Chapter 16

Romance Completed 32271

Enam Belas

Kad hotel dicucuk ke dalam lubangnya. Bunyi ‘klik’ terhasil. Tombol pintu bilik dipulas oleh Farhan dan beg ditarik masuk ke dalam bilik. Farhan membuka kasut dan badannya direbah ke atas katil yang empuk. Dia tinggal sebilik bersama Ameer. Ameer menekan suis penghawa dingin dan televisyen dibuka.

“Ah, baru pukul lima. Pukul lapan baru mula balik.” Farhan baru sahaja hendak melelapkan matanya. Tiba-tiba badannya digerak Ameer. “Farhan, solatlah dahulu. Baru berehat.”

“Eh, terima kasih Ameer. Aku lupa pula. Letih sangat. Terima kasih ingatkan aku.”

“Tak apa. Kita kena saling ingatkan sesama sendiri.” Ameer menepuk belakang Farhan.

“Yalah. Aku hendak mandi dahulu.” Zip beg dibuka, tuala mandi dikeluarkan bersama sebuah beg kecil yang penuh dengan barang-barang pembersihan diri.

Selesai sahaja mandi, Farhan terus menunaikan solat Asar. Dia berteleku di atas sejadah selepas usai bersolat. Fikirannya melayang kepada kenangannya dahulu ketika menuntut di universiti. Kenangannya sewaktu menguruskan persiapan terakhir untuk Majlis Penutup Bulan Penghayatan Islam.

“Marha, boleh saya tanya sesuatu?”

“Apa dia?” Marha menoleh ke arah Farhan. Dia sedang menyusun risalah yang akan diedarkan kepada warga UNiSEL.

“Apa pendapat awak mengenai jodoh? Elok bercinta sebelum berkahwin atau bercinta selepas berkahwin?”

“Kenapa tanya macam tu?”

“Saja tanya awak. Boleh kongsi ilmu. Tak bolehkah saya bertanya?”

“Ooo... Hmm, macam mana ya hendak jawab? Saya bukan pandai sangat dalam bidang agama ni. Takut salah jawab pula.” Dia memegang dagunya, wajahnya berkerut.

“Tak mengapa. Saya hanya hendak tahu pendapat awak.” Farhan senyum.

“Kalau ikutkan perasaan dan realiti zaman sekarang, mungkin bercinta sebelum berkahwin selalu dipraktikkan. Cuba lihat sekeliling kita. Berapa banyak couple berdating tak kira masa. Mungkin alasannya ingin tahu hati budi pasangan masing-masing sebelum berkahwin. Takut menyesal selepas berkahwin.”

Farhan menganggukkan kepalanya. Khusyuk mendengar jawapan Marha.

“Tapi... kalau dalam Islam, couple sebelum berkahwin tak dibenarkan. Betulkan? Relevannya, bercinta sebelum berkahwin hanya mengundang maksiat. Macam-macam jenis zina boleh terjadi. Zina mata, zina hati, macam-macamlah. Takut pula kalau terjebak dalam maksiat macam ni.”

“Kalau kita mampu kalau perasaan kita walaupun sudah bercouple macam mana? Tak fikir macam-macam, tak boleh juga kah?”

“Hmm... cuba bayangkan kalau kita sudah bercinta bagai nak rak sekarang, andaikan sudah ena tahun menyulam kasih dan sayang, tiba-tiba cinta itu gagal dan terkandas di pertengahan jalan macam mana? tak kah frust menonggeng? Bila frust, hal lain pula berlaku. Kalau iman tak kuat, bayangkanlah apa yang terjadi. Sebab tu ada kes pelajar kita cuba bunuh diri.”

“Betul tu. Maksud awak sekarang, bercinta selepas berkahwin lebih baik. Betul?”

“Saya ada baca nota Hilal Asyraf di Fac. Bercinta sebelum berkahwin tak salah. Cuma perlu mengikut syarak.”

“Mengikut syarak? Macam mana tu?” Farhan menongkat dagunya.

“Awak ni sengaja kah tanya macam tu? Rasanya awak tahu jawapannya.” Marha mengangkat keningnya. Riak curiga terlukis di wajahnya.

“Memang saya ada jawapan saya tetapi jawapan saya tak semestinya sama dengan jawapan awak.” Terkoyak sengihan di bibir Farhan.

“Yalah. Mengikut apa yang saya faham, kita berta’aruf dahulu. Pergi tanya kawan-kawan yang rapat dengan orang yang kita suka, keluarga atau sesiapa yang rapat dengan dia. Kita check latar belakang dia. Bila sudah puas hati, hantarlah wakil untuk menyatakan hasrat kita.”

“Oh, macam tu ya? Kalau kena reject macam mana pula? Bukankah kita kena pendamkan sahaja perasaan kita tu? Berdoa kepada Allah semoga dia jodoh kita?”

“Pendamkan perasaan? Ada juga saya baca macam tu. Tapi kan, kalau kita pendam dalam masa yang sama orang yang kita suka tu tak sukakan kita, rugi masa sahaja. Satu lagi situasi. Kalau kita pendam perasaan lepas tu orang tu pun sukakan kita juga tapi kita lambat memulakan langkah, tengok-tengok dia berkahwin dengan orang lain. Lagi sedih. Kalau kena reject, apa susah. Cari sahaja yang lain yang tak akan reject kita.”

“Wah, pandainya awak ni berhujah ya? Hebat. Patut jadi ahli debat.”

“Eh, mana adalah. Semua yang saya cakapkan tadi saya ambil dari Hilal Asyraf.” Marha tersipu-sipu malu.

“Macam tu kan Marha, saya patut luahkan perasaan saya kepada orang yang saya suka kan?”

“Terpulanglah pada awak kalau awak rasa sudah bersedia dan rasakan perempuan tu perempuan yang baik untuk awak dari segala aspek. Luahkanlah. Lagipun lagi setahun sahaja kita di sini. Habis belajar, boleh terus berkahwin.”

“Hmm, maknanya berkahwin awal. Kalau Marha lah, tak kisah berkahwin awal?”

“Kalau sudah jodoh dan lelaki tu baik buat diri saya, agama, dunia, akhirat dan keluarga saya, apa salahnya kan?”

“Ooo..”

Lamunan Farhan terhenti apabila bahunya dipaut lembut oleh Ameer. Dia mendongakkan kepalanya memandang Ameer yang sudah lengkap berpakaian formal.

“Jauhnya kau termenung.” Ameer duduk di atas katil berhampiran dengan Farhan.
“Tak adalah. Aku teringat masa-masa di UNiSEL dahulu.” Dia melipat sejadah dan meletakkannya di atas meja.

“Kau kenal Marha tak? Dia ada sekali induksi di sini.” Farhan duduk di sebelah Ameer.

“Marha? Oh, Marha kelas 8E tu kan? Kenal juga tapi kenal gitu-gitu sahaja. Dia bukan layan sangat lelaki. Kenapa?” Jawab Ameer.

“Tak ada apa-apa.” Farhan tersengih sahaja.

“Eh, sudahlah tu. Jom kita pergi dinner.”

“Ok. Aku tukar baju dahulu.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience