Rate

TEMAN SEPERMAINAN

Crime Series 765

Aku termangu-mangu dibalik jeriji besi sebuah penjara. Satu jendela kecil, terhalang dengan 5 batang besi memisahkan aku daripada dunia luar. Sesekali dapat kurasakan angin sepoi-sepoi bahasa meraup dan melanggar wajahku yang cengkung.

Cengkung akibat terkurung zahir dan batin. Terkurung daripada jasa seorang sahabat. Sahabat yang aku sangkakan sahabat. Sahabat dari neraka.

Adakah ini dugaan untuk diriku? Adakah ini hikmah bagi diriku? Adakah ini takdir yang tertulis bagi diri ku? Beginikah saat-saat hujung hayatku?

Jika tuhan dapat berbicara, di dalam keseksaan dan keadaan yang mendesak ini, pelbagai soalan aku ingin lontarkan. Mengapa aku? Mengapa bukan orang lain? Apa lainnya diriku berbanding teman-temanku yang lain?

Aku mengusap wajahku yang cengkung. Saat kegelapan malam yang gelap mula menerjah, kenangan-kenangan lalu yang memilukan mula menerjah mindaku. Bagaimana ayah? Bagaimana Ibu? Adik-adik? Teman-teman sekalian di universiti.

Ku raup wajahku yang kering. Air mata ibarat sudah kering. Tak mampu nak mengalir. Dapat kurasakan kehidupan aku semakin terhimpit. Terhimpit oleh 4 dinding dan jeriji besi di depan, di belakang dan disisiku.

Kurasakan ruang sel menempatkan aku semakin sempit. Semakin mendesak. Semakin menyusahkan diriku untuk bernafas.

Malam semakin gelap. Malam yang membawa seribu satu misteri dan rahsia.

Malam yang suram bakal bertukar siang. Terbitnya mentari membawa harapan. Harapan baru dan semangat baru untuk mereka semua. Cuma tidak bagi aku. Aku hanya menghitung hari, menunggu. Menunggu hari demi hari, jam demi jam dan saat demi saat.

Menunggu tibanya saat itu. Saat di mana pandangan mataku bakal digelapkan. Pergerakkanku bakal dihentikan. Fikiranku bakal dibataskan. Saat yang bakal memutuskan perhubungan dan amalanku dengan dunia. Saat rohku yang bakal dipisahkan daripada jasad.

"Ting!", bunyi telefon mengejutkan aku yang sedang memandang ke arah sawah padi yang menghijau. Aku memeriksa skrin telefon kecil itu. Terdapat satu mesej daripada nombor yang tak dikenali. Segera aku buka dan baca.

"Salam Farid, ni nombor kau ke? Aku Izzul. Kau ingat aku lagi tak?"

Mesej yang masuk itu menyebabkan hatiku sedikit gembira. Sudah tentu aku ingat siapa Izzul, atau nama panggilannya Ijoi. Kami membesar bersama. Ijoi, anak Pak Tam yang duduk selang 2 rumah daripada rumahku merupakan teman sepermainanku daripada kecil.

Kenal daripada zaman prasekolah, sehinggalah ke zaman sekolah rendah dan sekolah menengah. Sama sekolah, sama kelas sehinggalah selepas tamat daripada tingkatan 5, kami membawa haluan masing-masing. Aku ke universiti, dia ke tingkatan 6.

Keakraban kami sejak kecil sering menjadi bahan gurauan kawan-kawan lain. Namun, begitulah aku dan Ijoi, sahabat dunia dan akhirat. Sewaktu itu, aku berada di semester 4 pengajian. Memang aku mengaku bahawa aku lost contact dengan Ijoi sebaik sahaja aku masuk universiti.

Setiap kali aku pulang ke kampung, apabila aku mengunjungi rumah Pak Tam, pasti Ijoi tiada di rumah. Nombor telefonnya pula sudah tidak dapat dihubungi. Aku buat juga beberapa cara dan berusaha nak hubungi dia kembali, namun, Pak Tam sendiri pun tidak pasti ke mana hilangnya satu-satunya anakya itu.

Dia kata, dia bekerja di Kuala Lumpur, tetapi, Pak Tam sendiri pun tidak pasti di mana. Aku bukan sengaja tak mahu hubungi dia semula, tetapi aku sendiri juga amat sibuk dengan pengajian aku sendiri. Assignment dan tugas-tugasan daripada universiti tidak pernah membolehkan aku untuk berehat.

Tetapi, hari itu sedikit lain. Hariku ibarat macam bersinar apabila menerima mesej ringkas daripada Ijoi. Segera aku menghubunginya.

"Salam Ijoi, amacam sekarang? Peh, lama gila kau tak contact aku", aku bercakap saat telefonnya dijawab.

"Waalaikumussalam Aid, ingatkan dah tak kenal dah. Maklumlah kau dah masuk universiti kan", jawabnya.

"Bila kau nak balik kampung? Takkan dah lupa Mergong kot?", aku bertanya.

"Ni, hujung minggu ni aku balik. Kau ada kan? Tapi aku balik sekejap je. Naik bas. 2 hari lepas tu aku nak kena ke Kuala Lumpur balik", dia berkata.

"Oh, cantiklah tu, aku pun cuti, takde masalah, aku boleh tolong ambil kau, di Shahab la kan?", kataku dengan nada teruja.

"Ya, ya. Okay.  Weh, aku ada kerja sikit, kita jumpa 3 hari lagi ya", jawabnya sebelum memutuskan panggilan.

Hatiku agak seronok mendengar suaranya. Aku rindu juga pada dia. Maklumlah dah 2 tahun terputus perhubungan.

Aku terduduk lemah gemalai di sudut penjara. Penjara sempit yang ruangnya cukup-cukup untuk aku seorang. Aku merenung dinding-dinding simen yang usang. Hatiku sudah penat membara. Sudah penat menjadi terlalu marah, sehinggakan kini, aku tak mampu berfikir lagi.

Di luar, perarakan awan mendung membawa hujan dan kilat sabung menyabung. Otakku mula ligat berfikir, membawa seribu satu memori yang berlaku 6 bulan lepas.

"Mak, Aid nak keluar sekejap, jemput Ijoi di stesen bas, dia baru sampai di sini", aku berkata kepada Ibuku. Aku dapat lihat juga ayah yang sedang duduk menonton televisyen. Ayah menoleh kepadaku seraya berkata

"Aid, ayah nak kirim roti dan kaya. Tiba-tiba teringin sangat nak makan", kata ayah sambil menghulurkan duit not 5 ringgit kepadaku.

"Eh, tak apa ayah, Aid ada duit", aku berkata. Bukan aku tidak mahu menerima duitnya, tetapi aku nampak benar keadaan rumah kami serta pekerjaan ayah di sawah yang mendapat bayaran tidak seberapa.

Ayah tersenyum mendengar jawapanku. Ayah memang selalu disalah ertikan sebagai seorang yang kedekut. Sebenarnya dia bukan kedekut, tetapi lebih kepada berjimat cermat. Adik-adikku masih bersekolah, dan sudah tentu memerlukan wang perbelanjaan untuk mereka.

Aku pula, dapat pinjaman PTPTN. Sedikit sebanyak bolehlah aku menyara kehidupan aku serta keluarga aku bila-bila masa mereka memerlukan. Di luar, hujan yang tadinya lebat kini menjadi renyai. Gerimis-gerimis yang menitis memudahkan penglihatan aku yang memandu kereta milik ayah.

Aku tiba di Shahab Perdana beberapa minit kemudian. Aku nampak Ijoi berjalan dengan tiga buah beg tersandang di bahunya. Satu bewarna hijau, dan satu lagi bewarna jingga. Dia menggalas sebuah beg lagi bewarna hitam. Dia segera sahaja membuka pintu kerana dia tahu dan kenal benar akan kenderaan milik ayahku itu.

Sejurus masuk kedalam kereta, aku terus menghulurkan tangan bersalam. Ketiga-tiga beg disumbatnya di tempat duduk belakang kereta.

"Wah, banyak barang ni, macam balik haji", aku mengusiknya.

"Haha, bukan apa Aid, aku kena hantar barang-barang ni. Lusa, aku nak kena turun semula Kuala Lumpur, hantar barang ni", katanya.

"Barang apa weh?", aku bertanya.

"Adalah, haha, buat bisnes", dia menjawab.

Aku mula memandu kereta pulang ke kampung. Kenderaan uzur milik ayahku bergerak perlahan-lahan menyusuri jalan itu.

"Aku singgah sekejap di kedai dan stesen minyak ya", aku berkata taktala aku perasan bahawa minyak kereta tersebut hampir kontang.

"Boleh aja", jawab Ijoi.

Sepanjang berjalanan kami dipenuhi gelak tawa. Gurauan demi gurauan serta cerita-cerita lama mengembalikan nostalgia dan kenangan mengisi masa sepanjang perjalanan. Aku membelokkan kenderaan memasuki stesen minyak Shell.

Aku lihat Ijoi terus turun dan ke kaunter bayaran.

"Eh, kenapa ni. Biar aku bayar la", aku bercakap dengannya, tetapi dia buat tak tahu dan menonong sahaja ke kaunter. Dia kembali ke arah kereta sambil tersenyum.

"Alah, biar lah aku bayar, bukan selalu", katanya

"Ni berapa ringgit kau isi?", aku bertanya

"Isi penuhlah", jawabnya.

"Laaa, kenapa pula. Sejak bila kau jadi pemurah ni?", aku bertanya.

"Haha, tak apalah, aku dah kerja, kau belum lagi. Biar aku bayar sikit ni sekurang-kurangnya, lagipun kau dah tolong jemput aku ni", kata Ijoi.

"Aku tak minta pun lah. Aku nak isi RM10 je. Tapi takpelah, terima kasih banyak-banyak". aku berkata.

Bukan apa, Ijoi ni agak kedekut dari segi kewangan sebelum ini. Sifatnya yang berkira itu kadangkala hampir memutuskan tali silaturrahim kami dahulu. Tetapi, dalam firasat aku, mungkin dia sudah berubah.

Setelah minyak penuh diisi, aku meneruskan pemanduan. Jam sudahpun menunjukkan pukul 9.00 malam. Aku perlu singgah ke sebuah kedai untuk membeli roti dan kaya untuk ayahku. Aku melalui sebuah kedai 7-Eleven. Tiba-tiba sahaja Ijoi berkata..... 

BERSAMBUNG

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience