LAFH - 15

Romance Series 665659

HAQQ melangkah masuk semula ke dalam bililnya. Pintu dihempas kuat. Duduk terus dilabuhkan di atas katil. Dadanya berombak laju menahan amarah. Gigi diketap kuat. Rambutnya diramas-ramas.

Hatinya sakit apabila mengetahui Daneen masih menjalinkan hubungan dengan ayahnya sendiri. Berapa kali lagi dia perlu ulang supaya Daneen faham? Kenapa susah sangat untuk Daneen melepaskan ayahnya?

Dia juga punya harta. Kenapa Daneen tidak mahukannya? Kenapa Daneen lebih memilih lelaki yang sesusia dengan ayahnya sendiri? Atau memang citarasa Daneen lelaki seperti Dato' Tarmizi? Tak. Tak mungkin. Tak mungkin gadis seperti Daneen benar-benar ikhlas mencintai lelaki seperti ayahnya. Pasti Daneen ada alasannya.

Terbantut niatnya untuk meluahkan perasaannya pada gadis itu. Seharusnya memang dari awal lagi dia lupakan saja niatnya itu. Daneen bukan gadis yang baik. Mencintai Daneen adalah satu kesilapan.

Haqq bangun daripada katil. Dia menyusun langkah ke bilik air. Paip air dipusing. Mengalir laju air di sinki itu. Wajahnya dibasuh berkali-kali. Haqq renung wajahnya di dalam cermin. Tapi yang dia lihat bukan dirinya.

Daneen.

Daneen yang dia lihat di pantulan cermin itu. Gadis itu tersenyum mengejek padanya.

"Argh!" Botol syampu dicapai lalu dibaling pada cermin itu.

Prang!

Berderai cermin kaca itu. Dada Haqq turun naik. Nafas dilepaskan perlahan.

Tak cukup dengan membaling botol syampu pada cermin, dinding bilik air itu menjadi mangsa tumbukan Haqq. Dinding bilik air itu ditumbuk berkali-kali melepaskan geram.

Haqq terduduk lemah di tepi dinding selepas itu. Sakit mula terasa pada buku limanya gara-gara menumbuk dinding bilik air itu. Kepala di dongak memandang atas. Nafas cuba diatur kembali.

DANEEN tunduk mengutip kembali telefon bimbitnya yang Haqq baling tadi. Mujur saja jatuh di atas pasir. Jika tidak, pasti telefon bimbitnya itu tidak akan berfungsi lagi. Hatinya mendongkol geram dengan sikap Haqq. Suka-suka jer nak baling telefon orang! Haqq tak ada hak nak buat macam tu.

Selepas melihat nama Dato' Tarmizi yang tertera di skrin telefon Daneen tadi, Haqq terus merampas telefon itu kemudian di baling geram.

Daneen menghela nafas berat. Pasir yang melekat di skrin telefonnya itu disapu menggunakan tangan. Duduk dilabuhkan kembali di kerusi batu itu. Dia tahu mengapa Dato' Tarmizi menghubunginya. Pasti lelaki itu ingin memberitahu tentang laporan kesihatannya. Tapi Haqq pula salah faham. Memang dari awal lagi lelaki itu suka membuat andaiannya sendiri.

“Daneen sebenarnya I...”

Terngiang-ngiang di telinga Daneen suara Haqq tadi. Apa sebenarnya yang Haqq mahu katakan padanya? Dia jadi tertanya-tanya.

PAGI itu selepas bersarapan, mereka semua mula berkumpul. Sebentar lagi aktiviti pertama akan bermula. Kamil, sebagai ketua acara mula memberi arahan.

“Saya akan bahagikan anda semua dalam kumpulan. Setiap kumpulan akan ada tiga orang ahli.”

Mereka semua mula mencari ahli kumpulan masing-masing. Keadaan jadi riuh seketika.

“Hei hei! Siapa yang suruh pilih ahli kumpulan ni? I yang akan tentukan ahli kumpulan uolss,”celah Joana.

"Buuu!"

Terdengar keluhan masing-masing. Tak puas hati.

“Aku nak satu kumpulan dengan kau Daneen,” Salwa tarik lengan Daneen rapat dengannya.

“Tengoklah nasib kita nanti.” Mata Daneen sempat mengerling sekilas ke arah Haqq yang berdiri tidak jauh daripadanya.

Seperti telepati, Haqq juga memandang ke arahnya. Mata mereka beradu buat seketika. Mata helang Haqq menjeling tajam ke arah Daneen. Daneen cepat-cepat memandang ke arah lain.

