BB - BAB 52

Drama Completed 309207

QAIREENA bersandar di dada kerusi sambil memejamkan matanya.  Sedari tadi kepalanya terasa pening, segala kerja yang perlu disiapkan juga tergendala.

Tok! Tok! Tok!

Selepas sahaja mendengar bunyi ketukan di pintu bilik pejabatnya itu, Qaireena membuka matanya.  Kelihatan wajah Taufiq terpacul dari balik pintu.

“Abang...” tegur Qaireena.  Namun kepalanya masih lagi di sandarkan di dada kerusi.

“Reen okay tak ni? Dari tadi Abang call, Reen tak jawab.” kata Taufiq sambil berjalan menghampiri isterinya itu.

“Oh Abang ada call ke? Sorry, Reen silent kan handphone sebab tulah tak dengar.” jawab Qaireena sambil memandang Taufiq.

“Sayang okay tak ni? Muka pucat je Abang tengok.” pipi Qaireena disentuhnya lembut.

“Entahlah, dari tadi Reen rasa pening, nak buat kerja pun tak selesa.” tutur Qaireena.

“Kalau macam tu Abang temankan Reen pergi klinik ya, lepas tu kita balik.  Rehat dekat rumah selesa sikit.”

“Tak payahlah pergi klinik, pening sikit je ni.  Reen balik dan rehat dekat rumah je, nanti Reen minta Pak Abu ambil Reen.  Abangkan banyak kerja lagi nak buat, Reen tak naklah ganggu Abang.” ujar Qaireena.

“Betul ni tak nak pergi klinik buat check up?  Dah beberapa hari Reen asyik pening macam ni, risau Abang tengok.”  ibu jarinya mengelus lembut pipi Qaireena.

“Betul, pening biasa je ni.” jawab Qaireena sambil cuba mengukir senyuman.

“Okay, kalau macam tu Abang tunggu sampai Pak Abu datang dan temankan sayang turun ke bawah ya.” wajah Taufiq dipandang kemudian Qaireena menganggukkan kepalanya dengan senyuman di bibir.

~~~

Berkerut dahi Qaireena apabila melihat kesan darah pada panties yang di pakainya.  Sudah hampir seminggu dia mengalami perkara itu.  Mahu dikatakan dia datang bulan tetapi darah tersebut hanya keluar sedikit sahaja dan tidak berterusan, tetapi selang beberapa hari perkara sama berlaku lagi.

Lama Qaireena berdiri di hadapan cermin sambil membasuh tangannya di sinki. 

“Hampir empat bulan dekat sini, rasanya baru dua kali aku period.  Ni dah sebulan lebih, period tak keluar-keluar lagi.  Tapi, period aku memang jenis tak teratur pun.  Atau aku tengah mengandung?  Tapi kalau mengandung, takkanlah ada darah keluar pula?” bicara Qaireena sendiri.

Dia kemudian melangkah keluar dari bilik mandi, badannya direbahkan di atas katil. Telefon bimbit di capai dan Qaireena mula membuat carian berkenaan tanda-tanda kehamilan.  Tidak salah jika dia lebih berhati-hati kali ini untuk mengelakkan perkara yang pernah berlaku sebelum ini berulang lagi.

Bibir Qaireena mengukir senyuman saat membaca tanda-tanda kehamilan serta pengalaman beberapa orang wanita yang mengandung di laman web hasil dari cariannya sebentar tadi.  Apa yang dialaminya kini adalah hampir sama seperti apa yang dibacanya.  Dalam diam dia menyimpan sebuah harapan agar tanda-tanda itu adalah tanda kehamilan. 

••••••••••

Awal lagi Qaireena sudah bersiap-siap dengan pakaian untuk ke pejabat.  Di dalam kepalanya dia sudah merancang untuk keluar ke farmasi pada waktu tengah hati nanti dan membeli alat ujian kehamilan.   Taufiq yang melihat Qaireena sedang berdiri dihadapan cermin sambil mengoles lipstick dibibir terus menghampiri isterinya itu. 

“Sayang, tak payahlah ke pejabat dulu hari ni, Reen rehat dekat rumah lagi hari ni ya.  Abang nak Reen rehat secukupnya sampai Reen betul-betul sihat.” kata Taufiq sambil menyentuh kedua belah bahu Qaireena dari belakang.

“Reen dah okay, Abang jangan risaulah.  Lagipun dah banyak kerja-kerja Reen tertangguh dekat pejabat tu.  Esok ada meeting, laporan kewangan syarikat yang Abang dan Yazid nak tengok tu Reen tak siap lagi tau.” badannya dipusingkan untuk menghadap Taufiq. 

“Dekat account department tu bukan Reen sorang je yang ada, Abang boleh minta orang lain tolong siapkan.  Reen bukan sengaja pun tak nak siapkan, kalau tak sihat jangan paksa diri sayang.” tutur Taufiq.

“Macam nilah, Reen cuba dulu masuk pejabat pagi ni, kalau pening kepala Reen datang lagi, Reen janji yang Reen akan terus balik dan berehat dekat rumah.” wajah Taufiq dipandangnya dengan senyuman.

“No, bukan balik rumah, terus ke klinik dan buat check up.” ujar Taufiq. 

“Okay... Okay...Reen akan terus ke klinik dan buat check up. Deal?”

“Ada je akal sebab tak nak dengar cakap Abang kan.” hidung Qaireena dicuitnya.  Wanita itu terus tertawa kecil memandang wajah Taufiq.

~~~

Tiba sahaja waktu makan tengah hari, Qaireena meminta Aqilah membawanya ke farmasi yang tidak jauh dari pejabat mereka.  Mujurlah Taufiq keluar makan bersama Yazid, jika tidak, pasti sukar untuk dia mencari alasan yang sesuai untuk diberikan kepada lelaki itu mengapa dia mahu ke farmasi.

Bukan dia tidak mahu memberitahu Taufiq tentang perkara itu, tetapi dia tidak mahu membuat lelaki itu berharap selagi dia sendiri tidak pasti tentang keputusan ujian yang bakal dibuatnya nanti.

“Kau beli apa tu?” soal Aqilah apabila Qaireena masuk semula ke dalam kereta.

“Pregnancy test.” jawab Qaireena.

“Kau mengandung ke? Yeay, tak lama lagi aku jadi auntie lah kan, seronoknya.” ujar Aqilah dengan teruja sambil memegang tangan Qaireena dan digoncangnya.  Qaireena menoleh ke arah Aqilah dengan wajah serius.

“Kau dah kenapa? Aku baru kata yang aku beli pregnancy test, aku tak kata lagi yang ujian kehamilan aku positif.  Over...” kata Qaireena sambil menghadiahkan jelingan kepada sahabatnya itu.

“Eh...iya tak iya juga kan.” tutur Aqilah sambil tersengih memandang Qaireena.

“Tapi...kalau kau dah beli benda tu maknanya mesti kau dah ada tanda-tanda macam orang pregnant kan, kalau tak takkanlah kau suka-suka je beli benda tu.” sambung Aqilah lagi.

“Tanda-tanda tu memang dah ada, cuma aku tak pastilah Qila. Suami aku pun aku tak berani nak bagitahu lagi, aku tak nak dia terlalu berharap. Sekurang-kurangnya kalau keputusan ni tak memihak pada kami, cukup aku sorang je yang kecewa, aku tak nak tengok dia kecewa.” ujar Qaireena dengan senyuman tawar.

“Tak apa kau cuba buat ujian dulu, aku doakan semoga kali ni rezeki kau untuk menimang cahaya mata. Tapi kalau belum sampai masanya, kau boleh usaha lagi dan terus berdoa supaya impian kau suami isteri tercapai. Apa yang penting, jangan berputus asa, okay.” kata Aqilah sambil menyentuh lembut bahu sahabatnya itu. Qaireena mengangguk dengan senyuman.

“So, jom kita balik pejabat dan buat ujian.” ujar Aqilah sambil menurunkan handbrake dan mula menekan pedal minyak untuk berlalu dari situ.

“Kau ni pun, agak-agaklah, aku tengah lapar ni, takkan kita nak balik pejabat tanpa makan tengah hari?” mendengarkan itu, terus Aqilah tertawa.

