Eva Aurora sedang duduk termenung melayani perasaan di dalam kafe sebuah hotel yang dia inapi bersama Dayana untuk beberapa hari ini. Sejak dirinya sedar dari tidur yang panjang begitulah perangainya. Selalu termenung melayani perasaannya. Dirasakan di dalam dirinya kehilangan sesuatu. Sesuatu yang amat berharga pada dirinya. Sesuatu yang dulu amat dibencinya.
Satu keluhan dilepaskan. Mengharapkan perasaan yang menganggu jiwanya cepat terhapus namun semuanya sia-sia kerana makin dia cuba untuk melupakannya makin sakit jiwa raganya. Dirinya terasa begitu kejam menyusun atur hidup seseorang dengan begitu tragis sekali akhirnya memakan dirinya semula.
Deringan telefonnya di atas meja di kerlingnya sebentar untuk melihat siapakah gerangan yang menghubunginya itu. Terlihat nama gerangan yang dia tidak ingin menganggunya untuk sementara waktu ini. Dibiarkan telefon itu menjerit sehingga ia mati sendiri. Tidak lama bunyi itu berkemundangan lagi menyebabkan pelangan yang turut berada berdekatannya sedikit terganggu. Nak tak nak Eva Aurora terpaksa mengangkat panggilan tersebut.
"Susah sangat kamu nak angkat call mama nikan. Kenapa, dah tak sudi nak jawab panggilan mama ni?" serang suara dihujung talian tanpa memberikan salam.
"Mama nak apa?" soal Eva Aurora malas ingin melayan mamanya itu. Tak ada yang menyenangkan hatinya jika Pn. Ezzah mencarinya. Hanya menyakitkan hatinya sahaja.
Hubungan mereka anak beranak memang sudah lama keruh kerana tindakan Pn. Ezzah yang hanya mencari kemewahan sehingga sanggup meninggalkannya yang masih memerlukan kasih sayang seorang ibu bersama arwah papanya, En Aulia.
"Macam ni kamu layan mama ya. Salah ke mama nak tanya khabar anak perempuan dia?" ujar Pn. Ezzah dengan nada sindir.
Eva Aurora mendecitkan mulutnya. Dengan sinis Eva Aurora menjawab, "Sejak bila mama ambil berat pada Eva? Tak pernah pun. Yang mama tahu cari kemewahan dan suami baru yang boleh menanggung hidup duniawi mama tu."
"Kamu tu mulut tu cakap baik sikit. Ni mama kamu, tolong hormat sikit. Mama tak pernah ajar kamu bercakap macam tu dengan orang tua." terdengar nada geram dihujung talian. Terdengar juga hembusan nafas yang keras menunjukkan bahawa Pn. Ezzah tengah menahan amarah.
"Memang mama tak pernah ajar Eva semua tu. Mama lupa ke mama tinggalkan Eva dengan papa semata-mata mama nak ikut jantan yang lebih kaya daripada papa. Masa tu umur Eva baru 10 tahun. Mama tak pernah kisah pun dengan Eva yang perlukan kasih sayang dari mama. Mama juga tak kesian pada papa yang merayu pada mama agar jangan tinggalkan kami." Eva Aurora membehentikan sekejap kata-katanya. Dadanya mula sebak mengenangkan kisah lama.
"Tapi mama abaikan semua tu. Mama tak hiraukan langsung kami pada waktu itu. Papa yang besarkan Eva. Papa yang berikan Eva pendidikan. Papa yang berikan kasih sayang pada Eva. Walaupun dulu hidup papa dan Eva makan pagi kais pagi tapi hidup kami bahagia waktu tu." ujar Eva sudah bersuara serak basah menahan tangis.
Pn. Ezzah terdiam dihujung talian. Dirinya tahu dia sudah melakukan kesilapan namun dia tidak ingin mengakuinya. Hati batunya mengatakan apa yang dibuat untuk kesenangan hidupnya dan anaknya juga.
"Mama buat semua ni untuk kamu juga, Eva. Sampai bila kita nak hidup dalam kemiskinan kalau kita tak keluar dari kepompong tu. Dah ada peluang depan mata untuk jadi kaya-raya jadi mama sambar jelah. Jangan jadi bodoh. Kamu tengok sekarang mama tak pernah kurang makan pakai semua. Mewah adalah. Kamu tu pun mama boleh tanggung seumur hidup kamu tanpa kamu buat kerja menulis bodoh kamu tu." katanya dengan cukup bongkak.
Beristigfar Eva Aurora mendengar kata-kata Pn. Ezzah yang menongkat langit itu.
"Ya Allah ma. Rezeki boleh dicari buat apa dikerja sangat kemewahan tu kalau hati kita tak tenang. Walaupun menulis tu tak bawa kekayaan sekalipun tapi Eva seronok lakukannya. Yang penting hati kita tenang buat apa yang kita suka."
"Ye ke hati kamu tenang dengan menulis tu?" satu soalan yang membuatkan diri Eva Aurora terpukul. Mulutnya terkunci tidak dapat menjawab persoalan itu.
"Kenapa diam?" soal Pn. Ezzah lagi bila tidak mendengar balasan daripada anak perempuannya itu.
Hanya kedengaran helaan nafas yang berat sahaja terdengar dicorong telefon.
"Mama tahu kamu dah berhenti menulis,kan? Sekarang ni apa yang kamu nak buat sekarang?" soal Pn. Ezzah lagi.
Eva Aurora sudah meraup wajahnya tidak tahu untuk memberikan jawapan apa. Bukan niatnya untuk berhenti menulis. Menulis adalah jiwanya namun kerana menulis juga hidupnya berubah menjadi seperti sekarang.
"Macam nilah dengan kamu sekarang dah tak ada kerja, apa kata kamu kahwin je." cadang Pn. Ezzah membuatkan mata Eva Aurora terbeliak.
"Apa ma!? Kahwin!?"
"Yelah kahwin. Lagipun umur kamu tu sedang elok kahwin." Balas Pn. Ezzah bersahaja.
Eva Aurora melepaskan lelahnya.
"Ma, anak mama ni baru keluar hospital dan masih dalam proses sembuh dengan apa yang berlaku sebelum ni. Tapi mama boleh suruh Eva kahwin. Hah.." Ternganga mulut Eva Aurora mendengar cadangan Pn. Ezzah tanpa mempedulikan kondisinya itu.
"Sebab tulah mama suruh kamu kahwin sekarang. Mama tak nak benda macam tu berlaku lagi dan kalau apa-apa terjadi pada diri kamu dah ada orang yang jaga kamu." pantas Pn. Ezzah memberikan alasan.
"Apa yang mama merepek ni, ma!?" Eva Aurora sudah meninggikan suaranya. Rahangnya bergerak-gerak menahan rasa.
"Mama tak ada merepek. Mama cakap betul sekarang ni. Dengan umur kamu yang masih muda ramai lelaki kaya yang nakkan kamu. Mama pun dah ada list calon-calon bakal menantu mama." ujar Pn. Ezzah beria-ria.
"Mama call kamu ni pun sebab nak kamu pergi blind date dengan salah seorang anak kawan mama. Elok budaknya. Tapi apa lagi yang penting poket dia tebal." kata Pn. Ezzah lagi tanpa persetujuan Eva Aurora.
"Ma, apa ni ma? Eva tak setuju." bantah Eva Aurora.
"Kamu jangan nak melawan cakap mama. Ikut sahaja cara mama. Mama buat ni pun untuk kebaikan dan kesenangan kamu juga nanti. Bila kamu kahwin dengan dia, kamu dah tak payah susah-susah nak menulis lagi. Bukan ada masa depan pun dengan menulis tu. Kahwin, layan suami, bagi dia anak lepastu kamu goyang kaki je." cukup mudah Pn. Ezzah menyelesaikan masalah seperti makan kacang.
'kesenangan untuk diri dia adalah.' gumam Eva Aurora di dalam hati. Dirinya amat masak dengan perangai mamanya itu. Bukan Eva Aurora tidak tahu jika dirinya berkahwin dengan lelaki pilihan Pn. Ezzah itu pasti mamanya akan menyuruhnya memujuk menantunya untuk melaburkan duit kepada dirinya. Yelah untuk umur Pn. Ezzah yang sudah lanjut tiada lagi lelaki yang kaya akan memandangnya untuk memberikannya kemewahan jadi dia menggunakan anaknya pula untuk mengaut keuntungan orang lain.
"Dah jangan nak banyak soal. Nanti mama send kan location dan bila untuk kamu pergi blind date tu. Kamu jangan tak datang. Jangan nak malukan mama." ujarnya sebelum menamatkan panggilan.
Satu keluhan berat dilepaskan oleh Eva Aurora. Pening kepalanya untuk melayan kehendak mamanya itu. Jika tidak diturutkan dikatanya anak derhaka pula.
Dayana yang baru muncul entah dari mana sedikit hairan melihat perubahan wajah Eva Aurora.
"Kau kenapa ni? Ok tak?" tanyanya risau melihat wajah sahabat baiknya itu. Dilabuhkan duduknya dihadapan Eva Aurora dengan matanya masih tidak lepas memandang wajah suram sahabatnya itu.
"Mama aku call tadi." balas Eva Aurora datar.
"What? Dia nak apa?" soal Dayana agak terkejut.
Dia yakin Pn. Ezzah menghubungi anaknya itu pasti bersebab. Kalau untuk bertanya khabar memang tidak mungkin. Buktinya sewaktu Eva Aurora berada dalam keadaan koma boleh dikira dengan jari berapa kali sahaja Pn. Ezzah melawat Eva Aurora. Alasannya Eva masih belum sedarkan diri jadi tidak perlu melawat selalu. Ibu jenis apa itu difikiran Dayana.
"Dia dah aturkan blind date untuk aku. Dia nak aku kahwin sebab sekarang aku dah tak ada kerja." beritahu Eva Aurora sambil mengeluh.
"What!?" lantang suara Dayana terkejut apa yang didengarinya dengan badannya sudah tegak refleks daripada terkejut. Dirinya tidak menyangka Pn. Ezzah akan bertindak begitu sekali.
"Habis kau setuju?" soal Dayana ingin tahu.
Eva Aurora hanya mengangkat bahu.
"Aku tak tahu. Kau tahukan perasaan aku masih ada pada dia lagi. Aku tak boleh buang perasaan tu." lirih dirinya berkata.
"Tak habis-habis lagi ke dengan benda tu. Lupakan jelah. Apa yang kau lalui tu bukan realiti pun. Sekarang ni baru realiti."
Dayana yang sudah sedia maklum dengan apa yang telah berlaku sewaktu Eva Aurora di dalam keadaan koma. Eva Aurora sudah menceritakan segalanya kepadanya. Cerita Eva Aurora seperti benar berlaku namun untuk mempercayainya agak susah. Boleh ke seseorang pergi ke dunia lain dan dunia itu adalah dunia ciptaannya sendiri? Mengarut dan sangat mustahil. Tetapi semua itu dia tidak boleh di sangkal bulat-bulat kerana ada sahaja kisah-kisah pesakit sewaktu mereka koma mereka telah berada di alam lain.
Dayana mengusap telapak tangan Eva Aurora dengan sangat lembut. Memujuk hati yang rawan itu. Sebab itu juga dirinya membawa Eva Aurora bercuti ke sini agar dirinya tenang semula dan melupakan pengalaman yang sudah dilaluinya itu.
"Eva, sudahlah tu. Kau jangan fikirkan sangat boleh tak? Tu semua hanya ilusi kau je. Kan aku pernah kata orang yang berada di dalam koma diri mereka akan berada di dalam alam mimpi dan semua tu mimpi sahaja." pujuk Dayana.
"Tak. Aku tahu tu bukan mimpi. Apa yang berlaku pada diri aku adalah benar. Aku dapat merasa semua sentuhan dan kehangatan dia. Semua yang aku rasa dalam tu sangat real. Perasaan aku, emosi aku semua aku dapat rasa. Kalau mimpi kita takkan rasa semua tu. Tu yang kau kata hanya mimpi." Eva Aurora membidas apa yang diperkatakan oleh Dayana.
Dayana mengeluh. Bukan tidak mempercayainya tapi semua tu tidak logik dek akal.
"Dengar sini, tu khayalan kau je. Waktu kau sebelum koma, kau terlampau fokus pada story yang kau buat. Kau taksub sangat dengan watak-watak dalam novel kau tu sampai kau terbawa-bawa masa kau tak sedarkan diri tu." Jelas Dayana mengharapkan Eva Aurora memahami hakikat yang sebenar.
Eva Aurora mengeleng.
"Kau takkan faham." katanya lemah.
Dayana sudah mati akal untuk menerangkan macam mana lagi dengan apa yang sudah berlaku. Buat masa ini apa yang mampu Dayana buat adalah sentiasa menemani Eva Aurora agar tidak terus tenggelam dengan perasaannya itu. Dia perlu memantau keadaan Eva Aurora kerana siapa lagi yang akan mengambil berat diri Eva itu jika bukan dia.
"Sekarang ni apa rancangan kau? Kau pun dah berhenti menulis." Dayana mengubah topik agar Eva Aurora tidak terus mengingati peristiwa yang dia sendiri tidak dapat fahami.
Eva Aurora memusing-musingkan anak matanya memikirkan sesuatu. Mulut munggilnya dilihat dimuncungkan seperti mulut itik.
"Aku ingat aku nak cari kerjalah." ujarnya datar.
"Kau nak kerja apa? Kau lepas habis belajar mana pernah bekerja. Kerja yang kau tahu buat adalah menulis." agak terkejut Dayana mendengar apa yang diluah daripada gadis dihadapannya.
"Tak tahu lagilah tapi dengan sijil yang aku ada ni aku yakin aku boleh dapat kerja mana-mana." balasnya dengan yakin.
"Aku bukan nak menjatuhkan keyakinan kau tu tapi zaman sekarang susah nak dapat kerja. Kebanyakkan kerja nak ada pengalaman. Memanglah tahap pendidikan kau boleh tahan tinggi tapi saingan kuat dengan budak-budak yang baru graduated lagi. Lagi kau lepas habis study kau tak pernah kerja mana-mana. Semua tu akan diambil kira nanti."
"Alah kerja apa-apa pun tak kisahlah. Jadi cashier pun aku terima. Lagipun kau sendiri kata aku perlu lupakan apa yang dah berlaku. So, dengan aku bekerja aku boleh sibukkan diri aku dan dari tu aku boleh lupakan segala-galanya." Dayana mengangguk dan menyetujui apa yang diperkatakan oleh Eva Aurora. Ada betulnya juga. Mana tahu dengan cara itu akan mengembalikan Eva Aurora seperti dulu. Eva Aurora yang ceria dan aktif bukan seperti sekarang yang selalu termenung tenggelam dengan perasaan.
"Haa!" Dayana mendapat satu idea yang dirasa cukup bernas.
"Kau tak payahlah susah-susah cari kerja. Kau kerja je dengan mama kau. Mama kaukan ada bisnes."
Eva Aurora merenung tajam ke arah Dayana. Nampak tidak suka dengan cadangan Dayana itu.
"Daripada aku kerja dengan mama aku, baik aku kerja cleaner. Kau tahukan aku dengan mama aku tak sebulu. Elok-elok aku kerja dengan dia lepas tu dia suruh aku kahwin pula dengan anak saudagar kaya."
"Hah! lagi bagus tu. Kau tinggal goyang kaki tak payah buat kerja apa-apa. Nak angkat satu gelas ni pun tak payah." seloroh Dayana sambil menjentik gelas dihadapannya. Tersengih-sengih dia selepas berkata begitu.
Eva Aurora mencebikkan bibir sambil memberikan jelingan. Terkekeh-kekeh Dayana memandang wajah sahabatnya itu.
"Kau buatlah apa yang kau nak buat. Yang penting aku nak kawan aku kembali ceria macam dulu. Kau nak jadi cleaner ke cashier ke itu terpulang. Yang penting hati tenang dan bahagia." Dayana memberikan sokongan dan dorongan kepada Eva Aurora bersama dengan senyuman yang ikhlas.
Eva Aurora tersenyum tipis mendengar sokongan yang diberikan itu. Dia melabuhkan pandangan matanya ke arah luar kafe yang dipisahkan dengan dinding kaca. Sedang dia menikmati pandangannya itu, Eva Aurora tergamam kerana dia seperti mengenali jejaka yang sedang menunggu kenderaannya di luar lobi hotel itu. Matanya besar membulat melihat susuk tubuh itu. Tidak mempercayai apa yang sedang dilihatnya. Tidak semena air matanya jatuh ke pipinya yang mulus itu. Tangannya menekup mulutnya.
Dayana yang sedang menikmati kek terkejut melihat perubahan Eva Aurora.
"Kau kenapa, beb?" soal Dayana mula risau.
"Irvan." sebut Eva Aurora dengan nada sebak.
Tercenggang Dayana mendengar nama itu.
"Yana...tu Irvan, yana." ulangnya lagi sambil jarinya menunjukkan ke arah luar lobi.
Dayana terus mengalihkan pandangannya ke arah yang ditunjukkan ingin melihat gerangan yang dimaksudkan. Terlihat seorang jejaka yang diiringi beberapa orang yang berbadan sasa sedang berdiri diluar lobi. Berkerut wajah Dayana.
"Eva, bukan. Irvan tak wujud Eva. Dia hanya watak fantasi kau je. Terimalah hakikat." pujuk Dayana mula risau melihat keadaan rakannya.
"Tak Yana. Aku kenal dia. Wajah dia aku cam sangat. Aku tahu tu Irvan. Dia selamat, Yana." dengan yakin Eva Aurora berkata dengan matanya berkaca. Ada nada sedih dan juga lega kerana melihat lelaki yang amat dirinduinya selamat dan masih boleh berdiri dihadapannya.
Tanpa buang masa Eva Aurora terus bangun dari duduknya ingin mendapatkan jejaka yang disangkanya Irvan. Dayana yang terkejut dengan tindakan drastik Eva Aurora terus mengikutinya.
"Eva!" panggil Dayana namun Eva Aurora tidak mempedulikan panggilan itu. Fokus dia pada saat itu adalah jejaka di depan matanya.
Eva Aurora berlari selaju yang boleh.
"Irvan!" laung Eva Aurora kepada jejaka terbabit. Namun jejaka itu tidak menghiraukan lalu terus berlalu masuk ke dalam kenderaannya setelah keretanya tiba di perkarangan lobi itu.
Melihat keadaan itu, Eva Aurora melajukan langkahnya lagi. Dayana yang berada di belakang Eva turut melajukan langkahnya. Dia perlu mendapatkan Eva Aurora sebelum Eva melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.
Jejaka itu terus meninggalkan perkarangan lobi hotel dengan kenderaannya tanpa menoleh ke belakang. Dayana mendapatkan Eva Aurora di muka pintu masuk hotel tersebut.
"Eva! Tu bukan Irvan! Tolong sedar, Eva." jerkah Dayana sambil memusingkan tubuh Eva Aurora menghadap dirinya. Wajah Eva Aurora yang berjurai air mata ditekap dengan kedua tangannya.
"Aku kenal dia, Yana. Tu Irvan, Yana. Aku yakin tu dia." dengan sebak Eva Aurora berkata.
"Bukan dia. Dia tak wujud, Eva." pujuk Dayana membawa diri Eva Aurora ke dalam pelukannya. Dayana menyeka air matanya yang turut jatuh melihat keadaan sahabatnya itu. Eva Aurora meraung disitu. Dirinya yakin jejaka yang dilihatnya tadi adalah Irvan.
Tetapi bagaimana Irvan boleh berada di sini? Irvan adalah watak fantasinya sahaja. Siapakah jejaka itu yang sebenarnya yang mempunyai wajah persis Irvan?
My new babies.. Genre fantasi romance. Sya up 1 bab dlu.. Lps nenda siap sy akn fokus pde sini pula. 21.03.23.
Share this novel
test_account