Bibir diketap. Mungkin lelaki itu masih marah padanya kerana hal semalam. Ah! Kenapalah Haqq suka sangat buruk sangka dengan dia? Berapa kali lagi dia perlu ulang yang dia dan Dato' Tarmizi tak ada apa-apa hubungan?

“Kumpulan yang ketiga pula ialah encik Haqq, cik Daneen dan encik Hakimi.”

Daneen tersentak apabila dengar namanya disebut. Kumpulan ketiga dah? Sibuk mengelamun memikirkan hal semalam sampai tak sedar Kamil sudah mula membahagikan mereka kumpulan.

Kejap.

Dia dengar nama Haqq disebut juga tadi. Ini bermakna dia satu kumpulan dengan Haqq? Masalah!

“Alah si pondan ni memang dengkilah. Tak dapat aku nak satu kumpulan dengan kau,” Salwa mengeluh perlahan.

“Boleh ke kalau aku nak tukar kumpulan? Aku tak nak satu kumpulan dengan si Hulk tu,” bisik Daneen perlahan.

“Sebarang pertukaran kumpulan tidak dibenarkan sama sekali ya,” tegas Kamil. Seperti dapat meneka apa yang bermain di fikiran Daneen saat ini.

“Ahli kumpulan ketiga, sila kedepan,” panggil Joana.

Lambat-lambat Daneen melangkah juga ke hadapan. Dia cuba mengelak daripada beradu pandangan dengan Haqq.

“Kumpulan yang terakhir ialah Salwa, Amira dan Joana.”

Luas biji mata Salwa. Biar betul? Dua-dua ahli kumpulannya itu tak boleh pakai. Ah! Malang sungguh nasibnya hari ini.

“Hai Daneen. Tak sangka kita satu kumpulan kan.” Hakimi tersenyum manis pada gadis itu.

Daneen hanya mengangguk. Dia perasan jelingan tajam Haqq. Tak habis-habis nak jeling orang. Korek biji mata tu nanti baru tahu.

UNTUK permainan yang pertama mereka perlu masuk ke dalam hutan untuk mencari beberapa kad yang diletakkan di sepuluh check point. Mereka perlu mengumpul kad itu sebanyak yang mungkin. Kumpulan mana yang berjaya mengumpul kad terbanyak akan dikira sebagai pemenang.

Usai Kamil mengira sehingga nombor tiga, mereka semua berlari masuk ke dalam hutan mengikut anak panah yang sudah ditampal pada pokok.

Daneen dan Haqq turut berlari mengikut yang lain. Apa yang membuatkan Daneen tak senang duduk sekarang ni ialah dia tinggal berdua saja dengan Haqq. Hakimi terpaksa pulang setelah mendapat panggilan yang ibunya terjatuh tangga.

“Cepatlah sikit Daneen. I tak nak kalah dengan diorang tu,” gesa Haqq. Akhirnya keluar juga suaranya. Sejak daripada tadi dia hanya diam.

Daneen mengeluh perlahan. Nak cepat macam mana lagi? Dia dah cuba untuk lari secepat yang mungkin. Penting sangat ke pertandingan ni sampai Haqq beria-ia tak mahu kalah?

Sudah hampir tiga puluh minit mereka meneroka hutan itu. Di tangan Haqq sudah ada lebih kurang enam keping kad. Ada lima lagi check point yang mereka perlu pergi.

Daneen sudah lelah mengikut Haqq. Daripada tadi lelaki itu tak berhenti berlari dan dia terpaksa mengikut Haqq. Kalau tak, mahu bernanah telinganya mendengar bebelan si Hulk.

“Cepatlah Daneen!” laung Haqq. Dia sudah berada jauh ke hadapan meninggalkan Daneen.

“Kaki I sakit.” Daneen rasa nak menangis sekarang ni. Disebabkan dia mahu mengejar langkah Haqq tadi, kakinya tersadung pada ranting kayu dan membuatkan dia jatuh terduduk.

Haqq mengeluh perlahan. Alasan!

“Jangan nak mengada-ngada boleh tak? Kuatlah sikit.” Haqq mula bengang kerana gara-gara Daneen mereka ketinggalan di belakang. Kumpulan lain sudah mendahului mereka.

Daneen ketap bibir. Haqq ni memang tak ada hati perut langsung! Apa lelaki itu fikir dia sengaja berpura-pura sakit sebab mahu tarik perhatian Haqq?

