PRANGG!!!
Syaira mengetap giginya menahan perasaan marah sambil memandang mangkuk kaca yang tadinya berisi mee segera kini sudah pecah berderai di atas lantai.
"Ops! Sorry, tak sengaja," kata Elena lalu berjalan melepasinya menuju ke peti sejuk sambil menjelingnya dengan muka mengejek.
"Aduh!" jeritnya lalu duduk di atas lantai sambil memegang tapak kakinya yang hanya diperhatikan oleh Syaira dengan pandangan meluat.
"Mak! Tolong! Mak!" Elena menjerit memanggil ibunya yang berada di ruang tamu menonton television.
"Kenapa ni? Lena! Kenapa nak?" soal Puan Alimah yang tergesa-gesa menghampiri anaknya.
"Syaira mak! Dia sengaja pecahkan mangkuk kaca tu. Tengok ni, Lena dah luka dah terpijak kaca," rengeknya sambil menunjukkan luka di tapak kakinya yang hanya sebesar sebutir gula.
"Tak guna punya budak!"
Puan Alimah bingkas berdiri dan menghampiri Syaira.
"Kau tengok apa kau dah buat kat anak aku! Kau kutip kaca tu sekarang juga! Sekarang! Guna tangan!" tempelaknya sambil mencengkam dan menarik rambut Syaira lalu menolaknya sehingga terduduk di atas lantai.
"Apa kau tunggu lagi?! Cepat kutip!" jerkahnya sambil bercekak pinggang.
Syaira mengetap giginya menahan tapak tangannya yang terasa pedih dan sakit kerana tertusuk kaca di beberapa tempat, ditambah lagi sup mee segeranya yang tertumpah di atas lantai itu tadi masih panas berasap. Perutnya yang sememangnya kosong sejak pagi tadi meraung bersama hatinya yang sakit.
"Dah, jom mak sapukan ubat," kata Puan Alimah lalu memapah Elena yang sedang menyeringai kesakitan sambil berjalan terenjut-enjut keluar dari dapur.
Dengan teliti, Syaira mencabut satu per satu serpihan kaca yang tertanam di daging telapak tangannya menggunakan angkup besi, takut ada yang tertinggal. Dia menangis? Tidak! Airmatanya sungguh bernilai untuk menangisi hal yang berkaitan dengan keluarga tirinya itu. Hatinya tidak selemah yang dulu lagi, cuma tadi itu dia terlalu letih, lapar dan tiada tenaga untuk melawan, sebab itu dia hanya berdiam diri.
Selesai menyapu ubat di lukanya, dia terus membalut tangannya menggunakan kain pembalut kerana risau dijangkiti kuman. Berdenyut-denyut dia rasakan di beberapa kawasan tangannya yang terluka itu.
Dia memandang ke arah jam di dinding biliknya yang menunjukkan pukul 2:00 petang. Dia sebenarnya baru balik dari kampus sejam lepas dan merancang untuk mengisi perut sebelum turun ke bengkel, namun perkara tadi pula yang terjadi. Dia melepaskan satu keluhan panjang sambil memegang perutnya yang sedang berkeroncong.
Sengaja dia tidak makan di kafe kampus tadi kerana ingin berjimat dan menolak ajakan Rania dengan alasan dia tidak lapar, padahal dalam masa yang sama, dia sebenarnya segan dengan Rania yang seringkali membayar makanannya setiap kali wangnya tidak mencukupi.
Syaira mencapai beg silangnya yang bersangkut di tepi almari lalu keluar dari bilik. Dia harus turun juga ke bengkel kerana banyak kerja yang menunggunya di situ dan yang paling utama, dia memerlukan wang untuk duit poketnya.
"Eh! Kau naik apa datang sini? Selalunya kau call minta ambil," soal Aidil yang sedang duduk di bangku kayu kecil sambil mencuci karburator menggunakan minyak petrol.
"Aku naik bas. Kredit aku dah expired." Syaira menjawab lemah. Bibirnya kelihatan pucat.
"Kau okey tak ni? Tangan kau kenapa?" soalnya lagi yang baru perasan tangan kanan Syaira berbalut.
"Kena kaca tadi. Abang Dol mana?" gilirannya menyoal sambil memanjangkan leher melihat ke dalam bengkel sederhana besar itu lalu menyangkutkan begnya di tepi dinding.
"Kalau luka, tak payahlah kerja dulu. Kalau kena minyak, pedih tu. Abang Dol ada kat belakang, tengah sembur cat cover body yang customer minta," kata Aidil yang sudah menghentikan kerjanya. Wajah Syaira direnung lama.
Walaupun dengan rambut pendek yang dipotong seperti rambut lelaki, gadis itu tetap kelihatan cantik dan comel di pandangan mata Aidil. Bukannya dia tidak pernah melihat Syaira berambut panjang.
Syaira memotong pendek rambutnya sejak dia mula masuk ke kolej dua tahun lepas dan Aidil pula mengenalinya sejak dari kecil kerana bersekolah di sekolah yang sama sehingga habis SPM. Alasannya memotong rambut pendek kerana tidak mahu terganggu ketika melakukan kerja bengkel katanya.
"Alaa, luka sikit je lah. Aku bukan macam kau, pondan!" balas Syaira lalu ketawa.
"Pondan kau cakap? Kalau kau kahwin dengan aku, setiap tahun aku bagi kau mengandung tau!" bidasnya lalu ketawa.
"Hish! Dia ni! Kahwin, kahwin, kahwin! Macamlah aku nak kahwin dengan dia. Tak teringin aku kahwin dengan kau tahu tak?" ujar Syaira dengan cebikan di bibirnya yang pucat.
Perbualan mereka terhenti selepas melihat sebuah kereta yang dikenali berhenti di depan bengkel.
Cis! Si kambing ni lagi! Syaira mengutuk dalam hati lalu berjalan menuju ke meja di dalam bengkel untuk mengambil kotak peralatan dan membawanya menuju ke tepi sebuah motor yang perlu dibaiki. Dia membiarkan Aidil sahaja yang bercakap-cakap dengan lelaki itu.
Syaira menarik bangku kayu kecil setinggi 10 sentimeter itu lalu duduk menghadap ke arah enjin motosikal kemudian membaca kertas nota kecil yang Dollah tampalkan di tepi motosikal itu yang memberitahu apa kerosakan motosikal itu.
"Hm, kena tukar piston je," desisnya lalu bingkas berdiri untuk mengambil alat ganti di dalam bengkel.
Tiba-tiba, pandangannya berpinar. Tubuhnya dirasakan berpusing dan terasa ringan. Dia dapat lagi merasakan tubuhnya menghempas lantai sebelum pandangannya berubah menjadi gelap sepenuhnya.
- - - - - - -
Dia membuka matanya perlahan-lahan. Spontan sebelah tangannya mencengkam kepalanya yang terasa sakit berdenyut lalu dia menutup semula matanya dengan erat. Setelah denyutan kepalanya kian reda, dia membuka paksa matanya kerana dia rasakan seperti berada di tempat asing yang bersuhu dingin.
Pandangan pertama selepas matanya dibuka ialah seorang lelaki yang sedang duduk berpeluk tubuh memandangnya. Matanya serta-merta terbuka luas.
"Apa si kambing ni buat kat sini? Aku kat mana ni?" bisiknya dalam hati lalu bingkas bangkit dan duduk di atas katil. Dia memerhati di sekeliling dan menyedari dia berada di dalam bilik sebuah klinik yang mempunyai hanya satu katil.
"Ahh!" Dia mencengkam semula kepalanya yang kembali berdenyut.
"Kau tak reti nak makan ke? Dah tahu nak kerja, makanlah dulu. Menyusahkan orang!" Lelaki itu bersuara dengan nada yang kedengaran sinis menampar di gegendang telinganya.
Syaira menjegil mata. Serta-merta dia rasa segar. Wajah lelaki itu direnung tajam seperti hendak ditelannya hidup-hidup.
"Eh, kambing! yang kau nak sibuk sangat pasal aku tu kenapa? Aku tak suruh pun kau bawa aku ke sini kan? Blahlah!" Syaira memarahinya disusuli dengan satu jelingan tajam.
"Cis! Berterima kasih pun tak! Eh! Kalau aku bukan manusia yang ada hati perut, aku biar je kau baring atas lantai kotor tu tau. Pi lah! Ingat perangai serupa jantan macam ni aku hairan ke?!" ujarnya geram lalu berdiri dan menuju ke pintu dengan kedua-dua tangan di dalam poket seluar.
"Kambing!" kutuk Syaira separuh berbisik namun lelaki itu mampu mendengarnya.
Lelaki itu memberhentikan langkah kakinya dan berdiri kaku di depan pintu untuk beberapa saat lalu membuka pintu dan terus keluar pergi dari situ.
Syaira mengeluh lega. Jarum besar di urat belakang tapak tangan kirinya yang bersambung dengan hos drip air di tenung lama. Dia tidak tahu berapa lama dia pengsan tadi.
