dua anak kita yang dah pergi sebelum mereka dilahirkan ke dunia, sedang menunggu kita di taman syurga sana.” pujuk Taufiq.  Tangan Qaireena dielus lembut. 

Seketika, saat tangisannya semakin reda, perlahan Qaireena menarik tangannya dari genggaman Taufiq.

“Tinggalkan Reen sendirian.” tutur Qaireena mendatar.

“No, Abang akan teman Reen, sepanjang berada di sini.” kata Taufiq sambil tangannya mengusap kepala Qaireena.

“Reen tak sempurna, Reen tak layak untuk Abang.  Reen hanyalah perempuan malang.” tambah Qaireena lagi.

“Ya Allah, apa Reen cakap ni? Tak baik cakap macam tu sayang, Reen dah cukup sempurna di mata Abang.  Dan tak ada manusia yang malang di dunia ini, melainkan ianya hanyalah berupa ujian dari yang maha Esa untuk melihat kekuatan hamba-Nya serta melihat sejauhmana hamba-Nya itu bersandar dan meletakkan sepenuh harapan hanya kepada-Nya.” ujar Taufiq lembut.

“Please...tinggalkan Reen sendirian.” wajah Taufiq sedikit pun tidak dipandangnya.  Melihatkan itu perlahan Taufiq bangun dari duduknya, dia tidak mahu Qaireena tertekan dalam keadaan dirinya yang baru sahaja selesai pembedahan.  Dahi wanita itu kemudian dikucup sekali lagi. 

“Reen rehatlah, Abang tunggu dekat luar.  I love you.” sebaik sahaja Taufiq melangkah keluar, airmata Qaireena semakin deras mengalir.  Ucapan terakhir yang keluar dari mulut Taufiq itu benar-benar membuat hatinya sayu.

“Reen dah tak layak untuk Abang. Reen bukan isteri yang sempurna.  Maafkan Reen sebab dah kecewakan Abang.” bicara Qaireena bersama tangisnya.

Aqilah dan Puan Azarina menghampiri Taufiq sebaik sahaja mereka tiba di hospital petang itu.

“Tuan, macam mana dengan Reen? Apa sebenarnya yang dah berlaku?” soal Aqilah pada Taufiq yang sedang duduk di luar bilik yang menempatkan Qaireena.

“Reen mengandung di luar rahim, dan dia sembunyikan perkara tu daripada saya sampai tiub fallapio dia pecah.  Mujurlah Pak Abu dan Mak Leha cepat bawa dia ke hospital dan doktor terus buat pembedahan untuk membuang sebelah tiub fallapio Reen bersama kandunganya. Kalau tak, doktor kata benda tu boleh mengancam nyawa Reen.” jawab Taufiq.

“Ya Allah...” terkejut Aqilah mendengar apa yang baru sahaja disampaikan oleh Taufiq.

“Jadi, macam mana keadaan Reen selepas pembedahan tu?” tanya Puan Azarina.

“Alhamdulillah Reen okay, cuma emosi dia agak terganggu sedikit.  Dia langsung tak nak saya temankan dia.” tutur Taufiq.

“Mesti Reen terlalu sedih.  Tak apalah saya dan Mak Ngah cuba masuk dan lawat Reen dulu, harap dia dah okaylah.” ujar Aqilah.  Taufiq mengangguk dan hanya senyuman tawar yang terukir dibibirnya.

Laju Qaireena mengesat airmata yang mengalir di hujung matanya ketika mendengar suara pintu bilik itu dibuka.  Dia kemudian menoleh ke arah pintu tersebut.

“Reen..” tegur Aqilah sambil melangkah menghampiri katil sahabatnya itu.  Begitu juga dengan Puan Azarina. 

“Qila, Mak Ngah, terima kasih sudi datang lawat Reen.” dia cuba mengukir senyuman kepada kedua-dua wanita itu.

“Kau okay? Mesti sakit kan?” tanya Aqilah.

“Sakit luka jahitan tu tak seberapa Qila, yang sakitnya menerima kenyataan yang sekali lagi aku kehilangan orang-orang yang aku sayang.  Walaupun janin tu belum lahir ke dunia, tapi aku dah rasai kehadirannya dalam hidup kami.” airmata yang tadinya sudah kering kembali mengalir membasahi pipinya.

“Reen, redha ya.  Semua tu adalah ketentuan yang maha Esa.” ujar Puan Azarina sambil mengusap lembut kepala Qaireena.

“Betul tu Reen, in sha Allah akan ada rezeki untuk kau menjadi ibu lagi.” tutur Aqilah pula. 

“Tiub fallapio aku dah dibuang Qila.” tangisannya mula berlagu.

“Sebelah je Reen, kau ada sebelah lagi tiub dan kau masih boleh mengandung.” kata Aqilah sambil menyentuh tangan sahabatnya itu.

“Aku dah tak nak berharap dan aku tak nak beri harapan pada orang di sekeliling aku lagi Qila.  Aku dah penat, satu persatu insan yang aku sayang pergi tinggalkan aku.”

“Jangan cakap macam tu Reen, suami kau masih ada, dan masih setia di sisi kau.” pujuk Aqilah.

“Betul tu Reen, jangan terlalu mudah putus harapan Reen.” celah Puan Azarina pula.

“Dah dua kali Reen kecewakan dia Mak Ngah, Reen tak layak untuk dia.  Hidup Reen penuh dengan nasib malang.” tutur Qaireena.

“Reen, tak baik cakap macam tu, istighfar Reen, ingat Allah.” tegur Aqilah.

Dia turut sedih melihat Qaireena. Terlalu berat ujian yang dihadapi oleh sahabatnya itu. Kehilangan Ayah, kemudian ibu, dan dalam masa beberapa bulan adik wanita itu pula menyusul pergi meninggalkan dia. Setelah berkahwin, kandungan pertamanya gugur, dan kini kandungan kedua Qaireena pula harus di buang tanpa sempat dia merasai indahnya perasaan menjadi seorang ibu.

••••••••••

Perlahan Taufiq melangkah masuk ke dalam bilik Qaireena.  Sudah tiga hari wanita itu tidak mahu bercakap dengannya, apatah lagi memandang wajahnya.  Ketika Aqilah, Puan Azarina serta Mak Leha datang melawatnya juga, Qaireena tidak banyak bercakap.   Wanita itu hanya bercakap apabila perlu dan selebihnya Qaireena hanya diam dan termenung.   Taufiq kemudian melabuhkan punggungnya dikerusi yang berada di tepi katil. Qaireena yang sedang duduk bersandar di kepala katil langsung tidak memandangnya.

“Sayang, doktor baru je bagitahu Abang tadi, esok Reen dah boleh keluar hospital.” tutur Taufiq sambil memandang wajah Qaireena dengan senyuman.

“Reen akan balik ke rumah arwah ibu.” mendatar sahaja suara Qaireena.  Wajah Taufiq juga langsung tidak dipandangnya.

“Kenapa pula nak balik ke sana?” berkerut dahinya mendengar apa yang baru sahaja dituturkan oleh Qaireena.

“Reen akan tinggal dengan Qila dan Mak Ngah. Selepas luka jahitan Reen sembuh sepenuhnya, Reen akan uruskan penceraian kita.” tutur Qaireena.

“Apa Reen cakap ni? Kenapa sampai nak bercerai, apa salah Abang pada Reen?” terkejut Taufiq mendengar kata-kata yang keluar dari mulut isterinya itu.

“Abang tak ada salah apa-apa, cuma Reen yang tak layak untuk terus bersama Abang. Reen tak cukup sempurna untuk Abang. Cukuplah sampai disini je ikatan perkahwinan kita, Reen tak nak terus terusan buat Abang kecewa.” ujar Qaireena tanpa memandang Taufiq. Dia tidak mahu nanti dia berubah hati apabila melihat wajah insan yang sangat dicintainya itu.

“Tak sempurna sebab sebelah tiub Reen dah dibuang? Itu maksud Reen?” soal Taufiq.

“Doktor sendiri dah bagitahu Abang yang Reen masih boleh mengandung lagi walaupun hanya tinggal sebelah tiub.” tambah Taufiq lagi.

“Reen dah tak nak beri harapan pada Abang. Reen sendiri tak pasti nasib malang apa lagi yang bakal menimpa Reen nanti. Biarlah Reen jalani kehidupan Reen sendiri, Reen tak nak susahkan sesiapa. Abang layak untuk bahagia, bina keluarga dengan wanita yang mampu berikan Abang zuriat lagi.” wajahnya ditundukkan. Airmata yang mahu mengalir cuba ditahan.

“Reen, Abang tak kisah pun kalau kita di takdirkan tak ada anak bersama. Cukuplah Zil seorang anak yang Allah kurniakan pada Abang. Apa yang penting, Reen sentiasa ada bersama Abang, sebab Reen adalah kebahagiaan Abang.” tutur Taufiq lembut sambil menyentuh tangan Qaireena dan digenggam erat.

“Keputusan Reen muktamad. Tolong tinggalkan Reen sendiri.” serentak itu, tangannya dilepaskan dari genggaman tangan Taufiq.

“Sayang, please jangan macam ni.” pujuk Taufiq.

“Keluar, tinggalkan Reen sendiri.” kata Qaireena lagi. Taufiq menarik nafas panjang.

“Abang anggap Reen hanya perlukan waktu untuk tenangkan diri dan fikiran Reen, bila Reen dah rasa tenang Abang akan jemput Reen dekat sana.” Taufiq bangun dari duduknya. Ubun-ubun Qaireena dikucup lembut.

“I love you.” perlahan langkah kakinya dibawa keluar dari bilik itu.

••••••••••

Gambar Taufiq yang berada di dalam telefon bimbitnya dipandang. Sudah dua minggu dia tidak berjumpa ataupun berhubung dengan lelaki itu. Rindu, ya dia sangat rindukan Taufiq. Namun sedaya upaya dia memujuk dirinya agar tidak kalah dengan perasaan rindu itu. Mesej-mesej yang dihantar oleh lelaki itu juga langsung tidak dibalasnya. Dia tidak mahu memberi harapan pada Taufiq. Perlahan airmata yang mengalir dipipi dikesatnya.

“Maafkan Reen Abang, Reen tak nak Abang terpalit sekali dengan nasib malang Reen. Apa yang pasti Reen tetap sayang dan cintakan Abang.” bicara Qaireena sendiri.

~~~

Petang itu, tamat sahaja waktu pejabat, Taufiq terus melangkah keluar dari bangunan pejabatnya. Tidak sabar rasanya mahu bertemu dengan isteri tercinta. Sejambak bunga mawar yang dia minta Maz tempahkan khas untuk Qaireena di letakkan di kerusi penumpang bahagian belakang sebelum dia beralih ke pintu driver.

Aqilah dan Puan Azarina juga sudah diberitahu tentang kedatangannya untuk melawat Qaireena petang itu. Selama dua minggu selepas wanita itu keluar dari hospital hanya Aqilah dan Puan Azarina sahajalah tempat Taufiq bertanya khabar tentang isterinya itu. Bukannya dia tidak cuba menghubungi Qaireena, namun wanita itu langsung tidak mahu menjawab panggilannya. Mesej-mesej yang dihantarnya juga dibiarkan sepi tanpa balasan.

Hari ini, dia sudah tidak mampu untuk menahan rasa rindu itu lagi, disebabkan itulah dia mengambil keputusan untuk datang melawat Qaireena dan memujuk wanita itu agar pulang semula ke rumah mereka.

Baru sahaja Taufiq mahu membuka pintu di bahagian driver, seseorang datang dan menyapanya.

“Cantik bunga tu, untuk Reen ke?” soal orang itu dengan senyuman sinis. Namun, belum sempat Taufiq menjawab, dia terasa perutnya ditusuk dengan benda tajam.

“Malangnya, Reen takkan sempat terima bunga yang cantik tu. Puas hati aku.” dia kemudian ketawa sebelum terus lari meninggalkan Taufiq yang berlumuran darah di situ apabila mendengar seseorang menjerit ke arahnya.

~~~

“Qila, lewat balik hari ni, banyak kerja ke dekat pejabat?” soal Puan Azarina apabila melihat Aqilah melangkah masuk ke dalam rumah.

“Taklah Mak Ngah, sebenarnya awal lagi Qila dah keluar dari pejabat, tapi semasa keluar, Qila tengok dekat kawasan parking depan bangunan tu ada beberapa orang staff berkumpul. Rupanya Tuan Taufiq kena tikam Mak Ngah....”

Prang!!

Qaireena yang baru sahaja keluar dari dapur membawa segelas air terkejut saat terdengar apa yang baru sahaja keluar dari mulut Aqilah.

“Reen...” Puan Azarina terus berlari mendekati Qaireena.

“Reen, jangan bergerak dulu ya, nanti kaki Reen terpijak serpihan tu, luka pula kaki Reen nanti.” kata Puan Azarina. Serpihan pecahan gelas yang bertaburan di atas lantai dikutipnya dengan berhati-hati.

“Qila...apa yang kau cakap tadi? Taufiq kena tikam?” soal Qaireena sambil memandang wajah sahabatnya itu.

“Iya...” jawab Aqilah sepatah.

“Macam mana keadaan dia sekarang?” tanya Qaireena cemas.

“Aku rasa tak perlulah kau ambil tahu, lagipun tak lama lagi korang memang nak berpisahkan.” tutur Aqilah. Terkejut Qaireena mendengar jawapan sahabatnya itu. Pasti Aqilah marah dengan sikapnya yang langsung tidak mahu mendengar nasihat.

“Mak Ngah, nanti jelah kita berbual ya, Qila nak masuk mandi dulu.” tambah Aqilah lagi sambil memandang Puan Azarina.

"Iyalah, Mak Ngah nak bersihkan dulu serpihan kaca ni.” kata Puan Azarina sambil menyapu serpihan pecahan gelas tersebut.

“Reen pergilah masuk berehat, sekejap lagi Mak Ngah ambilkan air yang baru untuk Reen ya.”

Perlahan Qaireena melangkah masuk ke dalam biliknya. Sungguh, berita yang baru sahaja didengarnya itu benar-benar membuatkan jantungnya ingin luruh. Hatinya tertanya-tanya bagaimana keadaan Taufiq ketika itu.

Qaireena lantas mencapai telefon bimbitnya, nombor telefon rumah mereka didailnya, berharap agar Mak Leha menjawab panggilannya. Berulang kali dia mencuba namun panggilannya tetap tidak dijawab. Dia yakin, pasti Mak Leha dan Pak Abu berada di hospital untuk menjaga Taufiq.

Seketika pintu biliknya diketuk, kelihatan Puan Azarina melangkah masuk bersama dulang di tangannya yang berisi sebotol air dan juga sebiji gelas.

“Reen, Mak Ngah letak air ni dekat sini ya, supaya senang Reen nak ambil bila rasa dahaga nanti.” tutur Puan Azarina dengan senyuman.

“Terima kasih Mak Ngah.” ucap Qaireena.

“Mak Ngah, ada tak Qila bagitahu Mak Ngah keadaan Abang Taufiq sekarang?” soal Qaireena ketika Puan Azarina mahu melangkah keluar.

“Belum lagi Reen, Qila pun tak keluar lagi dari bilik, penat agaknya.” jawab Puan Azarina.

“Tak apalah, terima kasih Mak Ngah.” Puan Azarina senyum dan menganggukkan kepalanya sebelum meneruskan langkahnya keluar dari bilik tersebut.

~~~

Qaireena berlari menerpa sekujur tubuh yang kaku di atas katil itu.  Jasad yang berselirat dengan wayar- wayar itu dipeluk erat, airmatanya mengalir tanpa henti.

“Abang.....bangun, tolong jangan tinggalkan Reen.” Qaireena menggoncang jasad kaku itu agar bergerak dan membuka matanya.

“Reen dah tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni melainkan Abang.  Tolong bangun, Abang dah janji pada Reen kan yang Abang akan selalu ada di sisi Reen.” tangisannya semakin berlagu, namun jasad itu masih kaku dan tidak memberikan sebarang tindakbalas.

“Doktor, tolonglah buat sesuatu, tolong selamatkan suami saya. Kenapa Doktor hanya pandang saja!” suara Qaireena sedikit tinggi.

“Maafkan saya Puan saya dah cuba sehabis baik, malangnya Allah lebih sayangkan beliau.” lantas perlahan Doktor itu berlalu meninggalkan bilik tersebut.

Airmata Qaireena semakin deras mengalir dipipinya tanpa mempedulikan semua yang ada di situ.  Dia terduduk di kerusi yang terdapat di tepi katil itu, matanya masih tertumpu kepada jasad kaku yang berada didepan matanya.

Aqilah menghampiri Qaireena, airmatanya juga turut mengalir melihat tangisan sahabatnya itu.

“Reen, sudahlah tu, tak baik meratap begini” pujuk Aqilah pada Qaireena.

“Aku dah tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni Qila, semua orang yang aku sayang pergi tinggalkan aku.  Besar sangatkah dosa aku? Sehinggakan Allah ambil semua yang ku miliki?” luah Qaireena bersama airmata yang masih deras mengalir dipipinya.

“Jangan cakap macam tu Reen, aku masih ada dan aku akan selalu bersama kau.  Aku takkan biarkan kau bersendirian.” bahu Qaireena disentuh dan diusap perlahan bagi menyalurkan sedikit kekuatan kepada sahabatnya itu. Namun tangisan Qaireena masih terus berlagu.

Happy Reading korang :-) Next chapter Epilog okay...

Share this novel

Asmah
2021-05-30 16:37:45 

adakah iqmal yg tikam Taufiq

Asmah
2021-05-30 16:31:22 

ada lagi dugaan utk reen.


NovelPlus Premium

The best ads free experience