..........................
‘’Intan payung terjun? Ooo..di sini rupanya kau sembunyi ya?’’ aku yang sedang ralit mengira harga barang-barang milik pelanggan terkejut mendengar suara yang tiba-tiba menjengah ke telingaku. Aku mendogak pantas dan tumpuanku terhadap mesin kira di depanku hilang begitu saja. Wajah aku sudah berbahang menahan perasaan malu dan marah.
‘’Apa khabar teman lama? Kau kenapa Intan? Mesej tak reply, call tak angkat. Kau nak buang kami ke? Dah tak nak berkawan dengan kami lagi?’’ bertubi-tubi soalan dari lelaki di depanku ini menerjah gegendang telingaku. Aku menghabiskan kiraanku dan memasukkan barang-barang yang dibelinya ke dalam beg plastik.
‘’Kau balik kerja pukul berapa?’’ dia bertanya lagi sambil berdiri di sebelah kaunter dan memberi laluan untuk orang lain pula membayar harga barangan yang mereka beli. Aku menoleh ke arahnya sepintas lalu sebelum memandang wajah pelanggan yang sedang menghulurkan duit di depanku dan aku melebarkan senyumanku sambil mengucapkan terima kasih lantas menghulurkan baki duit kepada pelanggan itu.
‘’Cik Intan Najiha Binti Iqbal!’’ perlahan Syaukie memanggilku namun dalam nada yang sangat tegas. Aku tahu erti panggilan itu. Maksudnya, darahnya sedang membuak kerana aku tidak memberi respon setiap pertanyaannya.
‘’Lagi lima belas minit aku habis. Kalau kau nak aku layan kau, tunggu aku habis kerja dulu. Aku bukan macam korang...’’ aku sudah mula berangin kerana ini kali pertama aku diganggu ketika aku melakukan tugasku di kaunter ini. Aku sendiri pun tak menduga, Syaukie akan datang ke sini hari ini. Aku sangkakan model antarabangsa macam dia, takkan masuk ke pasaraya kecil seperti ini.
‘’Dah lama kau kerja di sini?’’ Syaukie masih ingin mengajak aku berbual. Aku berdecit kecil, namun bibir tetap aku paksa untuk tersenyum di depan pelanggan yang sedang berbaris panjang ketika ini.
‘’Part time saja. Aku kerja tiga hari seminggu di sini. Ikutlah, kalau ada pekerja tetap yang cuti, baru aku dipanggil. Kalau tak..aku tak datanglah..’’ aku cuba juga menjawab seringkas mungkin. Harap-harap Syaukie memahami keadaan aku dan tak mengajak aku untuk berbual lagi. Dalam sibuk scan barang-barang dan mengambil duit dari pelanggan, sempat aku mengerling jam tangan di pergelangan tangan.
‘’Eh..macam kenallah. Ini Qie kan?’’ aku dengar seorang pelanggan remaja bertanya kepada Syaukie. Aku sempat menjeling sepintas lalu ke arah mereka. Syaukie yang masih berdiri di sebelah kaunter mengeleng pantas. Hampeh betul. Apa maksud gelengannya tu.
‘’Bukan! Klon dia kot? Err..Qie tu siapa?’’ Syaukie cuba memperdaya remaja tadi. Aku tak tahu kenapa dia tak nak mengaku. Takut kena serbu kot?
‘’Bukan erk? Tapi..muka awak sebijik macam Syaukie pelakon iklan tu. Haa..majalah hiburan bulan ni pun ada..’’ remaja tadi mengeluarkan majalan dari beg sandangnya dan menyelak helaian demi helaian.
‘’Ni...’’ sambil menunjukkan wajah di dalam majalah kepada Syaukie, remaja itu cuba mencari persamaan wajah Syaukie dan model di dalam majalah itu. Dilipat majalah dan dibandingkan dengan wajah Syaukie. Aku sudah mengulum senyum melihat gelagat Syaukie yang cuba menafikan model itu adalah dirinya.
‘’Salah orang ni. Awak tak pernah dengar ke, dalam dunia ni memang ada wajah yang serupa walaupun bukan dilahirkan sebagai adik beradik. Alah..Syaukie tu copy wajah saya tu.’’ Syaukie terus menafikannya. Aku berpura-pura tidak mendengar perbualan mereka dan pandangan aku terus tertumpu di skrin monitor di depan aku.
‘’Tak percaya, tanya dengan girlfriend saya ni..’’ Syaukie menyambung kata dan aku sempat menoleh ke arahnya sepintas lalu. Jari telunjuknya dituding ke arahku dan aku sempat menjungkitkan kening sambil mengeleng laju.
‘’Betul ke kak?’’ remaja tadi mengajukan soalan untuk aku pula. Cari pasal betul. Aku ni sedang bekerja, pelanggan pula ramai ketika ini, bos pula asyik menjeling saja sejak tadi. Nak layan ke tak? Aku berdialog di dalam hati.
‘’Dia ni? Dah kahwin dah pun. Anak dah lima orang. Bini dah tiga. Qie model awak tu dah kahwin ke belum?’’ aku bersuara juga akhirnya dengan nada selamba dan dengan wajah yang tenang setenangnya.
‘’Ooo..’’ remaja tadi terus berwajah muram dan berlalu pergi. Syaukie pula memandang tajam ke arah aku. Tak puas hati letew?
Share this novel