Sekali lagi dia mengeluh lalu memandang ke arah pintu dan kemudian merenung tangan kanannya yang sudah bertukar kain pembalut.
Selang beberapa minit kemudian, seorang jururawat masuk dan memeriksa botol drip air yang bergantung.
"Macam mana dik? Dah rasa okey?" soal jururawat itu mesra.
"Dah rasa okey dah nurse, dah boleh pergi ke?" soalnya sambil mengerling sekilas ke arah jam di dinding klinik itu.
"Boleh, tapi kena buka jarum dulu okay?" balas jururawat tadi.
Syaira menyeberangi jalan raya menuju ke bengkel. Klinik itu terletak di seberang jalan sahaja.
"Kau dah okey ke?" Aidil menyoal dengan kerutan risau di dahi sebaik sahaja Syaira berdiri di depannya.
"Eh, Dil! Kenapa kau bagi si kambing tu yang hantar aku ke klinik tadi hah? Bengonglah kau!" marah Syaira kerana tidak berpuas hati. Soalan Aidil tadi dibiar tidak berjawab.
"Tangan aku masa tu kan penuh dengan minyak. Aku memang nak angkat kau pun, tapi brader tu dah angkat kau dulu. Alaa, seberang tu je pun," balas Aidil cuba membela diri.
Syaira menjeling sambil berpeluk tubuh, masih tidak berpuas hati walaupun selepas mendengar penjelasannya.
"Kau okey tak ni? Makanlah dulu. Tu aku ada belikan nasi untuk kau kat atas meja dalam tu, nanti pengsan lagi," kata Aidil lagi lalu menjuihkan bibir ke arah meja.
"Jap lagi lah. Thanks, susahkan kau je beli makanan. Nanti Abang Dol bayar gaji aku, aku belanja kau pula, okey?" balasnya yang serta-merta rasa tersentuh dengan keprihatinan Aidil.
- - - - - - - -
"Apa plan kau lepas ni? Jom lepak kat rumah aku." Rania mempelawa.
"Aku nak ke bengkel. Aku manalah ada masa nak lepak. Kalau aku anak orang kaya macam kau, bolehlah," balas Syaira.
"Laa, excuse untuk kali ni je, please? Nanti aku gantilah gaji kau hari ni. Bolehlah, bolehlah. Kita dah kenal dua tahun, tapi kau tak pernah lagi datang rumah aku sejak kita kenal. Kau asyik tolak je aku ajak kan? Kali ni kau tak boleh menolak. Aku dah bagitahu mama aku, aku bawa kau balik rumah. Kita lunch sama-sama. Okey? Please lah." Rania merayu sambil memuncungkan bibir dan menggoncang lengan Syaira beberapa kali.
"Aduh! Kau ni! Seganlah aku. Aku tak biasa pergi ke rumah orang sebenarnya. Lain kalilah Nia. Aku tak ready lagilah," ujar Syaira teragak-agak.
"Tengoklah tu. Kaya, cantik, tapi songsang! Kurang kasih sayang, macam tu lah," kata salah seorang pelajar perempuan yang jalan berkumpulan dan baru sahaja melepasi mereka.
Rania menggenggam erat tangan Syaira dan menariknya pergi mengejar sekumpulan pelajar tadi.
"Hoi, perempuan! yang kau nak menyibuk pasal aku kenapa? Kalau aku songsang sekali pun, apa masalah kau? Kau sakit ke? Kau ingat aku tak tahu ke kau crush kat Syai? Kau sedarlah sikit! Sendiri songsang nak mengata orang! Ni aku nak bagitahu kau, kau dan kau! Syaira ni aku punya! Kau, Mona! Kalau kau nak tahu, semua spesies pun tak nak kat kaulah! Kalau kau pergi mengurat lembu, lembu pun tak ingin kat kau tahu tak?!" Rania menempelaknya lalu melanggar bahu Mona dan berjalan di depan mereka. Sengaja dia mahu menunjukkan adegan berpegangan tangan dengan Syaira.
Rania tidak melepaskan pegangan tangannya di tangan Syaira kerana sengaja mahu menyakitkan hati Mona dan rakan-rakannya di belakang. Sepanjang perjalanan menuju ke perhentian bas, mereka tidak bercakap. Syaira berasa tidak selesa, tetapi dia diamkan sahaja.
"Apa maksud yang kau cakap tadi?" Syaira menyoal sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta yang menjemput Rania.
"Pasal apa? Pasal yang ni?" Rania menyoal semula lalu menggenggam tangan Syaira dan mengangkatnya ke depan muka.
"Aku cakap betullah. Kau aku punya. Kau tahu tak aku cintakan kau? Aku tak suka orang buruk-burukkan kau. Jadi ni, aku nak tanya kau. Kau sukakan aku tak?" soalnya terus-terang. Wajah Syaira yang sedang memandangnya dengan kerutan di dahi, direnung serius.
"Apa kau dapat kalau kita bercinta? Bukannya boleh kahwin. Kalau boleh kahwin sekali pun, aku bukannya boleh buat kau mengandung pun. Kau pun tak boleh mengandungkan aku juga," balas Syaira selamba. Sepasang mata berwarna hitam milik gadis cantik di sebelahnya direnung.
Kata-kata bersahaja Syaira itu membuatkan tawa Rania meletus sehingga terbatuk-batuk.
"Aku gurau je lah. Si Mona tu lah! Zara yang bagitahu aku dia suka kat kau. Kau kan aktif sukan. Terkejut juga aku, sebab penampilan dia kan ala-ala model gitu. Tak sangka pula lesb..." kata-katanya terhenti kerana telefon di dalam begnya berdering.
"Hello."
"Waalaikumsalam."
"Haa, jadi. Nia on the way dengan Ira lah ni."
"Okay, waalaikumsalam."
"Mama aku. Mama tanya kalau aku jadi bawa kau lunch kat rumah ke tak," kata Rania setelah menamatkan panggilan.
Syaira membulatkan mulut sambil mengangguk, tetapi dalam hatinya, dia segan sebenarnya. Sangkaannya selama ni, orang kaya selalunya sombong dan berlagak. Rania mungkin tidak, tetapi keluarganya, siapa tahu?
Sebaik sahaja keluar dari kereta, Syaira terpana melihat rumah banglo dua tingkat serupa istana yang tersergam indah dan megah di depannya.
"Jom!" Rania menarik tangan Syaira menuju ke pintu masuk.
Bagaikan puteri, Rania di sambut oleh orang gaji yang menyambut dan membawa begnya. Rania terus membawanya menuju ke ruang makan. Sambil berjalan, Syaira melihat di sekeliling dalam rumah itu dengan perasaan kagum dan terpesona dengan apa yang dilihatnya.
"Mama!" panggil Rania lalu meluru ke arah seorang wanita separuh abad yang masih kelihatan cantik dan anggun lalu memeluknya.
"Oh, ni ke Syaira? Sebaya ke? Duduklah," soalnya lalu mempelawa Syaira duduk bersama dengan senyuman mesra di bibir.
"Err, terima kasih auntie. Ya, sebaya," balas Syaira dengan perasaan canggung dan segan.
"Abang tak balik lunch ke mama?" Rania menyoal sambil memanjangkan leher ke arah lorong menuju ke ruang tamu yang dilalui oleh mereka tadi.
"Ada balik tadi, main pingpong dengan Rizuan kat belakang. Ana, pergi panggil diorang, makan," arah Datin Fauziah kepada pembantu rumahnya.
"Syaira, makanlah. Jangan segan-segan. Nia, tolong ambilkan untuk Syaira," kata Datin Fauziah sambil memandang wajah Syaira. Dia sepertinya pernah nampak iras wajah seperti itu, tetapi mungkinkah hanya kebetulan?
"Syaira tinggal di mana?" soalnya.
"Panggil Ira jelah mama. Skema pula Nia dengar," sampuk Rania lalu tergelak kecil.
"Kat Kampung Batu Tiga auntie." Syaira menjawab sopan.
"Jauh juga dari sini tu. Kampung Ira tu bersebelahan dengan Kampung Titian kan? Auntie ada kenalan kat Kampung Titian tu, tapi dah berpuluh tahun tak pernah jumpa," ujarnya lalu terdiam seketika mengimbas kenangan lalu.
"Eh! Makanlah," pelawa Datin Fauziah setelah tersedar dari lamunan beberapa saatnya.
Tidak lama kemudian, dua orang lelaki datang menghampiri meja makan.
"Dah tahu waktu makan, sempat lagi main pingpong," perli Rania dengan jelingan dan cebikan.
Syaira menoleh ke arah dua orang lelaki yang sudah berdiri di sebelah meja makan dan matanya serta-merta membulat dan terbuka luas melihat salah seorang daripada lelaki itu.
Alamak! abang Nia ke? bisiknya dalam hati.
Share this novel
kambing tu kn abang nia
hihihi setiap tahun ,. hamekk kau
harap novel ni free la...xdi lock