Lambat-lambat dia bangun juga. Dahinya berkerut halus menahan pedih di lutut.

“Cepatlah Daneen. Kita dah jauh ketinggalan.” Haqq menghampiri Daneen apabila Daneen masih tak bergerak. Tangan gadis itu terus ditarik.

“Argh!”

Haqq terkedu. “Kenapa ni?” soalnya mula risau.

“Lutut I.”

Haqq terus mencangkung di hadapan Daneen. Seluar sukan yang dipakai gadis itu terus disingkap sehingga ke paras lutut. Dia terkejut melihat ada kesan luka pada kedua belah lutut Daneen.

“You jatuh? Kenapa tak cakap dengan I?” Haqq mula rasa bersalah. Dia terlalu pentingkan diri. Tak. Sebenarnya dia sengaja buat begitu kerana hatinya masih sakit dengan perbuatan Daneen.

Daneen rasa nak ketuk kepala Haqq sekarang ni. Kalau dia beritahu pun, bukannya Haqq kisah pun. Sibuk nak menang jer!

“Come.” Dengan hati-hati Haqq menarik Daneen duduk di tepi.

Beg galas yang dibawa bersama dibuka. Kotak first aid kit yang dibekalkan dikeluarkan daripada beg.

Daneen hanya diam sambil memerhati Haqq mencuci luka di lututnya. Sesekali dia meringis kesakitan. Pedih.

“Haqq.” Daneen terpandangkan kesan lebam pada buku lima Haqq. Rasanya semalam tak ada pula kesan lebam tu.

“Hmm.” Haqq berhati-hati menyapu ubat kuning pada luka Daneen.

“Kenapa dengan tangan you?” soal Daneen.

Haqq terdiam. Perlahan dia angkat wajah memandang Daneen.

“Kenapa?” Daneen menyoal lagi.

Haqq tak menjawab. Dia keluarkan plaster daripada kotak first aid kit itu lalu ditampal pada luka Daneen. Selepas itu Haqq kembali berdiri. Botol air dicapai lalu diteguk rakus sehingga habis.

Daneen tunduk memandang luka di lututnya. Bibirnya tersenyum nipis saat melihat plaster bergambar kartun Hulk itu. Kena sangat dengan Haqq.

“Haqq.”

Haqq memusing tubuh memandang Daneen.

“Thank you.” Daneen tersenyum manis. Senyuman paling ikhlas untuk Haqq.

Gulp! Haqq telan air liur. Senyuman Daneen bagaikan anak panah yang menikam dadanya. Terasa lemah lututnya melihat senyuman itu. Hampir saja dia tersungkur jatuh. Mujur sempat menstabilkan diri. Kalau tak, mahu Daneen ketawakan dia cukup-cukup.

“Jangan senyum macam tu.”

Dahi Daneen berkerut. Kenapa pula tak boleh senyum?

Haqq tak menjawab. Dia tiba-tiba saja mencempung tubuh Daneen. Membuatkan gadis itu terkedu. Terkelip-kelip mata Daneen memandang wajah bersahaja Haqq.

“Kaki you sakit kan. Macam mana nak jalan?” Haqq seperti tahu apa yang bermain di fikiran Daneen.

“I masih boleh jalan slow-slow.”

“Lambat. Habis tu pukul berapa pula kita nak keluar daripada hutan ni?”

Kali ini Daneen tak menjawab lagi. Kalau terus bertekak, sampai bila pun tak habis. Haqq pula terus buka langkah sambil mendukung Daneen. Kesempatan itu Daneen ambil untuk merenung wajah Haqq. Dia akui rupa paras Haqq memang kacak. Tapi bila lelaki itu buka mulut, hanya Allah yang tahu. Rasa macam nak tenyeh-tenyeh mulut puaka Haqq tu.

Daneen sendiri tak faham dengan sikap Haqq. Sekejap lelaki itu layannya dengan baik, sekejap romantik. Dan bila datang angin monsun dia, tiba-tiba saja dia mengamuk. Sebiji perangai macam Hulk Hijau!

Happy reading!

Share this novel

Nor Azlina
2021-07-03 21:13:31 

bila nk update niii.

Roshasniah Mustafa
2021-07-02 20:49:35 

lembab Hulk ni..xphm bhsa.daneen Dh ckp die xde ape2 NGN Dato'.

Anis Syairah Anis Syairah
2021-06-29 08:15:27 

Xsabo


NovelPlus Premium

The best ads free experience