DAMIA menolak-nolak skrin telefonnya. Aplikasi Instagram dibuka tetapi tiada apa yang menarik baginya untuk dilihat. Boringnya!.
Televisyen di hadapannya dibuka dan disiarkan sebuah drama, tetapi Damia tidak langsung memandang televisyen itu. Hanya kaca televisyen itu sahaja yang setia merenungnya dari tadi. Membazir sungguh perempuan ni.
"Angah! Kamu tu main phone je dari tadi. Cuba-cubalah sikit tolong mak dengan kak long kamu ni kat dapur." Suara Mak Siti dari dapur memecah hening.
Dia mula dah ...
Damia tidak hiraukan bibit-bibit bebelan ibunya itu. Telefon masih melekat di tangan bagaikan sudah digam.
"Ala, mak. Tak ada gunanya pun nak suruh angah tu masak. Dah nama pun pemalas dari dulu. Memang taklah dia nak tolong kita ni." Kali ini suara Nadia, kakak Damia pula mencelah.
Nadia Qairina memang selalu membantu ibunya kat dapur. Sebab tu la Damia sering sangat dijadikan bahan perlian dan bebelan mereka berdua disebabkan sikap malasnya.
Tak pernah pun dia membantu di dapur. Bukan hanya memasak, kerja-kerja rumah lain semuanya ibu dan kakaknya uruskan.
Kalau nak dibandingkan Damia dengan kakaknya itu untuk kemahiran menyiapkan dan selesaikan kerja-kerja rumah, bagaikan langit dengan bumi.
"Kak long ni apa hal eh? Suka cari pasal dengan orang. Kak long nak masak tu masak je la tak payah nak sindir-sindir orang!" Damia mulai membentak. Gadis seorang ini memang agak baran sikapnya.
Nadia tersengih sendiri sambil ligat memotong sayur. Suka tengok adiknya marah-marah begitu.
"Lah! Terasa ke?"
"Kak long tak payah nak cari pasallah! Jangan nak putar belit ayat." Sempat Damia memberi jelingan maut kepada kakaknya itu.
"Hish! Sudahlah. Kamu berdua ni kan, sehari tak bergaduh memang tak sah hidup. Kalau arwah ayah korang masih hidup ni, mau bergegar satu kampung dengan suara menempik dia."
Cubaan Mak Siti untuk menghentikan pergaduhan anak-anaknya menjadi jua. Di mana bermulanya pergaduhan, dialah yang menjadi pelerainya. Kadang muak pula dengan sikap dua anak daranya itu. Siang malam, pagi petang mahu bergaduh. Padahal bukannya budak kecil dah pun. Masing-masing dah berumur 20-an.
Damia terdiam. Matanya tertumpu pada kaca televisyen. Ekspresi marah dan tak puas hati masih belum memudar dari wajahnya.
Mak Siti menjeling Damia yang diam seribu bahasa itu. Okey, sekarang tepat masa untuk mulakan sesuatu.
"Angah, mak nak tanya ni."
"Apa dia mak?" Mata Damia masih tertancap ke arah televisyen.
"Baju mak kamu letak kat mana eh? Kat dalam bilik tak ada, kat atas meja pun tak ada. Puas mak cari tau tak?" tanya Mak Siti sambil mengelap pinggan.
Damia memasang muka pelik. Tertanya-tanya dia padahal dia sudah ambil baju itu dari Ustazah Najihah.
"Eh, tadi angah ambil je baju tu dari Ustazah Najihah. Takkanlah dah hilang kut."
"Itulah mak tanya kamu tu, kamu letak mana baju mak?" Semakin tinggi suara Mak Siti bertanya.
Damia tanpa bicara terus membuka pintu rumah untuk menjenguk motosikalnya. Di dalam raga sudah tiada apa-apa yang tertinggal.
Aik? Pelik sungguh.
"Mak, along rasa mesti angah tu tak ambil lagi baju tu. Yalah, along balik rumah je dah tengok angah terbongkang dalam bilik. Confirm balik je dari kedai dia terus tidur." Nadia sengaja mengapi-apikan keadaan.