“Sorry...Sorry, aku excited sangat sampai lupa yang kita tak makan tengah hari lagi.” ucap Aqilah setelah tawanya reda.

~~~

Sampai sahaja di rumah, Qaireena terus masuk ke bilik mandi untuk membersihkan dirinya kerana sebentar lagi akan masuk waktu Maghrib. Manakala Taufiq pula duduk di sofa sudut bilik itu sementara menunggu Qaireena selesai mandi.

Seketika terdengar bunyi telefon bimbit Qaireena yang berlagu menandakan ada panggilan masuk. Taufiq mencari dimana letaknya telefon bimbit isterinya itu. Dia kemudian terpandang beg tangan Qaireena yang terletak di atas meja solek wanita itu. Tangan dimasukkan ke dalam beg tersebut untuk mengambil telefon bimbit Qaireena, namun apa didapatnya adalah sebuah plastik berisi tiga kotak putih. Plastik itu dikeluarkan dari beg tangan Qaireena sebelum dia memasukkan semula tangannya untuk mengambil telefon bimbit isterinya yang masih berlagu itu.

Taufiq melihat nama si pemanggil yang tertera pada skrin telefon tersebut. Baru sahaja dia mahu menjawab panggilan itu bagi pihak Qaireena, Aqilah sudah mematikan panggilan itu. Dia kemudian meletak telefon bimbit Qaireena di atas meja solek itu dan matanya memandang plastik yang berisi dengan kotak-kotak kecil yang dikeluarkan dari beg wanita itu sebentar tadi.

Qaireena yang baru sahaja keluar dari bilik mandi terus memandang ke arah Taufiq yang sedang berdiri di hadapan meja solek sambil membelek-belek kotak kecil yang berada ditangannya. Taufiq menoleh ke arah Qaireena dengan senyuman meleret. Dia kemudian menapak perlahan menghampiri Qaireena.

Ah sudah, macam mana pula dia boleh nampak benda tu, bukan ke aku letak dalam beg tadi? bisik hati kecil Qaireena.

“Bila nak check?” soal Taufiq dengan senyuman yang masih menghiasi bibirnya.

“Macam mana Abang boleh nampak benda tu?” tanya Qaireena tanpa menjawab soalan Taufiq.

“Kenapa? Reen memang berniat tak nak bagitahu Abang ke?”

“Tak, bukan macam tu, Reen cuma tak nak Abang berharap sangat. Reen takut kalau keputusan tu tak menyebelahi kita, Abang akan kecewa. Cukuplah sebelum ni kita pernah kecewa, Reen tak nak tengok Abang kecewa buat kali kedua lagi.” jawab Qaireena sambil memandang Taufiq dengan pandangan redup.

“Habis tu, Reen nak lalui kekecewaan tu sorang diri? Yang gembira je nak share dengan Abang, yang sedih Reen nak pendam sendiri, macam tu?” Qaireena tunduk menekur lantai. Taufiq melangkah dan berdiri betul-betul di hadapan Qaireena. Dagu wanita itu disentuh dan didongakkan sedikit agar memandang wajahnya.

“Kan Abang dah kata, sama ada suka atau pun duka, biarlah kita laluinya bersama. Untuk apa Abang ada disisi Reen kalau hanya untuk berkongsi perkara yang menggembirakan je, tetapi perkara yang menyedihkan Reen lalui seorang diri.” tutur Taufiq bersama satu keluhan.

“Sorry...” hanya ucapan itu keluar dari mulut Qaireena.

“Ingat, lepas ni Abang tak nak lagi Reen sembunyi apa-apa daripada Abang, apa je perkara yang berkaitan tentang kehidupan kita, Abang nak kita kongsi bersama.” pesan Taufiq lagi. Perlahan Qaireena menganggukkan kepalanya. Taufiq senyum kemudian mengucup dahi Qaireena lembut.

“So, bila nak check ni?” tanya Taufiq dengan kening yang terangkat sebelah.

“Lepas solat nanti.” jawab Qaireena sambil memandang Taufiq.

“Okay, Abang tunggu. Tapi....”

“Kenapa?” soal Qaireena.

“Jangan lupa ambil wudhuk semula tau.” kata Taufiq sambil tertawa dan dengan selamba menghilangkan dirinya dibalik pintu bilik mandi.

“Abang......” Qaireena yang baru tersedar wudhuk sudah terbatal menjerit kecil.

Usai memberi salam, Taufiq dan Qaireena menadah kedua tangan mereka untuk berdoa. Taufiq menoleh ke belakang setelah mengaminkan doanya, namun dilihatnya Qaireena masih lagi menadah tangan dan berdoa. Dia hanya senyum dan menunggu sehingga wanita itu selesai berdoa.

“Panjang doa sayang.” tutur Taufiq setelah dilihatnya Qaireena mengaminkan doanya.

“Banyak sangat benda yang nak diminta, sebab tulah doa pun panjang.” jawab Qaireena dengan senyuman sambil mengucup tangan Taufiq.

“In sha Allah, setiap doa yang kita panjatkan Allah akan makbulkan pada waktu yang tepat sayang.” kata Taufiq bersama senyuman. Qaireena mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Oh ya, Reen tak cerita lagi pada Abang macam mana Reen boleh tergerak hati nak buat pregnancy test tu.” wajah Qaireena dipandangnya.

“Sebab dah sebulan lebih Reen tak period. Bila Reen buat carian dekat internet, semua tanda-tanda yang Reen alami tu hampir sama dengan apa yang Reen baca, termasuklah Reen asyik pening je beberapa hari ni. Dari situlah Reen tergerak hati nak check.” jawab Qaireena dengan senyuman.

“Okay... So, sayang dah ready ke?” soal Taufiq.

“Abang?” soal Qaireena tanpa menjawab soalan Taufiq.

“Dah.” jawab Taufiq sepatah bersama senyuman yang terukir di bibir.

Qaireena terus menuju ke meja solek dan mencapai sekotak alat ujian kehamilan yang dibelinya tadi. Wajah Taufiq dipandang kejap. Dilihatnya Taufiq mengangguk dengan senyuman. Langkah kakinya terus dibawa ke dalam bilik mandi.

Lebih kurang sepuluh minit kemudian, Qaireena keluar dari bilik mandi sambil membawa alat ujian kehamilan itu.

“Dah ada result?” soal Taufiq sambil memandang wajah Qaireena apabila melihat pintu bilik mandi terbuka.

Happy Reading korang :-) Dah ready ke beli tissue banyak² untuk road to ending ni... Hahahahahaha... (ketawa jahat) #GurauJeJanganMarahNantiKenaJual

Share this novel

Wan Hamilah E'lah
2021-05-23 12:46:11 

lama tggu nk ank tu...

Jue
2021-05-16 20:54:50 

Hehe.. Kita tggu next chapter

Asmah
2021-05-16 20:42:09 

harap2 berita gembira


NovelPlus Premium

The best ads free experience