Mata aku terbeliak sebaik melihat wajah wanita berambut perang yang menjaga kaunter sedang terbaring dengan wajah yang pucat. Kulit wajahnya ku lihat mengering dan tulang-tulang muka timbul seolah-olah mayat tersebut telah lana mati. Aku menoleh ke arah kiri, depan dan belakang. Hampir kesemua jasad yang berada di situ adalah pekerja di Hotel Ludwig !
“Apa sebenarnya yang berlaku ni?”bisik aku perlahan.
Aku menekup mulut lantaran hambatan kejutan yang melampau. Rambut aku sibak ke belakang berulang kali. Tidak semena-mena aku teringat kanak-kanak perempuan yang aku jumpa di dalam mimpi itu. Dia ada mengarahkan aku untuk mencari bilik yang dipenuhi jasad. Mungkin ini adalah biliknya. Jadi apa yang perlu aku lakukan sekarang?
“Psstt..”
Aku berkalih pantas apabila mendengar bunyi tersebut di belakang aku. Kanak-kanak perempuan itu berdiri sambil merenung ke arah aku.
“Cari jasad aku. Hanya aku yang mampu tamatkan keganasan kapten. Cepat!”arah kanak-kanak itu. Dia tertoleh-toleh ketakutan.
“Apa yang perlu aku buat bila jumpa jasad kau?”tanya aku. Aku sendiri dihurung ketakutan.
Kanak-kanak itu mengeluarkan sebilah pisau dari sebalik bajunya. Dia melemparkan pisau tersebut ke arah aku. Aku lekas-lekas menyambutnya.
“Titiskan darah di atas jasad aku. Ingat! Hanya aku yang mampu tamatkan semua ini.”katanya lagi.
Sebaik berkata sedemikian tubuhnya terus lenyap. Aku tahu apa yang perlu aku buat kini. Aku lekas-lekas mencari jasad kanak-kanak itu di dalam bilik tersebut. Akhirnya aku menjumpai jasadnya yang terbujur kaku di atas stretcher.
Aku pandang pisau yang berada dalam genggaman. Sudah tiba masanya untuk aku tamatkan segala-galanya. Aku pegang pisau di tangan kanan. Tangan kiri aku menggenggam mata pisau. Perlahan-lahan aku tarik pisau ke bawah. Kulit tangan aku terkoyak dan mula mengeluarkan darah. Aku menahan kesakitan.
Belum sempat darah aku menitis di atas jasadnya, satu libasan kuat menampar wajah aku. Aku melambung dan terjatuh di satu sudut. Aku menyeringai kesakitan.
“Jangan lakukannya!”
Kapten bertapak mendapatkan aku. Leher aku dicekak dan satu libasan lagi hinggap di muka. Aku terbaring lemah. Tenaga aku direnggut oleh kesakitan.
“Aku yang berkuasa di sini!”marah kapten itu.
Suaranya kedengaran bergema di seluruh pelusuk bilik.
“Kenapa kau biar jasad-jasad mereka di sini? Apa yang kau dah lakukan pada roh mereka?!”tanya aku.
Ketakutan aku mula terbius. Sisa-sisa tenaga aku dikumpul. Aku berdiri perlahan-lahan. Aku dan kapten saling menghadap antara satu sama lain. Aku nekad kini. Kalau aku ditakdirkan mati sekalipun biarlah aku mati melawan!
“Itu bukan urusan kau!”tingkah kapten.
Dia menderam kemarahan. Anak matanya mencerlung merenung ke arah aku.
“Jangan buang masa lagi! Cepat!”
Kanak-kanak perempuan itu muncul di sebelah aku secara mendadak. Kapten menjerit menghamburkan kemarahan sebaik melihat kanak-kanak perempuan itu. Dia berlari lantas melancarkan serangan. Kanak-kanak perempuan itu serta merta ghaib.
Serangan di bahagian muka gagal aku sanggah. Aku menyeringai kesakitan. Serangan bertali arus dari kapten sukar untuk aku tangkis. Meskipun usianya tua tetapi kekuatannya menyamai dengan orang muda.
Pada satu kesempatan, aku berjaya menyepak pelipatnya sehingga dia jatuh terduduk. Tumbukan aku layangkan berulang kali di mukanya sehingga dia menjadi lemah. Pantas aku berlari ke arah jasad kanak-kanak itu. Aku tak mahu berlengah lagi.
Share this novel