Api amarah dalam hati Damia yang hampir terpadam sepenuhnya itu kini membara semula. Boleh pula kakaknya itu memfitnah dia waktu begini.
Memang cari nahas.
"Hoi, kak long! Kau tak payah nak cakap banyak. Tadi aku dah pergi jumpa Ustazah Najihah, ambil baju mak tu. Kalau tak percaya, suruh mak call Ustazah Najihah tu. Tanya dia betul ke tak." Habis meletus keberangan Damia.
"Habis? Mana baju mak tu?" Nadia membalas lagi dengan pertanyaan. Masih tak mahu kalah.
Mulut Damia terkatup rapat. Tak tahu mahu menjawab apa. Matanya sengaja dialihkan ke arah lain. Tak mahu memandang mereka berdua di dapur itu.
Kini, hanya jawapan rawak yang mampu dilontarkan sekarang.
"Tercicir ... rasanya." Perlahan sahaja Damia mengatakan itu padahal tadi garang macam singa.
"Apa? Tercicir kamu kata?"
Ucapan Damia itu membantutkan tugas Mak Siti. Pantas Mak Siti berjalan ke arah anaknya yang kelihatan kecil besar sahaja di matanya itu.
"Macam mana boleh tercicir? Baju tu mak beli mahal tau tak?" marah Mak Siti bercekak pinggang.
Damia menarik mukanya. "Manalah angah tahu."
"Mak, mak potong je gaji angah tu. Dahlah pemalas, lepastu cuai pulak tu." Nadia menghasut lagi ibunya. Suka pulak tengok adiknya kena marah.
"Ala, bukannya angah sengaja pun. Lagipun belum tahu lagi baju tu tercicir ke tak." Damia cuba menenangkan ibunya tetapi hampa, ibunya tak ambil peduli.
"Sengaja ke tak, mak tak kisah. Mak nak kamu cari balik baju mak tu sekarang!"
Mak Siti seperti menghalau pula anak bongsunya itu. Sanggup lebihkan baju dari anaknya sendiri.
"Mak, sekarang dah malam dah kan. Takkanlah nak suruh angah cari baju mak tu gelap-gelap macam ni?"
"Ah! Banyak alasan kamu. Tak kisahlah yang penting mak nak esok jugak baju mak yang hilang tu. Kalau tidak, gaji kamu bulan ni burn." Mak Siti memberi ugutan keras.
Damia mengeluh kuat. Nasib badan dapat ibu dan kakak berperangai sebegini. Mahu melawan macam mana pun, dia tetap akan kalah juga.
*****
Jemaah masjid berpusu-pusu keluar dari masjid setelah selesai solat isyak secara berjemaah. Najihah yang elok tersarung dengan telekung putih berdiri di luar sementara menunggu ayahnya pulang bersama.
Lalu tiba-tiba, datang seseorang memeluk dari belakang. Najihah terkejut sedikit kerana itu.
Eh!
"Lah, Syafiqah ke ... ingat siapalah tadi peluk ustazah. Dengan salamnya pun tak bagi."
Rupa-rupanya Syafiqah, pelajar kesayangannya yang lakukan itu. Tergelak kecil Syafiqah dengan tingkah ustazahnya itu.
"Assalamualaikum, ustazah. Maaflah tadi Syafiqah lupa, excited sangat jumpak ustazah." Syafiqah sempat menggaru kepalanya yang tak gatal. Segera dia salam dan kucup tangan Najihah.
"Waalaikumussalam. Tak apalah, Syafiqah," balas Najihah dengan senyuman.
"Hari ni kamu datang pulak masjid. Kalau ustazah tahu, kita datang sekali pun tak apa."
"Esok kan cuti, sebab tu Syafiqah datang solat jemaah kat sini. Lagipun, Syafiqah datang sekali dengan along," jawab Syafiqah.
Najihah mengangguk perlahan. "Oh, okey."
"Ouh, ha! Tadi petang kamu pergi mana? Along kamu kata kamu tak balik rumah sejak habis sekolah tadi. Puas dia cari kamu satu kampung tahu tak?" Najihah sambung membebel apabila dia teringat akan kejadian tadi.
Terkebil-kebil mata Syafiqah tidak tahu menjawab apa. Tapi belum sempat dia bersuara, suara garau milik seorang mencelah, "Biasalah tu ustazah. Siapa je tak kenal Syafiqah ni. Kuat merajuk. Kawan kacau sikit pun habis satu kampung dia nak lari."
Terlihat Syafiq yang siap berkopiah, berbaju biru tua dan dipasangkan dengan kain pelekat berjalur kuning air itu datang mendekati. Syafiq turut memberi senyuman kepada Najihah dan Najihah turut membalasnya.
"Along! Apa ni?" Syafiqah memandang abangnya itu dengan pandangan tajam dan sedikit hentakan kaki. Tak puas hati rahsianya dibongkar.
"Eleh ... malu pulak dia," sindir Syafiq. Syafiqah hanya mencebik sahaja dirinya disakat.
"Syafiq, kawan-kawan Syafiqah tu kacau dia lagi ke?" tanya Najihah yang kelihatan serius.
Dari soalannya itu, Najihah sepertinya tahu sedikit sebanyak tentang apa yang berlaku kepada Syafiqah itu.
Syafiq hanya menjongketkan bahunya. Reaksinya itu sudah semestinya membenarkan soalan Najihah tadi.
"Ya Allah! Budak-budak tu tak serik-serik kacau Syafiqah ni. Dia orang nak apa sebenarnya?" Najihah mengusap-usap kepala Syafiqah itu.
Syafiq mencemik. "Diorang budak-budak lagi. Lagipun ni bukan first time Syafiqah hadap semua tu."
Najihah hanya menggeleng saja kepalanya itu. Mahu tepuk dahinya dengan perangai acuh tak acuh Syafiq.
Kata sayang adik?
"Boleh pulak awak cakap macam tu. Yang kena kacau tu adik awak tau, Syafiqah ni. Hari ni dia kena buli lisan. Esok-esok? Nak tunggu dia kena buli lagi teruk? Macam tu?" Najihah memberi teguran tak ubah seperti emak-emak.
"Tak apa, ustazah. Lagipun Syafiqah dah biasa dengan semua ni. Janganlah marah along macam tu. Kesian along." Sempat Syafiqah menjeling tajam ke arah abangnya itu.
Padan muka kena marah!
"Yalah tu. Lepas ni jangan lari-lari dah tau, Syafiqah. Kalau kawan-kawan kamu tu kacau, report je kat cikgu." Najihah menasihatinya.
"Okey, ustazah!" Syafiqah bertingkah comel. Siap buat gesture tangan 'okey' lagi.
Syafiq masih tak luntur dengan senyuman. Suka dia lihat Syafiqah gembira sebegitu apabila bersama ustazahnya.
Sekali imbas, macam adik dan kakak kandung dah dia tengok.
"Najihah, saya nak tanya satu benda boleh tak?"
Suara Syafiq tiba-tiba berubah kepada nada yang lebih serius.
"Ya boleh. Apa dia?"
"Perempuan tadi, yang datang kat rumah awak tadi tu siapa ya?" Langsung Syafiq ajukan soalannya itu. Tanpa berbasa-basi.
Najihah mengerutkan dahi. Perempuan? Tak pernah-pernah Syafiq ini tanya perihal perempuan, tiba-tiba dia mahu ambil tahu pula.
"Perempuan yang ambil baju kat saya tadi tu ke? Yang tolong awak carikan Syafiqah tu?" Najihah bertanya untuk kepastian.
Syafiq mengiyakan.
"Oh, perempuan tadi tu, dia anak kepada pelanggan saya. Dia datang nak ambil baju yang mak dia tempah je."
"Ooo ... ye ke?" Pantas Syafiq menundukkan wajahnya.
Sepertinya dia mahu bertanyakan lagi tentang wanita tadi, tetapi segan pula rasanya.
"Kenapa Syafiq? Ada yang tak kena ka?"
Syafiq terus menatap Najihah dan menggeleng. "Tak ada apa, cuma ..."
Najihah menjongketkan kening agar Syafiq meneruskan bicaranya yang tergantung itu.
"Cuma saya nak tahu dia tinggal kat mana." Laju sahaja Syafiq katakan itu.
Membulat mata Najihah itu mendengar kata-kata Syafiq tadi. Dah kenapa tiba-tiba dia menyoal sebegitu.
Melihat muka Najihah yang penuh syak wasangka itu, Syafiq menerangkan situasi sebenar.
"Tadi, baju yang dia tempah tu, tercicir kat tepi jalan. Tu yang saya nak pulangkan balik kat dia. Betul kan adik?" Syafiq malah mahukan pengesahan dari Syafiqah untuk menyokongnya.
Syafiqah pun hanya mengangguk sahaja tiba-tiba ditanya sebegitu. Mujurlah dia membantu, kalau tidak makin rumit keadaan.
"Lah, yakah? Hmm... saya tak tahu alamat tempat tinggal mereka dua beranak tu. Tapi apa yang saya tahu, pelanggan saya tu tinggal kat Kampung Haji Darus."
"Kampung sebelah tu?"
Najihah membalas dengan anggukan. Lantas dia menyambung lagi bicaranya.
"Dan seingat saya, pelanggan saya tu ada kedai runcit. Cubalah awak cari kedai runcit kat kampung sana tu, kemungkinan tu milik dia. Pelanggan saya tu nama dia ... Siti Hasmah."
"Okey, baiklah. Terima kasih banyak ustazah," ucap Syafiq seikhlas hati.
Alhamdulillah. Nasib baiklah perjumpaannya dengan Najihah di sini membuahkan hasil. Syafiq dapatlah sedikit sebanyak maklumat tentang gadis tadi tu.
Najihah melemparkan senyuman. Tapi senyuman yang umpama menahan kesakitan.
Rasa cemburu? Mungkin ya mungkin tak. Tapi Najihah berusaha berfikir positif. Dia tidak mahu tersilap sangka terhadap Syafiq itu.
*****
Mata Damia tak lepas dari skrin telefonnya. Drama Korea masih menjadi keutamaan walaupun dirinya sibuk menjaga kedai. Kadang, pelanggan berkunjung ke kedai itu pun dia tak pernah sedari. Mahu jadi cashier, tapi tak layan pelanggan dengan baik. Tak mesra pelanggan langsung.
Lalu seorang pelanggan lelaki datang meletakkan barang runcit yang ingin dibelinya di atas meja kaunter.
Dua bungkus gula, sebotol air mineral dan sepaket minyak masak diletakkan satu persatu.
"Kira semua ni sekali ye," arah pelanggan lelaki itu.
"Okey."
Ringkas saja Damia membalas tanpa memandang pelanggan itu. Skrin telefon dia sentuh untuk menjeda video. Butang kalkulator ditekan satu-persatu berdasarkan tanda harga yang telah dilekat pada barang-barang itu.
"Semua sekali sembilan ringgit enam puluh sen." Lalu Damia memasukkan kesemua barang itu dalam beg plastik biru.
Pelanggan itu memberi sekeping not sepuluh ringgit. Mesin laci tunai Damia buka untuk mengambil baki lagi 40 sen.
Tapi belum sempat Damia lakukan, pelanggan itu menghalang. "Tak perlu, cik. Simpanlah baki tu."
Tindakan lelaki yang menghalang itu membuatkan Damia kini mengangkat wajahnya.
Mata Damia membulat dah macam ternampak hantu pula. Terkejut dan tak sangka gerangan seseorang itu berada di depan mata.
"Eh? Awak?"
Terkebil-kebil mata Damia apabila memandang ke arah lelaki itu.
Bersambung...
Happy reading. Harap korang enjoy story ni...
Share this novel