“Kau jangan nak menggatal. Sudahlah, pergi balik! Rimas aku. Kau tu nak jaga diri sendiri pun tak lepas, ada hati nak rawat-rawat aku pulak.” Sekali lagi Zulfaqar Warid mendorong tubuh mungil Harum Zawani jauh darinya. Kali ini lebih kuat sehingga Harum Zawani hampir-hampir tersungkur.
Zulfaqar Warid segera mengatur langkah mahu meninggalkan Harum Zawani. Belumpun separuh perjalanan, langkahnya terhenti apabila dia terdengar Harum Zawani menjerit memanggilnya.
“Encik, tunggu! Sekurang-kurangnya beri la saya tahu nama encik.”
“Nama aku Zul!” Zulfaqar Warid menjawab tanpa menoleh.
“Zul...” hati Harum Zawani berbunga-bunga sambil membisikkan nama itu.
BELAIAN lembut Harum Zawani beserta titisan air mata yang berguguran membasahi dada Zulfaqar Warid telah menyebabkan lelaki itu terjaga. Terkejut memandang keadaan isterinya, Zulfaqar Warid bingkas bangun sambil memegang bahu isterinya untuk bangun bersama. Air mata di pipi isterinya dihapuskan segera.
“Kenapa ni sayang? Kenapa Wani menangis tengah-tengah malam begini? Abang ada buat salah ke?” Zulfaqar Warid mendongakkan kepala isterinya. Jelas terpancar riak kerisauan di wajahnya. Wajah isterinya ditenung lama.
Harum Zawani tersenyum. Selama perkenalan dia dan Zulfaqar Warid, inilah kali pertama lelaki kasar tersebut melayannya dengan lembut. Harum Zawani merasakan kebahagiaan kini berpihak padanya.
Dia amat bersyukur kerana Tuhan telah menganugerahkan dia dengan kasih sayang dari seorang lelaki yang telah dia cintai selama ini. Sebelum ini Harum Zawani berasa risau juga kerana selepas sahaja mereka diijab kabulkan, Zulfaqar Warid langsung tidak bersuara.
Dia bimbang kalau-kalau Zulfaqar Warid merasa terpaksa berkahwin dengannya. Berlainan pula halnya dengan malam ini. Dia dapat merasakan kasih sayang yang amat mendalam terzahir dari lubuk hati lelaki itu terhadap dirinya.
Share this novel