CO 2 Rancangan Untuk Esok

Romance Series 49491

SUASANA di dalam kelab malam yang terkenal di kota itu menjadi semakin rancak dan riuh setiap kali menjelang tengah malam dengan kedatangan para pengunjung yang semakin ramai, diindahkan lagi dengan kelipan lampu pelbagai warna. Ya, mungkin indah dan menenangkan buat mereka yang gemar berkunjung ke tempat yang seperti itu.

Di suatu sudut kelihatan Rafeef, Nashrul, Faiz dan Aroon sedang duduk menikmati minuman keras mereka. Keras buat para lelaki itu walaupun hanya minuman Coca-Cola. Nakal-nakal mereka, mereka tetap tidak pernah berniat untuk menyentuh sebarang minuman yang haram. Datang ke situ sekadar mahu melepaskan tekanan setelah seharian penat bekerja sahaja. Sambil minum, sambil-sambil itu juga mereka leka menikmati rentak muzik yang dimainkan oleh seorang DJ di situ.

Bersahabat sejak zaman sekolah menengah lagi, sempat terputus hubungan ketika masing-masing menyambung pelajaran ke pengajian tinggi.

Dalam kalangan mereka, hanya Faiz sahaja yang belajar sehingga ke tingkatan lima. Bukan tidak berminat menyambung pelajaran, tetapi keadaan yang tidak mengizinkan. Faiz merupakan anak sulung yang sudah kematian bapa, ibu pula sudah tua. Oleh kerana itu, Faiz telah mengambil keputusan untuk membuka bengkel kecil-kecilan demi membantu meringankan beban ibunya. Tetapi rezeki tidak pernah salah alamat, takdir juga tidak pernah kejam. Setelah bertahun-tahun berjinak dalam perniagaannya itu, kini Faiz telah pun berjaya membuka dua buah cawangan pusat membaiki kereta di ibu kota itu. Faiz sudah beristeri, cuma masih belum diberikan rezeki anak.

Aroon pula satu-satunya sahabat baik mereka yang berbangsa Cina. Orangnya hensem, berkulit putih, juga baik hati. Di antara mereka berempat, Aroonlah yang paling kuat belajar. Bertambah untung kerana dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang agak berada, dan kini, Aroon telah berjaya mengikuti jejak ayahnya membuka klinik sendiri. Aroon tunang orang, merancang hendak menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan.

Nashrul? Orangnya pun baik, masih belum berpunya, kuat membebel tetapi dia juga yang paling 'sporting'. Apa sahaja kemahuan para sahabatnya dia akan mencuba untuk menolong semampu mungkin tidak kiralah sama ada kemahuan yang baik ataupun yang nakal. Nashrul anak pasangan pengusaha sebuah restoran yang terkenal, tetapi dia tidak berminat untuk mengikuti jejak kedua-dua orang tuanya itu. Dia lebih suka bekerja makan gaji daripada perlu memerah otak memikirkan untung rugi, jatuh bangun bisnesnya nanti.

Dan... dalam sesebuah kumpulan atau persahabatan itu, sudah pasti akan terlantiknya seorang ketua dan orang itu sudah semestinya Rafeef. Lelaki paling segak, paling tampan, paling nakal, paling miang, paling bernasib baik tetapi dia juga yang paling malas. Ketika para sahabatnya sudah berjaya dalam kehidupan masing-masing, Rafeef pula masih sahaja tenang bersantai. Sejak zaman sekolah lagi, perangainya begini. Tidak suka menumpukan perhatian ketika guru mengajar, mujur sahaja otaknya bijak asli dari dalam perut mama lagi.

Bermacam-macam karenah, tetapi keempat-empat sahabat itu sudah bersumpah akan terus menjaga hubungan mereka sampailah ke usia yang paling tua. Susah senang, pahit manis mereka akan harungi bersama-sama tidak kiralah walau dengan keadaan apa sekalipun.

TEPAT jam 12 tengah malam, keempat-empat lelaki itu mula berebutan untuk pulang ke rumah masing-masing. Seperti biasa, mereka hanya akan mengambil masa selama dua jam sahaja untuk berseronok di dalam kelab malam itu.

"Hati-hati, Aroon. Jumpa esok." Rafeef sempat melaung pesan sebelum masuk ke dalam kereta.

"You semua juga. I balik dulu, mengantuk dah." kata Aroon sebelum terus memecut laju keretanya. Faiz pula awal-awal sudah meminta diri. Maklumlah, awal kerana takut bini. Lambat seminit, tidur di luarlah jawabnya nanti.

"Dahlah, jom. I pun dah mengantuk." Nashrul yang sedari tadi menunggu mula menghidupkan enjin keretanya.

Dia dengan Rafeef menaiki satu kereta. Tadinya, dia yang menjemput Rafeef dan kini, dia juga yang menghantar sahabat baiknya itu pulang ke rumah. Alasannya jujur, dia malas hendak memandu.

"Papa dah bising dah, Nash." Luahan Rafeef yang tiba-tiba itu langsung membuatkan Nashrul menoleh ke arahnya sekejap. Meluah sebelum melepaskan keluhan berat.

"Papa you dah tahu ke yang you dipecat?" tanya Nashrul.

"Dah, Uncle Jeff sendiri yang cakap pada papa. Papa marah, dan dia arahkan i untuk cari kerja sampai dapat esok. Kalau i tak dapat juga, papa akan paksa i kerja dengan dia."

"Haaa, baguslah tu. Kerja dengan... "

"You nak i kerja bawah papa?" Rafeef memotong percakapan Nashrul. Menunjuk wajah sendiri sebelum memecahkan tawa kecil. "Tak mungkin berlaku, Nash. I lagi sanggup menyorok dalam bilik air selama sebulan daripada perlu bekerja dengan papa. I tak nak."

"Apalah yang you takut sangat tu, Raf. Papa you tu okey je i tengok. Baik je, sayangkan you. Asalkan you rajin buat kerja, confirm tak kan ada masalah punya." Nashrul gigih memujuk.

"Haaa, tu lah masalahnya. Masalah tentang rajin. I takut i semakin malas je nanti kalau kerja dengan papa. Hahaha!" Tanpa perasaan malu dan segan, Rafeef terus mengekek. Nashrul hanya mampu menggelengkan kepala. Berbuih sudah mulutnya menasihati Rafeef tetapi hujung-hujung, hanya tawa selamba sahaja yang akan dia dapat.

"Macam-macamlah you ni, Raf. Dahlah, nanti i send alamat tempat kerja i. Esok you datang interview tau? I akan pastikan you dapat kerja tu. Tahulah i pujuk Cik Med tu nanti tapi you kena janji dengan i, jangan... jangan malas. Faham?"

"Betul ni? Confirm boleh dapat ke?" soal Rafeef dengan riak yang sangat teruja.

"Haaa, betullah. Bukan nak riak, tapi Cik Med memang percayakan i. Staf contohlah katakan. Hehe... "

"Tak kisahlah, janji i dapat. Thank you, Nash."

"Hrmmm, sama-sama. Ingat, jangan malas. Tu je."

Usai Nashrul mengungkap kata-katanya yang terakhir itu, Rafeef laju mengangguk berkali-kali. Riang, gembira, lega dan tidak sabar, itu antara perasaan yang sedang dia rasa. Untung hidupnya dikelilingi oleh para sahabat yang sentiasa setia membantu. Maka, tidak perlulah dia risau dengan ugutan ayahnya yang malam tadi.

SEBAIK sahaja selesai menyiapkan pekerjaannya, Medina terus melangkah ke arah dapur. Segelas air putih dituang, diminum bersama dua biji panadol. Pening kepala memang sudah biasa bagi Medina, namun semua itu tidak pernah membuatkan dia berputus asa untuk terus fokus dalam melakukan pekerjaannya. Dia suka bekerja, malah bekerja juga merupakan terapi untuk diri Medina. Kerana terlalu sibuk menguruskan perniagaannya jugalah membuatkan Medina tidak berkesempatan untuk bercinta. Bukan tak nak, cuma tak sempat.

Lahir dalam sebuah keluarga yang susah bukanlah satu penghalang untuk Medina berjaya dalam hidup. Dia anak tunggal, dan dia juga yang telah membuat kedua-dua orang tuanya berbangga dengan pencapaiannya. Syukur, Allah panjangkan usia kedua-dua insan kesayangannya itu. Allah kurniakan mereka kesihatan yang sangat baik untuk terus menikmati hasil kejayaan Medina dan kini, mereka juga menetap bersama Medina di ibu kota.

Selesai urusannya di dapur, Medina terus bergerak ke tingkat atas. Hampir menjelang pagi, barulah dia tenang untuk beradu. Tidak sabar pula mahu menghadiri pertemuan bersama ahli-ahli peniagaan yang berjaya esok pagi. Daripada mereka itu jugalah Medina mencari ilmu dan ilham untuk terus berjaya.

"Med, baru tidur?" Puan Sarimah yang tiba-tiba sahaja muncul di depan pintu bilik mereka terus menegur. Berpakaian kelawar besar, berdiri sambil menggosok kedua-dua belah matanya.

"Ha, mi. Tadi ada kerja sikit. Ummi? Tak tidur lagi? Lewat dah ni," Medina merespons peduli. Sempat meraih tubuh tua Puan Sarimah untuk dipeluk sekejap kerana melalui pelukan itu jugalah dia mendapat kelegaan dan semangat yang lebih banyak.

"Haaa, sedar pun dah lewat. Ummi dengan abah dah lama dah tidur, cuma ummi tiba-tiba rasa haus pula. Nak ke dapur, minum air," kata Puan Sarimah.

"Nak Med tolong ambilkan ke?" soal Medina. Baru mahu bergerak ke arah anak tangga semula, Puan Sarimah pula lebih laju menegah.

"Nanti ummi ambilkan sendiri. Kamu pergilah berehat. Esok ada meeting lagi kan?"

"Ye lah, Med masuk dulu mi. Sayang ummi." Medina mengangguk sambil tersenyum. Pipi Puan Sarimah dikucup nipis dan setelah itu barulah dia melangkah masuk ke dalam biliknya.

Menapak sahaja di dalam bilik, Medina terus membaringkan tubuh lelahnya di atas katil. Mata segera dipejam rapat untuk mencari lena, melepaskan penat setelah seharian bertungkus lumus bekerja. Penat dan lelah yang dia rasa pada hari sebelumnya membuatkan dia lebih bersemangat untuk mengharungi cabaran pada hari esok. Seperti itulah Medina, hal lain adalah hal nombor dua kerana yang paling utama sekali adalah kebahagiaan orang tuanya dan juga pekerjaannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience